Menurut Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini
Ujang, dalam bukunya Budaya Inovasi:
Prasyarat Model Baru Ekonomi, menyatakan bahawa kreativiti membabitkan
pemikiran, idea dan gagasan baru. Inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan
dan penyesuaian kepada pemikiran, idea yang sedia ada sehingga memberi nilai
tambah baru yang boleh diguna pakai dan dimanfaatkan serta boleh dijadikan
sebagai produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan. Menyedari
kepentingan budaya Inovasi dan kreativiti, Dato’ Sri Mohd Najib memberi
penekanan kepada kedua-dua elemen ini dalam pentadbirannya termasuk
menggalurkan Budaya Inovasi sebagai salah satu nilai aspirasi dalam gagasan
1Malaysia.
Sebagai salah satu langkah merancakkan
aktiviti inovasi dan pengkomersialan negara, Pusat Inovasi
Negara (MyNIC) dan Pusat Kecemerlangan Inovasi (i-CoE)
telah ditubuhkan 29 Oktober 2009. Dalam usaha menjadikan
inovasi sebagai sebahagian daripada agenda utama negara, Dato’ Sri Najib mengharapkan
agar pendekatan terhadap inovasi dapat meresap di segenap lapisan masyarakat. Kenyataan
berikut disampaikan dalam Mesyuarat Keempat Majlis Inovasi Negara pada 29
Oktober 2009 :-
“Inovasi yang hendak dilaksanakan adalah bersifat menyeluruh dalam erti
kata ia tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi sahaja. Seperti yang
saya hurai dalam ucapan bajet baru-baru ini, ia melibatkan inovasi secara
menyeluruh seperti tadbir urus, kemasyarakatan, bandar, desa, korporat industri,
pendidikan penjagaan kesihatan, pengangkutan, jaringan keselamatan sosial dan
penjenamaan.”
Keprihatinan Dato’ Sri Najib terhadap
dua elemen ini dijelaskan lagi apabila 2010 diangkat
menjadi Tahun Kreativiti dan Inovasi. Pada 27 Januari 2010, telah berlangsung
Majlis Pelancaran Malaysia Inovatif 2010 di Putrajaya dengan tema “Meraikan
Kreativiti”. Turut diperkenalkan dalam usaha meningkatkan momentum inovasi
ialah Rangkaian Inovasi 4G yang diperkenalkan pada penghujung 2010.
Negara-negara yang hebat dalam
menjalankan inovasi seperti Jepun, Finland dan Amerika Syarikat berjaya
membangunkan ekonomi dengan lebih pantas. Sehubungan dengan itu, pimpinan
Dato’ Sri Mohd Najib berhasrat untuk menghasilkan impak yang kreatif dalam
ekonomi global yang berdaya saing. Dalam pembentangan Belanjawan 2010, beliau
telah menyentuh mengenai Model Ekonomi Baharu yang berasaskan inovasi,
kreativiti dan aktiviti tambah nilai. Semua itu dijangkakan akan menggandakan
pendapatan per kapita rakyat dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.
Beliau turut menyarankan agar
anggota perkhidmatan awam perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam
menunaikan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif
sehingga menjangkau pemikiran dan keberanian untuk bereksperimen dengan
menggunakan kaedah kerja baru di luar kotak kelaziman. Penghasilan inovasi secara terancang akan dapat
menyumbang kepada objektif pembentukan ekonomi berpendapatan tinggi dalam
tempoh masa yang singkat. Penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti
terutama di peringkat nasional amat penting kerana ia menggalakkan daya saing
negara. Sambutan Hari Kualiti telah digantikan dengan Hari Inovasi yang
ditetapkan pada 31 Oktober setiap tahun. Jabatan dan agensi perlu meraikan Hari
Inovasi dengan mengadakan pelbagai program ke arah meningkatkan budaya inovasi
dalam sektor awam.
“...Mahu
tidak mahu para penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak. Saya
tidak mahu budaya automation menjadi
satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan
konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari
penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.”
–
Petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa
Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) pada 9 Mac 2010.
Contoh
impak hasil inovasi yang telah berjaya ialah MyKAD di JPN Melaka yang telah
berjaya mengurangkan tempoh menyiapkan setiap MyKAD dari 10 hari/80 jam kepada
1-2 jam dan pelanggan hanya perlu datang sekali sahaja ke pejabat JPN. Impak daripada
inovasi mereka ialah penjimatan masa sehingga ke 97.5%. Hospital Putrajaya juga
telah berjaya melaksanakan inovasinya dengan pesakit dapat mengambil ubat
serta-merta di kaunter Take N Go dan
95% pesakit Farmasi Klinik Pakar mendapat ubat dalam masa 30 minit berbanding
hanya 64% sebelum inovasi dijalankan. Selain itu, beberapa prosedur lain telah
berjaya disingkatkan hasil inovasi yang diperkenalkan di hospital tersebut.
Imigresen juga telah menunjukkan satu impak yang besar dalam pengurusan
E-pasport. Inovasi yang dijalankan oleh mereka telah menaik taraf pejabat
penerima pasport Malaysia kepada Pejabat Pengeluar Pasport di pejabat cawangan
negeri dalam tempoh 1 jam hingga 2 jam berbanding tiga hari sebelum inovasi
diperkenalkan.
Mulai
tahun 2010, kerajaan telah bersetuju memperkenalkan Anugerah Inovasi Perdana
Menteri (AIPM) sebagai anugerah sektor awam yang terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf
penghasilan inovasi yang benar-benar signifikan dan berimpak tinggi. Pewujudan
AIPM juga akan membolehkan kerajaan memberi pengiktirafan kepada inovasi yang
menyeluruh atau menyumbang kepada penghasilan ekonomi negara berpendapatan
tinggi. Kriteria pemilihan AIPM merangkumi empat aspek utama yang memberi penekanan
kepada keberhasilan atau outcome dan impak sesuatu inovasi. Empat aspek
tersebut ialah inovatif,
relevan, signifikan dan keberkesanan.
Semasa
pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib sekali
lagi menyentuh mengenai inovasi dan kreativiti dalam fokus kedua yang diberi
penekanan daripada lima fokus utama Bajet 2012 iaitu mengungguli modal insan,
mencerna kreativiti dan mencetus inovasi. Menurut Dato’ Sri Najib, inovasi
perlu diterap dan diamalkan oleh semua sektor, termasuk swasta, awam,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar
sekolah termasuk kanak-kanak prasekolah. Sehubungan itu, Perdana Menteri
mengumumkan 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat
ini, kerajaan mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan RM100
juta.
Dalam
memperkatakan mengenai Inovasi dan kreativiti ini, kepimpinan Dato’ Sri Mohd
Najib sendiri menunjukkan ciri-ciri inovasi dan kreativiti tersebut. Beliau
memperkenalkan pelbagai bentuk transformasi kepada dasar dan polisi sedia ada
dengan memberi nafas baru dan beliau juga telah mewar-warkan apa yang
diperbaharui tersebut kepada rakyat dengan harapan untuk mendapatkan maklum
balas terhadap pembaharuan tersebut. Dari situ, langkah-langkah penambahbaikan
dapat dijalankan dengan kadar segera ekoran faktor masa yang mula mencemburui
kepimpinannya. Jika pada zaman Tun Mahathir, beliau mempunyai tempoh yang
panjang iaitu 29 tahun untuk mencapai Wawasan 2020 (Wawasan 2020 diperkenalkan
pada tahun 1991) namun, kepimpinan Dato’ Sri Najib hanya mempunyai 11 tahun
sahaja untuk mencapai wawasan tersebut. Menyedari hakikat hambatan masa
tersebutlah, Dato’ Sri Mohd Najib memberi penekanan kepada elemen inovasi dan
kreativiti agar setiap yang dilakukan dapat dijalankan dengar kadar segera dan
impak yang besar agar impian menuju Wawasan 2020 bukan sekadar mimpi di saing
hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan