6.7.12

BICARA EKSEKUTIF BERSAMA MEJAR DR. FAIZ KHALEED

Mejar Dr. Faiz Khaleed adalah salah seorang angkasawan negara yang berjaya dipilih untuk menjalani latihan angkasawan di Star City, Rusia pada September 2006. Daripada 11 ribu calon, beliau dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor telah terpilih untuk menjalani latihan sebagai persediaan menjadi angkasawan negara. Walaupun tidak terpilih menjadi angkawan negara yang pertama, Dr. Faiz sangat optimis orangnya. Beliau percaya suatu hari nanti impiannya untuk ke angkasa lepas akan terlaksana juga kerana misi angkasa yang kedua sedang dalam perancangan.

Program angkasawan bukan semata-mata misi menghantar manusia ke angkasa tetapi lebih 90 peratus adalah misi penyelidikan dan pembangunan dunia sains dan teknologi. Walaupun ada yang berpandangan bahawa misi angkawan negara merupakan satu pembaziran namun baginya tanpa misi sedemikian, manusia tidak mungkin mendapat manfaat daripada hasil kajian yang dijalankan di sana dan pendidikan sains angkasa khususnya. Antara contoh jelas manfaat kajian di angkasa ialah menghasilkan produk tanpa wayar, kaca tahan calar, alat pengesan asap, dan kaedah penjagaan warga tua yang betul. Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara maju, harus juga mengikut arus perkembangan tersebut agar penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan di Malaysia mencapai tahap antarabangsa dan hasilnya mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Baginya apa yang lebih penting, latihan selama enam bulan di Rusia itu telah banyak mendidik beliau menjadi insan yang lebih sempurna dari sebelumnya. Beliau percaya, setiap manusia berbeza dengan manusia yang lain kerana dua jasad yang berbeza tidak boleh memenuhi ruang yang sama dalam satu-satu masa. Pandangan tersebut beliau peroleh daripada seorang profesor ketika beliau menjalani latihan di Rusia. Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, terlalu banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh dikongsinya dengan rakyat Malaysia hasil daripada latihan tersebut. Namun, dalam banyak-banyak pengalaman dan pengetahuan tersebut, satu inti pati yang boleh menjadi renungan bersama ialah mengenai matlamat hidup.

Beliau percaya, setiap manusia boleh melakukan apa yang diinginkan sekiranya mereka mempunyai matlamat yang jelas. Latihan yang diterimanya di Rusia telah mengajarnya supaya matlamat yang ingin dicapai daripada misi ke angkasa lepas harus jelas. Cara untuk mencapai matlamat itu juga harus jelas. 99 peratus manusia yang gagal mencapai matlamat hidup adalah manusia yang selalu mencari pelbagai bentuk alasan untuk menutup kelemahan diri masing-masing. Sikap tersebut merupakan cabaran besar bagi seseorang untuk mencapai matlamat hidupnya.

Jika diimbau kembali ketika mula-mula dipilih menjalani latihan tersebut, beliau sebenarnya kurang pasti tentang matlamat misi tersebut. Namun setelah menjalani latihan, semuanya bagai terang lagi bersuluh. Program angkasawan sangat spesifik matlamatnya dan hala tuju untuk mencapai matlamat tersebut juga sangat spesifik.

Selain mempunyai matlamat dan cara yang jelas, Dr. Faiz juga percaya bahawa dalam usaha kita mencapai matlamat tersebut, pelbagai cabaran dan halangan terpaksa kita tempuhi. Oleh itu, kita mesti bersedia dengan segala ‘tools’ atau perkakasan yang sesuai dan memastikan kita telah berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat tersebut. Tidak boleh juga dilupakan ialah implikasi matlamat yang kita ingin capai kepada orang-orang yang berada di sekeliling kita. Akhirnya setelah semua perkara tersebut jelas, kita harus bertanya kembali adakah kita masih mampu untuk meneruskan usaha mencapai matlamat tersebut.

Latihan angkasawan turut mengajar Dr. Faiz mengenal dirinya sendiri. Baginya, jika kita tidak mengenal diri kita sendiri mana mungkin kita akan tahu potensi sebenar yang ada dalam diri kita. Dalam usaha untuk mengenal diri kita itu, kita harus tahu sikap, cara berfikir dan perkara-perkara yang mempengaruhi tindakan kita. Dari situ kita akan tahu cara kita mengawal diri bagi memastikan matlamat tersebut tidak terhalang oleh sikap kita sendiri.

Pada pandangan Dr. Faiz, manusia selalunya kurang mengenal potensi diri sendiri. Manusia selalu meletakkan keupayaan diri jauh lebih rendah daripada keupayaan sebenar mereka. Oleh itu bagi memastikan kita menggunakan keupayaan sebenar secara optimum, kita harus mengambil 100 peratus tanggungjawab terhadap diri kita sendiri. Kita juga harus mengambil 100 peratus tanggungjawab terhadap apa yang terjadi di sekeliling kita. Ini kerana kebanyakan manusia hanya pandai mengkritik, membuat justifikasi dan menyalahkan antara satu sama lain. Sebenarnya sikap itu adalah racun kepada seseorang yang ingin mencapai kejayaan. Bagi memastikan kita sentiasa berada dalam kapasiti sebenar keupayaan kita, kita juga harus bijak mengawal persekitaran kita.

Sehubungan dengan itu kita harus mengenal antara realiti dengan fantasi. Setiap manusia ada sudut pandang dan kepercayaan masing-masing. Namun begitu, sebagai manusia, apa yang kita percaya tidak semestinya itulah kenyataannya. Kita harus membuang segala ego yang ada pada diri masing-masing dan menerima hakikat bahawa kita tidak selalunya benar. Titik tengah antara apa yang kita percaya dengan realiti ialah ilmu pengetahuan. Oleh itu, bagi menjadikan kita orang yang boleh dijadikan teladan, kita harus mencari sebanyak mungkin ilmu dan berguru dengan orang yang pakar dalam bidangnya.

Beliau menjadikan Tun Mahathir, Bruce lee, Steve Job dan Ibnu Sina sebagai idolanya. Ditanya kenapa begitu banyak insan yang menjadi idola, sambil tersenyum beliau menyatakan bahawa setiap orang punya kekuatan dalam bidang-bidang tertentu. Penilaian seseorang tidak boleh mengambil kira keseluruhannya tetapi yang lebih penting setiap orang punya kecenderungan dalam bidang-bidang tertentu secara spesifik. Di akhir perbualan Mejar Dr. Faiz sempat berpesan bahawa jangan biarkan persekitaran mencatur kehidupan kita tetapi biarlah kita yang mencatur persekitaran kita.





Tiada ulasan: