INFO UMUM

SILAMBAM 

Silambam ialah salah satu seni mempertahankan diri yang berasal dari Bukit Kurinji, Selatan India. Perkataan silambam berasal daripada perkataan ‘silam’ atau ‘silambu’ yang bermaksud bukit dan perkataan ‘bamboo’. Apabila gabungan dua perkataan yang panjang ini dipendekkan, timbullah perkataan silambam yang bermaksud ‘buluh dari bukit’. Silambam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri seperti berdisiplin, berpengetahuan, berperikemanusiaan, mementingkan keamanan, kesetiaan dan banyak lagi. Seni bela diri ini menggunakan tongkat yang berukuran sekitar 1.68 meter (lima setengah kaki). Panjang tongkat berkait dengan ketinggian pengguna silambam. Ia sepatutnya mencecah dahi sekitar tiga jari dari atas kepala. Namun kepanjangan tongkat digunakan dalam keadaan berlainan. Latihan berlainan diperlukan bagi mengendalikan tongkat yang berlainan kepanjangannya.

Pengamal silambam menggunakan beberapa pola pergerakan berasaskan pergerakan haiwan, terutamanya ular dan helang. Di Malaysia, Silamban dipercayai sampai sekitar abad ke-18, iaitu ketika penjajah Inggeris membawa masuk pekerja-pekerja ladang dari India. Orang-orang Tamil ini kemudiannya memperkenalkan silambam ini kepada orang Melayu. Sehingga ke hari ini, Silambam telah berkembang menjadi suatu olah raga yang dipertandingkan dan dipelajari oleh peminat seni mempertahankan tanpa mengira kaum dan ia selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Gaya biasa dalam silambam ialah dalam keadaan memegang tongkat pada satu hujung, tangan kanan hampir kebelakang, tangan kiri sekitar 40 sentimeter (16 inci) darinya. Kedudukan ini membenarkan pelbagai pergerakan badan dan tongkat, termasuk serangan dan tangkisan yang rumit. Bagi pelajar baru, mereka perlu menguasai pola pergerakan kaki sebelum belajar teknik memutar dan kaedah menukar putaran mereka tanpa menghentikan pergerakan tongkat. Gerak kaki (Kaaladi) merupakan kunci utama bagi Silambam selain kuthu varisai (versi tangan kosong). Dalam pergerakan keseluruhan silambam, terdapat 16 pergerakan dan daripada 16 ini, empat adalah pergerakan utama yang wajib dipelajari oleh semua pelajar seni bela diri ini.


MALAYSIA DALAM ISU KEKEJAMAN ISRAEL

“Tempoh 28 jam diserang dan ditawan tentera Israel dalam kapal sudah cukup untuk saya merasai penderitaan enam dekat warga Palestin berdepan dengan kekejaman rejim Yahudi itu”. Itulah luahan Ashwad Ismail, wartawan penyiaran Astro Awani yang mengalami sendiri episod ngeri diserang tentera Israel. Beliau termasuk 12 lagi rakyat Malaysia adalah antara sukarelawan Kapal Marvi Marmara yang menyertai misi Life Line For Gaza (LL4G). Kapal mereka telah diserang oleh tentera Isreal pada awal pagi, 31 Mei 2010 di Laut Mediterranean. Misi bantuan yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia Turki ini telah mengorbankan sembilan nyawa rakyat Turki dan lebih kurang 30 orang lagi tercedera. 12 rakyat Malaysia bersama-sama dengan aktivis keamanan yang lain juga telah ditahan di Penjara Be’er Sheva.

Sepanjang berada di bawah tawanan tentera Israel, aktivis keamanan ini telah diperlakukan seperti haiwan. Tindakan ganas Israel ini di ceritakan oleh ketua misi Noorazman Mohd Samsuddin. 11 lagi rakyat Malaysia yang turut merasai dan melihat sendiri kekejaman Israel ialah Dr. Mohd Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan Al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi, Mohd Nizam Mohd Awang, Hasanuddin Mohd Yunus, Jamuliddin Elias, Dr. Selamat Aliman, Abdul Halim Mohd Redzuan, Mustafa mansur, Sahwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.

Keganasan terbaru ini menunjukkan rejim Tel Aviv tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa. Mereka menggunakan kuasa sesuka hati tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan mereka akan membawa kepada kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa atau tidak. Malaysia bersama-sama seluruh rakyat dunia yang tidak petah melihat keangkuhan Israel, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel itu dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu seterusnya mengheret mereka ke muka keadilan.

Malaysia juga akan terus memperjuangkan kebenaran, menegakkan keadilan dan mempertahankan hak asasi kemanusiaan. Malaysia akan berusaha keras bagi memberi kesedaran kepada dunia supaya terus mengutuk Israel. Selain itu, Malaysia berhasrat meneruskan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin. Malah dalam perkembangan terkini, Malaysia mengambil inisiatif mengumpul dana sebanyak RM16,250 (US$5,000) seorang untuk disumbangkan kepada keluarga sembilan sukarelawan Turki yang terbunuh. Dana yang dikumpulkan itu akan diserahkan melalui Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) Palestin dan Wisma Putra untuk disampaikan kepada keluarga yang terlibat.


Gout

Penampilannya amat menarik hati siapa yang memandang dan beliau dikenali dengan panggilan Mr. Kamal. Kebelakangan ini, Mr. Kamal sudah jarang-jarang berada di pejabat. Sekejap ada dan sekejap tiada. Bolehlah disamakan dengan iklan biskut yang disiarkan di kaca televisyen. Demikian gurauan yang diberikan oleh rakan-rakan pejabatnya. Akhirnya terbongkar rahsia. Mr. Kamal selalu keluar masuk hospital di sebabkan penyakit gout.

Bila ditanya tentang perihal penyakit ini, beliau memandang sayu. Sudah hilang keceriaan di wajahnya. Dapat dirasakan nilai empati yang tidak berbelah bagi apabila mendengar ceritanya. “Sengsara sakit ini bukan kepada diri saya sendiri, malah membawa tekanan emosi kepada seluruh ahli keluarga terutama isteri tersayang”.

Kisah Mr. Kamal mewakili 55 peratus kaum lelaki di Malaysia yang menghidap penyakit gout. Penyakit ini menyerang kaum lelaki dalam lingkungan usia antara 30 hingga 60 tahun dan bagi kaum wanita pula mereka perlu berjaga-jaga dalam usia menopaus.

Menurut sejarah, gout merupakan salah satu penyakit yang paling lama dihidapi manusia iaitu sejak zaman dahulu kala lagi. Paling menakutkan, gout boleh membawa kecacatan dan kemudaratan kepada penghidapnya. Kini, menerusi kemajuan dalam bidang perubatan, gout boleh di kawal dan diubati.

Rawatan
Sebagaimana yang diketahui, gout adalah sejenis penyakit akibat berlebihan asid urik di dalam badan dan asid urik merupakan bahan kumuhan berasal dari sejenis protin yang dipanggil purin. Bahan kumuhan ini akan dibuang oleh sistem badan melalui air kencing (urin). Berbeza bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan ia berkumpul di dalam sendi.

Ubatan
Apabila penghidap mengalami serangan gout, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah merehatkan sendi yang terlibat di samping mengambil ubatan yang disarankan oleh Pegawai Perubatan. ‘Colchicine’ antara ubatan yang biasa disarankan tetapi mempunyai kesan sampingan seperti loya, muntah dan cirit-birit. Selain itu, ubatan steroid turut diberikan untuk jangka masa pendek sahaja. Lazimnya cecair steroid disuntik terus ke sendi yang mengalami radangan.

Rawatan alternatif
Untuk mengawal asid urik yang berlebihan, terdapat rawatan alternatif yang boleh dilakukan oleh penghidap gout. Antaranya, pengambilan air yang mencukupi bagi membantu penyingkiran asid urik menerusi sistem air kencing. Dari aspek penjagaan pemakanan pula, penghidap perlu mengelak dari mengambil makanan yang tinggi dengan zat purine iaitu organ dalaman yang terdiri daripada hati dan paru-paru. Bagi jenis-jenis ikan pula, ia terdiri daripada bilis, kembung dan sardin. Sumber daging dan makanan laut seperti ketam, udang dan kerang turut dipercayai menyumbang peningkatan asid urik di dalam darah. Selain itu, penghidap juga perlu mengurangkan pengambilan asparagus, bunga kubis, cendawan, bayam dan kekacang.

Bagi penghidap yang masih lagi mengambil alkohol, disarankan meninggalkan tabiat tersebut kerana kandungan alkohol memberi kesan terhadap fungsi buah pinggang menyingkirkan asid urik di dalam darah. Di samping itu, pengambilan alkohol turut menyebabkan penyahidratan yang akhirnya membawa pembentukan kristal urik asid dalam sendi.

Info

Tanda Gout
• Gout lazimnya menyerang ibu jari kaki.
• Ibu jari kaki menjadi merah, panas, bengkak dan tersangat sakit.
• Serangan adalah tiba-tiba dan kerap kali semalaman.
• Kesakitan teruk apabila sendi yang terlibat tersentuh walaupun dengan sehelai selimut.
• Sakit berlarutan sehingga dua minggu jika tidak dirawat.
• Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan.
• Boleh menyerang pada sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.

Kompilkasi
• Asid urik boleh berkumpul di bawah kulit membentuk benjolan yang dipanggil ‘tophi’.
• Asid urik boleh berkumpul dalam sistem buah pinggang yang membentuk ’batu karang’.
• Masalah kesihatan lain yang dihidapi pesakit gout ialah kegemukan, darah tinggi, hiperlipidemia dan kencing manis.


Petikan kata-kata Perdana Menteri tentang perpaduan

“Kemerdekaan ibarat obor yang menyala. Marilah kita julang obor ini setinggi-tingginya dengan bangga supaya cahayanya dapat menerangi sekitar alam.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (BH 1&3 Ogos 2009)

“Setiap kita harus hormat hak dan perasaan masing-masing, bertolak ansur dengan agama orang lain, adat dan tabiat, kerana menerusi kepelbagaian itu kita boleh mendapat perpaduan yang sebenar”.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (BH 2 Ogos 2009)

“Dengan keamanan terdapatlah kebahagiaan dan kemakmuran dan bertambahlah kekayaan negara.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (BH 4 Ogos 2009)

“Kita mengamalkan sistem kerajaan demokratik dan tidak membuat perbezaan antara kaum. Kita percaya kepada sikap berlaku adil kepada semua.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (BH 5 Ogos 2009)

“Kumpulkan segala tenaga dan usaha bagi membina perasaan muhibah di kalangan rakyat untuk selama-lamanya bagi menjamin peristiwa pahit tidak berulang.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (BH 6 Ogos 2009)

“Rakyat dengan hati yang tabah hendaklah menegakkan satu bangsa dan satu negara, memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan akan mencapai keamanan dan kemakmuran, kesentosaan dan kebahagiaan.”
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (BH 7 Ogos 2009)

“Kemajuan negara bergantung pada apa yang disumbangkan oleh rakyat.”
Tun Abdul Razak (BH 8 Ogos 2009)

“Kita memikir apakah sumbangan yang patut kita beri kepada negara dan janganlah kita semata-mata memikirkan apa faedah kita patut dapat daripada kerajaan dan negara”.
Tun Abdul Razak (BH 9 Ogos 2009)

“Kita harus sedar bahawa kita hidup bebas dan merdeka hanya dengan adanya perpaduan di kalangan rakyat.”
Tun Abdul Razak (BH 10 Ogos 2009)

“Memupuk taat setia dan tidak berbelah bagi dan memahami hak serta keistimewaan masing-masing menjadi tanggungjawab utama rakyat kepada negara.”
Tun Abdul Razak (BH 11 Ogos 2009)

“Kita pegawai kerajaan ialah hamba rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk rakyat dan bertanggungjawab menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi.”
Tun Abdul Razak (BH 12 Ogos 2009)

“Rakyat diberi penuh kebebasan untuk menyubur dan mengembangkan agama masing-masing tanpa sebarang sekatan atau halangan.”
Tun Abdul Razak (BH 13 Ogos 2009)

“Semua kita dari apa kaum sekalipun mestilah menganggap Malaysia sebagai tempat tumpuan segala taat setia dan menjadikannya tempat kita semua berlindung.”
Tun Abdul Razak (BH 14 Ogos 2009)

“Malaysia adalah negara kita semua. Tidak kira asal keturunan kita, kepentingan masa depan negara adalah tanggungjawab kita bersama”.

Tun Hussein Onn (BH 15 Ogos 2009)
“Kuasa yang diberikan kepada kita bukan untuk digunakan terhadap orang lain, bukan untuk memperbaiki kedudukan kita sendiri, bukan juga untuk memperkayakan diri kita”.

Tun Hussein Onn (BH 16 Ogos 2009)
“Menjadi kewajipan semua masyarakat meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan sendiri kerana masa depan negara bergantung besar kepada sikap rakyat terhadap negara.”
Tun Hussein Onn (BH 17 Ogos 2009)

“Di mana ada harapan di situ ada usaha, di mana tiada keadilan, tidak akan ada keamanan, keharmonian dan muhibah.”
Tun Hussein Onn (BH 18 Ogos 2009)

“Malaysia akan terjerumus dalam pergolakan dan kekacauan jika rakyat berperasaan pelampau, perkauman, tamak haloba, serta mementingkan puak dan kaum dari kepentingan negara”.
Tun Hussein Onn (BH 19 Ogos 2009)

“Dalam menunaikan tugas terhadap masyarakat, kita hendaklah meletakkan kepentingan negara di atas segala-galanya”.
Tun Hussein Onn (BH 20 Ogos 2009)

“Tidak ada jalan pendek bagi mewujudkan asas yang kukuh dalam membangunkan negara. Kejayaan yang dicapai tidak seharusnya membuat kita berpuas hati dan berpeluk tubuh”.
Tun Hussein Onn (BH 21 Ogos 2009)

“Satu hari, kita pasti mampu mencipta pelbagai perkara bagi menyaingi negara maju lain”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad (BH 22 Ogos 2009)

“Kepada anak-anak muda sekarang, percayalah dan yakin kita boleh”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad (BH 23 Ogos 2009)

“Selagi kita jahil dalam bidang-bidang pengetahuan dan kecekapan pada zaman ini, selama itulah kemerdekaan kita mudah digugat dan kita terpaksa tunduk kepada kuasa asing”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad (BH 24 Ogos 2009)

“Tiada ada sesuatu yang lebih melemahkan semangat daripada kurang pengetahuan.Kita tidak mahu rakyat Malaysia lemah semangat sehingga mudah ditawan”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad (BH 25 Ogos 2005)

“Marilah kita semua rakyat Malaysia, tanpa perlu rasa rendah, tanpa perlu rasa terpinggir, tanpa mengira bangsa dan agama bangun menjadi negarawan di bumi sendiri”.
Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (BH 26 Ogos 2009)

“Kita mampu menjadi yang cemerlang, gemilang dan yang terbilang. Bersatulah tanpa mengira bangsa dan agama, melalui segala onak dan ranjau membangunkan negara”.
Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (BH 27 Ogos 2009)

“Ummah dan negara tidak dapat dibangunkan melalui pidato dan retorik, janji dan slogan, jauh sekali aktiviti demonstrasi dan perbuatan huru-hara di jalan raya”.
Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (BH 28 Ogos 2009)

“ Tiada guna jika negara mempunyai ramai cerdik pandai, hasil bumi yang banyak dan memiliki teknologi tinggi jika tidak berpaksikan pada kesatuan dan perpaduan”.
Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak (BH 30 Ogos 2009)