TEKNOLOGI RADIOISOTOP
MENGGUNAKAN SIKLOTRON
Teknologi
nuklear mempunyai pelbagai aplikasi dalam bidang pertanian, perubatan,
perindustrian dan penyelidikan. Di
antara pengunaan bahan radioaktif (radiosisotop) dalam bidang-bidang tersebut termasuklah
meningkatkan hasil tanaman, memberi diagnosis dan rawatan penyakit, sebagai
bahan penyurih bagi proses indutsri dan alam sekitar, dan sebagainya. Bahan radioaktif yang digunakan adalah
sintetik yang dihasilkan menggunakan cyclotron atau reaktor nuklear. Pada masa ini Malaysia mempunyai sebuah reaktor
penyelidikan yang ditempatkan di Agensi Nuklear Malaysia. Reaktor 1 MW ini yang diberi nama Reaktor
TRIGA PUSPATI (RTP) telah ditauliahkan pada tahun 1982.
Malaysia
kini bercadang untuk memperoleh satu lagi teknologi yang mampu untuk
menghasilkan radioisotop untuk memperluaskan lagi pengunaan teknologi nuklear
di Malaysia. Siklotron adalah pemecut
zarah yang boleh digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan radioaktif untuk
digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti dalam bidang perubatan, industri,
alam sekitar dan pertanian. Di antara
kelebihan siklotron berbanding dengan reactor nuklear adalah pengunaann bahan
mula yang stabil dan tidak beradioaktif, penghasilan sisa berjangka
hayat-pendek (memudahkan penyimpanan), dan pengoperasian yang lebih mudah.
Di
dalam bidang perubatan, bahan-bahan radioaktif digunakan untuk menghasilkan
radiofarmaseutikal bagi mendiagnosis penyakit khususnya dalam bidang onkologi
(kanser), kardiologi dan neurologi secara tepat agar kaedah rawatan yang
berkesan dapat dibangunkan Beberapa
pusat siklotron (18 MeV) yang khusus untuk digunakan dalam perubatan nuklear
telah ditubuhkan di Malaysia sejak tahun 2002.
Walau bagaimanapun jenis bahan radioaktif yang dihasilkan daripada
siklotron berkuasa rendah ini adalah terhad.
Pada masa ini siklotron berserta kemudahan pengimbas PET ditawarkan di
Hospital Putrajaya dan Beacon Hospital.
Selain daripada itu kemudahan PET sahaja boleh didapati di beberapa
Hospital seperti Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,
dan Subang Jaya Medical Centre.
Positron Emission Tomography (PET) merupakan teknik
pengimejan yang boleh mengimbas fungsi serta proses di dalam badan untuk
menghasilkan imej 3D. Teknik ini
mengesan sinaran gamma dari bahan radioaktif pemancar positron (positron
emitter) yang hanya dapat dikeluarkan siklotron. Kelebihan PET seperti mempunyai resolusi imej
yang baik serta sensitiviti dan spesifisiti yang tinggi menggalakkan
pengunaanya yang meluas terutama sekali dalam mengesan kanser, melakukan pemeringkatan
tahap kanser dan untuk menilai keberkesanan rawatan yang diberi.
Sehubungan
dengan itu, untuk memastikan kemudahan perubatan negara lebih berteknologi
tinggi dan tidak terkecuali dari menggunakan teknologi terkini siklotron serta
bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan teknologi ini dengan lebih meluas,
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama-sama Agensi Nuklear
Malaysia (Nuklear Malaysia) sedang merancang untuk membangunkan kemudahan
siklotron berkapasiti tinggi (30 MeV). Pusat ini akan dilengkapi dengan
keupayaan Positron Emission Tomography (PET) dan Single Photon Emission
Computed Tomography (SPECT), serta makmal-makmal penyelidikan yang berkaitan.
Kemudahan ini akan berpusat di Nuklear Malaysia dan dikendalikan oleh saintis,
jurutera dan ahli fizik Nuklear Malaysia agar pembangunan keupayaan dan
aplikasi teknologi yang berkaitan dapat dilaksanakan secara serentak. Dalam
majlis ke lawatan tapak cadangan projek siklotron di Agensi Nuklear Malaysia
pada 6 Mac 2014 baru-baru ini, YB. Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, kementerian beliau akan memperuntukkan
sebanyak RM240 Juta bagi membangunkan kemudahan siklotron yang pertama di
Malaysia.
Pembangunan
kemudahan siklotron serbaguna ini akan meningkatkan kemampuan Malaysia untuk
menghasilkan pelbagai jenis radioisotop atau bahan-bahan radioaktif. Bukan sekadar dalam bidang perubatan
semata-mata, bahan-bahan ini ini juga digunakan secara meluas di dalam pelbagai
bidang lain seperti industri automotif terutama untuk menguji kehausan
mekanikal, pembiakan mutasi dalam bidang pertanian, pembangunan bahan api bio
dan pembangunan sains bahan. Di samping itu, kemudahan ini akan meletakkan
Malaysia setanding dengan negara-negara lain yang memanfaatkan teknologi yang
sama, antaranya USA, Jepun, Korea, Perancis, Itali, Arab Saudi dan Kanada. Secara tidak langsung, kemudahan ini akan
menjadi tarikan kepada rakyat negara-negara tersebut dan seterusnya akan
menggalakkan serta meningkatkan lagi industri pelancongan kesihatan Malaysia.
Kemudahan
siklotron bertenaga tinggi ini membolehkan Nuklear Malaysia menghasilkan isotop
berjangka hayat panjang yang tidak lagi dikekang oleh sifat-sifat fizikal
radioisotope. Faktor ini
membolehkan radioisotop dibekalkan ke
hospital-hospital, institusi penyelidikan berkaitan dan pihak industri di luar
Lembah Klang, sekaligus mengembangkan penggunaannya ke seluruh negara. Lebih daripada itu, Malaysia juga akan
berkemampuan untuk mengeksport dan membekalkan radioisotop yang dihasilkan di
kemudahan siklotron ini ke negara-negara jiran.
Ehsan Daripada :
Hasfazilah
Hassan
Pengurus
Unit Komunikasi Korporat
Agensi Nuklear Malaysia
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
43000 Bangi, Kajang, Selangor.
Tel: +603-8911 2000 ext : 1735
H/p : +6012-5001051
Fax: +603-8925 3827
e-Mail: asfa@nuclearmalaysia.gov.my
Fax: +603-8925 3827
e-Mail: asfa@nuclearmalaysia.gov.my
: @KP Agensi Nuklear Malaysia