KERAJAAN MALAYSIA

PERLEMBAGAANKU

Pengenalan
Perlembagaan Persekutuan Malaysia (“Perlembagaan”) adalah dokumen yang paling penting di dalam Negara kita kerana ia menentukan landasan Negara kita.
• Ia mewujudkan sistem demokrasi kita
• Ia menghasilkan kuasa kerajaan
• Ia menyatakan hak-hak kita

Perlembagaan adalah undang-undang utama Negara kita. Ini bermakna Perlembagaan menentukan siapakah yang boleh menggubal undang-undang, dan mengehadkan undang-undang yang boleh digubal.

Mengapakah anda harus tahu apa yang terkandung di dalam Perlembagaan?

Perlembagaan menentukan cara hidup kita dan bagaimana kita diperintah. Contohnya:

• Kita adalah rakyat Malaysia kerana Perlembagaan menyatakannya.
• Kita boleh memilih pemimpin-pemimpin kita kerana Perlembagaan menyatakannya.
• Kita mempunyai Parlimen yang menggubal undang-undang kerana Perlembagaan menyatakannya.
• Kita mempunyai mahkamah dan para hakim kerana Perlembagaan menyatakannya.
• Kita mempunyai Kerajaan Persekutuan dan tiga belas Kerajaan Negeri kerana Perlembagaan menyatakannya
• Hak asasi kita dijamin kerana Perlembagaan menyatakannya


Apakah yang terkandung di dalam Perlembagaan?

Perlembagaan mengandungi 16 Bahagian.

Bahagian 1 : Negeri-Negeri Agama dan Undang-Undang Persekutuan

Negara kita adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan.

Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.

Bahagian II : Kebebasan Asasi

Bahagian ini menyatakan kebebasan –kebebasan asasi yang kita miliki:

• hak untuk hidup dan kebebasan
• kebebasan daripada kehambaan dan menjadi buruh paksaan
• kesamarataan disisi undang-undang
• kebebasan bergerak
• kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu
• kebebasan agama
• hak untuk berpendidikan
• hak untuk memiliki harta

Bahagian III : Kewarganegaraan

Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara :

• dilahirkan di sini
• berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia
• tinggal secara sah di dalam Negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan

Bahagian III juga menyatakan bagaimana kita boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.

Bahagian IV : Persekutuan

Bahagian ini mewujudkan sistem kerajaan kita.

Ketua Utama Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja Negeri-Negeri dan juga Yang Dipertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja.

Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bahagian V : Negeri-Negeri

Setiap Negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan mereka.

Bahagian VI : Hubungan di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri

Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri. Terdapat perkara di mana Parlimen Persekutuan boleh menggubal undang-undang terdapat perkara di mana Dewan Undangan Negeri boleh menggubal undang-undang dan terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.

Bahagian VII : Peruntukan Kewangan

Bahagian VII menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.

Bahagian VIII : Pilihanraya

Bahagian VIII menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita.

Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihanraya dan menyediakan daftar pemilih yang dikenali sebagai “Suruhanjaya Pilihanraya”. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan sewajarnya menikmati keyakinan umum.

Bahagian IX : Badan Kehakiman

Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia.

Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.

Bahagian X : Perkhidmatan-perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah :

• pasukan polis
• angkatan tentera
• perkhidmatan pelajaran

Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk Kementerian serta Kerajaan-kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri.

Pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “ Suruhanjaya –suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bahagian X juga mewujudkan pejabat Peguam Negara .

Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang dan Perbuatan dan Jenayah yang memudaratkan Orang Awam dan Kuasa Darurat.


Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain di dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.

Bahagian XIII : Am dan Pelbagai

Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk :

• memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak.
• Memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain.

Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.

Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Sarawak.

Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak , contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak.

Bahagian XIII: Peruntukan Sementara dan Peralihan

Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum Merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.

Bahagian XIV: Kecualian bagi Kedaulatan, dsb &
Bahagian XV: Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara di dalam Bahagian XIV. Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ” .

Bagaimanakah Perlembagaan memberi kesan kepada kita?

1. Pada Pilihanraya Umum 2008, anda membuang undi untuk memilih ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri anda. Perkara 119 (1) Perlembagaan menyatakan bahawa anda boleh mengundi sekiranya (a) anda seorang warganegara Malaysia (b)anda telah mencapai umur 21 tahun dan (c) anda telah mendaftar dengan daftar pemilih. Anda tidak boleh mengundi, contohnya sekiranya anda sedang menjalani hukuman penjara atau ditahan sebagai seorang yang tidak waras.

2. Anda tinggal di Pulau Pinang dan bercadang untuk melawat saudara anda di Negeri Sembilan. Anda boleh memandu ke Negeri Sembilan dengan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (melalui Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) tanpa memerlukan passport atau apa-apa bentuk dokumen pemberian kuasa . Anda boleh melakukan ini semua kerana perkara 9(2). Perlembagaan menyatakan bahawa secara amnya, setiap warganegara boleh bergerak dengan bebas dan boleh tinggal di mana-mana tempat di Malaysia, Namun begitu terdapat pengecualian tertentu berkenaan dengan Sabah dan Sarawak.

3. Anda dan suami anda adalah warganegara Malaysia tetapi anda telah melahirkan anak anda di Indonesia. Mengikut Perkara 14 Perlembagaan anak anda adalah warganegara Malaysia kerana bapanya adalah warganegara Malaysia.

4. Anda tinggal di Kuching. Bagi anda, Kuching adalah Bandar yang terunggul di Malaysia. Bagi anda, ia merupakan tempat yang paling baik untuk didiami, mempunyai warga yang paling ramah dan sungai yang paling bersih di Malaysia. Anda berpendapat bahawa Kuching seharusnya dijadikan ibu Negara Malaysia. Malangnya, Perlembagaan menyatakan bahawa Kuala Lumpur adalah ibu Negara Malaysia “sehinggalah Parlimen menentukan sebaliknya”. Jika anda mahukan Kuching sebagai ibu Negara Malaysia, anda terpaksa melobi Parlimen untuk membuat pindaan..

5. Anda menganut agama Buddha, jiran anda seorang Muslim, kawan baik anda adalah seorang Sikh dan rakan sekerja anda seorang Kristian. Dibawah Perkara 11 Perlembagaan, kita semua mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama kita sendiri.

6. Kerajaan merancang untuk membina sebuah lebuh raya baru di kawasan perumahan anda dan telah menyerahkan notis untuk mengambil tanah anda untuk tujuan tersebut. Perkara 13(1) Perlembagaan menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang boleh dilucutkan hartanya “kecuali mengikut undang-undang”. Oleh itu, kerajaan boleh mengambil tanah anda tetapi ia harus melakukannya mengikut proses undang-undang. Ini termasuklah memberi anda notis dan pampas an yang mencukupi.

7. Pahang baru sahaja memenangi Piala Malaysia. Untuk meraikan kemenangan itu, Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan cuti bagi negeri Pahang. Anda tinggal di Perlis tetapi adalah seorang peminat pasukan bola Pahang. Anda juga ingin bercuti, tetapi anda tidak boleh memaksa Kerajaan Negeri Perlis untuk mengumumkan cuti kerana setiap Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengumumkan cuti bagi negerinya sendiri. (Tetapi anda boleh pindah ke Pahang) Sila lihat perenggan 2 di atas).

8. Anda membayar cukai setip tahun. Untuk menggunakan wang yang anda bayar, Kerajaan Persekutuan harus membentangkan bajet di Parlimen untuk menerangkan bagaimana ia akan menggunakan wang tersebut. Sebelum Kerajaan Persekutuan boleh menggunakan wang tersebut , Parlimen harus meluluskan bajet tersebut. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan cara Kerajaan Persekutuan akan membelanjakan wang, anda boleh menyuruh ahli parlimen anda untuk mencadangkan pindaan kepada bajet di Parlimen.

9. Anda telah ditahan polis dan dibawa ke balai polis. Anda memaklumkan kepada polis bahawa anda mahukan khidmat seorang peguam untuk mewakili anda. Pihak polis harus membenarkan anda menghubungi peguam anda kerana Perkara 5(3) Perlembagaan menyatakan bahawa anda mempunyai hak untuk diwakili oleh seorang peguam.

10. Anda mempunyai hak untuk belajar, bertutur dan menggunakan bahasa lain walaupun Perkara 152(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahaa kebangsaan.

Soalan-soalan Lazim mengenai Perlembagaan

1. Haruskah saya mematuhi Perlembagaan?

Ya, semua orang harus mematuhi Perlembagaan , termasuklah diri anda, ahli Parlimen anda, para hakim, pegawai-pegawai kerajaan, pasukan polis, syarikat-syarikat dan persatuan-persatuan. Malahan, Perdana Menteri, Kabinet, ahli Parlimen, para hakim dan juga Yang di-Pertuan Agong mengambil ikrar bahawa mereka akan mematuhi Perlembagaan.

Anda sendiri berikrar untuk mematuhi Perlembagaan setiap kali anda melafazkan Rukun Negara.

2. Apa akan berlaku sekiranya seseorang itu tidak mematuhi Perlembagaan?

Perlembagaan secara amnya memberikan kuasa, meletakkan tanggungjawab dan menentukan peranan. Sekiranya seseorang atau sebuah institusi tidak bertindak mengikut kuaa atau peranan yang diberikan kepada mereka, maknanya tindakan mereka adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.


3. Apa yang akan terjadi sekiranya terdapat perselisihan berkenaan dengan maksud peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan? Siapa yang akan memutuskannya.

Mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan segala perkara berkenaan dengan tafsiran Perlembagaan. Apabila Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan tentang maksud sesuatu peruntukan, keputusan itu berkuat kuasa ke atas semua sehinggalah ia diputuskan semula oleh Mahkamah Persekutuan.

4. Bolehkah Perlembagaan dipinda?

Ya, ia boleh dipinda, malahan Perlembagaan kita telah dipinda beberapa kali.

Perkara 159 Perlembagaan menyatakan bahawa secara amnya, Perlembagaan boleh dipinda sekiranya rang undang-undang (yakni cadangan untuk pindaan) diluluskan oleh tidak kurang daripada dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

5. Parlimen bagaikan mempunyai kuasa yang banyak untuk membuat pindaan ke atas Perlembagaan. Apakah caranya untuk kita memastikan bahawa kuasa tersebut tidak disalahgunakan?


Pertama, ahli-ahli Parlimen dipilih oleh rakyat Malaysia seperti kita. Sekiranya cadangan pindaan itu tidak disokong oleh rakyat, maka ahli-ahli Parlimen tidak mungkin menyokong pindaan tersebut. Jika tidak mereka mungkin tidak dipilih semula ke Parlimen pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan apa-apa cadangan pindaan, anda boleh menyuarakan pendapat anda kepada ahli Parlimen anda atau mana-mana ahli Parlimen.

Kedua, semua ahli Parlimen mengangkat sumpah bahawa mereka akan “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan. Ada pihak berhujah bahawa sumpah ini bermakna ahli Parlimen tidak seharusnya membuat pindaan ke atas bahagian-bahagian penting dan perlu di dalam Perlembagaan.

6. Dimana saya boleh mendapatkan sesalinan Perlembagaan?

Anda boleh membeli sesalinan di kedai-kedai buku utama. Sesalinan juga boleh didapati di laman sesawang kami

www.perlembagaanku.com


1 MALAYSIA
“Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”

Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam. Konsep ini akan direalisasikan dengan memberi keutamaan kepada pencapaian dan kehendak rakyat sesuai dengan slogan yang pegang oleh Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Matlamat konsep ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkan rakyat yang berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mengambil kira kehendak dan sensitiviti semua kumpulan etnik yang terdapat di dalam negara ini.

Tiga Prinsip Teras 1Malaysia
1Malaysia diwujudkan bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional. Ia bagi membina perpaduan yang lebih kental dan penghayatan yang lebih mendalam mengenai perpaduan nasional. 1Malaysia adalah pemangkin kepada mengujudkan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyatnya. 1Malaysia disandarkan kepada tiga teras dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu:
1. Prinsip Penerimaan
2. Prinsip Kenegaraan
3. Prinsip Keadilan Sosial

Prinsip Penerimaan
Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia.

Prinsip Kenegaraan
Kepentingan semangat patriotisme dan pengukuhan ikatan perpaduan antara kaum telah disedari oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman telah berjaya dalam misi mendapatkan kemerdekaan hasil kesepakatan dalam Parti Perikatan. Parti yang menggabungkan tiga kaum utama ini iaitu Melayu (UMNO), India (MIC) dan Cina (MCA) telah berjaya meyakinkan British akan kemampuan rakyat negara ini untuk berkerajaan sendiri.

Walaupun ikatan perpaduan di peringkat awal penubuhan Malaysia agak longgar, namun Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyedarkan rakyat negara ini bahawa perpaduan negara bukan satu isu yang boleh dipandang remeh. Ekoran itu, Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri ketika itu telah mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan membetulkan keadaan sosial masyarakat pada masa itu. Misi ini diteruskan dan disemarakkan lagi oleh pemimpin berikutnya iaitu Tun Hussien Onn sehingga diberi gelaran ‘Bapa Perpaduan’. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi meneruskan inspirasi negara berhubung dengan semangat patriotisme dan perpaduan dengan pelbagai konsep dan program yang dirangka dalam memastikan keharmonian dan keamanan akan terus dikecapi rakyat negara ini.

Prinsip Keadilan Sosial
Setiap kaum di Malaysia telah diberi keadilan. Hak dan kepentingan masing-masing telah dipelihara melalui Perlembagaan Negara yang telah dipersetujui bersama. Melalui Konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Namun begitu Konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan.

8 Nilai 1Malaysia
Terdapat lapan nilai yang telah digarapkan dalam Konsep 1Malaysia. Nilai-nilai ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat.

Budaya Kecemerlangan
Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi di mata dunia.

Ketabahan
Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Rendah Hati
Sifat rendah hati amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dalam budaya masyarakat Melayu. Sifat rendah hati bukan bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Sifat ini perlu diamalkan secara berhemah agar orang tidak memandang rendah kepada kemampuan dan kredibiliti kita namun dalam masa yang sama kita tidak mahu orang melabelkan kita sebagai orang yang bongkak dan meninggi diri.

Penerimaan
Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima dan menghormati hak, cara hidup, kebudayaan dan pegangan agama kaum-kaum yang terdapat di negara ini. Sikap saling menerima ini akan mempengaruhi ikatan perpaduan antara kaum.

Kesetiaan
Rakyat Malaysia perlu mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan kepada negara ini penting untuk membangkitkan semangat patriotisme iaitu cintakan negara tanpa mengira asal keturunan kita.

Meritokrasi
Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

Pendidikan
Pendidikan dan pengetahuan adalah asas dalam pembentukan modal insan yang cemerlang. Ilmu yang tinggi dan sejajar dengan perkembangan semasa akan memastikan misi Malaysia menjadi negara maju akan tercapai dan modal insan yang berpengetahuan akan mampu bersiang sehingga ke peringkat global.

Integriti
Nilai integriti penting untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga peringkat akar umbi tanpa mengira kedudukan. Kepentingan negara perlu diletakkan paling atas mengatasi segala kepentingan lain.




Logo 1Malaysia
Logo 1Malaysia telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 27 Jun 2009 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Logo ini melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Logo ini juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu misi untuk membina satu Negara Bangsa.