21.9.12



PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR (RTP)


Pembangunan luar bandar berhasrat melahirkan masyarakat luar bandar yang progresif, berilmu, berintegriti, maju, menarik, menguntungkan dan selamat untuk didiami. Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua merupakan insan yang bertanggungjawab memulakan usaha pembangunan masyarakat luar bandar. Beliau telah meningkatkan pelbagai kemudahan asas, peluang pendidikan, menawarkan tanah rancangan (FELDA) kepada pendudukan luar bandar dan memperkenalkan dasar-dasar yang memastikan tidak ada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan perdana.

Sekarang usaha tersebut diteruskan pula oleh anakandanya YAB Dato’ Sri Mohd Najib. Beliau telah mengorak langkah dengan memperkenalkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional (DTN). RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. Program ini diperkenalkan atas kesedaran kerajaan yang tidak mahu setiap lapisan masyarakat Malaysia terlepas daripada menikmati arus kemajuan pembangunan dan perubahan negara.  

RTP akan membawa pembangunan kawasan secara menyeluruh melalui pelbagai pendekatan antaranya dengan pelaksanaan Dana Perkhidmatan Profesional, Program Lonjakan Mega Luar Bandar dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Dana Perkhidmatan Profesional disediakan bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan kecil. Dana berjumlah RM100 juta disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus dan surat cara perjanjian pembiayaan skim berkenaan diberi pengecualian duti setem. Program Lonjakan Mega Luar Bandar pula akan melibatkan tanah seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang membabitkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak RM110 juta. RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan RM140 juta yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC ialah pusat kemudahan yang ditubuhkan untuk menggabungkan kampung-kampung yang berdekatan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti bercorak nilai-tambah yang tinggi. Sesuai dengan peranannya sebagai pusat sehenti, RTC telah memperkenalkan ‘tag line’ yang berbunyi “Satu Hentiah, Pelbagai Perkhidmatan”. Di RTC, penduduk berpeluang untuk menjual produk pertanian berbentuk nilai-tambah tinggi secara terus; membeli bekalan dan perkhidmatan untuk pengguna pada harga yang rendah; mendapat kemahiran, menjalani latihan dan program pembangunan keusahawaan; mendapat kemudahan bantuan kewangan dan perkhidmatan lain secara terus; dan berkongsi serta bertukar maklumat dan pengetahuan.

Dengan pelaksanaan program-program ini, adalah menjadi hasrat kerajaan agar masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk mereka. Ini akan membolehkan produk tersebut dapat dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya dapat menembusi pasaran eksport. Secara tidak langsung, pendapatan penduduk luar bandar akan dapat ditingkatkan dan seterusnya menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhannya.

RTC Gopeng, Perak diangkat sebagai projek perintis dan telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib pada 18 Februari 2012. RTC Kelantan pula telah dirasmikan pada 4 May 2012. Penubuhan RTC akan diperluaskan lagi ke empat buah kawasan iaitu Kuala Kedah (Kedah), Kuala Linggi (Melaka), Tanjung Manis (Sarawak) dan Pekan Nanas (Johor). Sebenarnya penubuhan RTC adalah di bawah teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 yang bermatlamat untuk menjadi penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

Projek-projek yang dijalankan di bawah RTP telah mula menunjukkan hasilnya. Antaranya ialah projek Taman Kekal Pengeluaran Pertanian (TKPM) Lojing. Pelbagai sayur-sayuran yang mendapat permintaan tinggi telah berjaya dihasilkan seperti tomato dan capsicum. Selain itu, projek pengeluaran produk tenusu dan projek ternakan Arowana juga dilihat semakin mendapat perhatian bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malahan juga untuk pasaran antarabangsa. Putu Perak dan beberapa produk telah mendapat pengiktirafan Perak Best. Produk-produk ini menjadi trademark kepada negeri Perak dan pemasarannya dilihat turut membantu sektor pelancongan negeri tersebut.

Melalui Bajet 2012, Fokus Ketiga, Dato’ Sri Mohd Najib telah menggalurkan dengan jelas Program Transformasi Luar Bandar (RTP). RTP menerima peruntukan RM5 bilion untuk tujuan memperkukuh pembangunan infrastruktur asas luar bandar merangkumi program jalan luar bandar dan projek perhubungan desa, memperluas bekalan air bersih dan bekalan elektrik terutama di Sabah dan Sarawak, dan mempertingkat perkhidmatan pengangkutan awan di kawasan luar bandar.

Sebilangan besar penduduk luar bandar berpendapatan rendah akan menikmati  Program Perumahan Rakyat (PPR) dan  Program Perumahan Mesra Rakyat. Kerajaan juga akan menyediakan sebanyak 15,000 unit PPR dan 10,000 unit Perumahan Mesra Rakyat. Kerajaan juga turut menyediakan Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina rumah yang lebih selesa.  Masyarakat Orang Asli juga tidak dipinggirkan di bawah RTP. Kebajikan Orang Asli akan dipertingkatkan melalui program pembangunan dan pemindahan pendudukan ke kawasan yang lebih sesuai dan selamat. Kerajaan akan menyalurkan RM90 juta untuk menyediakan kemudahan asas yang lebih baik termasuk program pemindahan orang asli ke kawasan yang lebih selamat, menyediakan perumahan serta membangun pendidikan masyarakat orang asli. 


Bagi peneroka FELDA pula, permasalahan mereka juga turut diambil perhatian oleh pentadbiran Dato’ Sri Najib. Sistem bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun kebanyakannya telah usang. Masalah ini kebanyakannya berlaku di FELDA-FELDA negeri Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bagi tujuan membantu golongan berkenaan, kerajaan pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib telah memperuntukkan 400 juta ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.

Selain itu, bagi meningkatkan lagi pendapatan warga FELDA, kerajaan turut menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke papan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Selain memperoleh saham yang bakal mendatangkan pulangan yang lumayan kepada peneroka, bonus produktiviti, duit raya, pinjaman perumahan dan banyak lagi bantuan tetap, diberikan kepada peneroka saban tahun.

Sebanyak 10 pendekatan strategik dengan 17 inisiatif ekonomi yang diperkenalkan di bawah Model Baru Ekonomi Luar Bandar (MBELB) pastinya mampu memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar. Dato’ Sri Mohd Najib mengharapkan agar pelaksanaan program-program RTP tersebut dapat membantu masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk mereka. Ini akan membolehkan produk yang dikeluarkan dapat dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya dapat menembusi pasaran eksport. Secara tidak langsung, pendapatan penduduk luar bandar akan dapat ditingkatkan dan seterusnya menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhannya.

Tiada ulasan: