16.12.10

KEMENTERIAN KERJA RAYA (KKR)

PENGENALAN

Kementerian Kerja Raya (KKR) berperanan merancang, membina dan menyenggara infrastruktur dan kemudahan-kemudahan awam khasnya jalan raya dan bangunan-bangunan. Apabila berlaku penyusunan semula fungsi kementerian-kementerian pada 16 April 2004, kementerian ini mengekalkan fungsi-fungsi sedia ada kecuali fungsi mengenai air dipindahkan ke Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Kementerian Kerja Raya ditubuhkan pada tahun 1956 dengan nama Kementerian Kerja Raya, Pos dan Telekom. Pada tahun 1975, kementerian telah disusun semula dan dinamakan Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan. Perkembangan pesat pembangunan dan sosioekonomi negara pada tahun 1970, telah menyebabkan fungsi dan peranan kementerian bertambah. Sesuai dengan perkembangan tersebut, pada tahun 1978 sekali lagi fungsi dan nama kementerian ditukar kepada Kementerian Kerja Raya dan Kemudahan Awam. Selari dengan pengkhususan tanggungjawab, pada tahun 1980, kerajaan telah mengambil keputusan menamakan kementerian ini dengan nama Kementerian Kerja Raya dan nama itu kekal sehingga sekarang.

JABATAN/AGENSI

Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR)
JKR adalah agensi yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan pembinaan projek-projek pembangunan kerajaan. Ia juga berperanan dalam merancang, mereka bentuk dan membina projek-projek pembangunan prasarana negara. JKR juga telah menyusun sektor-sektor awam dan disokong oleh sektor pakar untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya kepada negara. Kepakaran JKR dibahagikan kepada tiga sektor iaitu Sektor Kepakaran, Sektor Bisnes dan Sektor Pengurusan.

Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ibu Pejabat JKR, Jalan Sultan Salahuddin, 50582 Kuala Lumpur. Tel: 03-2691 9011. Faks: 03-2698 8187. Laman web: www.jkr.gov.my


Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah sebuah badan berkanun yang telah ditubuhkan pada 24 Oktober 1980 mengikut Akta 231 (perbadanan 1980). Tujuan penubuhan LLM adalah untuk menyelia dan melaksanakan rekabentuk, pembinaan, pengawalan, pengendalian dan penyelenggaraan lebuh raya- lebuh raya, mengenakan dan mengutip tol, membuat kontrak dan membuat peruntukan-peruntukan berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Objektif penubuhan LLM pula adalah untuk merancang, merekabentuk, memaju, mengendali dan menyelenggarakan rangkaian lebuh raya moden yang lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan bagi mengadakan suatu rangkaian pengangkutan jalanraya yang cepat, selamat dan cekap untuk negara secara keseluruhannya, menghubungkan kesemua pekan utama yang sedia ada serta kawasan yang mempunyai potensi pembangunan ekonomi, budaya dan sosial serta perpaduan negara dan membolehkan suatu rangkaian pengangkutan jalanraya awam antara bandar yang berkesan diadakan di seluruh negara disamping melatih kakitangan bagi memajukan kepakaran mereka dalam semua aspek yang berkaitan dengan pembangunan, pengendalian dan penyelenggaraan lebuh raya. Selain itu, berdasarkan Akta 231, LLM juga berperanan untuk menyelia dan melaksanakan rekabentuk, pembinaan dan penyenggaraan lebuh raya-lebuh raya sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan, menyelia dan melaksanakan rekabentuk, pembinaan dan penyenggaraan kawasan-kawasan rehat dan rawat dan lain-lain kemudahan yang difikirkan perlu di sepanjang lebuh raya, memungut tol daripada pengguna-pengguna lebuh raya dan lain-lain bayaran dari kemudahan di sepanjang lebuh raya, merancang dan menjalankan penyelidikan untuk memastikan penggunaan lebuh raya yang cekap dan lain-lain kemudahan di sepanjang lebuh raya dan pada amnya melakukan apa-apa juga perkara untuk memajukan lagi lebuh raya. Walau bagaimanapun, selepas Dasar Penswastaan Negara diperkenalkan pada tahun 1983, peranan LLM sebagaimana yang telah digariskan oleh Akta 231, telah berubah iaitu dari sebuah badan yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas lebuh raya bertol, menjadi sebuah badan yang bertanggungjawab mengawalselia pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol di Malaysia. Ianya bagi memastikan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan selesa kepada pengguna-pengguna lebuh raya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia, Wisma Lebuhraya, KM 6 Jalan Serdang - Kajang 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-8737 3000/87383000 (10 talian). Faks: 03-8737 3555. Laman web: www.llmnet.gov.my

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

CIDB adalah agensi yang bertanggungjawab untuk membangunkan industri pembinaan supaya menjadi salah satu sektor utama yang akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Antara fungsi CIDB termasuk memaju dan menggalakkan pembangunan, pembaikan dan pengembangan industri pembinaan; menasihati dan membuat syor kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengenai perkara-perkara yang menyentuh atau berkaitan dengan industri pembinaan; memajukan, menggalakkan dan mengusahakan penyelidikan mengenai apa-apa perkara yang berhubung dengan industri pembinaan; memajukan, menggalakkan dan membantu eksport perkhidmatan berhubung dengan industri pembinaan; mengadakan perkhidmatan perundingan dan nasihat berkenaan dengan industri pembinaan; menggiat penstandardan dan pembaikan teknik pembinaan dan bahan-bahan binaan; memajukan jaminan kualiti dalam industri pembinaan dan bahan-bahan binaan; mendaya usahakan dan menyenggara sistem maklumat industri pembinaan; mengadakan, memajukan, mengkaji semula dan menyelaras program latihan pembinaan awam dan persendirian bagi pekerja-pekerja binaan dan penyelia-penyelia tapak binaan; mengakreditasi dan mendaftar kontraktor-kontraktor serta membatalkan, menggantung atau memasukkan semula pendaftaran mana-mana kontraktor berdaftar; dan mengakreditasi dan memperakui pekerja-pekerja binaan mahir dan penyelia-penyelia tapak.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Tingkat 7, Grand Seasons Avenue, 72, Jalan Pahang, 53000 Kuala Lumpur. Tel: 03-2617 0200. Faks: 03-2617 0220. Laman web: http://www.cidb.gov.my

Lembaga Jurutera Malaysia (LJM)

Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1972 bagi menguat kuasa Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan melaksanakan fungsi-fungsi yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(1). Antara fungsi LJM adalah mendaftar dan menyelenggarakan daftar Jurutera Profesional, Jurutera Siswazah, Jurutera Sementara, Amalan Kejuruteraan Perunding dan Pemeriksa Bertauliah; menentukan dan mengawal selia tata kelakuan serta etika profesion kejuruteraan; menilai dan mengakreditasi program-program kejuruteraan yang dijalankan oleh institusi-institusi pengajian tinggi; menjalankan Peperiksaan Penilaian Profesional; menjalankan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) untuk Jurutera Profesional dan Program Pembangunan Profesional (PDP) untuk Jurutera Siswazah; menetapkan skala yuran perkhidmatan kejuruteraan dan bertindak sebagai stakeholder dalam kontrak perkhidmatan kejuruteraan profesional.

Lembaga Jurutera Malaysia, Tingkat 17, Ibu Pejabat JKR, Jalan Sultan Salahuddin, 50580 Kuala Lumpur. Tel: 03-2696 7095 / 03-26980590 Faks: 03-2692 5017. Laman web: www.bem.org.my

Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM)

Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen iaitu Akta Pendaftaran Juruukur Bahan 1967 (dikenali juga Akta Juruukur Bahan 1967). LJBM adalah bertanggungjawab untuk pendaftaran Juruukur Bahan, firma dan badan korporat juruukur bahan perunding yang menjalankan perkhidmatan ukur bahan dan menjaga etika profesion juruukur bahan di Malaysia. Antara fungsi utama LJBM adalah menyimpan dan menyelenggarakan daftar Juruukur Bahan dan daftar firma dan badan korporat; meluluskan atau menolak permohonan pendaftaran; mengeluarkan surat amaran, mengenakan denda, menggantung, membatalkan pendaftaran dan meluluskan pendaftaran semula Juruukur Bahan; menetapkan skala yuran; mendengar dan memutuskan pertikaian atau melantik penimbang tara berkaitan dengan tingkah laku dan kesusilaan profesion juruukur bahan; menentu dan mengawal tata kelakuan dan
etika profesion juruukur bahan; dan mengakreditasi kelayakan dan mengendalikan peperiksaan bagi kemasukan ke profesion Juruukur Bahan.

Lembaga Juruukur Bahan Malaysia, Tingkat 17, Ibu Pejabat JKR, Jalan Sultan Salahuddin, 50582 Kuala Lumpur. Tel: 03-2696 7999. Faks: 03-2692 5680. Laman web: http://www.bqsm.gov.my

Lembaga Arkitek Malaysia (LAM)

LAM ialah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Arkitek 1967. LAM bertanggungjawab menjalankan pendaftaran Arkitek Profesional, Arkitek Graduan, Pereka bentuk Dalaman dan Pelukis Pelan Bangunan. Di samping itu LAM juga mendaftar praktis perunding arkitek dan praktis perunding rekabentuk dalaman yang terdiri daripada firma perseorangan, perkongsian, perbadanan dan praktis pelbagai disiplin. LAM juga berperanan dalam menetapkan dan mengawalselia kod tatakelakuan dan etika profesion Arkitek, Pelukis Pelan Bangunan dan Perekabentuk Dalaman. LAM turut menetapkan skala fi profesional yang boleh dikenakan oleh para praktis perunding arkitek dan rekabentuk dalaman. LAM juga telah mewujudkan Majlis Akreditasi dan Pengajian Senibina Malaysia (MAPSM) yang bertanggungjawab ke atas perkara-perkara berkaitan dengan pengajian kesenibinaan dan rekabentuk dalaman, dan Majlis Peperiksaan Senibina Malaysia (MPSM) yang berperanan mengendalikan semua peperiksaan profesional bagi memasuki bidang senibina dan rekabentuk dalaman.
Lembaga Arkitek Malaysia, Tingkat 17, Blok F, Ibu Pejabat JKR, Jalan Sultan Salahuddin, 50582 Kuala Lumpur. Tel: 03-2698 2878. Faks: 03-2693 6881. Laman web: http://www.lam.gov.my

Pusat Pembangunan Perkhidmatan Profesional (PSDC)
PSDC adalah sebuah syarikat sendirian berhad milik penuh kerajaan bagi mengendalikan pembekal perkhidmatan profesional. Perkhidmatan ini terutamanya untuk perkhidmatan yang mensyaratkan ilmu pengetahuan serta kemahiran khusus yang lazimnya perlu mempunyai sijil, berlesen atau berdaftar. Ditempatkan secara strategik di bawah Kementerian Kerja Raya, PSDC memberi pengkhususan kepada mempertingkatkan ilmu dan kemahiran, membina upaya serta menggalakkan eksport para pembekal perkhidmatan profesional negara dalam bidang berkaitan pembinaan khususnya dan bidang bukan pembinaan amnya.

Pusat Pembangunan Perkhidmatan Profesional, Tingkat 24, Maju Tower 1001, Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur. Tel: 03-2698 4045. Faks: 03-2698 4046/2692 1278/2698 8416. Laman web: http://www.mypsdc.com

Tiada ulasan: