PROFIL NEGARA

Sejarah Lagu Negaraku

Sejarah Lagu Negaraku
Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Irama "Negaraku" dipetik dari irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal dari lagu “Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles. “Negaraku” menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.

Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap sedia untuk menanti hari kemerdekaan. Lagu Kebangsaan perlu diperdengarkan dalam upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan. Namun empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan Negara Malaysia. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.

Skor lagu “Negaraku” telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata lagu Kebangsaan “Negaraku” telah disediakan oleh satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu.

Lagu Kebangsaan “Negaraku” diperdengarkan buat pertama kalinya pada 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam tersebut, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi dengan Lagu Kebangsaan “Negaraku”. Bermula dari detik inilah, lagu “Negaraku” terus kekal menjadi lagu rasmi negara.

 

Rukun Negara

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13. Rukun Negara diperkenalkan ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang membawa impak goyangnya perpaduan antara kaum di Malaysia. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memelihara dan menggalakkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Bahawasanya Negara Kita Malaysia
mendukung cita-cita hendak:
• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
• Memelihara satu cara hidup demokratik;
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
• Menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
• Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:-
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

Bendera Malaysia

Bendera Malaysia merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Bendera Malaysia juga dikenali sebagai Jalur Gemilang. Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-Negara Komanwel.

Sejarah Bendera Malaysia
Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah (arkitek kerajaan di Johor) dipilih sebagai pemenang. Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King Goerge VI pada 26 Mei 1950.

Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, namun Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya. Setelah berkibar megah sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah mengukir satu lagi sejarah bagi bendera Malaysia dengan memberikan nama baru kepada Bendera Malaysia iaitu JALUR GEMILANG.

Susunan Keutamaan Bendera
Susunan keutamaan Bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam perkara 70 Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, susunan keutamaan bendera yang diguna pakai bagi tahun 2010 adalah seperti berikut:-
1. Malaysia
2. Kedah
3. Pahang
4. Perak
5. Perlis
6. Selangor
7. Negeri Sembilan
8. Johor
9. Kelantan
10. Terengganu
11. Sarawak
12. Pulau Pinang
13. Sabah
14. Melaka
15. Wilayah Persekutuan

Jata Negara Malaysia





Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.

Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tiada Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri merupakan sebahagian dari Negeri-Negeri Selat satu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu; warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna negeri Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini ialah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

  
RINGKASAN SEJARAH MALAYSIA 

Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut. Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada zaman inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. 

Selepas Portugis, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan. Terdapat beberapa individu mula bangkit menentang penjajah namun disebabkan usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan, penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain. Dalam era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. 

Hasilnya muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Perjuangan mereka mula melibatkan wadah media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada di kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS). Perjuangan golongan ini mula bermatlamat untuk mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Dalam usaha rakyat Malaysia memperjuangkan kemerdekaan, Tanah Melayu telah dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermula satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 dan akhirnya telah menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Pengunduran Jepun telah memberi sedikit ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). 

Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat penentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri. Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Perikatan dengan dua parti utama iaitu kaum Cina dan India mula membuka mata British untuk membenarkan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. 

Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi harapan bahawa negara akan mendapat taraf merdeka sepenuhnya menjelang 31 Ogos 1957. Setelah kemerdekaan dicapai, negara berhadapan pula dengan masalah apabila ingin menubuhkan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura. Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA terjelma pada 16 September 1963.

 

1Malaysia dalam Lipatan Kemerdekaan


Acara Penuh Emosi
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1956. Bertempat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, pengisytiharan kemerdekaan ini dibaca di hadapan Raja-Raja Melayu dengan disaksikan oleh 20,000 rakyat tempatan, 26 perwakilan asing serta 21 tetamu khas. Selepas membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku mengangkat tangan dan melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat dan laungan itu mendapat sambutan daripada hadirin dengan pekikan gemuruh sehingga menggegarkan suasana stadium. Majlis diteruskan dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh Angkatan Tentera Laut diiringi lagu kebangsaan “Negaraku’ dan bedilan meriam sebanyak 101 das. Acara penuh emosi disambung dengan laungan azan sebagai tanda kesyukuran berakhirnya sebuah penderitaan yang panjang. Peristiwa ini juga menandakan lahirnya sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Pengorbanan Hati dan Perasaan
Menyingkap peristiwa bersejarah ini, memberi peluang kepada generasi muda mengetahui erti kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan menuntut banyak pengorbanan. Bukan setakat berkorban harta. Bukan setakat berkorban masa. Pengorbanan mereka hingga ke peringkat mengorbankan hati dan perasaan. Walaupun pada peringkat awal perjuangan, ada cadangan yang mahukan kita berjuang menuntut kemerdekaan melalui peperangan namun, Tunku Abdul Rahman tetap berkeras untuk cuba membebaskan Tanah Melayu tanpa melibatkan pertumpahan darah. Beliau tidak mahu rakyat terkorban. Beliau tidak mahu ada rakyat hidup dalam kesusahan akibat peperangan. Daripada peringkat awal ini, sudah terserlah pimpinan Persekutuan Tanah Melayu mendahulukan rakyat seiring dengan apa yang diperjuangkan dalam gagasan 1Malaysia.

Prinsip Penerimaan
Apa yang dikatakan sebagai pengorbanan hati dan perasaan ini ialah satu pengorbanan berbentuk emosi yang bukan semua orang mampu melakukannya. Pengorbanan ini kalau dikaitkan dengan gagasan 1Malaysia, ia terserlah dalam prinsip pertama iaitu prinsip penerimaan. Penerimaan dalam konteks pengorbanan yang membawa kepada kemerdekaan ialah kesediaan pimpinan Tunku Abdul Rahman menerima kaum-kaum lain iaitu kaum Cina dan India untuk sama-sama berjuang mendapatkan kemerdekaan.

Prinsip penerimaan ini telah berjaya menggabungkan tiga parti politik utama iaitu UMNO, MIC dan MCA membentuk parti PERIKATAN. PERIKATAN telah mendapat kepercayaan majoriti dalam pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada tahun 1955. Kemenangan besar ini akhirnya memberi kepercayaan kepada British bahawa Tanah Melayu sudah bersedia untuk berkerajaan sendiri.

Perpaduan Dalam Kepelbagaian
Penggabungan ini juga membuktikan kewujudan bibit-bibit perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum pada waktu itu. Perpaduan ini juga telah membentuk satu pasukan perundingan yang dihantar ke London bagi mendapatkan kemerdekaan negara pada Februari 1956. Rombongan Tunku bersama-sama wakil-wakil kaum lain seperti V.T. Sambanthan dan Tan Cheng Lok, telah berjaya membuahkan hasil apabila British berjanji akan memberikan taraf Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1956.

Dalam peringkat pembentukan sebuah negara yang bebas dan berdaulat, penerimaan kaum Melayu untuk memberikan taraf warganegara kepada kaum migrasi Cina dan India juga membuktikan bahawa ia merupakan satu bentuk pengorbanan yang besar. Kaum Cina dan India pula menerima hakikat bahawa kaum Melayu akan menerima hak istimewa sebagai bumiputera dan kesemua pengorbanan ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan ini telah memberi hak yang tepat kepada rakyat dan pada hari ini dalam 1Malaysia, perjuangan membentuk perpaduan juga berlandaskan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Prinsip Kenegaraan dan Keadilan Sosial
Selain prinsip penerimaan, dua lagi prinsip teras dalam 1Malaysia iaitu kenegaraan dan keadilan sosial, memang sudah terlihat dalam perjuangan kemerdekaan. Kenegaraan yang dikaitkan dengan semangat nasionalisme dan cintakan negara telah membuatkan Tunku Abdul Rahman bersama-sama UMNO bangkit menentang Malayan Union. Semangat kaum Melayu ini akhirnya berjaya meresapi dua kaum lagi iaitu Cina dan India untuk sama-sama bangun berjuang membebaskan tanah air dari belenggu penjajah. Walaupun pada peringkat awalnya, migrasi Cina dan India menumpahkan taat setia mereka kepada negara asal masing-masing, namun apabila mereka suda lama bertapak di tanah Melayu, perasaan sayang dan cintakan negara mula timbul dan melalui MIC dan MCA, mereka bergabung dengan orang Melayu berjuang demi negara tercinta.

Dalam prinsip keadilan sosial pula, semua rakyat Tanah Melayu akan terbela nasibnya dan tidak akan ada mana-mana kaum yang akan dipinggirkan. Hal ini jelas dapat dilihat di awal pembentukan Persekutuan Tanah Melayu khususnya dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan merupakan satu dokumen yang memelihara hak semua kaum dan ia merupakan satu dokumen undang-undang yang tertinggi. Dalam usaha mencapai kemerdekaan, perbincangan antara kaum yang dikenali dengan kontrak sosial ini membuahkan hasil di mana semua kaum bersetuju bahawa mereka telah dan akan mendapat hak masing-masing dan hak itu terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

1Malaysia, Satu Kesinambungan
Ketiga-tiga prinsip dalam gagasan 1Malaysia sudah terbukti berjaya membawa Tanah Melayu mengecap kemerdekaan setelah berada di bawah penjajah selama 446 tahun. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia adalah satu kesinambungan daripada perjuangan generasi lampau. Ia juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia memberi satu penyelesaian yang baik bagi sebarang pertikaian yang melibatkan perpaduan kaum. Elemen 1Malaysia nampaknya telah berjaya membawa Tanah Melayu berdiri megah sebagai satu negara yang merdeka dan berdaulat. Hari ini, kita dalam perjuangan membawa 1Malaysia untuk menjadikan negara kita sebagai negara yang berpendapatan tinggi seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020.

 

MALAYSIAKU YANG MERDEKA

Malaysiaku Yang Merdeka
Kemerdekaan yang dinikmati oleh generasi hari ini adalah hasil perjuangan masyarakat lampau. Mereka telah berjuang dengan segala keringat yang ada sehingga berjaya membuahkan hasil iaitu bebasnya Tanah Melayu ini dari cengkaman penjajah. Selama 219 tahun penjajah mengaut keuntungan di negara bertuah ini, akhirnya pada 31 Ogos 1957, negara bebas sepenuhnya untuk membentuk kerajaan sendiri. Hasil kemerdekaan inilah yang kita kecapi hari ini di mana pembangunan negara dapat di rancang dan dilaksanakan tanpa halangan dan rakyat dapat membina kehidupan yang sejahtera dalam keadaan aman dan damai.

Cengkaman Penjajah Inggeris
Penduduk Tanah Melayu semasa penjajah Inggeris boleh diibaratkan sebagai kerbau yang dicucuk hidungnya. Raja-Raja dan Pembesar hilang kuasa dan segala kekayaan negara dikaut sewenangnya. Ekoran kehilangan kuasa ini, muncul pejuang-pejuang yang cuba untuk mendapatkan hak mereka seterusnya berjuang untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Sultan Abdullah merupakan salah seorang Raja yang bangun menetang penjajah Inggeris akibat kehilangan kuasa.

Perjuangan Awal
Pembesar-pembesar Melayu yang telah dinafikan hak mereka dan raja-raja yang kehilangan kuasa telah bangun menentang penjajah. Perjuangan mereka ini telah mencetuskan pemberontakan di beberapa negeri dan daerah. Dol Said di Naning, Raja Mahadi di Selangor, Dato’ Maharaja Lela di Perak, Mat Kilau di Pahang dan beberapa pejuang lain telah bangun menentang Inggeris khususnya Sistem Residen yang telah menenggelamkan kuasa mereka. Disebabkan pemberontakan ini bersifat setempat dan tidak menyeluruh, kuasa Inggeris telah berjaya menumpaskan setiap percubaan dengan mudah.

Jepun dan Komunis
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945 telah meninggalkan titik hitam yang mendalam di hati masyarakat Tanah Melayu. Mereka telah diseksa dengan kejam dan dibunuh dengan sewenangnya. Bangsa Melayu juga tidak terlepas daripada kekejaman Jepun sehinggakan mereka mulai sedar bahawa sudah sampai masanya penduduk bersatu hati membebaskan diri dari terus dijajah. Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA). Komunis juga telah bertindak kejam pada penduduk tempatan dalam usaha meraih sokongan bagi menentang British.

Darurat
Tanah Melayu telah diisytiharkan darurat pada tahun 1948 hingga 1960. Darurat diisytiharkan ekoran keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh komunis. Mereka telah membunuh orang Inggeris dan penduduk tempatan yang menentang mereka. Kekejaman mereka tidak mungkin dilupakan begitu sahaja oleh penduduk Tanah Melayu khususnya selepas peristiwa di Kepong. Ramai lagi askar-askar Melayu yang cacat anggota akibat keganasan komunis.

Penerusan Satu Perjuangan
Golongan yang mendapat pendidikan agama dari timur tengah, golongan yang mendapat pendidikan Inggeris dan golongan yang mendapat pendidikan Melayu dari Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim telah bangun untuk menyedarkan rakyat Tanah Melayu yang lena dibuai mimpi dan janji palsu penjajah. Dalam era ini, medium seperti akhbar dan majalah mula menguasai perjuangan mereka. Akhbar seperti Al-Imam, Al-Ikhwan, Saudara dan Neracha menjadi wadah menyebarkan ideologi perjuangan mereka. Antara tokoh yang terlibat ialah Mohamad Eunos Abdullah, S.M Zainal Abidin, Ishak Haji Muhammad dan Ibrahim Hj. Yaakob. Pejuang-pejuang ini mula bergerak secara berpersatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang turut menerbitkan Warta Malaya dan Majlis sebagai wadah menyebarkan idea perjuangan.

Kemerdekaan : Hasil Satu Perjuangan
Suara penentangan semakin lantang dengan penolakan beramai-ramai apabila Inggeris cuba memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Rakyat daripada segenap lapisan masyarakat walaupun disogok dengan idea komunisme, telah menolak semua anasir tersebut dengan merasakan bahawa sudah tiba masanya rakyat negara ini mendapat hak masing-masing. Melalui Parti Perikatan, mereka berjuang untuk memperoleh kemerdekaan mutlak daripada Inggeris. Pilihan raya 1955 menyaksikan kemampuan negara untuk berkerajaan sendiri. Hasil penyatuan tiga kaum utama telah memberi keyakinan kepada Inggeris bahawa sudah sampai masanya mereka berundur.

Perjuangan orang Melayu melalui parti politik UMNO yang ditubuhkan pada 1946 mula membuahkan hasil apabila berjaya bergabung dengan parti politik kaum lain. Orang Cina yang menubuhkan MCA pada 1949 dan Orang India yang menubuhkan MIC pada 1945 telah bertolak ansur dengan kaum majoriti Melayu dengan membentuk kesepakatan melalui Parti Perikatan. Penggabungan ini menyebabkan perjuangan peringkat ini adalah perjuangan yang menyeluruh. Penjajahan Inggeris yang sebelum ini langsung tidak mengambil kira kepentingan penduduk tempatan mula membuka mata mereka dan sedar bahawa perpaduan antara tiga kaum utama ini pastinya sukar di patahkan seumpama segenggam lidi yang sudah dijadikan penyapu. Tekat membebaskan negara dari penjajah sudah bulat dan wakil negara ke London yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berjaya mendapatkan janji Inggeris bahawa negara akan merdeka menjelang 31 Ogos 1957.

Nama-nama besar seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, dan V.T Sambanthan harus terus dicanang agar usaha mereka yang telah berjaya membuahkan hasil kemerdekaan akan terus dikenang. 31 Ogos 1957 menjadi saksi segenap lapisan masyarakat bahawa negara telah bebas dari belenggu penjajah.

Pasca Kemerdekaan
Kedudukan Tanah Melayu selepas kemerdekaan juga mencabar. Hasil usaha Tunku Abdul Rahman, Sabah dan Sarawak serta Singapura berjaya disatukan di bawah satu negara yang diberi nama Malaysia. Walaupun Indonesia telah melancarkan konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia, namun Malaysia telah berjaya menghadapinya. Penduduk Malaysia yang berbilang bangsa telah mencetuskan satu lagi titik hitam dalam sejarah iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Ekoran peristiwa itu, kepentingan perpaduan mula menjadi agenda penting dalam setiap perancangan pembangunan negara. Rukun Negara telah diperkenalkan bagi membangkitkan rasa cintakan negara. Dasar Ekonomi Baru juga diperkenalkan bagi menyusun semula masyarakat.

Pembangunan Negara
Rancangan Malaysia Pertama diperkenalkan pada tahun 1966-1970 bagi memberi garis panduan kepada kerja-kerja pembangunan negara. Rancangan lima tahun ini sudah menjangkaui Rancangan Malaysia Kesembilan bagi tahun 2006-2010. Pelbagai bentuk Pembangunan telah dirancang oleh pihak kerajaan sama ada pembangunan dari sudut fizikal mahupun dari sudut mental. Jadi tidak hairanlah kalau hari ini Malaysia sudah terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara Islam yang aman dan makmur walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang berlainan agama dan bangsa.

Merdeka dan Perpaduan
Ada pendapat yang menyatakan bahawa mengekalkan kemerdekaan adalah lebih susah daripada perjuangan mendapatkan kemerdekaan itu. Namun apa yang penting ialah semua rakyat sedar bahawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini menuntut perasaan saling hormat-menghormati. Masyarakat majmuk ini menuntut rakyatnya menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia dan masyarakat majmuk ini perlu sentiasa diingatkan akan kepentingan perpaduan. Tanpa perpaduan, segala yang dibina dalam negara selama ini, akan hancur berkecai seumpama kaca yang jatuh berderai. Pengenalan konsep 1Malaysia oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia amatlah bertepatan dengan struktur masyarakat negara ini. Tema “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” pula bertepatan dengan kehendak semasa masyarakat negara ini. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum harus saling hormat menghormati dan bersatu padu dalam menjaga perpaduan antara kaum.

Tarikh-Tarikh keramat

• Pendudukan Inggeris di Pulau Pinang - 11 Ogos 1786
• Perjanjian Inggeris-Belanda - 17 Mac 1824
• Kesatuan Melayu Muda - 1938
• Malayan Union - 1 April 1946
• Persekutuan Tanah Melayu - 1 Feb 1948
• Penubuhan UMNO - 11 Mei 1946
• Penubuhan MIC - bulan Ogos 1945
• Penubuhan MCA - 27 Februari 1949
• Parti Perikatan – 1952
• Pilihan Raya Umum Pertama - 27 Julai 1955
• Rundingan Parti Perikatan di London (Perjanjian Kemerdekaan) - 8 Feb 1956
• Barisan Nasional - 1 Jan 1973

CORETAN KENANGAN : Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Pengenalan
Makanan bukan peluru; rumah bukan berek; pakaian bukan uniform. Itu lah dasar yang menjadi pegangan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam memperjuangkan nasib penduduk Tanah Melayu. Semuanya tercatat dalam bahasa yang mudah dan menarik dalam buku Coretan Kenangan: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Buku setebal 508 muka surat ini, telah merakam dengan jelas 53 artikel yang pernah disiarkan dalam ruangan Looking Back, akhbar The Star. Artikel-artikel ini telah ditulis sendiri oleh Tunku dan diterbitkan antara 16 Disember 1974 hingga 16 Ogos 1976.

Semua artikel ini yang telah dibukukan dan diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia sehingga menjadi satu khazanah yang tidak ternilai adalah hasil tulisan tokoh yang mencorakkan sendiri sejarah berkenaan. Menerusi artikel-artikel tersebut, Tunku bukan sahaja mengimbau kembali era perjuangan nasionalisme menuntut kemerdekaan negara, tetapi yang lebih menarik adalah cerita di sebalik sejarah yang tercatat pada hari ini. Menerusi buku ini pembaca berpeluang merasai pahit getirnya perjuangan menuntut kemerdekaan negara seterusnya kekuatan yang perlu ada dalam menghadapi era pasca kemerdekaan. Tunku mengimbau kembali orang-orang yang mencorakkan catatan sejarah hari ini dengan memberi perspektif daripada pelbagai sudut pandangan.

Peluangnya menjawat jawatan sebagai pengerusi The Star bagaikan ‘bulan jatuh ke riba’ kerana dengan jawatan tersebut, Tunku berkesempatan untuk menyumbangkan hasil tulisannya bagi tatapan generasi akan datang. “Saya gembira dilantik menjadi pengerusi The Star. Ia memberi satu lagi keseronokan dalam hidup saya dan saya harap saya mampu menyumbangkan sebahagian masa saya terhadap akhbar ini. Saya juga gembira kerana dengan pelantikan ini saya dapat merakamkan kenangan saya dan menulis tentang pelbagai peristiwa yang berlaku ketika saya mula-mula menyertai politik, tentang pengalaman saya selama 13 tahun menjadi Perdana Menteri sejak 1957 dan akhir sekali tentang episod dan personaliti penting, baik dari dalam mahupun luar negara, sejak persaraan saya mulai 22 September 1970.”

Antara Yang Menarik

Personaliti
Sebagai seorang pembaca yang prihatin, setelah membaca buku ini anda akan mendapati keperibadian sebenar Tunku yang penuh dengan semangat juang yang tinggi. Walaupun berketurunan raja, Tunku tidak memiliki harta yang banyak dan baginda tidak mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan negara sepanjang menjawat jawatan nombor satu negara. Tunku rela hidup di rumah yang ‘berhantu’ yang bocor atapnya dan baginda juga sanggup menaiki kapal api untuk ke London.

Tunku merupakan seorang peminat sukan lumba kuda dan bola sepak yang fanatik. Tunku juga seorang yang bijak menyelesaikan masalah. Contoh yang paling mudah ialah masalah yang dihadapi semasa menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mempunyai tiga anggota berbangsa India. Dua antara mereka ini sering bergaduh sesama sendiri dalam mesyuarat sehingga satu hari Tunku menjerit dan menghentak meja dengan menyatakan bahawa “saya amat menyanjung tinggi En. Ghandi dan En. Nehru”. Anggota itu bertanya kepada Tunku, apa kaitan kenyataan tersebut dengan mesyuarat ini. Tunku menjawab dengan menyatakan “sekurang-kurangnya mereka dapat mengawal 500 juta orang India, tetapi saya tak dapat mengawal anda berdua”. Sejak daripada itu, mereka tidak bagi membuat bising dalam mesyuarat.

Tunku juga mengambil kesempatan dari hasil tulisannya untuk mengingatkan generasi hari ini dengan nasihat dan panduan yang berguna antaranya ialah “Barangkali ada baiknya bagi sesetengah pegawai muda dan mereka yang memegang kuasa di Malaysia supaya beringat bahawa kadang-kadang adalah lebih baik bertindak dengan cara yang kurang rasmi tetapi lebih berperikemanusiaan. Lagipun kita perlu ingat bahawa mereka yang berada di puncak akhirnya akan terpaksa turun juga.”

UMNO dan kemerdekaan
Dalam buku ini tercatat suka duka Tunku bersama parti itu sehingga lahirnya ungkapan berikut “Saya telah menceritakan tentang pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku sejak UMNO ditubuhkan, termasuk perjuangan parti itu dalam menuntut kemerdekaan, bagaimana kami menawan hati kaum Cina dan India untuk menyebelahi kami, peranan yang dimainkan oleh UMNO dalam membawa kesejahteraan kepada pelbagai kaum di tanah Melayu dan bagaimana kami berusaha untuk menubuhkan Malaysia.” Usahanya menggabungkan tiga komponen parti mengikut kaum iaitu UMNO, MIC, dan MCA telah memberi keyakinan kepada Britain untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Pilihan Raya
Dalam pilihan raya yang pertama, Kapal Layar dipilih sebagai simbol Parti Perikatan dalam sebuah mesyuarat di Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur. Simbol itu direka bentuk oleh Encik Ismail Bontak. Seorang pelawak radio Malaya yang juga merupakan seorang polis bantuan berpangkat Sarjan. Debaran menanti keputusan pilihan raya pertama yang diadakan di Tanah Melayu pada tahun 1955 telah dirakam dengan jelas. Tunku turut menceritakan pergolakan yang berlaku sebelum pilihan raya diadakan dan keputusan yang diperoleh oleh Parti Perikatan.

Sistem Pemerintahan
Dalam buku ini tercatat perkara menarik yang berkaitan dengan sistem demokrasi yang dirakamkan menerusi kisah Tunku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama dengan seorang ketua negara dari Timur Tengah. Disebabkan pemimpin itu tidak menyukai Tunku, beliau meminta Yang di-Pertua Agong memecat Tunku tetapi Agong menjawab, “Sebenarnya beta tidak boleh pecat beliau, dia dipilih oleh rakyat dan sebagai Perdana Menteri negara ini, beliau boleh memecat beta”.

Perpaduan
Bagi Tunku, perpaduan yang rapuh mampu menggoncang keamanan sesebuah negara khususnya bagi negara seperti Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa. “masa depan kita bergantung pada keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Malaysia. Kita mestilah menjadikannya sebagai tanggungjawab kita untuk menjaga negara kita serta mereka yang tinggal di sini selama beberapa generasi akan datang.”

Pembentukan Malaysia
Tunku turut menyentuh mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pembentukan Malaysia. Antara cabaran yang disentuh ialah penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura. Cabaran daripada pihak Indonesia dan juga Filipina tidak kurang hebatnya apabila masing-masing berusaha menggagalkan rancangan penubuhan Malaysia. Sikap Indonesia dan Filipina yang tidak bersetuju dengan penubuhan Malaysia mencetuskan apa yang di panggil konfrontasi. Masing-masing telah mendakwa pelbagai perkara seperti penubuhan Malaysia adalah bentuk penjajahan baru dan banyak lagi dakwaan yang lain. Membaca akan turut berpeluang merasai perit getirnya pengalaman Tunku menangkis pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Ancaman Komunis dan Jepun
Selepas pembunuhan seorang pengurus ladang di Sungai Siput pada 6 Jun 1948, komunis memulakan perang mereka secara habis-habisan dan mengakibatkan berlakunya darurat selama 12 tahun. Walaupun darurat kemudiannya diisytiharkan berakhir pada 1960, namun komunis tetap menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Rundingan Baling yang menggunakan kod “Operation Pink Gin” adalah satu langkah yang diambil Tunku dalam usaha menghapuskan ancaman komunis dan mengembalikan keamanan dan kepercayaan rakyat Tanah Melayu.

Pada zaman pemerintahan Jepun, Tunku menyentuh mengenai peristiwa yang dialaminya semasa menculik bapanya. Tindakan Jepun yang kejam telah mendorong Tunku untuk melarikan ayahandanya untuk disembunyikan di kawasan yang lebih selamat. “Oleh sebab kami sudah biasa dengan sikap orang Jepun yang terkenal kerana budi bahasa mereka yang halus, kami terkejut apabila melihat tentera ini yang berperangai seperti orang liar yang tidak bertamadun”. Itulah gambaran yang diberikan tentang kelakuan tentera Jepun di bawah pemerintah Fujiwara Kika.

Persahabatan dan Permusuhan
Dalam buku ini Tunku banyak menyentuh mengenai keperibadian orang-orang di sekelilingnya termasuk kawan dan musuh. Antara yang menarik untuk disoroti ialah bagaimana Tunku dituduh oleh seorang ketua menteri Sarawak ketika penubuhan Malaysia dengan menyatakan bahawa “Tidak dinafikan bahawa rancangan Perdana Menteri Malaysia itu ialah untuk meluaskan wilayah Malaysia dengan memindahkan Wilayah British Borneo daripada Great Britain kepada Persekutuan tanah Melayu. Beliau ingin menguasai sebuah negara kecil supaya beliau boleh mencapai cita-citanya yang sudah lama terpendam untuk meletakkan setiap sesuatu di bawah kekuasaannya. Sarawak adalah untuk rakyat Sarawak. Sekiranya beliau fikir beliau boleh menjadikan Sarawak tanah jajahan Malaysia, beliau hanya bermimpi di siang hari”.

Bagi golongan penduduk yang berbangsa Cina, Tunku turut berhubung rapat dengan mereka. Antaranya ialah T.H.Tan yang merupakan orang Cina yang banyak menyumbang kepada proses rundingan kemerdekaan negara. Tan Cheng Lock seorang lagi rakannya yang berbangsa Cina dikatakan sebagai seorang yang sering membuatkan orang ketawa dengan penggunaan bahasa pasarnya. Tun Sambanthan pula merupakan sahabat yang berbangsa India yang amat gemar berpakaian Dhoti walaupun untuk bersidang di Dewan Rakyat. Jika anda berpeluang menghabiskan pembacaan buku ini anda akan mendapat tahu bagaimana Tunku berjaya mengubah tabiat pemakaian Dhoti Tun Sambanthan.

Dalam buku ini juga Tunku banyak menyentuh keperibadian rakan-rakannya yang lain seperti Tun Abdul Razak, Datuk Suleiman, Tun Datu Haji Mustapha, Tun Dr Ismail, dan banyak lagi. Selain daripada tokoh-tokoh tempatan yang hidup bersama-sama pada zaman pemerintahannya, Tunku turut menyentuh mengenai rakan-rakannya yang terdiri daripada pemimpin negara serantau yang lain seperti En. Ngoh Dinh Diem yang merupakan presiden Vietnam. Dalam menceritakan mengenai sahabatnya ini, pembaca akan mengetahui satu ‘rahsia besar’ antara Tanah Melayu dan Vietnam satu ketika dahulu. Pemimpin lain yang turut diberi perhatian ialah Putera Naradom Sihanouk dari Thailand, Sir Abu Bakar, Perdana Menteri Nigeria, Encik Robert Kennedy dari Amerika dan Malcom Macdonald yang merupakan seorang Pesuruhjaya Agung bagi Asia Tenggara. Tunku menyamakan Macdonald dengan pelawak terkenal Charlie Chaplin. Kenapa ? Buku ini ada jawapannya.

Tunku juga amat terpengaruh dengan seorang lagi sahabat yang menjadi idolanya iaitu Pandit Jawahalal Nehru dari India yang terkenal dengan slogan ‘perubahan akan berlaku. Malah Tunku juga terpengaruh dengan sikap pemimpin itu yang memegang prinsip “antara kawan-kawan mana ada protokol.”

Selain sahabat dalam dan luar negara, Tunku juga turut menyentuh mengenai abangnya iaitu Tungku Ibrahim. Kakandanya itu dikatakan sebagai manusia paling pelik dalam sejarah Kedah kerana memiliki keperibadian dan sikap yang jauh berbeza daripada manusia lain. Apa yang paling diingati Tunku ialah kakandanya itu pernah berkata bahawa “Beta tahu kamu ada kekuatan, beta tahu kamu ada orang dan tentera yang boleh kamu kerah untuk memaksa beta menerimanya. Tapi beta ada adat resam, tradisi dan tanggungjawab terhadap negeri beta. Beta ingin mempertahankan semua ini. Kamu boleh tembak beta dan orang-orang beta tapi tidak seorang pun tentera kamu yang dapat memusnahkan adat dan tradisi serta hak beta. Ia tidak akan mati. InsyaAllah ia akan terus hidup”.

Permusuhan yang paling ketara yang diceritakan oleh Tunku ialah melibatkan dua pemimpin negara jiran yang terdekat iaitu Soekarno, pemimpin Indonesia dan juga Macapagal, pemimpin Filipina. Kedua-dua pemimpin ini melancarkan konfrontasi dengan slogan “ganyang Malaysia” ketika penubuhan Malaysia malah mereka juga menyerang Tunku secara peribadi sehingga Tunku pernah dituduh melarikan isteri orang oleh pemimpin nombor satu Indonesia itu. Pemimpin Filipina pula disifatkan Tunku sebagai seorang yang “lain di mulut, lain di hati dan lain pula tindakannya.”

Membaca buku ini merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan menarik. Segenap lapisan masyarakat patut dan sesuai untuk membaca buku ini kerana ia bukan sahaja memberi maklumat mengenai sejarah negara tetapi juga mendedahkan rahsia, mendedahkan keperibadian, malah buku ini juga mampu menghiburkan pembaca dengan pengalaman-pengalaman lucu yang dialami Tunku. Setelah membacanya anda juga akan memahami banyak perkara yang terjadi di sebalik lipatan sejarah negara. Bahasanya yang begitu bersahaja dan mesra pembaca akan membawa pembaca bersama-sama dalam karakter yang wujud di dalamnya. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk memiliki buku ini dan bacalah.