2.12.14



TEKNOLOGI RADIOISOTOP MENGGUNAKAN SIKLOTRON

Teknologi nuklear mempunyai pelbagai aplikasi dalam bidang pertanian, perubatan, perindustrian dan penyelidikan.  Di antara pengunaan bahan radioaktif (radiosisotop) dalam bidang-bidang tersebut termasuklah meningkatkan hasil tanaman, memberi diagnosis dan rawatan penyakit, sebagai bahan penyurih bagi proses indutsri dan alam sekitar, dan sebagainya.  Bahan radioaktif yang digunakan adalah sintetik yang dihasilkan menggunakan cyclotron atau reaktor nuklear.  Pada masa ini Malaysia mempunyai sebuah reaktor penyelidikan yang ditempatkan di Agensi Nuklear Malaysia.  Reaktor 1 MW ini yang diberi nama Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) telah ditauliahkan pada tahun 1982.

Malaysia kini bercadang untuk memperoleh satu lagi teknologi yang mampu untuk menghasilkan radioisotop untuk memperluaskan lagi pengunaan teknologi nuklear di Malaysia.  Siklotron adalah pemecut zarah yang boleh digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan radioaktif untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti dalam bidang perubatan, industri, alam sekitar dan pertanian.  Di antara kelebihan siklotron berbanding dengan reactor nuklear adalah pengunaann bahan mula yang stabil dan tidak beradioaktif, penghasilan sisa berjangka hayat-pendek (memudahkan penyimpanan), dan pengoperasian yang lebih mudah. 

Di dalam bidang perubatan, bahan-bahan radioaktif digunakan untuk menghasilkan radiofarmaseutikal bagi mendiagnosis penyakit khususnya dalam bidang onkologi (kanser), kardiologi dan neurologi secara tepat agar kaedah rawatan yang berkesan dapat dibangunkan   Beberapa pusat siklotron (18 MeV) yang khusus untuk digunakan dalam perubatan nuklear telah ditubuhkan di Malaysia sejak tahun 2002.  Walau bagaimanapun jenis bahan radioaktif yang dihasilkan daripada siklotron berkuasa rendah ini adalah terhad.  Pada masa ini siklotron berserta kemudahan pengimbas PET ditawarkan di Hospital Putrajaya dan Beacon Hospital.  Selain daripada itu kemudahan PET sahaja boleh didapati di beberapa Hospital seperti Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan Subang Jaya Medical Centre. 

Positron Emission Tomography (PET) merupakan teknik pengimejan yang boleh mengimbas fungsi serta proses di dalam badan untuk menghasilkan imej 3D.  Teknik ini mengesan sinaran gamma dari bahan radioaktif pemancar positron (positron emitter) yang hanya dapat dikeluarkan siklotron.  Kelebihan PET seperti mempunyai resolusi imej yang baik serta sensitiviti dan spesifisiti yang tinggi menggalakkan pengunaanya yang meluas terutama sekali dalam mengesan kanser, melakukan pemeringkatan tahap kanser dan untuk menilai keberkesanan rawatan yang diberi. 

Sehubungan dengan itu, untuk memastikan kemudahan perubatan negara lebih berteknologi tinggi dan tidak terkecuali dari menggunakan teknologi terkini siklotron serta bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan teknologi ini dengan lebih meluas, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama-sama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sedang merancang untuk membangunkan kemudahan siklotron berkapasiti tinggi (30 MeV). Pusat ini akan dilengkapi dengan keupayaan Positron Emission Tomography (PET) dan Single Photon Emission Computed Tomography (SPECT), serta makmal-makmal penyelidikan yang berkaitan. Kemudahan ini akan berpusat di Nuklear Malaysia dan dikendalikan oleh saintis, jurutera dan ahli fizik Nuklear Malaysia agar pembangunan keupayaan dan aplikasi teknologi yang berkaitan dapat dilaksanakan secara serentak. Dalam majlis ke lawatan tapak cadangan projek siklotron di Agensi Nuklear Malaysia pada 6 Mac 2014 baru-baru ini, YB. Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, kementerian beliau akan memperuntukkan sebanyak RM240 Juta bagi membangunkan kemudahan siklotron yang pertama di Malaysia.

Pembangunan kemudahan siklotron serbaguna ini akan meningkatkan kemampuan Malaysia untuk menghasilkan pelbagai jenis radioisotop atau bahan-bahan radioaktif.  Bukan sekadar dalam bidang perubatan semata-mata, bahan-bahan ini ini juga digunakan secara meluas di dalam pelbagai bidang lain seperti industri automotif terutama untuk menguji kehausan mekanikal, pembiakan mutasi dalam bidang pertanian, pembangunan bahan api bio dan pembangunan sains bahan. Di samping itu, kemudahan ini akan meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara lain yang memanfaatkan teknologi yang sama, antaranya USA, Jepun, Korea, Perancis, Itali, Arab Saudi dan Kanada.   Secara tidak langsung, kemudahan ini akan menjadi tarikan kepada rakyat negara-negara tersebut dan seterusnya akan menggalakkan serta meningkatkan lagi industri pelancongan kesihatan Malaysia.

Kemudahan siklotron bertenaga tinggi ini membolehkan Nuklear Malaysia menghasilkan isotop berjangka hayat panjang yang tidak lagi dikekang oleh sifat-sifat fizikal radioisotope.   Faktor ini membolehkan  radioisotop dibekalkan ke hospital-hospital, institusi penyelidikan berkaitan dan pihak industri di luar Lembah Klang, sekaligus mengembangkan penggunaannya ke seluruh negara.  Lebih daripada itu, Malaysia juga akan berkemampuan untuk mengeksport dan membekalkan radioisotop yang dihasilkan di kemudahan siklotron ini ke negara-negara jiran.


 Ehsan Daripada :

Hasfazilah Hassan
Pengurus
Unit Komunikasi Korporat
Agensi Nuklear Malaysia
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
43000 Bangi, Kajang, Selangor.

Tel: +603-8911 2000 ext : 1735
H/p : +6012-5001051
Fax: +603-8925 3827
e-Mail:
asfa@nuclearmalaysia.gov.my
  : @KP Agensi Nuklear Malaysia


Fakta Menarik

Manusia boleh hidup tanpa makanan selama lebih kurang 14 hari dan bertahan 10 hari tanpa tidur