21.9.12

MEMBANGUN INOVASI, MENCETUS KREATIVITI



MEMBANGUN INOVASI, MENCETUS KREATIVITI



Menurut Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang, dalam bukunya Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baru Ekonomi, menyatakan bahawa kreativiti membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baru. Inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea yang sedia ada sehingga memberi nilai tambah baru yang boleh diguna pakai dan dimanfaatkan serta boleh dijadikan sebagai produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan. Menyedari kepentingan budaya Inovasi dan kreativiti, Dato’ Sri Mohd Najib memberi penekanan kepada kedua-dua elemen ini dalam pentadbirannya termasuk menggalurkan Budaya Inovasi sebagai salah satu nilai aspirasi dalam gagasan 1Malaysia.  
Sebagai salah satu langkah merancakkan aktiviti inovasi dan pengkomersialan negara, Pusat Inovasi Negara (MyNIC) dan Pusat Kecemerlangan Inovasi (i-CoE) telah ditubuhkan 29 Oktober 2009. Dalam usaha menjadikan inovasi sebagai sebahagian daripada agenda utama negara, Dato’ Sri Najib mengharapkan agar pendekatan terhadap inovasi dapat meresap di segenap lapisan masyarakat. Kenyataan berikut disampaikan dalam Mesyuarat Keempat Majlis Inovasi Negara pada 29 Oktober 2009 :-

“Inovasi yang hendak dilaksanakan adalah bersifat menyeluruh dalam erti kata ia tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi sahaja. Seperti yang saya hurai dalam ucapan bajet baru-baru ini, ia melibatkan inovasi secara menyeluruh seperti tadbir urus, kemasyarakatan, bandar, desa, korporat industri, pendidikan penjagaan kesihatan, pengangkutan, jaringan keselamatan sosial dan penjenamaan.”

Keprihatinan Dato’ Sri Najib terhadap dua elemen ini dijelaskan lagi apabila 2010 diangkat menjadi Tahun Kreativiti dan Inovasi. Pada 27 Januari 2010, telah berlangsung Majlis Pelancaran Malaysia Inovatif 2010 di Putrajaya dengan tema “Meraikan Kreativiti”. Turut diperkenalkan dalam usaha meningkatkan momentum inovasi ialah Rangkaian Inovasi 4G yang diperkenalkan pada penghujung 2010. 

Negara-negara yang hebat dalam menjalankan inovasi seperti Jepun, Finland dan Amerika Syarikat berjaya membangunkan ekonomi dengan lebih pantas.  Sehubungan dengan itu, pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib berhasrat untuk menghasilkan impak yang kreatif dalam ekonomi global yang berdaya saing. Dalam pembentangan Belanjawan 2010, beliau telah menyentuh mengenai Model Ekonomi Baharu yang berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti tambah nilai. Semua itu dijangkakan akan menggandakan pendapatan per kapita rakyat dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.
Beliau turut menyarankan agar anggota perkhidmatan awam perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif sehingga menjangkau pemikiran dan keberanian untuk bereksperimen dengan menggunakan kaedah kerja baru di luar kotak kelaziman. Penghasilan inovasi secara terancang akan dapat menyumbang kepada objektif pembentukan ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti terutama di peringkat nasional amat penting kerana ia menggalakkan daya saing negara. Sambutan Hari Kualiti telah digantikan dengan Hari Inovasi yang ditetapkan pada 31 Oktober setiap tahun. Jabatan dan agensi perlu meraikan Hari Inovasi dengan mengadakan pelbagai program ke arah meningkatkan budaya inovasi dalam sektor awam.

 “...Mahu tidak mahu para penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak. Saya tidak mahu budaya automation menjadi satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.”
– Petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) pada 9 Mac 2010.

Contoh impak hasil inovasi yang telah berjaya ialah MyKAD di JPN Melaka yang telah berjaya mengurangkan tempoh menyiapkan setiap MyKAD dari 10 hari/80 jam kepada 1-2 jam dan pelanggan hanya perlu datang sekali sahaja ke pejabat JPN. Impak daripada inovasi mereka ialah penjimatan masa sehingga ke 97.5%. Hospital Putrajaya juga telah berjaya melaksanakan inovasinya dengan pesakit dapat mengambil ubat serta-merta di kaunter Take N Go dan 95% pesakit Farmasi Klinik Pakar mendapat ubat dalam masa 30 minit berbanding hanya 64% sebelum inovasi dijalankan. Selain itu, beberapa prosedur lain telah berjaya disingkatkan hasil inovasi yang diperkenalkan di hospital tersebut. Imigresen juga telah menunjukkan satu impak yang besar dalam pengurusan E-pasport. Inovasi yang dijalankan oleh mereka telah menaik taraf pejabat penerima pasport Malaysia kepada Pejabat Pengeluar Pasport di pejabat cawangan negeri dalam tempoh 1 jam hingga 2 jam berbanding tiga hari sebelum inovasi diperkenalkan.

Mulai tahun 2010, kerajaan telah bersetuju memperkenalkan Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) sebagai anugerah sektor awam yang terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf penghasilan inovasi yang benar-benar signifikan dan berimpak tinggi. Pewujudan AIPM juga akan membolehkan kerajaan memberi pengiktirafan kepada inovasi yang menyeluruh atau menyumbang kepada penghasilan ekonomi negara berpendapatan tinggi. Kriteria pemilihan AIPM merangkumi empat aspek utama yang memberi penekanan kepada keberhasilan atau outcome dan impak sesuatu inovasi. Empat aspek tersebut ialah inovatif, relevan, signifikan dan keberkesanan.

Semasa pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib sekali lagi menyentuh mengenai inovasi dan kreativiti dalam fokus kedua yang diberi penekanan daripada lima fokus utama Bajet 2012 iaitu mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi. Menurut Dato’ Sri Najib, inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua sektor, termasuk swasta, awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah termasuk kanak-kanak prasekolah. Sehubungan itu, Perdana Menteri mengumumkan 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, kerajaan mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan RM100 juta. 

Dalam memperkatakan mengenai Inovasi dan kreativiti ini, kepimpinan Dato’ Sri Mohd Najib sendiri menunjukkan ciri-ciri inovasi dan kreativiti tersebut. Beliau memperkenalkan pelbagai bentuk transformasi kepada dasar dan polisi sedia ada dengan memberi nafas baru dan beliau juga telah mewar-warkan apa yang diperbaharui tersebut kepada rakyat dengan harapan untuk mendapatkan maklum balas terhadap pembaharuan tersebut. Dari situ, langkah-langkah penambahbaikan dapat dijalankan dengan kadar segera ekoran faktor masa yang mula mencemburui kepimpinannya. Jika pada zaman Tun Mahathir, beliau mempunyai tempoh yang panjang iaitu 29 tahun untuk mencapai Wawasan 2020 (Wawasan 2020 diperkenalkan pada tahun 1991) namun, kepimpinan Dato’ Sri Najib hanya mempunyai 11 tahun sahaja untuk mencapai wawasan tersebut. Menyedari hakikat hambatan masa tersebutlah, Dato’ Sri Mohd Najib memberi penekanan kepada elemen inovasi dan kreativiti agar setiap yang dilakukan dapat dijalankan dengar kadar segera dan impak yang besar agar impian menuju Wawasan 2020 bukan sekadar mimpi di saing hari.

Tiada ulasan: