22.9.10

Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-11 (MAPPA XI)

Pada 9 Mac 2010 Perdana Menteri telah merasmikan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Dalam ucapannya beliau mengumumkan kajian dan pelan penambahbaikan akan dijalankan membabitkan pegawai perubatan, pergigian, farmasi di Kementerian Kesihatan dan juga pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perguruan. Kajian ini akan memberi peluang kenaikan pangkat dan juga laluan kerjaya yang lebih baik kepada bidang-bidang yang berkaitan. Berdasarkan pelan laluan kerjaya itu, penjawat bidang-bidang terpilih akan berpeluang untuk naik pangkat ke gred 54 dalam tempoh yang lebih singkat berbanding sebelumnya. Harapan kerajaan dengan laluan kerjaya yang lebih menarik, penjawat awam akan lebih komited dan berazam tinggi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan ke tahap yang lebih baik. Dalam majlis tersebut juga, Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa terdapat dua prinsip penting kepada pentadbiran awam.

Prinsip Pertama
Kerajaan mahukan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada hari semalam dan kehidupan mereka pada masa hadapan akan lebih baik daripada kehidupan mereka pada hari ini. Untuk tujuan berkenaan, kerajaan komited untuk mewujudkan ekosistem terbaik bagi merealisasikan hasrat menjadi sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi.

Prinsip Kedua
Kerajaan berhasrat menggerakkan ekonomi negara dan meletakkan kembali atas landasan pertumbuhan yang sihat dan mapan. Matlamat ini sudah menunjukkan kejayaan awal apabila kesan dua pakej stimulus fiskal mengembalikan pertubuhan ekonomi negara ke arah positif bermula suku ke-4 2009 berbanding penguncupan dalam tiga suku berturut-turut sebelumnya.

Berdasarkan kepada dua prinsip tersebut, sebagai sebuah pentadbiran yang bersifat objektif, jelas dan mempunyai hala tuju, kerajaan telah menggariskan empat Tiang Utama iaitu :-

Tiang Utama Pertama: Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Ia merupakan satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional.

Tiang Utama Kedua: Kerajaan menyedari segala apa yang menjadi aspirasi negara, tidak akan dapat dilaksanakan tanpa pelaksanaan yang pantas, tepat dan berkesan. Melalui program transformasi, kerajaan diharapkan akan menjadi lebih responsif dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat.

Tiang Utama Ketiga dan Keempat: Melibatkan dua prakarsa penting ekonomi iaitu Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Bagi mencapai hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, negara perlu keluar daripada kepompong paradigma serta struktur negara berpendapatan sederhana. Walaupun ia bukan suatu yang mudah dicapai namun ia juga bukan suatu yang mustahil.

Bagi menyangga empat tiang utama tersebut terdapat empat nilai asas yang bertindak sebagai pelengkap iaitu:

Pertama: Membudaya kreativiti dan inovasi. Penjawat awam harus berfikir luar dari lingkungan kebiasaan dan budaya automation tidak harus menjadi hakikat dalam kehidupan kakitangan sektor awam. Kakitangan awam juga harus berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Kedua: Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan. Kepantasan bertindak akan menambah keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan kepantasan bertindak juga akan meningkatkan halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara.

Ketiga: Nilai untuk wang. Dalam hal ini, pembaziran, penyelewengan dan salah urus harus dihapuskan dalam pengurusan kewangan awam. Setiap sen yang dibelanjakan seharusnya mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan juga rakyat. Selain itu juga, kerajaan digesa agar berhemah dalam perbelanjaan dengan mengamalkan kaedah pengurusan nilai dalam semua pengurusan projek bermula daripada peringkat awal lagi.

Keempat: Nilai Integriti. Transformasi bukan sahaja menuntut perubahan fizikal semata-mata tetapi juga melibatkan pembangunan sosial, budaya, intelek dan juga rohani. Oleh itu fokus turut melibatkan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat.

Tiada ulasan: