16.12.10

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

PENGENALAN
Sejarah penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula pada tahun 1953 dengan tertubuhnya Bahagian Kebudayaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertanggungjawab mengenai belia. Pada tahun 1964, Bahagian Kebudayaan ini telah dipindahkan di bawah Kementerian Penerangan. Ekoran daripada perkembangan yang pesat kegiatan belia secara berpersatuan, Bahagian Belia dan Bahagian Sukan telah ditubuhkan di bawah kementerian ini bertujuan memupuk serta memantau perkembangan tersebut. Kementerian Belia dan Sukan diwujudkan pada 15 Mei 1964, bersempena Hari Belia Negara. Pada tahun 1972, Bahagian Kebudayaan telah diwujudkan dan nama Kementerian Belia dan Sukan telah diubah kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Portfolio ini kekal sehingga tahun 1987 apabila Bahagian Kebudayaan telah dipindahkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dengan perpindahan Bahagian Kebudayaan itu, nama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah kembali kepada nama asalnya iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hingga sekarang. KBS telah diamanatkan untuk melaksanakan dasar kerajaan Malaysia khususnya dalam pembangunan belia dan sukan.
JABATAN/AGENSI

Majlis Sukan Negara
Majlis Sukan Negara ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979). Pelancarannya secara rasmi telah dilakukan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada 21 Februari 1972. Matlamat penubuhan Majlis Sukan Negara Malaysia adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara iaitu bertanggungjawab sepenuhnya ke arah penggalakan, pembangunan dan pencapaian cemerlang sukan pada pertandingan di peringkat tertinggi.

Majlis Sukan Negara Malaysia, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Peti Surat 10440, 50714 Kuala Lumpur. Tel: 03-8992 9600. Faks: 03-8996 7708. Laman web: www.nsc.gov.my.

Institut Sukan Negara (ISN)
Penubuhan Institut Sukan Negara (ISN) adalah sejajar dengan Dasar Sukan Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada 20 Januari 1988. Pembinaan ISN yang mengambil masa kira-kira tiga tahun, telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Annuar Hj. Musa, Menteri Belia dan Sukan ketika itu pada 20 Oktober 1992. Institut ini ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan sains sukan, perubatan sukan, penyelidikan dan pembangunan serta pendidikan berterusan ke arah mencapai kecemerlangan sukan negara. Ia juga merupakan pusat sumber maklumat dalam memberi ilmu bermanfaat kepada jurulatih-jurulatih negara seiring dengan fungsi ISN sebagai pusat kecemerlangan sukan negara.
Institut Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Sri Petaling 57000 Kuala Lumpur. Tel: 03-8992 9600. Faks: 03-8996 8748. Laman web: www.isn.gov.my.

Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil adalah kompleks sukan terbesar di Malaysia. Ia terletak di Bukit Jalil, 20 km sebelah selatan Kuala Lumpur. “Kompleks sukan dalam taman” ini mula dibina pada tahun 1992 ketika Malaysia dilantik menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Kompleks ini dibuka secara rasmi pada 11 Julai 1998 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Aras 1, Stadium Nasional, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur. Tel: 03-8994 4660. Faks: 03-8994 4663. Laman web: www.stadium.gov.my

Kompleks Sukan Bukit Kiara
Kompleks Sukan Bukit Kiara adalah kompleks sukan utama di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Kompleks ini adalah di bawah pengurusan Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) sejak 1 Julai 1998. Objektif utama PSM adalah menyediakan pentas dan saluran kepada atlet Malaysia untuk mempamerkan kebolehan atau kemahiran mereka dan menyumbang kepada pembangunan sukan di Malaysia.

Kompleks Sukan Bukit Kiara, Lot 3959, Jalan 1/70D, Bukit Kiara, 60000 Kuala Lumpur. Tel: 03-2095 4209. Faks: 03-2092 3718. Laman web: www.stadium.gov.my

Perbadanan Stadium Merdeka (PSM)
Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) adalah sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Stadium Merdeka 1963. Ia berperanan untuk mengurus dan mentadbir Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil serta Kompleks Sukan Bukit Kiara; memberikan khidmat nasihat dan panduan kepada penganjur acara; mempromosi dan mempelbagaikan acara; menyediakan kemudahan dan peralatan yang lengkap kepada para penganjur, pengguna dan penonton; dan menyewakan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil serta Kompleks Sukan Bukit Kiara lengkap dengan kemudahan dan peralatannya.

Perbadanan Stadium Merdeka, Aras 1, Stadium Nasional, Kompleks Sukan Negara
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur. Tel: 03-8994 4660. Faks: 03-8994 4663. Laman web: www.stadium.gov.my

Majlis Kecergasan Kebangsaan (NCF)
Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC) dilancarkan dengan jayanya oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 12 September 2004 di Bukit Jalil. Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC) ditubuhkan sebagai satu badan perunding, penyelaras, pengawal dan penasihat kepada pembangunan kecergasan agar menepati dan menyokong matlamat Dasar Sukan Negara dan Wawasan 2020.

Sekretariat Majlis Kecergasan Kebangsaan, Aras Bawah (G), Blok Podium, Menara KBS, No 27 Persiaran Perdana Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62570 Putrajaya. Tel: 03-8871 3703. Faks: 03-8871 2707.

Pusat Belia Antarabangsa Cheras (IYC)
Peranan utama institut ini ialah membangunkan kemahiran dalam kalangan belia Malaysia supaya selaras dengan keperluan National Occupational Skills Standard (NOSS) khususnya dan industri amnya. Latihan kemahiran telah ditawarkan kepada seramai mungkin belia dalam pelbagai bidang kemahiran melalui pelbagai pendekatan berinstitusi dan tidak berinstitusi bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja mahir dan separa mahir serta melahirkan teknoprenur muda yang berdaya saing.

Pusat Belia Antarabangsa Cheras (IYC), Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur. Tel: 03-9171 9204/05/06. Faks: 03-9172 6682. Laman web: http://www.iyckul.org.my

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM)
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) ialah sebuah pusat penyelidikan nasional di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan. Institut ini menjalankan kajian terhadap pelbagai aspek pembangunan belia dan kaitannya dengan perubahan yang berlaku di peringkat nasional, rantau dan antarabangsa. Untuk mencapai matlamatnya, IPPBM melaksanakan pelbagai program penyelidikan, menganjurkan persidangan, bengkel, syarahan dan seminar; menerbitkan jurnal dan monograf hasil penyelidikan serta mewujudkan program pendidikan dan latihan. Institut ini juga menyediakan kemudahan penyelidikan yang pelbagai, termasuklah sebagai sebuah pusat sumber dan data mengenai pembangunan belia. IPPBM telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 15 Mei 2005 bersempena dengan Hari Belia Malaysia.

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Aras 10, Menara KBS, No 27 Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62570 Putrajaya. Tel: 03-8871 3333. Laman Web: http://www.ippbm.gov.my

Tiada ulasan: