28.7.10

Terengganu : Permata Pantai Timur

Negeri Terengganu Darul Iman merupakan sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ibu negerinya ialah Kuala Terengganu dan negeri ini terkenal dengan pelbagai kegiatan ekonominya dari yang berasaskan perikanan, Petroleum sehinggalah kepada sektor pelancongannya. Permata Pantai Timur adalah gelaran yang sememangnya sesuai diberikan kepada negeri ini memandangkan ia merupakan sebuah negeri yang sangat kaya dengan pelbagai sumber yang boleh menambah daya penarik pelancong untuk sampai ke negeri bertuah ini. Pantainya yang panjang dan rangkaian kepulauannya yang indah sudah terkenal di merata dunia.

Terengganu bertambah pesat membangun dengan usaha kerajaan untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyatnya memandangkan seluruh rakyat Terengganu berhak untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dengan kekayaan sumber alam yang mereka miliki. Hari ini, boleh kita lihat dengan jelas bahawa rakyat Terengganu mampu meningkatkan pendapatan hasil daripada usaha kerajaan dalam pelbagai bidang sama ada pelancongan, pembuatan, industri kecil dan peningkatan kemudahan infrastruktur.

Terengganu juga telah memperkenalkan empat tema dalam usah pembangunan negeri ini iaitu ; Tiada Halangan Hanya Pelung; Islam Hadhari Terengganu Bestari; Bandar Warisan Persisir Air; dan Memahat Sejarah Mencipta Tamadun. Keempat-empat tema ini menunjukkan bahawa kerajaan Terengganu hari ini begitu komited dalam usahanya membangunkan Terengganu dalam pelbagai bidang sama ada yang bersifat duniawi mahupun yang bersifat rohani.


INFO NEGERIKU TERENGGANU


KESULTANAN TERENGGANU

Pengasas Kesultanan Terengganu pada hari ini ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan panggilan Bendahara Padang Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.

Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu.

Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke – 6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu.

Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.


KEDUDUKAN GEOGRAFI DAN PENDUDUK

• Terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.

• Keluasan negeri ini kira-kira 1,295,638.3 hektar.


• Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ).

• Terdapat tujuh daerah yang ditadbirkan oleh Pegawai Daerah iaitu :-

1. Kuala Terengganu (60,654.3 hektar)
2. Kemaman (253,559.9 hektar)
3. Dungun (273,503.1 hektar)
4. Marang (66,654.3 hektar)
5. Hulu Terengganu (387,462.6 hektar)
6. Setiu (130,436.3)
7. Besut (123,367.8 hektar)

• Terengganu terbahagi kepada 8 Kawasan Parlimen dan 32 Kawasan Dewan Undangan Negeri.

• Unjuran penduduknya pada tahun 2007 adalah seramai 1,067,900 orang.


ASAL USUL NAMA TERENGGANU

Terdapat pelbagai cerita tentang asal usul nama Terengganu. Perkataan Terengganu dikaitkan dengan pelbagai perkara dan peristiwa. Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu (Kelantan, Pahang, cacatan ahli sejarah) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri.

• "Terangnya ganu"
"Terangnya ganu" dikaitkan dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu dan mereka melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan "Terang sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jirannya itu sungguh "terang ganuny".

• "Taring an"
"Taring an" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 – 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat (kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu" kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, salah seorang dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "Taring anu". Lama kelamaan kawasan berkenaan dikenali dengan nama Terengganu.

• "Taring anu"
Kisah ini menyatakan yang "Taring anu" berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau (kini dikenali sebagai Pulau Duyung) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja "taring anu tuanku". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu dan kemudiannya dikenali pula dengan nama Kuala Sungai Terengganu.

• Sungai Terengan
Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulang alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke "Terangan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu. Ada juga ahli sejarah yang berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama "Tanah Merah".

• "Terenggani"
Pelliott seorang ahli sejarah yang menulis dalam tahun 1904M ada menyebut beberapa nama di dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou,Ting Kia Lou dan Ting Ko Lo, nama-nama bagi Negeri Terengganu. Kemungkinan boleh berlaku juga, Terengganu itu diambil asalnya dari perkataan "Terenggani" dari bahasa Tamil bererti 'Tanah Berbukit', dan nama itu diberi oleh pelawat India yang mungkin sampai di Terengganu pada zaman dahulu kala kerana dilihatnya negeri ini di sepanjang pantainya dari laut banyak berbukit.

JATA TERENGGANU

Jata atau Lambang Kebesaran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman yang ada sekarang telah diwujudkan pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III hasil ciptaan beberapa orang pembesar di negeri ini. Menurut cerita, orang yang melukis Jata tersebut ialah Encik Mohamad bin Abdul Rahim iaitu saudara kepada Dato' Nara Wangsa (Dato' Mata-Mata) dan hasil ciptaannya telah disahkan dalam Majlis Mesyuarat Jumaah Negeri bagi kegunaan rasmi pada tahun 1932. Maksud jata ini ialah:-
1. Bulan Bintang menunjukkan Negeri Islam.
2. Mahkota menandakan Pemerintahan Diraja.
3. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula Merupakan Alat Kebesaran Negeri.
4. Al-Quran di sebelah kanannya melambangkan Agama Islam, agama rasmi Negeri.
5. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan Keadilan .
6. Wali / Selampai menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

Semua alat-alat ini dilingkungi oleh garisan bulat dan di dalamnya ada tertulis huruf Melayu sebanyak tiga patah perkataan dengan huruf Melayu yang bercerai-cerai hurufnya iaitu "Jawatan Kerajaan Terengganu". Pada masa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, satu lagi alat kebesaran iaitu cokmar telah ditambah dan perkataan "Jawatan Kerajaan" dihapuskan manakala perkataan "Terengganu" dikekalkan.

Sumber: Koleksi Terengganu PPAT

LAGU KEBESARAN NEGERI

Allah Daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah Peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera Sepanjang Zaman
Allah Rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah Rakyat Aman

LAGU TEMA NEGERI

Impianku
Terengganu, negeriku
Tanah berdaulat, penuh semangat
Semua impian, lama kusimpan
Pasti kujadikan, ia kenyataan
Akan ku melangkah
Dengan semangat kental di hati
Tak kan ku mengalah
Tunaikan janji yang terpatri
Terengganu Maju- impianku
Impian ini, bukan fantasi
Ia realiti, berkat Ilahi
Kusahut cabaran, gapai kejayaan
Bukti kemampuan, genggam harapan
Tiada halangan
Pahat sejarah yang cemerlang
Hanya peluang
Bina tamadun yang gemilang
Terengganu Maju-impianku
Terengganu Maju-impianku
Ulang:

Bukan fantasi
Ia realiti, berkat Ilahi
Kusahut cabaran, gapai kejayaan
Bukti kemampuan, genggam harapan
Tiada halangan
Pahat sejarah yang cemerlang
Hanya peluang
Bina tamadun yang gemilang
Terengganu Maju-Impianku
Terengganu Maju-Impianku


TERENGGANU DALAM CATATAN SEJARAH


SEJARAH AWAL TERENGGANU

Sejarah awal Terengganu adalah tidak jelas. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah terdapat manusia tinggal di situ sejak 4,000 tahun sebelum Masihi. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.


• Catatan Orang Cina
- Menurut cacatan sejarah, ada pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "TING CHIA HSIA LU"(Teng Ka Ha Lo dalam bahasa Hokkein) dan TING KA HA LOU" dalam bahasa Kantonis.

- Dalam peta Wu Pei Chih, yang diperbuat di antara tahun 1511M, dan 1601M, berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah Melayu di kurun Masehi yang kelima belas ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.

- Catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebutnya sebagai tanah jajahan takluk Palembang.

- Pengarang sejarah China yang bernama Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung di bawah pemerintahan Seri Vijaya Palembang.

• Peta Linschoten
- Di dalam peta yang diperbuat oleh Linschoten tahun 1623M, Negeri Terengganu disebut "Perengenaok". Peta ini ada menunjukkan nama capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang. Meskipun Linschoten ada menunjukkan Calntao (Kelantan) dan Patani (Petani), Padram (Batu Pahat) Muar, tetapi tidak ada dimasukkannya Pahang atau Johor.

• Syair Jawa
- Di dalam syair jawa yang bernama "Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka (kedua-dua yang akhir ini ialah daerah dalam Terengganu).

• Batu Bersurat
- Batu bersurat yang dijumpai di Kampong Buloh, Kuala Berang, kira-kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H(1891M) ejaannya "Terkanu". Maka di antara nama-nama itu didapati Terengganu ditulis TERIANGGANO. Bilakah Terengganu digelar "Darul-Iman" tidaklah dapat ditentukan dengan sah, tetapi semasa pemerintahan Sultan Umar (Marhum Baginda 1893-1879) ada dikatakan gelarannya "Darus-Salam".

Petikan dan diubahsuai daripada : Sejarah Darul Iman Oleh : Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha)

KEDATANGAN ISLAM DI TERENGGANU

Setakat ini tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh atau tahun dan dari mana kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun yang tercatat di Batu Bersurat bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut. Namun tarikh tersebut memberi makna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembangan Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis batu bersurat menulis jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik bagi negeri Terengganu ialah negeri itu merupakan negeri yang terawal di Malaysia mengkanunkan undang-undang Islam.

Dalam pada itu terbukti pada kurun ke – 16, Sharif Muhammad Al-Baghdadi sudah berada di Kuala Berang. Kehadiran beliau ini sudah pasti ada kaitan dengan Agama Islam dan perdagangan. Beliau meninggal dunia di Batu Belah, Kuala Berang. Keturunan beliau, Abdul Malik bin Abdullah (lebih dikenali sebagai Tuk Pulau Manis) meneruskan kegiatan keagamaan di Terengganu. Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Mekah dan Madinah, di sekitar tahun 1690 Abdul Malik pulang ke Terengganu dan mengajar ilmu agama di Kuala Berang.

PENJAJAHAN DI TERENGGANU

Siam
• Bunga Emas dan Bunga Perak yang dihantar oleh Terengganu tiap-tiap 3 tahun sekali dijadikan bukti kuasa Siam ke atas Terengganu.
• Bunga Emas pertama yang dihantar pada tahun 1781 adalah sebagai tanda balasan hadiah yang diberikan oleh angkatan Siam kepada Sultan Mansur Shah I, kerana membantu angkatan Siam menyerang dan mengalahkan Legor pada tahun 1766.
• Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) menjelaskan kepada Gabenor SIR Frederick Weld yang datang melawat Terengganu pada tahun 1886 dan 1887, Bunga Emas yang dihantar ke Siam hanya sebagai tanda persahabatan dan bukannya sebagai ufti.


British
• Kerajaan Siam telah menyerahkan Terengganu kepada Great Britain melalui Perjanjian Bangkok 1909.
• Perjanjian pada 22 April 1910 telah menetapkan bahawa Terengganu akan menerima Wakil British, W.L.Conlay sebagai Ejen British.
• Seterusnya pada tahun 1911, Kerajaan Terengganu meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan Terengganu adalah negeri Melayu dan Islam. Keadaan ini menyebabkan Ejen British tidak mempunyai kuasa yang bebas.
• Melalui perjanjian 24 Mei Sultan Terengganu akan menerima Penasihat British, menyediakan tempat kediaman di Terengganu dan nasihatnya hendaklah diminta serta diikuti dalam semua perkara pentadbiran kecuali Agama Islam.

Jepun & Tentera Thailand
• Pada tahun 1942 – 1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbir oleh Tentera Jepun, 1942 – 1943 dan Pentadbiran Tentera Thai, 1943 – 1945.
• Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji (Gabenor).
• Pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Guji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah) dan Pejabat Sangyo-bu (Pejabat perniagaan) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).
• Kemudiannya dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai.
• Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam (Senior Civil Affairs Officer) Terengganu yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley.


NASIONALISME DI TERENGGANU

Haji Abdul Rahman Limbong

• Penglibatan British dalam pentadbiran Terengganu dan diikuti dengan pengenalan peraturan baru membangkitkan tentangan pada tahun 1922,1925 dan 1928. Gerakan penentangan ini dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid (lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong) dan disokong oleh penduduk Terengganu. Mereka yang terlibat dalam tentangan ini menyifatkan British dan segala peraturan baru yang diperkenal dan dikuatkuasakan (selepas British campur tangan dalam pentadbiran Terengganu) adalah peraturan kafir.

• Haji Abdul Rahman Limbong telah dibawa ke muka pengadilan. Beliau didapati bersalah dengan menyebarkan ajaran sehingga mencetuskan kebangkitan 1928. Di atas nasihat Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad, beliau dijatuhkan hukuman buang negeri ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia kerana sakit di Mekah pada 6 November 1929.


Kesatuan Melayu Muda (KMM)

• Pada Mei 1937 KMM ditubuhkan dan didaftarkan pada Ogos 1938. Matlamat perjuangan Kesatuan Melayu Muda ialah menghindar orang Melayu daripada diperas oleh penjajah dan melahirkan semangat kebangsaan. Selain itu, matlamat KMM ialah ingin membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia mewujudkan "Melayu Raya" atau "Indonesia Raya".

• KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad. Di antara tokoh lain yang terlibat dalam pengasasan KMM di Terengganu ialah Ibrahim bin Muhamad Muda bin Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad.


Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

• Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan KMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terengganu ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif.

UMNO
• Kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946 dan mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
• Pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation (atau UMNO). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 dalam kongres yang berlangsung di Johor Bahru pada 11 – 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama.
• Terengganu juga turut melancarkan tunjuk perasaan menentang Malayan Union pada 24 Januari 1946. Persatuan Melayu Kemaman, Terengganu menghantar kawat kepada Pengerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang Malayan Union.

Parti-Parti Lain

• Angkatan Wanita Sedar dirasmikan penubuhannya di Kuala Besut pada tahun 1947.
• Persatuan Melayu Terengganu,
• Persatuan Melayu Besut
• Persatuan Melayu Kemaman
• Persatuan Melayu Kemasik.


PILIHAN RAYA KEARAH PEMBENTUKAN KERAJAAN SENDIRI

• Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu akan diadakan pada tahun 1953.

• Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952.

• Tiga kerusi diperuntukkan dalam pilihan raya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Kemudiannya pilihan raya diadakan, ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.

• Pada 7 September 1954, pengisytiharan mengenai pilihan raya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihan raya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954.

• Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan. Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding.

• Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Persekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon Bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.

• Pilihan Raya Persekutuan diadakan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut pada 27 Julai 1955. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu. Mereka yang dipilih ialah Engku Mohsein bin Abdul Kadir, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Haji Mohamed.

• Dalam pilihan raya yang berlangsung di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara.

• Dalam pilihan raya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam SeMalaya (PAS) di kawasan Kerian, Perak.

• Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


TERENGGANU TERUS MAJU

TERENGGANU PERMATA PANTAI TIMUR

Pesisir pantai Terengganu menjalar panjang, dari Besut di utara hingga ke Kemaman di selatan kaya dengan teluk-teluk kecil yang terlindung dan pokok-pokok kelapa yang melambai ditiup angin. Kebanyakan pantainya yang lebar dipukul ombak Laut China Selatan yang berbuih putih dan pantainya juga melandai ke laut. Pulau-pulau di luar pantai Terengganu yang dikelilingi air jernih dan hidupan laut membentuk sebahagian daripada taman laut yang dilindungi. Lautan yang terbentang luas, hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa dan panorama matahari terbenam yang indah membolehkan pulau-pulau ini diibaratkan sebagai syurga tropika.

Terengganu kaya dengan warisan seni dan budaya yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas, seperti yang dapat dilihat daripada gerak tari lemah gemalai dan muziknya yang mengasyikkan. Selain itu, Terengganu juga terkenal dengan industri kraf tangan tradisional seperti membuat songket, batik, perhiasan tembaga dan anyaman pandan yang diwarisi sejak 2,000 tahun dahulu. Di samping itu, pelancong turut berpeluang untuk meninjau pasar malam yang diadakan setiap malam di tempat-tempat berlainan di seluruh Terengganu. Membeli-belah di pasar malam adalah sebahagian daripada budaya hidup masyarakat tempatan. Ia juga memberi peluang kepada pelawat untuk merasai makanan dan buah-buahan tempatan.

Seni Tradisional Tempatan
• Anak Burung Baniong
• Beca/Trishaw
• Gamelan
• Gasing
• Rodat
• Ulek Mayang
• Ulek Serkap/Balai
• Wau

Pusat Warisan
• Muzium Terengganu - Losong
• Chinatown
• Masjid Terapung
• Pura Tanjung Sabtu

Tempat-Tempat menarik
• LA hot spring
• Lata Tembakah
• Chemerung Waterfall
• Bewah Cave
• Sekayu Waterfall
• Kenyir Lake
• Kawasan perlindungan kunang-kunang Yak Yah
• Cruise sungai Marang
• Kawasan perlindungan penyu
• Resort Peladang Setiu
• Taman Burung Kuang Ajil
• Hutan Simpan Pasir Raja

Pantai Terengganu
• Pantai Air Tawar
• Pantai Bukit Keluang
• Pantai Penarik
• Pantai Merang
• Pantai Paka
• Pantai Rantau Abang
• Pantai Teluk Bidara
• Pantai Kelulut
• Pantai Tanjung Jara
• Pantai Kemasik
• Pantai Kijal
• Pantai Batu Burok
• Pantai Batu Rakit
• Pantai Chendering

Pulau-Pulau di Terengganu
• Pulau Rhu Hentian
• Pulau Perhentian
• Pulau Lang Tengah
• Pulau Redang
• Pulau Tenggol
• Pulau Gemia
• Pulau Kapas

Mercu tanda Terengganu
• Bukit Puteri
• Chinatown
• Kuala Terengganu Waterfront
• Batu Bersurat Roundabout
• Medan Maziah
• Masjid Abidin
• Masjid Terapung
• Terengganu State Museum Complex
• Istana Maziah

Seni Kraf tangan
• Pusat Kraftangan
• kraf tangan Tembaga
• kraf tangan songket dan batik
• Weaving Craft
• Pertukangan kayu


TERENGGANU DALAM PEMBANGUNAN WILAYAH TIMUR (ECER)

Terengganu terkenal dengan aktiviti ekonominya yang berasaskan perikanan dan petroleum. Petronas yang berkembang pesat di Terengganu telah memacu pendapatan bukan sahaja kepada negeri Terengganu tetapi kepada negara Malaysia secara keseluruhannya. Selain itu juga Terengganu terkenal dengan industri perikanan termasuk pembikinan kapa-kapal nelayan secara tradisional. Perkembangan ekonomi telah memberi dimensi baru kepada ekonomi Terengganu dengan penerokaan lebih kepada sektor pelancongan yang juga merupakan kekuatan semula jadi yang terdapat di negeri ini.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan telah mengumumkan perancangan untuk memajukan beberapa Koridor Wilayah Pembangunan. Dalam perkembangan ini negeri Terengganu termasuk dalam Rancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur. Pelan induk bagi wilayah ini dirangka oleh sektor swasta yang diterajui oleh PETRONAS dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi. Dalam pelan induk ini, Terengganu akan dibangunkan sebagai Gerbang Pelancongan dan Pendidikan.

Sasaran kerajaan adalah untuk mencatatkan pertumbuhan KDNK negeri-negeri Pantai Timur pada kadar 7.2 peratus setahun secara purata sehingga tahun 2020. Lebih 560,000 peluang pekerjaan baru akan dijangka dapat diwujudkan dengan pembangunan Wilayah ini dalam tempoh 12 tahun berjalannya rancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi. Matlamat utama kerajaan dalam merangka rancangan ini ialah memberi sinar harapan kepada golongan berpendapatan rendah terutamanya yang masih dihimpit kemiskinan tegar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan bersama mengecapkan nikmat yang dibawa oleh pembangunan negara.

Secara keseluruhannya, rancangan ini mensasarkan pelaksanaan sebanyak 227 buha projek bernilai RM 112 bilion dalam tempoh 12 tahun. Rancangan ini akan digerakkan berasakan kepada lima kluster utama yang diperlukan untuk mempelbagaikan aktriviti ekonomi wilayah pantai timur demi memacu kemajuan di masak hadapan. Lima kluster utama tersebut ialah :-

1. Pertanian
Sektor pertanian akan dimajukan secara komersial, berskala besar dan menggunakan teknologi dan sistem pengurusan serta pemasaran yang moden.

2. Keindahan alam semula jadi aset pelancongan
Keindahan alam semula jadi seperti pantai. Pulau dan hutan akan dimanfaatkan sepenuhnya khususnya di negeri Terengganu yang kaya dengan alam semula jadinya yang indah.

3. Industri petroleum penjana ekonomi wilayah
Sektor minyak, gas dan petrokimia juga akan memberi lebih banyak peluang bagi usahawan tempatan menceburi industri hiliran yang berkaitan. Bahan mentah propilena dan etilena yang dihasilkan oleh kompleks petrokimia di Kerteh dan Gambang akan diusahakan oleh penduduk tempatan untuk menghasilkan produk-produk pengguna untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Kelompok Industri Plastik Kerteh akan ditubuhkan bagi membolehkn rakyat tempatan memceburi bidang pembuatan plastik. Kelompok industri ini yang seluas 140 hektar akan dilengkapi dengan infrastruktur yang lengkap serta jaminan sumber sedia ada dari loji Kompleks Petrokimia Kerteh.

4. Industri pembuatan
Tumpuan khusus akan diberikan kepada industri hiliran yang berasaskan minyak sawit, kayu, getah serta hasil pertanian lain untuk mengeluarkan barangan seperti bahan oleokimia, perabot, sarung tangan dan makanan halal. Industri berat dan industri kecil dan sederhana akan dibangunkan melalui bantuan kewangan, peralatan dan khidmat nasihat agar mereka mampu bersaing dalam suasana pasaran yang begitu mencabar.

5. Penyediaan modal insan berkualiti
Pusat-pusat pendidikan dan latihan akan dibangunkan di wilayah ini bagi memberi peluang anak-anak tempatan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti.


Kerajaan juga prihatin terhadap golongan petani yang akan menerima manfaat daripada program-program ternakan dan beberapa program industri halal yang lain. Satu Projek Agropolitan seluas 2000 hektar berteraskan perladangan komersial berkelompok akan dibangunkan di Hulu Setiu yang akan melibatkan aktiviti penternakan, penanaman serta akuakultur.

TERENGGANU DALAM RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN (RMK-9)

Terengganu hari ini tidak seperti dahulu lagi. Ia sudah jauh berubah. Hakikat yang harus diterima ialah, kerajaan berusaha keras untuk membawa perubahan yang satu masa dahulu boleh dianggap sebagai fenomena luar biasa. Bukan mudah untuk mencapai apa yang ada dalam tempoh tertentu. Namun di Terengganu, slogan “Tiada Halangan, Hanya Peluang” ternyata telah menjadi satu motto yang direalitikan oleh pihak kerajaan. Semua pihak bekerja kuat sehingga Terengganu sudah berubah wajah kerana menyedari bahawa rakyat negeri ini berhak untuk mendapat yang terbaik daripada kerajaan kerana mereka mempunyai aset yang selama ini hanya dipendamkan tanpa mengambil peluang yang sentiasa terbuka luas. Demi meneruskan pembangunan yang berterusan di Terengganu, kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menggalurkan pelan yang khusus untuk pembangunan negeri Terengganu. Berikut merupakan jenis projek yang bakal terlaksana dalam RMK-9:-


SENARAI PROJEK RMKe9 TERENGGANU
BIL. PROGRAM/PROJEK
1 Pembinaan Asrama Pelajar-Pelajar
2 Kajian Semula Pelan Induk Landskap
3 Tapak Pelupusan
4 Projek Perumahan Rakyat
5 Pembangunan Teknologi Pemprosesan Makanan Halal/Dunia Di Mardi
6 Pembangunan Dan Pengurusan Makmal Dan Peralatan Teknologi Pemprosesan Makanan Di Mardi
7 Gelanggang Sukan Di Kawasan Luar Bandar
8 Meningkatkan taraf Majlis Tempatan
9 Pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah, Klinik dan Pejabat Jabatan Berkenaan
10 Pembinaan Sekolah Rendah dan Menengah
11 Pembinaan Rumah Guru
12 Pembinaan Jalan Raya
13 Penambahbaikan kemudahan awam
14 Pembangunan Pusat pelancongan
15 Program Penyediaan Ruang Niaga Di Pusat Pertumbuhan Baru

“TIADA HALANGAN, HANYA PELUANG”

Slogan “Tiada Halangan, Hanya Peluang” ini menterjemahkan semangat rakyat Terengganu yang tinggi bagi menjayakan pelbagai kejohanan yang berprestij. Dengan menjayakan pelbagai kejohanan yang besar ini, rakyat Terengganu dilimpahi pelbagai peluang untuk meningkatkan taraf ekonomi berikutan kebanjiran pengunjung dari dalam dan luar negara ke negeri tersebut.

• Monsoon Cup
Monsoon Cup merupakan kejohanan Perahu Layar Dunia yang diadakan di Pulau Duyong telah berjaya menarik kira-kira 2 bilion penonton di seluruh dunia dan memahat nama Terengganu sebagai destinasi pelayaran unik dunia.

• Kejohanan Endurance Dunia (WEC’08) Persekutuan Equestrian Antarabangsa (FEI)
Kejohanan Endurance Dunia (WEC’08) Persekutuan Equestrian Antarabangsa (FEI) pula merupakan kejohanan sukan berkuda yang diadakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada aktiviti sukan berkuda kepada rakyat serta salah satu acara pelancongan melalui sukan di Terengganu. Acara yang berprestij ini dianggap setaraf dengan Perlumbaan F1.

Selain Monsoon Cup dan ekuestrian, Terengganu turut pernah menganjurkan :-

• Perhentian Island Challenge
• International Motocross Championship
• Mini Bike Terengganu Challenge
• Terengganu Beach Extreme Challenge
• Kapas-Marang Interntional Swimathon

Generasi Ulul-Albab

Ulul-Albab telah disebut sebanyak 16 kali dalam Al-Quran. Ulul-Albab ialah golongan yang mampu menghafal 30 Juzuk Al-Quran dan memahami maknanya, mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, mampu berfikir dan memerhati kejadian Allah melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar daripadanya. Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan bekas Menteri Besarnya, YAB Dato’ Seri Haji Idris Jusoh telah mengorak langkah melahirkan golongan Ulul-Albab yang bercirikan Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik dengan mewujudkan Sekolah Imtiaz. Empat buah sekolah terlah didirikan iaitu SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Intiaz Dungun, SM Intiaz Besut dan SM Intiaz Hulu Terengganu.

Terengganu juga pernah tercatat dalam Malaysia Book Of Record kerana menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran beramai-ramai yang melibatkan 937 kanak-kanak tadika. Kanak-kanak yang berusia lima hingga enam tahun telah berjaya khatam al-Quran melalui Program Pintar Al-Quran di tadika Yayasan Islam Terengganu.

Masjid

Terengganu juga giat dalam usaha meningkatkan bilangan masjid di negeri tersebut. Kerajaan telah meluluskan usaha pembinaan 62 buah masjid termasuk Masjid Hadhari yang bernilai RM 10 juta.

Membudaya Islam Hadhari

Dalam usaha membudayakan Islam Hadhari di Terengganu, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan. Antaranya ialah mengembalikan elaun kepada tahfiz dan guru al-Quran, memperkenalkan E-Munakahat, menaikkan elaun imam dan bilal, memberi ganjaran menunaikan haji kepada kakitangan kerajaan negeri, menganjurkan perkampungan Islam Hadhari, menyampaikan khutbah dengan bantuan multimedia dan membina pusat gadaian Islam.

“BANDAR WARISAN PERSISIR AIR”

Taman Tamadun Islam
Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong agar datang ke negeri Terengganu, kerajaan telah membangunkan sebuah taman pelancongan bertaraf antarabangsa. Taman ini telah menempatkan sebuah taman tema yang memperlihatkan kehebatan senibina Islam dengan pembinaan 21 buah replika monumen terkenal di seluruh dunia, pusat pemelajaran, pusat kebudayaan dan Masjid Kristal.

Bazar Warisan
Pembinaan Bazar Warisan di Kuala Terengganu juga telah memberi peluang kepada peniaga barangan tradisional seperti songket, batik, barangan tembaga, kraf tangan dan sebagainya untuk memasarkan produk mereka. Pembinanya yang bercirikan tradisional dan mewah bakal menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu seterusnya menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke bandar raya berkenaan.


“MEMAHAT SEJARAH, MENCIPTA TAMADUN”

Kejayaan Anak Terengganu, Kebanggaan Semua

Dua orang wira cilik dari Terengganu telah berjaya memenangi pingat emas dalam Kejohanan Formula Future Dunia di Catania Itali. Mohd Hanif Ramli dan Syazwan Muhd Nur Membuktikan bahawa jika diberi peluang yang sewajarnya, anak tempatan mampu menunjukkan sesuatu yang membanggakan kepada dunia. Anak kecil dari Tadika KEMAS Kuala Pueh, Nurul Syazwani Mohd Syukri juga telah membuktikan keupayaannya apabila menjuarai Pertandingan Story Telling Peringkat Kebangsaan.

Kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Terengganu dari sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chukai yang telah berjaya mengalahkan 100 buah sekolah dari 16 negara lain dalam Pameran Reka cipta Antarabangsa Seoul, Korea turut menjadi kebanggaan rakyat Terengganu. Kerajaan menyedari bahawa sekiranya lebih banyak peluang dan ruang diberikan kepada anak-anak tempatan untuk mendapatkan pendidikan dan latihan, sudah pasti lebih ramai rakyat Terengganu bakal mencipta sejarah masing-masing.

Akademi Pelayaran

Kerajaan juga telah merancang untuk membina sebuah Akademi Pelayan Pertama Malaysia yang bakal didirikan di Pulau Duyung. Kos pembinaan yang dijangkakan menelan belanja sebanyak RM 20 juta ini akan memberi manfaat yang besar kepada penduduk tempatan khususnya dan rakyat Malaysia amnya dalam usaha melahirkan pelayar yang bertaraf dunia.

Galeri Dasar Laut

Di Pulau Bidong pula, sebuah galeri dasar Laut yang pertama di Asia telah dibina. Selain menjadi daya tarikan pelancong, ia bakal menjadi lokasi menyelam skuba yang terkemuka.


KERAJAAN PRIHATIN, RAKYAT SEJAHTERA


KEMUDAHAN AWAM

Bagi memberi lebih kemudahan kepada rakyat Terengganu, Kerajaan juga telah menjalankan beberapa usaha lain termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Selain itu Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu juga telah didirikan bagi membudayakan masyarakat tempatan dengan sains dan teknologi. Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM 3.4 juta untuk tujuan pengubahsuaian Masjid Zainal Abidin. Projek Lebuh raya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu pula diteruskan dengan anggaran kos sebanyak RM 2.1 bilion. Kompleks Sukan Gong Badak Juga telah didirikan atas inesiatif kerajaan bagi memberi kemudahan sukan ekpada penduduk Terengganu. Kompleks ini meliputi stadium utama, stadium tertutup dan padang latihan.

PROGRAM BASMI KEMISKINAN

Kerajaan telah memperkenalkan budaya BCL (Beri, Cipta dan Laksana) dalam usaha pembasmian kemiskinan di Terengganu. Terenggannu telah muncul sebagai negeri contoh dalam pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang melibatkan peningkatan taraf ekonomi, pendidikan, kemudahan asas serta merubah pemikiran golongan miskin.

Keluarga miskin tegar juga diberi bantuan tambahan makanan seimbang. Keutamaan diberi kepada miskin tegas yang tua, uzur, cacat dan ibu tunggal. Bantuan sebanyak RM 77 setiap bakul telah disumbangkan kepada golongan berkenaan.

Program Cakna & Sayang telah dilancarkan bagi memastikan matlamat Miskin Tegar Sifat pada 2020 akan tercapai. Pelaksanaan program ini adalah berasakan konsep Mentor-Mentee yang mana Mentor terdiri daripada pergerakan profesional dan badan NGO manakala Mentee pula ailah golongan miskin yang dikenal pasti kerajaan negeri.

Bantuan dalam bentuk rumah juga telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Bantuan bagi rumah baru dinaikkan dari RM 15,170 kepada RM 18,000. Kadar baik pulih rumah pula naik dari RM 5190 kepada RM 8000 sebuah.

PENDIDIKAN

Kerajaan juga telah menyediakan kadar bantuan untuk latihan kemahiran maksimum RM 10,000 untuk setiap pelatih dan pendidikan sebanyak RM 500 bagi setiap pelajar. Kadar bantuan meliputi kursus Perubahan Sikap/ Motivasi/Pembangunan Insan meliputi RM 2,000 bagi setiap peserta.

MRSM Besut dan Dungun yang telah ditutup oleh pentadbiran terdahulu telah dibuka semula untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar yang berpotensi mendapatkan mutu pendidikan yang lebih baik.

Kerajaan juga telah berjaya meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti kursus latihan di Terengganu Advanve Technical Institute (TATI) yang merosot 10% pada tahun 2000 kepada 114% pada tahun 2004. Selain itu bagi meningkatkan mutu pengajaran, seramai 30 orang guru melalui program Schoolwide Enrichment Model (SEM) telah dihantar ke Amerika Syarikat bagi mempelajari teknik ‘belajar itu menyeronokkan’.

Kerajaan juga telah bersungguh-sungguh untuk meningkatkan taraf pendudukan dengan mewujudkan 4 buah universiti di Terengganu. Empat buah universiti tersebut ialah :-
1. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
2. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
3. Universiti Teknologi MARA Kampus Bukit Besi (UiTM)
4. Kolej Universiti TATI

Terengganu juga telah diberi bantuan tambahan kepada dua buah sekolah elit iaitu SMK Lembah Bidong dan SMK Mak Lagam. Sekolah-sekolah ini akan mendapat tambahan peruntukan sebanyak RM8 juta.

Terletak di Kolej Seri Iman, Kuala Terengganu, sebuah Pusat bahasa telah dibangunkan iaitu Pusat Bahasa Terengganu. Pusta ini dibina bagi memastikan rakyat Terengganu berpeluang mempelajari pelbagai jenis bahasa perantaraan global seperti Bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Itali dan Perancis.


MENAIKKAN TARAF EKONOMI

Bantuan dalam bentuk pembiayaan projek individu dan berkelompok juga telah diusahakan oleh pihak kerajaan dalam rancangannya membasmi kemiskinan tegar di Terengganu. Pemohon berpeluang mendapat bantuan maksimum sebanyak RM 10,000 bagi menjayakan projek mereka. Skop atau jenis projek merangkumi projek yang berasas sumber asas tani, projek peniagaan kecil-kecilan dan projek yang berasaskan aktiviti perkhidmatan.

MENAIKKAN KUALITI MODAL INSAN

Terengganu juga telah memperkenalkan e-FARM yang merupakan program pembangunan tenaga manusia. Program ini disediakan khusus bagi graduan menganggur untuk mendapat peluang pekerjaan secara kontrak dengan Syarikat Kerjasama Kerajaan Negeri Multimedia Synergy Corporation.

Bagi meningkatkan tahap kemahiran golongan yang telah bekerja, satu program latihan belajar sambil bekerja turut diperkenalkan kerajaan di Terengganu yang diberi nama T-Gas. Program ini memberi bantuan kewangan dan pelajar yang terpilih akan melanjutkan kursus mereka ke Arab Saudi.

Sebuah pusat latihan Teknikal Avionik telah dibina di Wakaf Tapai Marang. Pusat ini bermatlamat melatih pekerja mahir dalam bidang aeroangkasa, pembangunan teknologi Avionik dan memberi pendedahan kepada pelatih dalam industri berteknologi tinggi.

Selain itu juga pegawai kerajaan juga didedahkan dengan pelbagai kursus bagi melengkapkan diri dengan ilmu yang mencukupi bagi menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kepada rakyat Terengganu. Antara langkah yang diambil bagi membentuk pekerja yang lebih baik ialah mewajibkan mereka berkursus minimum 8 hari setahun, memperkenalkan SMS dalam pentadbiran, Budaya Kerja 24x7, memberi elaun lebih masa, menghapuskan portfolio pentadbiran awam dan memperkenalkan Training, Empowerment/Enrichment, Reward dan Shoot (TERs) iaitu latihan pengurusan sumber manusia.fff

Kemerdekaan di bawah Kepimpinan Perdana Menteri

kemerdekaan membawa maksud bebas iaitu bebas daripada kongkongan atau cengkaman penjajah. Dalam meniti usia kemerdekaan yang 52 tahun, banyak usaha telah dijalankan agar rakyat mampu hidup dalam suasana yang aman dan makmur. Malaysia bertuah kerana sejak rakyat negara ini mengecap kemerdekaan, kita memiliki pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan berkaliber untuk membawa Malaysia terus gah di mata dunia. Di bawah kepimpinan 6 orang Perdana Menteri, Malaysia telah berjaya membuka mata dunia dengan pelbagai kejayaan yang dikecap walaupun banyak cabaran yang mendatang.

Tunku Abdul Rahman
Terkenal sebagai Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman merupakan individu yang bertanggungjawab merealisasikan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia. Tunku juga telah merancang pembangunan negara dengan memperkenalkan Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961-1965). Ekoran pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Rancangan Malaya telah diubah nama kepada Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Tunku juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang berjuang dalam pembangunan Islam di Malaysia, idealis kebebasan dan demokrasi, pejuang kemanusiaan, sukan dan rekreasi dan juga seni dan budaya.

Tun Abdul Razak
Tun Abdul Razak merupakan satu nama besar dalam sejarah pembangunan negara sehingga diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan. Dengan kebijaksanaannya, beliau telah berjaya memulihkan keamanan Malaysia dengan usaha pembangunan yang menyeluruh dan mengambil kira struktur masyarakat yang berbilang kaum. Beliau telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (1971), Program Buku Hijau (1974), penubuhan PETRONAS (1974) dan semasa kepimpinannya Malaysia berada dalam rancangan Malaysia Kedua (1970-1975). Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Rukun Negara sebagai usaha menyatupadukan penduduk Malaysia di bawah satu prinsip yang dipegang bersama. Sumbangan lain yang tidak kurang pentingnya ialah merombak sistem pendidikan dan menjana pembangunan ekonomi terutamanya kepada penduduk luar bandar melalui pengenalan FELDA dan FELCRA.

Tun Hussein Onn
Tun Hussein Onn merupakan pemimpin yang amat menekankan isu-isu perpaduan dalam mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum. Bapa Perpaduan ini telah menggunakan elemen Bahasa Melayu sebagai aset perpaduan tanpa mengira kaum dan agama. Beliau telah meneruskan perjuangan dari sudut pembangunan dengan memperkenalkan beberapa agensi seperti Lembaga Pembangunan Bandar (UDA), Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Institut Pentadbiran Awam Negara (INTAN), Amanah Saham Nasional dan rancangan pembangunan Malaysia ketika di bawah pimpinannya ialah Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980).

Tun Dr. Mahathir Mohamad
Anak kelahiran Alor Setar Kedah ini merupakan Perdana Menteri paling lama mentadbir negara. Jadi tidak hairanlah kalau banyak pembangunan yang diusahakannya dan layaklah beliau digelar sebagai Bapa Pemodenan. Tun Dr. Mahathir bertanggungjawab membangunkan negara Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985) sehingga Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005). Beliau juga telah memperkenalkan pelbagai dasar seperti Dasar Pandang Ke timur (1982), Dasar 70 Juta Penduduk (1982), dan Dasar Penswastaan (1883). Di bawah pimpinan beliau, Malaysia gah di mata dunia dengan pelancaran kereta nasional pertama (1985), pelancaran sistem satelit MEASAT (1996), pembinaan Menara Kuala Lumpur (1996), Menara Berkembar Petronas (1996), KLIA (1998), dan pelancaran mikrosatelit TIUNGSAT 1 (2000). Pusat pentadbiran kerajaan di Kuala Lumpur juga telah berpindah ke Putrajaya pada 1999. Terlalu banyak jasa beliau yang boleh digalurkan namun buah tangan yang masih menjadi matlamat negara sehingga ke hari ini ialah Wawasan 2020 yang menjadi matlamat seluruh rakyat Malaysia untuk melihat negara menjadi sebuah negara yang maju.

Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
Tun Abdullah merupakan seorang pemimpin yang terkenal dengan sikap mesra dan lemah lembut. Di bawah pimpinannya, Malaysia berada di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (2005-2009). Beliau telah memperkenalkan rancangan pembangunan mengikut wilayah iaitu Wilayah pembangunan Iskandar (WPI) di selatan, Wilayah Pembangunan Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Timur (ECER), Wilayah Pembangunan Sabah (SDC) dan Wilayah Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE). Tun Abdullah juga telah memperkenalkan Islam Hadhari, Pelan Integriti Nasional (PIN), Modal Insan Kelas Pertama, memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan di bawah pimpinannya, rakyat Malaysia pertama telah berada di angkasa lepas iaitu Sheikh Muszafar yang dinobatkan sebagai angkasawan pertama rakyat Malaysia (2007).

Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Sebagai pemimpin nombor satu Malaysia yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, pencapaian Dato’ Sri Mohd Najib boleh dilihat melalui pengenalan konsep 1Malaysia. Konsep yang menyeluruh ini amat relevan dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia. Di samping itu, dalam masa yang singkat ini, beliau mampu memperkenalkan beberapa pembaharuan dalam pimpinannya iaitu dengan memperkenalkan liberalisasi sektor kewangan dan liberalisasi sektor perkhidmatan.

PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA MALAYSIA

PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Malaysia juga dikenali dengan nama Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957. Perlembagaan Malaysia telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Konsep ketinggian Perlembagaan adalah seperti berikut :-
• Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi;
• Menjadi punca kepada semua undang-undang;
• Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan;
• Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan;
• Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan; dan
• Walaupun Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara tetapi Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan.

Perlembagaan dibentuk dengan tujuan berikut iaitu:-
• Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil;
• Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah;
• Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat;
• Alat untuk menyelesaikan masalah;
• Menjamin riwayat negara bangsa; dan
• Menjamin keamanan dan kestabilan negara.

Perlembagaan Malaysia mengandungi 131 Perkara yang menyentuh pelbagai aspek pemerintahan. Perlembagaan juga mengandungi 16 Bahagian. Bahagian-bahagian tersebut ialah :-

Bahagian 1 : Negeri-Negeri, Agama Dan Undang-Undang Bagi Persekutuan
Negara kita adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.

Bahagian II : Kebebasan Asasi
Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak; kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta.

Bahagian III : Kewarganegaraan
Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara; dilahirkan di sini; berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia; tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan. Bahagian III juga menyatakan bagaimana kita boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.

Bahagian IV : Persekutuan
Bahagian ini mewujudkan sistem kerajaan kita. Ketua utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bahagian V : Negeri-Negeri
Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan mereka.

Bahagian VI : Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri
Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara yang membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.

Bahagian VII : Peruntukan Kewangan
Bahagian VII menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.

Bahagian VIII : Pilihan Raya
Bahagian VIII menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai “Suruhanjaya Pilihanraya”. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bahagian IX : Badan Kehakiman
Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.

Bahagian X : Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam
Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah pasukan polis, angkatan tentera dan perkhidmatan pelajaran. Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya–suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bahagian X juga mewujudkan Pejabat Peguam Negara.

Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.

Bahagian XIII : Am Dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak dan memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.

Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak.
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak.


Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan

Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.

Bahagian XIV: Kecualian Bagi Kedaulatan, dsb., & Raja-Raja
Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara dalam Bahagian XIV.

Bahagian XV: Prosiding Terhadap Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja.
Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ”.


SISTEM PEMERINTAHAN NEGERA MALAYSIA

Dalam sistem pemerintahan Malaysia, terdapat tiga buah badan utama iaitu :-
• Badan Perundangan (Legislative). Badan ini hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak boleh mempunyai kuasa lain;
• Badan Pemerintah (Executive). Badan ini hanya menjalankan kuasa eksekutif dan tidak boleh membuat undang-undang dan penghakiman; dan
• Badan Kehakiman (Judicial). Badan ini hanya menjalankan penghakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif.

Ketiga-tiga badan ini mempunyai kuasa, bidang tugas dan peranan masing-masing. Namun begitu, Badan Perundangan dan Badan Pemerintah saling berkait antara satu sama lain kerana Malaysia mengamalkan sistem kerajaan di mana ahli-ahli Badan Perundangan adalah juga Badan Pemerintah. Contohnya Jemaah menteri adalah bertanggungjawab kepada Badan Perundangan (Parlimen Malaysia). Badan kehakiman sahaja merupakan sebuah badan berasingan dan bebas dari politik, bagi menjamin keadilan di negara ini.

Badan Perundangan (Legislative)
Badan Perundangan (Parlimen Malaysia) memiliki kuasa menggubal undang-undang persekutuan dan juga negeri-negeri di dalamnya. Parlimen terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen adalah badan kuasa perundangan untuk persekutuan yang membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh persekutuan. Parlimen juga mengawal kewangan kerajaan. Cukai-cukai dan kadar-kadar persekutuan boleh dinaikkan hanya dengan kuat kuasa Parlimen seperti yang dinyatakan dalam undang-undang persekutuan. Semua hasil yang diperoleh hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Persekutuan Yang Disatukan dan semua wang hanya dapat dibelanjakan dengan kuat kuasa Parlimen. Parti yang memenangi kerusi majoriti di dalam pilihan raya umum dan dapat menguasai penyokong majoriti di Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan. Pemimpin parti majoriti yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara yang mengambil keutamaan mengatasi semua orang dalam persekutuan dan tidak boleh dikenakan dakwaan dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong akan memegang jawatannya selama lima tahun kecuali baginda meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatannya oleh Raja-Raja Melayu.

Sebagai ketua utama negara, baginda mempunyai kuasa eksekutif. Baginda berkuasa memanggil, membatalkan dan membubarkan Parlimen. Dalam melaksanakan kuasanya, baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan tiga perkara mengikut budi bicaranya sendiri iaitu melantik Perdana Menteri, tidak mempersetujui pembubaran Parlimen dan meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Baginda juga mempunyai kuasa pengampunan semua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan juga kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Baginda merupakan Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain daripada memegang tampuk tertinggi dalam Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menentukan rizab orang Melayu dan bumiputera, jawatan perkhidmatan, biasiswa, bantuan keistimewaan pendidikan atau latihan, kadar permit atau lesen dan juga mengisytiharkan darurat.

Dewan Negara
Dewan Negara adalah Majlis Tertinggi atau Senat yang berperanan membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih halus dan terperinci. Ia juga bertanggungjawab membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum. Mengikut Perkara 68, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, Dewan Negara boleh menangguhkan sesuatu rang undang-undang itu.

Dewan Negara mempunyai 70 orang ahli yang mana 44 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada warganegara yang pada pendapat baginda “telah berbakti dengan cemerlangnya atau telah mencapai taraf gemilang dalam perkhidmatan awam, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan, perkhidmatan masyarakat atau wakil-wakil kaum yang terkecil bilangannya atau yang boleh mewakili kepentingan Orang Asli”. Wilayah Persekutuan dianggotai oleh empat orang ahli iaitu dua orang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 26 orang lagi dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dari 13 buah negeri di Malaysia, iaitu tiap-tiap sebuah negeri mengemukakan dua orang Senator.

Seorang Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya dipilih terlebih dahulu bagi mengendalikan Persidangan Dewan dari kalangan ahli-ahli sendiri. Keanggotaan Dewan ini dihadkan kepada warganegara yang telah berumur 30 tahun ke atas. Tempoh jawatan seseorang Ahli Dewan Negara ialah 3 tahun dan Ahli Dewan Negara boleh dilantik untuk kali kedua dan memegang jawatan Senator bagi tempoh 3 tahun lagi. Hanya dua penggal sahaja dibenarkan bagi setiap Senator memegang jawatannya. Tempoh Dewan Negara ini tidaklah terjejas dengan pembubaran Parlimen. Parlimen diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk mengubah kedudukan ahli Dewan Negara, seperti menambah bilangan ahli-ahli dewan yang dipilih oleh Dewan Negeri menjadi tiga orang, memperuntukkan supaya ahli-ahli Dewan Negara itu dipilih oleh pengundi-pengundi, atau mengurangkan jumlah ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik.

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah dipilih secara langsung oleh rakyat keseluruhannya dalam pilihan raya umum. Yang di-Pertua dan Timbalannya dipilih oleh Dewan Rakyat. Namun demikian, terdapat pula satu syarat dalam perlembagaan yang membolehkan Yang di-Pertua dipilih dari luar Dewan Rakyat. Orang yang dipilih seperti ini dianggap sebagai ahli tambahan Dewan dan satu tambahan kepada ahli yang dipilih. Keanggotaan Dewan Rakyat dihadkan kepada warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan ia tidak boleh menjadi ahli Dewan Negara. Tempoh Dewan ini ialah lima tahun. Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa, menurut kebijaksanaannya, untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh tersebut iaitu setelah memperoleh nasihat dari Perdana Menteri.

Ahli Dewan Rakyat pada masa ini ialah 222 orang yang mewakili semua kawasan Pilihan Raya di seluruh Malaysia. Pecahan kerusi Dewan Rakyat adalah sebanyak 153 kerusi untuk Negeri-negeri Semenanjung, 25 kerusi untuk Sabah dan 31 kerusi untuk Sarawak, Sementara Wilayah Persekutuan pula memperoleh sebanyak 13 kerusi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kerusi), Wilayah Persekutuan Labuan (1 kerusi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 kerusi).


Badan Pemerintah / Kuasa Eksekutif

Badan pemerintah atau eksekutif merupakan badan yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan dan undang-undang. Mengikut Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan, kuasa memerintah Persekutuan Malaysia adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa ini boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang lain.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Ketua Utama Negara. Apabila berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong disebabkan tidak berupaya menjalankan tugas kerana sakit, tidak berada dalam Persekutuan Malaysia lebih daripada 15 hari atau kerana sebab-sebab lain maka Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja
Majlis Raja-Raja mengandungi semua Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Tugas majlis ini seperti yang tercatat dalam Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan ialah:-

• Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Jemaah Menteri
Jemaah Menteri merupakan badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik barisan Jemaah Menteri untuk menasihatkannya dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut:
a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang daripada ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri untuk mengetahui Jemaah Menteri; dan
b) Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain di antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen.

Badan Kehakiman / Judicial
Badan Kehakiman merupakan badan ketiga dalam sistem kerajaan Malaysia. Kuasa kehakiman ini terletak pada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Kuasa Kehakiman juga terletak pada Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa tertentu seperti yang termaktub dalam Perkara 126, 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi Badan Kehakiman
Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah-mahkamah seperti Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi terdiri daripada dua buah, iaitu Mahkamah Tinggi Malaya – sebuah bagi Semenanjung Malaysia dan sebuah lagi bagi Sabah dan Sarawak (yang dahulunya dinamakan Borneo). Mahkamah Rendah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terdiri daripada Mahkamah Seksyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu di (Semenanjung) manakala, Mahkamah Adat/Negeri di (Sabah dan Sarawak). Di samping itu, terdapat juga Mahkamah Juvana bagi membicarakan kanak-kanak dan mereka yang di bawah umur 18 tahun. Fungsi-fungsi ini dijalankan mengikut kuasa-kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah-mahkamah tersebut.

Pelantikan Hakim
Ketua Hakim Negara, Kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak serta Hakim-hakim Besar Mahkamah Persekutuan dan Hakim-hakim lain Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Bilangan hakim di negara ini ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan meskipun keanggotaan mereka boleh diubah atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Komponen-komponen utama dalam jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah seperti berikut :
A) Badan-badan kerajaan
Badan-badan kerajaan ini terdiri daripada :
i) Badan-badan yang ditubuhkan di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri. Komponen-komponen yang terdapat di bawahnya ialah Majlis-Majlis, Suruhanjaya-Suruhanjaya dan Jabatan Audit.
ii) Badan-badan yang ditubuhkan di bawah kuasa kerajaan dan pihak pentadbir. Komponen-komponen yang terdapat di bawahnya ialah Kementerian-kementerian, Jabatan-jabatan, Perbadanan Awam, Majlis-Majlis dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kabinet.

B) Ahli-ahli politik yang memegang jawatan awam dan perjawatan dalam sektor awam.

Kabinet
Kabinet adalah sebuah badan yang melaksanakan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong. Dasar atau polisi Kabinet adalah tugas yang dilaksanakan oleh jentera pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan atau kerajaan pusat. Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-menteri yang memegang portfolio-portfolio tertentu.

Majlis-Majlis
Terdapat dua bentuk Majlis dalam sistem Kerajaan persekutuan iaitu Majlis Perundangan dan Majlis yang ditubuhkan oleh Kerajaan yang bertujuan untuk menyelaras urusan pentadbiran negara. Majlis Perundangan terdiri daripada Majlis Tanah Negara, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Angkatan Tentera. Majlis yang ditubuhkan oleh Kerajaan bagi melicinkan perjalanan jentera pentadbiran ialah Majlis Tindakan Negara, Majlis Ekonomi Negara, dan Majlis Keselamatan Negara.

Kementerian
Kementerian merupakan sebuah badan kerajaan yang tertinggi di dalam sistem jentera pentadbiran kerajaan persekutuan. Kementerian bertanggungjawab bagi membentuk dasar, merancang, mengawal dan menyelaras perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang tugas sesebuah kementerian. Sesebuah kementerian itu dipertanggungjawabkan kepada seorang Menteri yang memegang sesuatu portfolio, dan beliau dibantu oleh Timbalan Menteri.

Setiap kementerian berfungsi membentuk dasar, merancang, mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan perkara-perkara berkaitan kementerian tersebut. Kementerian juga berfungsi mengawal jabatan-jabatan atau badan-badan berkanun di bawah tanggungjawab kementerian tersebut. Pegawai Tadbir Utama sesebuah kementerian ialah Ketua Setiausaha Kementerian (KSU). Tugas dan tanggungjawab KSU menyentuh perkara-perkara pembentukan dasar, merancang aktiviti, mengawal pelaksanaan aktiviti, menyelaras aktiviti kementerian dan menyelaras kegiatan jabatan atau badan-badanb di bawah kementerian berkenaan. KSU juga berperanan sebagai penasihat kepada Menteri mengenai pentadbiran dan bertanggungjawab penuh kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang merupakan Ketua Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pada 3 April 2009, Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Selaras dengan peralihan kuasa tersebut, pada 9 April 2009, barisan Kabinet yang baru dibentuk. Beberapa rombakan dalam portfolio dibuat dengan tujuan memantapkan lagi pentadbiran kerajaan Malaysia. Kabinet 2009 menyaksikan 25 kementerian diberi tanggungjawab melaksanakan misi negara yang bertemakan 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. 25 kementerian yang dibentuk itu ialah :-
1. Jabatan Perdana Menteri
2. Kementerian Kewangan
3. Kementerian Pelajaran
4. Kementerian Pengangkutan
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
6. Kementerian Dalam Negeri
7. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
8. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
9. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
10. Kementerian Pengajian Tinggi
11. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
12. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
13. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
14. Kementerian Pelancongan
15. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
16. Kementerian Pertahanan
17. Kementerian Kerja Raya
18. Kementerian Kesihatan
19. Kementerian Belia dan Sukan
20. Kementerian Sumber Manusia
21. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
22. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
23. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
24. Kementerian Luar Negeri
25. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

Suruhanjaya-Suruhanjaya
Perlembagaan Persekutuan membenarkan dua jenis suruhanjaya tetap iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan. Kerajaan juga memberi kebenaran untuk menubuhkan Suruhanjaya Khas yang bersifat sementara bagi mengkaji perkara-perkara atau masalah tertentu. Dalam struktur pentadbiran kerajaan, suruhanjaya berbeza dari komponen yang lain dari segi kebebasan untuk menjalankan tugas. Pelantikan ahli-ahlinya adalah pelantikan khas yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas pertimbangan dan nasihat Perdana Menteri dan juga setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Bagi Suruhanjaya Tetap, tempoh lantikan adalah lima tahun atau mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat persekutuan, terdapat empat buah suruhanjaya yang ditubuhkan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Dan Undang-Undang.

Jabatan
Jabatan kerajaan adalah agensi peringkat perlaksanaan yang kedua tertinggi selepas kementerian. Pembentukannya telah wujud ketika zaman penjajahan British. Semasa British memerintah negeri-negeri di Tanah Melayu, jabatan-jabatan kerajaan ditubuhkan bertujuan melaksanakan aktiviti-aktiviti bawah sesebuah kementerian. Fungsi jabatan adalah berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Aktiviti harian jabatan kerajaan melibatkan pemberian khidmat kepada masyarakat secara langsung dalam pelbagai bidang. Setiap jabatan kerajaan mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ibu pejabat, jabatan berfungsi menggubal dasar-dasar, merancang, mengawas dan menyelaras aktiviti-aktiviti jabatan di peringkat negeri dan daerah juga bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan kemajuan kerjaya pegawai dan kakitangan jabatan masing-masing.

Sesebuah jabatan kerajaan diketuai oleh seorang pegawai tadbir utama iaitu Ketua Pengarah Jabatan dan nama jawatan ini disesuaikan mengikut nama jabatan-jabatan yang berkenaan. Berdasarkan kepada fungsi jabatan sebagai agen pelaksana dasar kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan dan kriteria tertentu. Di peringkat pengurusan jawatan-jawatan diisi oleh pegawai dari perkhidmatan kumpulan iktisad, manakala jawatan-jawatan lain diisi oleh mereka yang mempunyai pengkhususan tersendiri.

Perbadanan Awam
Selain dari jabatan, kerajaan juga menubuhkan perbadanan-perbadanan awam. Perbadanan-perbadanan ini ditubuhkan dengan tujuan mengambil alih beberapa bidang tugas dan tanggungjawab yang pernah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan kerajaan. Penubuhan perbadanan ini memberi kesan yang baik dengan mencantumkan faedah-faedah yang terdapat daripada kerajaan dengan faedah-faedah yang boleh diperoleh daripada syarikat swasta. Setiap perbadanan awam mempunyai pegawai-pegawainya sendiri. Pegawai Tadbir Utama dalam perbadanan awam dipanggil “Pengurus Besar”. Pengurus Besar bertanggungjawab mengurus dan mentadbirkan perbadanan awam mengikut objektif-objektif korporatnya. Untuk melicinkan sistem pentadbiran, sesebuah perbadanan mempunyai bahagian-bahagian tertentu berdasarkan kepada bidang tugas masing-masing. Setiap perbadanan mempunyai Lembaga Pengarah masing-masing. Bagi badan-badan berkanun, Ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap badan tersebut. Perbadanan awam terbahagi kepada dua iaitu badan-badan berkanun dan badan-badan bukan berkanun.
• Badan Berkanun
Badan-badan berkanun merupakan agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan mengikut akta-akta tertentu seperti Akta Parlimen atau Enakmen Negeri bagi tujuan melaksanakan tugas-tugas khusus sejajar dengan objektif dan matlamat negara.

• Badan-Badan Bukan Berkanun
Badan-badan bukan berkanun adalah badan-badan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat. Badan-badan bukan berkanun mempunyai kebebasan yang lebih luas sebab badan ini tidak tertakluk kepada langkah-langkah pengawalan kerajaan seperti yang dikenakan ke atas badan-badan berkanun. Tambahan lagi badan-badan bukan berkanun bebas mengadakan skim perjawatan masing-masing. Walau bagaimanapun, suatu aktiviti perbadanan hendaklah selaras dengan peruntukan undang-undang atau akta-akta penubuhannya.

PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI
Setiap negeri dalam Malaysia mempunyai jentera pentadbiran sendiri. Sistem dan struktur pentadbiran adalah sama di seluruh Semenanjung kecuali Sabah dan Sarawak. Di bawah kuasa kerajaan negeri, terdapat kerajaan tempatan atau daerah.

Raja/Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri
Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah institusi penting dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri. Raja-raja yang memerintah Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu dikenali sebagai Sultan manakala Perlis dikenali sebagai Raja dan di Negeri Sembilan sebagai Yang Di-Pertuan Besar. Seseorang raja diwarisi secara turun-temurun dan ditentukan oleh adat yang berbeza bagi setiap negeri. Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak diperintah oleh Yang Di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Seseorang Raja menjalankan tugas berikut :
• Melantik seorang Menteri Besar.
• Tidak mempersetujui permintaan membubarkan Dewan Undangan Negeri.
• Meminta mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja tentang keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja atau hal ehwal Islam.
• Melaksanakan tugas sebagai Ketua Agama Islam atau tugas yang berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu.
• Melantik waris Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja.
• Melantik penerima pingat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan tugas-tugas yang berkenaan dengannya.
• Membuat peraturan mengenai balai-balai diraja atau istana.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Di Semenanjung Malaysia, kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) atau EXCO atas nama Raja atau Yang Di-Pertua Negeri. Di Sarawak badan ini dikenali sebagai Majlis Tertinggi dan di Sabah dikenali sebagai Kabinet. MMK diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik oleh Sultan atau Raja atau Yang Di-Pertua Negeri dalam kalangan Ahli Dewan Negeri yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan tersebut. MMK dianggotai oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dipilih dan tiga orang Pegawai Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri, dan Penasihat Undang-Undang Negeri. Bilangan DUN yang menganggotai EXCO berbeza antara negeri mengikut Perlembagaan Negeri masing-masing.

Dewan Undangan Negeri
Kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah meluluskan undang-undang dan dipersetujui oleh Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri. Seksyen 4, Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan Dewan Undangan Negeri mesti mengandungi sebilangan ahli yang dipilih melalui pilihan raya. Peranan Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri adalah sebagai pihak berkuasa perundangan hanya akan hadir pada masa-masa khas seperti pembukaan Dewan Undangan Negeri. Tugas utama Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri adalah untuk memanggil DUN bermesyuarat, memberhentikan dan membubarkan DUN. Seseorang itu tidak boleh menjadi ahli DUN bagi lebih daripada satu bahagian pilihan raya pada satu masa. DUN akan berjalan selama lima tahun dari mesyuarat pertamanya. Apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya peringkat negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari di Semenanjung dan 90 hari di Sabah dan Sarawak.


Jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri
Bagi melancarkan pentadbiran, sesebuah negeri dibahagi kepada beberapa buah daerah. Daerah-daerah ini pula dibahagi kepada mukim-mukim. Di Sarawak, sebelum dibahagi kepada daerah, Sarawak dibahagi dahulu mengikut bahagian. Ketua Bahagian dipanggil Residen dan Ketua Daerah dipanggil Pegawai Daerah. Di Sabah pula, negeri dibahagi kepada beberapa residensi dan setiap residensi dibahagi pula kepada daerah. Bagi Negeri-Negeri Tidak Bersekutu, jawatan Pegawai Daerah dan penolongnya dipenuhi oleh pegawai-pegawai negeri manakala bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, jawatan tersebut dipenuhi oleh pegawai-pegawai Persekutuan.

Jabatan
Jabatan-jabatan yang terdapat di peringkat negeri dibahagikan kepada dua jenis, iaitu jabatan negeri dan cawangan jabatan persekutuan. Jabatan-jabatan negeri pula dibahagikan kepada dua jenis iaitu, jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri dan jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan.

• Jabatan Negeri Di Semenanjung Malaysia
Jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri merupakan jabatan yang menjalankan pentadbiran negeri. Jabatan-jabatan penting yang termasuk dalam golongan ini termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

• Jabatan Negeri Di Sabah dan Sarawak
Sabah dan Sarawak mempunyai bilangan jabatan yang lebih banyak kerana Perjanjian Malaysia 1963 telah memberi kuasa yang lebih kepada kedua-dua negeri itu berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Namun, menerusi proses penyatuan, kebanyakan jabatan-jabatan itu telah beransur-ansur diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Jabatan-jabatan utama negeri yang kekal di bawah tanggungjawab kerajaan negeri adalah sama seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Perbezaan yang ada ialah jabatan utama negeri Sabah dikenali sebagai Jabatan Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Sarawak tidak bertanggungjawab secara langsung terhadap hal-hal perkhidmatan awam negeri seperti yang terdapat pada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Semenanjung. Di Sarawak pula tugas itu dijalankan oleh Pejabat Perjawatan Negeri.

• Cawangan Jabatan Persekutuan
Cawangan-cawangan jabatan persekutuan seperti Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Imigresen Negeri bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan, tetapi tertakluk kepada usaha penyelarasan yang dilakukan oleh pentadbiran negeri. Untuk memenuhi keperluan negeri, ketua-ketua cawangan itu boleh dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa-jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Negeri di samping menjadi ahli dalam Jawatankuasa Pembangunan Negeri dan jawatankuasa negeri yang lain. Kedudukan cawangan jabatan persekutuan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah sama dengan kedudukan di Sabah dan Sarawak.

Suruhanjaya Negeri
Sama seperti kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga boleh menubuhkan suruhanjaya-suruhanjaya yang berbentuk tetap atau khas. Pelantikan ahli-ahli suruhanjaya dilakukan oleh Raja atau Yang Di-Pertua Negeri atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri. Semua negeri kecuali Negeri Sembilan, Perlis, Melaka dan Pulau Pinang mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri yang bertanggungjawab tentang pelantikan jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pelantikan ke jawatan-jawatan negeri dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Perkhidmatan Awam Negeri
Setiap negeri mempunyai perkhidmatan awamnya sendiri. Bagi negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, perkhidmatan awam negeri meliputi semua jawatan. Bagi negeri-negeri selainnya, jawatan-jawatan tadbir diisi oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau Perkhidmatan Tadbir Am (PTA). Pegawai-pegawai ini dipinjamkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Pejabat Setiausaha Persekutuan Dan Pejabat Kewangan Persekutuan
Khusus bagi negeri Sarawak dan Sabah, kerajaan telah mewujudkan semula jawatan Setiausaha Persekutuan di samping jawatan Pegawai Kewangan Persekutuan yang sedia ada. Tugas utama Pejabat Setiausaha Persekutuan ialah untuk menyelaras dan menjalankan pentadbiran aktiviti jabatan-jabatan dan perbadanan awam persekutuan di negeri berkenaan. Pejabat ini juga bertanggungjawab untuk mengeratkan perhubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Pejabat Kewangan Persekutuan bertanggungjawab kepada Kementerian Kewangan Persekutuan dalam menjalankan tugas-tugas kewangan seperti memeriksa anggaran belanjawan agensi-agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak. Tujuan penubuhannya ialah untuk mempercepatkan proses membuat keputusan.

Perbadanan Awam Negeri
Kerajaan-kerajaan negeri mempunyai perbadanan-perbadanan awam yang merangkumi badan-badan berkanun dan badan tidak berkanun yang merupakan syarikat kepunyaan kerajaan negeri. Perhubungan badan-badan ini dengan kerajaan negeri dan agensi-agensi utama negeri adalah lebih kurang sama dengan perhubungan di antara perbadanan-perbadanan awam persekutuan dengan kerajaan persekutuan dan agensi-agensi pusat. Perbadanan-perbadanan awam yang lain yang terdapat di peringkat negeri merupakan cawangan-cawangan perbadanan awam persekutuan. Sama seperti cawangan jabatan persekutuan, perbadanan ini bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan tetapi tertakluk kepada usaha penyelarasan pentadbiran negeri.

Peringkat Pentadbiran Negeri
Pentadbiran setiap negeri di Semenanjung Malaysia dijalankan menerusi pelbagai peringkat. Peringkat-peringkat tersebut ialah :-

Daerah
Pembahagian negeri mengikut daerah atau jajahan yang dimulakan oleh pihak Inggeris terdapat hingga sekarang. Kebanyakan projek-projek yang dirancang di peringkat persekutuan dan negeri dilaksanakan di peringkat daerah. Pejabat daerah dan tanah yang diketuai oleh Pegawai Daerah merupakan pejabat utama di peringkat ini. Bidang tanggungjawabnya adalah berkaitan dengan pentadbiran tanah, pentadbiran Majlis Daerah dan pengurusan aktiviti-aktiviti pembangunan di samping menyelaraskan kegiatan semua cawangan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di peringkat daerah. Kebanyakan agensi negeri dan persekutuan mempunyai cawangan mereka di peringkat ini.


Mukim
Sesebuah daerah dipecahkan kepada beberapa mukim dan terdapat sebuah pejabat kerajaan yang diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali sebagai “Penghulu” (Penggawa di Kelantan). Di peringkat ini hanya beberapa jabatan dan perbadanan awam sahaja yang mempunyai cawangan masing-masing. Peranan utama seorang Penghulu ialah untuk membantu Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi-agensi kerajaan lain menjalankan program dan projek pembangunan serta menyelaraskan kegiatan-kegiatan di kampung-kampung di bawah jagaannya. Pada satu masa dahulu, jawatan Penghulu diwarisi mengikut keturunan atau dilantik dari kalangan penduduk tempatan yang mempunyai pengaruh yang luas. Pada masa sekarang penghulu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri berasaskan kepada kebolehan dan kelulusan akademik. Oleh itu, mereka juga merupakan sebahagian dari pegawai awam.


Kampung

Peringkat pentadbiran yang paling rendah sekali ialah peringkat kampung yang diketuai oleh seorang “Ketua Kampung” (Penghulu di Kelantan) yang dilantik oleh kerajaan negeri. Ketua Kampung hanya diberi elaun dan mereka bukanlah sebahagian daripada pegawai awam. Ketua Kampung juga merupakan wakil kerajaan negeri dan penduduk kampungnya. Ketua Kampung berperanan membantu melaksanakan projek pembangunan Kerajaan. Peringkat kampung dapat dianggap sebagai satu peringkat pentadbiran sebab Ketua Kampung membantu agensi-agensi Kerajaan mengenal pasti tapak yang sesuai bagi sesuatu projek di dalam kampungnya.

Ketua Kampung menjalankan tugasnya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan beliau sendiri. Dalam mesyuarat jawatankuasa itu, Ketua Jabatan Daerah dijemput hadir. Pembentukan JKKK bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mengambil bahagian yang aktif dalam proses perancangan dan pelaksanaan program dan projek pembangunan di kampung mereka. Badan ini juga menyatukan kampung dengan pentadbiran mukim, daerah dan negeri untuk mempercepatkan proses pembangunan dan penyelesaian masalah.

Pentadbiran Negeri Sabah
Pentadbiran Negeri Sabah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu daerah dan kampung. Peringkat daerah diketuai oleh Pegawai Daerah. Selain daripada Penolong Pegawai Daerah, seseorang Pegawai Daerah dibantu oleh seorang Ketua Daerah yang bertanggungjawab terhadap segala aspek pentadbiran yang berkaitan dengan hal-ehwal suku-suku kaum di daerah berkenaan. Setiap suku kaum di sesebuah daerah diketuai oleh Ketua Anak Negeri (Native Chief). Ketua Anak Negeri bertanggungjawab kepada Ketua Daerah. Kesemua mereka ini merupakan sebahagian dari pegawai awam. Sama seperti keadaan di Semenanjung Malaysia, setiap Kampung diketuai oleh Ketua Kampung yang bukan merupakan pegawai awam.

Pentadbiran Negeri Sarawak
Pentadbiran Negeri Sarawak pula dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu: bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung.

Bahagian
Negeri Sarawak dibahagikan kepada tujuh bahagian yang setiap satunya diketuai oleh seorang ‘Residen’ sebagai Ketua Pentadbir Bahagian. Pembahagian negeri mengikut bahagian hanya diadakan di Negeri Sarawak disebabkan kawasan negerinya yang luas. Setiap bahagian mempunyai beberapa orang ‘Temenggung” yang merupakan ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan berasaskan golongan kaum.

Daerah
Setiap bahagian dibahagikan pula kepada beberapa daerah yang setiap satunya diketuai oleh Pegawai Daerah. Ketua masyarakat digelar ‘Pemanca’ yang bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah dan Temenggung.

Daerah Kecil
Di dalam sesebuah daerah terdapat pula daerah kecil yang diketuai oleh pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Sarawak.

Kampung
Setiap kampung di Sarawak diketuai oleh seorang ‘Penghulu’ yang dilantik oleh kerajaan. Sebelum gelaran ‘Penghulu’ digunakan, Ketua Rumah Panjang digelar ‘Tuai Rumah’.

Sistem Perancangan dan Pelaksanaan Di Peringkat Negeri
Sistem perancangan dan pelaksanaan di peringkat negeri juga serupa dengan sistem yang terdapat di peringkat persekutuan serta melibatkan dasar, perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan penilaian. Adalah menjadi kebiasaan bahawa pihak negeri mengambil kira dasar-dasar yang wujud di peringkat persekutuan sebelum sesuatu dasar negeri dibentuk. Pembentukan dasar-dasar awam negeri dilakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang para anggotanya terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta dibantu oleh beberapa orang pegawai kanan kerajaan, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri. Namun begitu sebelum sesuatu dasar itu dibentuk, kerajaan negeri juga menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu untuk mengkaji sesuatu dasar sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jentera Pentadbiran di Peringkat Kerajaan Tempatan
Sebelum penyusunan semula kerajaan tempatan, wujud enam jenis penguasa tempatan di negara ini iaitu:-
1) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
2) Majlis Perbandaran
3) Majlis Bandaran
4) Lembaga Bandaran
5) Majlis Tempatan
6) Majlis Luar Bandar

Selepas penyusunan semula wujud empat jenis pihak berkuasa tempatan iaitu :-
1) Dewan Bandaraya bagi bandar-bandar besar
2) Majlis Perbandaran bagi bandar-bandar sederhana
3) Majlis Tempatan bagi pekan-pekan dan kampung-kampung baru
4) Majlis Daerah bagi kawasan luar bandar

Kerajaan tempatan dibentuk untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dalam pengurusan kawasan-kawasan yang didiami mereka. Peranannya melibatkan perancangan bandar, kerja raya, kemudahan-kemudahan awam, kesihatan awam dan perumahan awam. Kuasa utama yang terpenting bagi kerajaan tempatan ialah :-
1) Kuasa untuk mengadakan undang-undang kecil
2) Mengutip cukai, kadar sewa dan lain-lain
3) Kuasa untuk mengadakan Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Tempatan yang terletak dalam kawalannya sendiri.

22.7.10

Negeri-Negeri di Malaysia

Malaysia terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia meliputi 13 buah negeri iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Kedah
http://www.kedah.gov.my


Ramai sejarawan menganggap Kedah sebagai negeri yang tertua sekali di Tanah Melayu. Pendapat ini diasaskan kepada penemuan arkeologi yang membuktikan adanya penempatan-penempatan secara teratur semenjak kurun keempat lagi. Terdapat pelbagai sumber yang menceritakan bagaimana nama “Kedah” timbul. Antaranya unsur-unsur Arab dan Parsi yang memperkatakan mengenai Kedah yang disebut sebagai “Kilah” (Ibnu Khurdadhbih 846) atau “Kalah” (Ibnu Muhalhal, 941) atau “Qalha”. Terdapat juga rujukan mengenai Kedah dalam tulisan-tulisan Sanskrit yang menyebut Kedah sebagai “Kataha” atau “Kadara” dan tulisan-tulisan Tamil yang menyebut Kedah sebagai “Kadaram” atau “Kalagam”. “Kadaram” bermakna kuali besar dan “Kalagam” pula bermakna warna hitam. Menurut ahli sejarah, nama Kedah berasal daripada perkataan “Kheddah” yang bermaksud perangkap gajah.

Ada pula pendapat yang menyatakan bahawa nama Kedah berasal daripada perkataan Arab “Kedah” yang bermakna gelas berkaki. Dari unsur-unsur China, iaitu semasa Dinasti Liang (502 - 665) Kedah disebut sebagai “Langgasu” atau “Langa” (atau Langkasuka). Penulis The Study Of Ancient Times in The Malay Peninsula and The Straits of Malacca, Roland Braddell menyatakan Kedah pernah disebut sebagai “Gedda”. Nama itu dikaitkan dengan perkataan Hindustan “Khadar” yang bermaksud tanah yang sesuai untuk tanaman padi.

Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia. Negeri ini bersempadan dengan Thailand dan mempunyai keluasan kira-kira 9,425 km2. Ibu negeri Kedah ialah Alor Setar dan Anak Bukit merupakan Bandar Diraja. Kedah mempunyai 15 kawasan Parlimen, 36 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 12 daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu, Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Yan, Pendang, Bandar Baharu dan Pokok Sena. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 2,000,000 orang.

Kedah menawarkan destinasi pelancongan yang menarik. Salah satu destinasi pelancongan yang patut dikunjungi di negeri ini ialah Pulau Langkawi. Pulau ini terkenal dengan destinasi percutian bebas cukai dan turut memiliki rangkaian pantai yang bersih dan indah. Gunung Jerai pula merupakan gunung yang tertinggi iaitu mencapai 1,217 meter. Selain itu, Kedah turut menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Pulau Payar, Air Terjun Puncak Janing, Air terjun Sedim, Balai Besar, Balai Nobat, Balai Seni Negeri, Batu Hampar, Bukit Kayu Hitam, Bukit Pinang, Junjong, Kota Kuala Kedah, Lata Asam Jawa, Lata Mengkuang, Lembah Bujang, Masjid Zahir, Muzium Negeri, Muzium Padi, Pantai Merdeka, Tasik Pedu, Pekan Rabu, Perangin Sik, Rumah Kelahiran Tun Mahathir, Seri Perigi, dan Makam Diraja.

Pahang
http://www.pahang.gov.my


Negeri Pahang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 35,965 km2 dan terletak di Pantai Timur. Sebahagian besar daripada negeri Pahang diliputi hutan dan menyebabkan sebahagian besar taman negara terletak dalam negeri ini. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 1,543,300 orang. Pada zaman dahulu, Pahang mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong-Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225, Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur. Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu ada menyebut perkataan Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, dan Phang.

G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas’udi berpendapat, semua perkataan tersebut adalah
merujuk kepada Pahang. Warna bendera Pahang ialah hitam dan putih. Warna hitam melambangkan rakyat negeri tersebut manakala warna putih melambangkan Raja. Pahang mempunyai banyak keistimewaan berbanding negeri lain kerana memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu Sungai Pahang, gunung yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Tahan (2,190 meter) dan tasik semula jadi yang terbesar di Malaysia iaitu Tasik Bera. Ibu negeri dan pusat pentadbirannya terletak di Kuantan sementara Pekan adalah Bandar Diraja. Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen, 42 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 11 daerah iaitu Jerantut, Tanah Tinggi Cameron, Temerloh, Raub, Bentong, Rompin, Kuala Lipis, Maran, Pekan, Bera dan Kuantan.

Sebagai destinasi pelancongan, negeri Pahang dianugerahkan dengan keindahan bukit bukau, kampung nelayan yang mengagumkan, pantai yang putih dan juga tasik-tasik yang misteri dan mencabar. Antara destinasi yang menyeronokkan ialah Pantai Cherating, Teluk Chempedak dan Pantai Beserah. Di Pahang juga pelancong boleh melihat keindahan Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Fraser yang merupakan percutian tanah tinggi yang menyamankan. Di samping itu, negeri Pahang turut mempunyai taman-taman hutan yang terpelihara keasliannya seperti Rimba Kenong dan Endau-Rompin.

Kelantan
http://www.kelantan.gov.my


Nama “Kelantan” dikatakan berasal daripada perkataan “gelam hutam”, iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa nama itu berpunca daripada perkataan “kilatan” atau “kolam tanah”. Selain itu negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah. Kelantan mempunyai keluasan 15,104.62 km2 dan terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, serta bersempadan dengan Thailand. Ibu negeri dan Bandar Diraja terletak di Kota Bahru. Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen, 45 kawasan Dewan Undangan Negeri dan terbahagi kepada 10 daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Putih, Bachok, Kota Bharu dan Gua Musang. Bandar-bandar yang lain ialah Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa. Warna bendera Kelantan ialah merah dan putih. Warna merah melambangkan kesetiaan rakyat kepada negeri dan warna putih pula melambangkan kesucian Raja. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 1,634,200 orang.

Kelantan menawarkan destinasi pelancongan yang menarik seperti Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama, Pantai Bisikan Bayu, Pantai Seri Tujuh, Pusat Batik/Songket, Kilang Batik, Bazar Buluh Kubu, Perkampungan Nelayan, Perkampungan Kraf tangan
dan Muzium Kraf, Muzium Islam, Istana Balai Besar, Istana Jahar, Jeram Lenang, Jeram Pasu, kraf tangan perak Kelantan, Lata Beringin, Muzium Diraja, Muzium Negeri, dan Muzium Perang. Kelantan juga menawarkan pengalaman tinggal di kampung, menyusuri sungai, menikmati makanan yang enak-enak seperti kuih akok, lompat tikam, nasi kerabu, keropok dan sebagainya.

Johor
http://www.johordt.gov.my


Perkataan Johor berasal daripada perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan apabila para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”. Johor merupakan negeri paling selatan dan ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia. Johor mempunyai keluasan 18,986.88 km2. Anak bulan dan bintang yang terdapat pada bendera negeri ini melambangkan Raja yang berdaulat. Warna merah pula bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Warna biru tua melambangkan kerajaan negeri. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 3,385,200
orang.

Merangkumi sepuluh buah daerah, Johor memiliki pantai yang putih berseri, pulau yang indah, hutan tropika yang masih belum diterokai, makanan yang lazat serta pengalaman budaya yang tidak mungkin dapat dilupakan. Johor Bahru, ibu negeri Johor, cukup terkenal di kalangan rakyat Singapura untuk berkunjung pada setiap hujung minggu bagi membeli belah dan menikmati juadah. Bagi peminat sukan golf, Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah padang golf yang tertinggi di Malaysia dan ia berstatus dunia. Bagi pencinta keindahan pantai dan peminat sukan air, Johor mempunyai persisiran pantai yang cukup luas dan sekurang-kurangnya 50 buah pulau terdapat di Johor. Antara pulau yang terkenal adalah Pulau Rawa, Pulau
Sibu, Pulau Aur, Pulau Besar dan Pulau Pemanggil di mana cukup termasyhur dengan kejernihan air bak kristal, keputihan pasir dan pelbagai hidupan laut yang berwarna-warni. Kepada pencinta alam, Taman Negara Endau Rompin yang terletak di sebelah utara Johor merupakan antara hutan simpan yang tertua di Malaysia. Pulau Kukup iaitu sebuah pulau di tenggara Johor, merupakan hutan paya bakau yang kedua terbesar di dunia.


Perak
http://www.perak.gov.my


Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari ‘kilatan ikan dalam air’ yang berkilau seperti perak. Justeru, pengenalan nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di buminya. Perak mempunyai keluasan kira-kira 21,005 km2 (6.4% daripada jumlah keluasan Malaysia) dan merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia. Ibu negeri Perak ialah Ipoh dan Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja. Perak mempunyai 24 kawasan Parlimen, 59 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 10 daerah iaitu Batang Padang, Kinta, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah dan Hulu Perak. Sungai Perak merupakan sungai yang terpanjang di negeri Perak dan kedua terpanjang di Semenanjung selepas Sungai Pahang. Bandar-bandar lain adalah seperti Bidor, Tapah, Teluk Intan, Sungkai, Lumut dan Taiping. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 2,393,300 orang.

Perak menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Lumut, Pulau Pangkor, Teluk Batik, Bukit Larut (Maxwell Hill), Muzium Darul Ridzuan, Muzium Geologi, Stesen Kereta Api Ipoh, Istana Kellie’s, Kuala Gula, Air Terjun Lata Iskandar, Lata Kinjang, Kompleks Sejarah Pasir Salak, Muzium Perak, Perak Tong, Projek Sungai Terrapin Bota Kanan, Muzium Diraja, Ladang Rusa Sungkai, Air Panas Tambun, Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping, Menara Condong Teluk Intan, Tasik Temenggor dan Gua Tempurung.


Perlis
http://www.perlis.gov.my


Sejarah negeri Perlis bermula pada tahun 1821. Ketika itu berlaku tindak balas besar-besaran daripada penduduk tempatan ke atas penjajahan Siam ke atas Kedah. Akibat daripada peristiwa tersebut, pihak Siam berundur dan pembesar tempatan telah diberi kuasa untuk mentadbir Kedah, Setul, Kubang Pasu, dan Perlis. Raja Long Krok dilantik sebagai Gabenor di negeri Perlis. Timbalan Gabenor bagi negeri Perlis pada ketika itu ialah Syed Hussin Jamalullail. Inilah detik bersejarah bagi negeri Perlis di mana telah mendapat pengiktirafan daripada status tanah jajahan kepada sebuah negeri naungan.

Dari segi kedudukan geografi, Perlis terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Thailand. Di sebelah selatan, Perlis berjiran dengan Kedah. Negeri Perlis dianggarkan berukuran seluas 795 km2 persegi dengan jumlah penduduk pada tahun 2009 adalah seramai 240,700 orang. Ibu negeri Perlis ialah Kangar, manakala Arau merupakan bandar Diraja yang terletak 10 km dari bandar Kangar. Perlis mempunyai tiga kawasan Parlimen serta 15 kawasan Dewan Undangan Negeri. Negeri kecil ini mempunyai “Tujuh Pesona” tersendiri yang menggamit kunjungan. ‘Pesona tersebut ialah; panorama (Ladang Tebu Chuping, Empangan Timah Tasoh); Taman Ular dan Reptilia Perlis; Harumanis; makanan Perlis (Laksa Kuala Perlis, makanan laut); tarikan sempadan (Padang Besar, pasar Ahad Wang Kelian); seni suara burung (tekukur dan merbok); dan pengembaraan hutan (Taman Negeri, Gua Wang Burma).


Selangor
http://www.selangor.gov.my


Selangor terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan. Negeri yang terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa ini dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri daripada Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang
kini dikenali sebagai Kuala Selangor. Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan singkatan, gabungan atau perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal.

Selangor mempunyai keluasan kira-kira 7,930.20 km2. Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan Klang merupakan Bandar Diraja. Negeri Selangor mempunyai 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 5,179,600 orang iaitu yang paling ramai di Malaysia. Selangor menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Taman Pertanian, Bukit Melawati, Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Batu Caves, Pulau Carey, Galeri Shah Alam, Bangunan Bersejarah Jugra, Tugu Keris Kampung Kuantan, Kota Darul Ehsan, Mines Wonderland, Pantai Morib, Bagan Lalang, Zoo Negara, Pusat Orang Asli Gombak, Pulau Ketam, Tasik Shah Alam, Stadium Shah Alam, Hutan Rekreasi Sungai Congkak, Sungai Gabai, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sunway Lagoon, Hutan Templer, Muzium Sultan Alam Shah, Muzium Orang Asli dan banyak lagi.

Negeri Sembilan
http://www.ns.gov.my


Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor; Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka; Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagian daripada Negeri Sembilan; Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang; dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding Negeri Sembilan yang asal. Keluasan Negeri Sembilan ialah kira-kira 6,657.09 km2 dan ia terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia. Ibu negerinya ialah Seremban dan Seri Menanti sebagai Bandar Diraja. Negeri Sembilan mempunyai lapan kawasan Parlimen, 36 kawasan Dewan Undangan Negeri dan tujuh daerah iaitu Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Rembau, Port Dickson dan Seremban. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 1,013,900 orang.

Negeri Sembilan menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Blue Lagoon, Cape Rachado, Kompleks Kraf Negeri Sembilan, Lukut, Kempas, Kolam Air Panas Pedas, Port Dickson, Muzium Negeri, Bangunan Sekretariat Negeri, Istana Sri Menanti, Taman Tasik Seremban dan Taman Rekreasi Ulu Bendul.


Terengganu
http://www.terengganu.gov.my


Negeri Terengganu terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ibu negerinya ialah Kuala Terengganu dan negeri ini terkenal dengan pelbagai kegiatan ekonominya, daripada yang berasaskan perikanan, petroleum, sehinggalah kepada sektor pelancongan. ‘Permata Pantai Timur’ adalah gelaran yang sememangnya sesuai diberikan kepada negeri ini memandangkan ia merupakan sebuah negeri yang sangat kaya dengan pelbagai sumber yang boleh menambah daya penarik pelancong untuk sampai ke negeri bertuah ini. Jaluran pantainya yang menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman) menawarkan rangkaian kepulauan indah yang sudah terkenal di merata dunia. Bahagian utara dan barat laut negeri ini bersempadan dengan Kelantan, manakala bahagian selatan dan barat dayanya bersempadan dengan Pahang. Terengganu Darul Iman mempunyai keluasan kira-kira 12,955.14 km2.

Terengganu terbahagi kepada lapan kawasan Parlimen, 32 kawasan Dewan Undangan Negeri dan tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Warna putih pada bendera negeri ini melambangkan sultan manakala anak bulan dan bintang melambangkan agama Islam. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 1,121,100 orang. Terengganu menawarkan destinasi pelancongan seperti pulau, pantai dan tempat menarik seperti Bukit Keluang, Pulau Duyung, Pulau Gem, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Rantau Abang, Pulau Tenggol, Bukit Puteri, Pasar Seni, Chendering, Istana Maziah, Tasik Kenyir, Kuala Terengganu, Air Panas La, Taman Tamadun Islam, Masjid Tengku Tengah Zaharah, Air Terjun Sekayu, Air Terjun Sungai Ceralak dan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.


Sarawak
http://www.sarawak.gov.my


Negeri Sarawak juga dikenali sebagai Bumi Kenyalang. Negeri ini merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 124,449.51 km2 dan terletak di Pulau Borneo iaitu di Malaysia Timur. Kuching merupakan ibu negerinya dan Sungai Rajang yang merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia terdapat di negeri ini. Sarawak terkenal dengan pecahan kumpulan etnik yang tersendiri iaitu kira-kira 27
kumpulan. Antara etnik yang terdapat di Sarawak ialah Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Penan, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Punan, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum, Longkiput dan lain-lain. Sarawak mempunyai 31 kawasan Parlimen, 71 Dewan Undangan Negeri dan 11 Bahagian meliputi 28 daerah seperti Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Limbang, Kapit, Bintulu, Samarahan, Mukah dan Betong. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 2,503,600 orang.

Sarawak menawarkan pelbagai destinasi pelancongan menarik. Akronim CAN (Culture, Adventure dan Nature) menjelaskan alam Sarawak iaitu budaya, kembara dan alam semula jadi. Daripada budaya moden di bandar-bandar kepada budaya arkaik di pedalaman Sarawak, penduduknya menyambut pelbagai jenis perayaan setiap tahun. Namun, sambutan perayaan yang sangat sinonim dengan Sarawak ialah Hari Gawai. Warisan Sarawak yang kaya meliputi alam liar rimba ke dunia bawah air tersohor yang menggambarkan batu karang yang masih terpelihara. Antara destinasi yang sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Sarawak ialah Pantai Damai, Muzium Islam, Rumah Panjang, Kuching Waterfront, Pusat Kraftangan Sarawak, Taman Negara Bako, River Safaris, dan Lemaknak River Safari.


Pulau Pinang
http://www.penang.gov.my


Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Pulau Mutiara terletak di pantai Barat Semenanjung Malaysia. Sejarah mencatatkan bahawa Pulau Pinang mula dijajah oleh lnggeris yang diketuai oleh Francis Light pada tahun 1786. Negeri ini mempunyai keluasan kira-kira 1,031.04 km2. Ibu negeri Pulau Pinang ialah George Town. Pulau Pinang mempunyai 13 kawasan Parlimen, 40 kawasan Dewan Undangan Negeri dan lima daerah iaitu Barat Daya (Balik Pulau), Timur Laut (George Town), Seberang Perai Selatan (Nibung Tebal), Seberang Perai Tengah (Bukit Mertajam) dan Seberang Perai Utara (Butterworth). Bandar-bandar lain yang terdapat di Pulau Pinang ialah Perai, Air Itam, dan Kepala Batas. Terdapat sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa di negeri ini iaitu di Bayan Lepas. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 1,577,300 orang.

Pulau Pinang menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Pulau Aman, Pulau Jerjak, Batu Feringhi, Taman Burung, Taman Botani, Taman Orkid dan Bunga Raya, Taman Rama-rama, Cheong Fatt Tze Mansion, Padang Kota Pulau Pinang, Menara Jam, Kuil Burma Dharmikarama, Kota Cornwallis, Gurney Drive, Masjid Kapitan Kling, Kuil Kek Lok Si, Khoo Kongsi, Komtar, Kuil Kuan Yin, Jambatan Pulau Pinang, Muzium Pulau Pinang, Rumah P. Ramlee, Kuil Ular, Gereja St George’s, Dusun Buah-buahan Tropika, Wat Chayamangkalaram, Hutan Rekreasi Teluk Bahang dan Bukit Bendera.



Sabah
http://www.sabah.gov.my


Sabah adalah negeri yang kedua terbesar di Malaysia dan terletak di utara Pulau Borneo. Pulau ketiga terbesar di dunia ini meliputi kawasan seluas 73,620.1 km2 dengan pantai sepanjang 1,440 km. Ibu negerinya ialah Kota Kinabalu. Dengan gelaran “Negeri Di Bawah Bayu”, Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi, tetapi negeri ini juga kaya dengan warisan budaya penduduknya. Masyarakat aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dan menggunakan lebih daripada 50 bahasa serta tidak kurang daripada 80 dialek. Kumpulan etnik utama adalah: Kadazan dusun (merupakan satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah), Murut, Paitan, dan Bajau. Kumpulan penduduk pribumi lain ialah Bonggi, Iranun, Ida’an dan Brunei. Sebagai tambahan, kaum Cina merupakan kumpulan penduduk bukan asli yang terbesar. Dengan itu, Sabah adalah kaya dengan penduduk berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing.

Berdasarkan jumpaan arkeologi, Sabah telah diduduki oleh penghuni sekurang-kurangnya 28,000 tahun yang lalu. Islam sampai di Sabah menjelang akhir abad kelima dan ke-16 melalui pedagang Arab dan India dan juga hasil daripada perluasan tanah jajahan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei. Orang Eropah datang ke Sabah dua abad kemudiannya. Sabah kaya dengan berbagai-bagai jenis tumbuhan. Bunga terbesar di dunia Rafflesia dengan kuntumnya berukuran tiga meter garis pusat boleh ditemui di Sabah. Banyak spesies anggerik/orkid, periuk kera dan rhododendron tumbuh di Sabah. Sabah mempunyai 25 kawasan Parlimen, 60 kawasan Dewan Undangan Negeri dan lima bahagian iaitu Kudat, Pantai Barat (utara dan selatan), Sandakan, Tawau dan Pedalaman. Bandar-bandar lain ialah Keningau, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Semporna dan Lahad Datu. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 3,201,000 orang.

Sabah menawarkan pelbagai destinasi pelancongan yang menarik. Antara yang paling terkenal ialah gunung yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu (4,905.2 meter). Destinasi lain yang boleh dikunjungi ialah Taman Laut Tunku Abdul
Rahman, Pulau Sipadan, Pulau Layang-Layang, Taman Pulau Tiga, Pantai Tanjung Aru, Pulau Penyu, Pulau Lankayan, Pulau Mabul, Lembah Danum, Kampung Mengkabong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sipilok, Air Panas Poring, Bangunan Yayasan Sabah (Menara Tun Mustapha), Tamu, White Water Rafting, Sandakan, Muzium Sabah, Lahad Datu, Semporna, Tawau, Sungai Kinabatangan, Taman Kinabalu, dan Gua Gomantong.


Melaka
http://www.melaka.gov.my


Melaka merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan budaya tersendiri. Negeri ini bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor. Melaka menawarkan pelbagai keistimewaan daripada segi pelancongan, ekonomi, infrastruktur dan sebagainya. Parameswara adalah orang yang bertanggungjawab membuka negeri ini sehingga akhirnya Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan kesultanan Melayu yang termasyhur. Nama Melaka dikatakan berasal daripada pokok melaka. Sejarah juga telah membuktikan bahawa Melaka pernah menjadi pelabuhan perdagangan yang penting di rantau Asia. Melaka kini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot di Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan yang menceritakan tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan. Jadi tidak hairanlah kalau Melaka turut dikenali sebagai Melaka Bandar raya Bersejarah. Negeri ini merupakan negeri yang kedua kecil di Malaysia dengan keluasan tanah 1,652.00 km2. Melaka terbahagi kepada enam kawasan Parlimen, 28 kawasan Dewan Undangan Negeri dan tiga daerah iaitu Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 769,300 orang.

Melaka menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Pulau Besar, Pulau Upeh, Kota A Famosa, Taman Tema Air A Famosa, Air Keroh, Bukit China, Kuil Cheng Hoon Teng, Gereja Christ, Gadek Hot Spring, Makam Hang Jebat, Perigi Hang Li Poh, Makam Hang Tuah, Jonker Street, Masjid Kampong Kling, Muzium Maritim, Istana Kesultanan Melaka, Tugu Portugis, Dataran Merdeka Air Keroh, Gereja St. Francis Xavier’s, Gereja St. Paul’s, Kebudayaan Baba dan Nyonya, The Stadthuys, Seri Tanjung Homestay dan Masjid Tanah.

Kuala Lumpur
http://www.kualalumpur.gov.my


Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara Malaysia telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (W.P.K.L) dan Pusat Pentadbiran Persekutuan pada 1 Februari 1974. Kuala Lumpur mempunyai keluasan 242.70 km2 dan terbahagi kepada tiga daerah iaitu Kuala Lumpur (Pusat Bandar), Cheras dan Setapak. W.P.K.L mempunyai 11 kawasan Parlimen iaitu Bandar Tun Razak, Batu, Bukit Bintang, Cheras, Kepong, Lembah Pantai, Segambut, Seputeh, Setiawangsa, Titiwangsa dan Wangsa Maju. Pembangunan Kuala Lumpur boleh dikatakan bermula daripada rentetan sejarah lampau iaitu setelah ditemui oleh pelombong bijih timah berbangsa Bugis, Raja Abdullah. Bijih timah yang ditemui di Sungai Gombak dan Klang telah mengundang Kapitan Cina, Yap Ah Loy untuk meneroka kekayaan Kuala Lumpur. Aktiviti perlombongan menjadi titik tolak kepada perkembangan pembangunan ekonomi Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur turut dikenali sebagai Bandaraya Bercahaya, Pusat Kesenian Antarabangsa, Pusat Perundangan Kehakiman dan Kota Kebudayaan Islam di Malaysia. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah seramai 1,655,100 orang. Kuala Lumpur City Centre (KLCC) merupakan satu projek pembangunan bandar yang bertaraf antarabangsa dan menjadi mercu tanda gemilang bagi negara Malaysia. Ia berkonsepkan “Bandar Raya-Dalam-Bandar Raya” yang merangkumi kawasan seluas 40 hektar serta menyediakan ruang kegunaan komersial untuk pejabat, perniagaan runcit, hotel dan kediaman seperti Menara Berkembar Petronas, Masjid Asy-Syakirin, Taman Awam, Suria KLCC, Kuala Lumpur Convention Centre, Hotel dan sebagainya. Menara Berkembar Petronas merupakan salah sebuah bangunan tertinggi di Asia dan menara berkembar tertinggi di dunia iaitu mencecah 452 meter.

Selain itu, Kuala Lumpur menawarkan destinasi pelancongan yang menarik seperti Taman Burung, Taman Rama-rama, Pasar Seni, Chinatown, Taman Bunga Raya, Istana Negara, Kompleks Budaya Kraf, Taman Tasik, Dataran Merdeka, Menara Kuala Lumpur, Tugu Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, Pusat Sains Negara, Kompleks Sukan Negara, Istana Budaya, Zoo Negara, Taman Orkid, Planetarium Negara, Rumah Penghulu Abu Seman, Bangunan Sultan Abdul Samad, Tugu Negara, Balai Seni Lukis Negara, dan Pusat Kraf.

Labuan
http://www.labuantourism.com.my


Wilayah Persekutuan Labuan merupakan Wilayah Persekutuan kedua di Malaysia. Keluasannya ialah 91.64 km2 dan mempunyai hanya satu kawasan Parlimen. Ia terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah dan mengambil masa dua setengah jam penerbangan dari Kuala Lumpur dan lima minit perjalanan bot dari Pulau Papan. Pulau Labuan telah diisytiharkan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir (Offshore Financial Centre) dan Pelabuhan Bebas Cukai. Unjuran penduduknya pada tahun 2009 adalah 89,000 orang. Labuan bukan sahaja terkenal dengan pelabuhan yang besar dan dalam tetapi turut terkenal kerana persisiran pantainya yang berpasir putih dengan air yang jernih sehingga membolehkan pengunjungnya melihat kehidupan karang laut. Menyelam ‘scuba’ merupakan aktiviti pelancongan yang penting di sini.

Putrajaya
http://www.putrajaya.net.my


Pada 1 Februari 2001, Putrajaya yang mempunyai keluasan 49.30 hektar telah diisytiharkan secara rasminya sebagai Wilayah Persekutuan ketiga, selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dipindahkan ke Putrajaya dari Kuala Lumpur bagi mengurangkan tumpuan kepadatan penduduk, kesesakan lalu lintas dan jurang sosiopolitik dan sosioekonomi. Ini kerana, kedudukan Putrajaya yang strategik iaitu terletak di antara 24 kilometer ke selatan Kuala Lumpur dan 20 kilometer di utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang. Wilayah Persekutuan Putrajaya mempunyai satu kawasan Parlimen. Putrajaya menawarkan tempat-tempat menarik untuk dilawati seperti Bangunan Seri Perdana, Perdana Putra, Masjid Putra, Istana Melawati, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Dataran Putra, Tugu Millennium, Boulevard Putrajaya, Taman Botani, Taman Warisan Pertanian, Taman Wetland, Cruise Tasik Putrajaya, dan Alamanda. Taman Botani merupakan taman yang terbesar di Putrajaya iaitu meliputi 92 hektar. Taman ini menawarkan ketenangan semula jadi dengan 700 spesies tumbuhan tempatan dan dari 90 buah negara termasuk Afrika dan Asia Pasifik. Taman Wetland pula merangkumi kawasan seluas 162 hektar yang menempatkan Pusat Penghayatan Alam, Menara Pandang Jauh, kawasan perkelahan, tapak semaian dan pelbagai spesies fauna dan flora.