6.7.12

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG : TONGGAK KEYAKINAN, LAMBANG PERPADUAN



Asal-Usul Kesultanan Melayu

Sejarah menunjukkan bahawa masyarakat Melayu Islam menghormati Raja berasaskan kepada peranan Raja sebagai penaung dan simbol kepada agama Islam. Sikap mempertuankan raja itu tersemat dalam jiwa rakyat walaupun berlaku pelbagai perubahan zaman dan sistem pemerintahan. Institusi Raja di Malaysia menduduki tempat yang istimewa dalam strata masyarakat. Raja juga dijadikan tonggak kepada keadilan dan kestabilan hidup rakyatnya. Sejarah Institusi Raja di Malaysia bermula dengan Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan Langkasuka purba. Kebanyakan Kesultanan negeri di Malaysia berakar dari Kerajaan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400 Masihi. Walau bagaimanapun, Kerajaan Kesultanan Kedah terkecuali kerana berasal dari Kerajaan Langkasuka iaitu sebuah kerajaan purba yang diasaskan pada abad ke-2 Masihi.



Raja dan Rakyat Berpisah Tiada



Ketika menghadap Raja pakaian seseorang itu mestilah tertib dan sopan dengan bertanjak, berpancung, dan berkeris di hadapan. Seseorang itu tidak dibenarkan memakai kain kasa iaitu kain nipis yang menampakkan kulit. Apabila berbahasa dengan sultan, istilah TUANKU dan seseorang itu mestilah membahasakan dirinya PATIK. Semasa menghadap raja di balairung terdapat cara dan larangannya. Sebagai contohnya, sekiranya seseorang itu duduk berjuntai kaki, ia merupakan satu kesalahan yang besar. Cara menyambut tetamu dan utusan rasmi juga hendaklah dibuat mengikut protokol. Mereka akan disambut dengan penuh alat kebesaran kerajaan seperti gendang, serunai, nafiri, magara, dan payung putih dua berapit. Mereka juga disambut oleh menteri dan bentara bergajah dan sida-sida yang akan membawa surat atau perutusan tersebut. Begitulah mulianya kedudukan Raja dalam masyarakat Melayu.



Raja diumpamakan sebagai ‘pohon’ manakala rakyat disamakan dengan ‘akar’. Raja dianggap sebagai payung atau tempat naungan rakyat. Sebagai seorang Raja, Baginda akan memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan rakyatnya. Sebagai balasan, rakyat perlu menumpahkan taat setia kepada Raja dan tidak sesekali menderhaka kepada perintahnya.



Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan satu kewajipan Baginda iaitu melindungi kedudukan orang-orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak di samping menjaga kepentingan-kepentingan yang sah bagi kaum-kaum lain. Baginda berkuasa untuk menentukan dengan mengeluarkan perintah kepada Suruhanjaya yang berkenaan atau pihak berkuasa tertentu, supaya diadakan hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mengikut kadar yang pada pendapat Baginda sesuai dalam perkhidmatan awam dan pemberian biasiswa atau keistimewaan pelajaran dan latihan yang seumpama itu, atau kemudahan-kemudahan khas yang diberi atau ditetapkan oleh kerajaan.



Raja Berperlembagaan

Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi bebas yang melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi. Seri Paduka Baginda secara simbolik berperanan sebagai tonggak kepada simbol perpaduan melangkaui kaum. Institusi ini mempunyai kedudukan istimewa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.



Kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai Kepala Utama Negara, Baginda menjadi lambang kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara. Baginda dipilih daripada sembilan orang Sultan yang memerintah negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.



Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja ditubuhkan pada tahun 1896 setelah British memutuskan untuk menyatukan beberapa buah negeri menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1 Julai tahun yang sama. British telah menubuhkan Majlis Raja-Raja dengan tujuan menjalinkan hubungan baik antara Raja-Raja dengan British. Majlis ini pada asalnya dikenali sebagai ‘Durbar’ yang diambil dari perkataan Urdu-Parsi. Durbar memberi maksud ‘Persidangan Diraja atau Persidangan Pemerintah Tempatan’ dan istilah ini telah digunakan oleh British di India. Mesyuarat Durbar yang pertama telah diadakan di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak pada 13 Julai 1897. Mesyuarat yang pertama ini adalah amat penting kerana menjadi wadah untuk Raja-Raja berkongsi pandangan dan mengutarakan perkara yang berkaitan dengan rakyat masing-masing.



Pemilihan Yang di-Pertuan Agong

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat melalui undian sulit antara sembilan orang Raja-Raja Melayu. Apabila seseorang Raja yang ditawarkan menjadi Yang di-Pertuan Agong menerima tawaran tersebut, maka Majlis Raja-Raja akan mengisytiharkan Baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Dewan Parlimen, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Pada asasnya, setiap Raja layak menjadi Yang di-Pertuan Agong. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan seseorang Raja tidak dipilih. Antara sebab-sebabnya ialah:

• Belum dewasa;

• Tidak berhasrat untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong; dan

• Lain-lain sebab berkaitan dalam tatacara dan urusan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.



Pemecatan

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemerintah, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki menurut nasihat Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun Jemaah Menteri tidak boleh berkuasa memecat Baginda daripada jawatannya. Malah, Parlimen juga tidak mempunyai kuasa memecat Baginda. Kuasa memecat Baginda hanya terletak kepada Majlis Raja-Raja. Perlembagaan memperuntukkan bahawa pemecatan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diluluskan sekiranya tidak mendapat sekurang-kurangnya lima undi dalam kalangan ahli Majlis Raja-Raja.





Kedudukan

Yang di-Pertuan Agong menduduki kedudukan yang paling tinggi dalam negara mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong pula menduduki tangga kedua selepasnya. Kedudukan berikutnya disandang oleh Raja-Raja Negeri dan Yang di-Pertua keempat-empat negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Seorang raja dianggap berdaulat dan menjadi tunggak bagi menyatupadukan rakyat, mengamankan dan memakmurkan negeri. Masyarakat Melayu diasuh agar supaya tidak menderhaka kepada raja dan perlu taat dan setia kepadanya. Pelbagai cara digunakan untuk mendaulatkan kedudukan Raja. Antaranya ialah melalui penggunaan bahasa, warna, alat kebesaran dan muzik Diraja.



Bidang Kuasa

Selari dengan kedudukan Baginda sebagai Raja Berperlembagaan, Baginda dikehendaki mengangkat sumpah semasa pelantikan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja di hadapan Ketua Hakim Negara. Dalam kandungan sumpah itu, Baginda berikrar taat setia untuk menjalankan pemerintahan seadilnya di Malaysia dengan mengikut undang-undang dan Perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan serta yang akan disah dan dimasyhurkan pada masa hadapan.



Baginda juga berikrar untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa dan berdiri teguh atas pemerintahan yang adil dan aman. Walaupun kuasa pemerintahan terletak di tangan Baginda, namun dalam menjalankan kebanyakan tugas-tugasnya, Baginda dinasihati oleh Jemaah Menteri atau Menteri yang telah diberi kuasa oleh Jemaah Menteri.



Pada hakikatnya, kuasa pentadbiran negara dijalankan oleh Jemaah Menteri (Kabinet) yang diketuai oleh Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, Baginda berhak mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan negara daripada Jemaah Menteri, lazimnya daripada Perdana Menteri. Selain itu, dalam menjalankan kewajipan, Baginda mempunyai seorang Penasihat Undang-Undang, iaitu Peguam Negara. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa tanggungjawab Peguam Negara ialah memberi nasihat undang-undang kepada Baginda, Jemaah Menteri atau sebarang Menteri.



Ketua Agama Islam

Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti mana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam di negeri Baginda sendiri, Wilayah Persekutuan, Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Ketua Agama Islam di negeri-negeri lain ialah Sultan yang memerintah di negeri masing-masing. Namun, apabila sesuatu perbuatan, amalan atau upacara telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya dilanjutkan ke seluruh Persekutuan, maka Raja-Raja lain sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing hendaklah membenarkan Baginda mewakili mereka.



Kuasa Perundangan

Yang di-Pertuan Agong memiliki keistimewaan untuk memperkenan atau tidak sesuatu Rang Undang-undang yang telah melalui proses pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1994 menjelaskan kedudukan Baginda seperti berikut :-



(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-undang dikemukakan kepada Baginda memperkenankan Rang Undang-undang itu dicopkan dengan Mohor Besar.

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal(4), Rang Undang-undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah Baginda telah memperkenankannya.



Parlimen

Baginda hendaklah memanggil Parlimen bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh persidangan sebelumnya. Baginda juga berkuasa memberhenti dan membubarkan Parlimen. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama.



Perkara lain yang memerlukan pertimbangan atau persetujuan Baginda ialah membubar atau menangguhkan pembubaran Parlimen atas permohonan. Permohonan ini boleh berlaku apabila timbul dua keadaan. Pertama, apabila parti yang berkuasa memikirkan boleh diadakan Pilihan Raya Umum. Kedua, apabila Perdana Menteri tidak lagi menguasai Parlimen. Apabila Parlimen dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari di negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Parlimen hendaklah dipanggil bersidang tidak lewat daripada 120 hari daripada tarikh pembubaran.



Pentadbiran dan Pelantikan

Perlembagaan memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk pada Undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan. Kuasa pentadbiran negara boleh dijalankan oleh Baginda atau Jemaah Menteri atau salah seorang Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Parlimen boleh memberi kuasa pentadbiran kepada orang-orang lain.



Baginda hendaklah dengan nasihat Perdana Menteri melantik Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri daripada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Bagaimanapun, kedua-dua lantikan ini boleh dibatalkan oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri. Sebelum Menteri-Menteri atau Timbalan-Timbalan Menteri menjalankan tugas, mereka hendaklah mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Baginda.



Baginda juga melantik Peguam Negara, Jurukira Negara dan Panglima Angkatan Tentera. Pelantikan bagi jawatan-jawatan ini dilakukan mengikut lunas-lunas yang ditentukan oleh Perlembagaan. Jawatan-jawatan lain yang dilantik oleh Baginda atas nasihat termasuklah Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Ahli-ahli Suruhanjaya Polis dan sejumlah ahli dalam Majlis Angkatan Bersenjata dan lain-lain. Selain itu, Baginda juga boleh menetapkan beberapa jawatan sebagai jawatan-jawatan khas termasuklah Ketua-ketua Jabatan dan Timbalan Ketua-ketua Jabatan atas sokongan Suruhanjaya yang berkenaan.



Melantik Perdana Menteri

Menurut Perlembagaan, sebelum melantik Jemaah Menteri, Baginda hendaklah terlebih dahulu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah itu. Ahli Dewan Rakyat yang dilantik menjadi Perdana Menteri ialah orang yang pada budi bicara Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan. Biasanya, orang yang dilantik ialah pemimpin atau ketua sesuatu parti politik atau persekutuan (gabungan) parti-parti politik yang mendapat kelebihan kerusi dalam Dewan Rakyat. Jika kebetulan tidak ada satu parti politik pun yang mempunyai kelebihan besar jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat yang memungkinkan berlakunya pembentukan kerajaan campuran, maka terletak kepada kebijaksanaan Baginda untuk memilih Perdana Menteri yang boleh mengendalikan Jemaah Menteri kerajaan campuran itu serta mendapat sokongan besar daripada Dewan Rakyat.



Kuasa Pengampunan

Dalam hal-hal jenayah di Wilayah Persekutuan, apabila segala saluran dan cara keadilan telah habis diikhtiarkan, seseorang yang sudah dihukum masih boleh lagi memohon keampunan daripada Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah terakhir. Dalam menjalankan kuasa pengampunan ini, Baginda akan bertindak atas nasihat suatu Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada tiga orang ahli yang dilantik oleh Baginda sendiri. Peguam Negara atau wakilnya, dan Menteri yang bertanggungjawab atas Wilayah Persekutuan. Baginda juga berkuasa mengampun, menangguh dan meringankan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.



Ketenteraan

Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi seluruh Angkatan Tentera Malaysia. Baginda dibantu oleh Majlis Angkatan Tentera yang ditubuhkan untuk pemerintahan, menjaga tatatertib, menjaga pentadbiran Angkatan Tentera serta lain-lain mengenainya kecuali perkara yang bersangkutan dengan gerakan tentera.



Perisytiharan Darurat

Yang di-Pertuan Agong boleh membuat perisytiharan darurat atas nasihat Perdana Menteri. Perisytiharan darurat dibuat setelah Baginda memastikan kebenaran wujudnya keadaan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara. Jika Parlimen tidak bersidang bila perisytiharan itu diperbuat, maka Baginda hendaklah memanggil Parlimen supaya bersidang secepat mungkin. Sementara menunggu dua Dewan bersidang, Baginda boleh menyiarkan Ordinan yang berkuasa undang-undang jika Baginda berpuas hati tindakan segera perlu dilakukan.



Sekatan

Sungguhpun kuasa Yang di-Pertuan Agong itu luas, tetapi ada sekatan yang dikenakan ke atas Baginda. Antara sekatan-sekatan itu ialah :

• Menjalankan tugas Raja di negerinya, kecuali tugas sebagai Ketua Agama Islam;

• Memegang jawatan yang ada bayaran sara baginya;

• Mengambil bahagian dalam apa-apa perniagaan;

• Menerima apa jenis bayaran yang boleh dibayar atau yang berhak kepadanya sebagai Raja di negerinya;

• Dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan lebih daripada 15 hari, kecuali atas urusan negara ke suatu negeri lain.



Walau bagaimanapun, Baginda tidak terhalang daripada menggunakan kuasa sebagai Raja di negeri Baginda, sama ada perseorangan atau dengan pihak kuasa lain, untuk meminda perlembagaan negeri Baginda atau untuk melantik Pemangku Raja atau Ahli Jemaah Pemangku Raja atau perkara-perkara lain yang telah ditentukan berkaitan dengan ini. Ketetapan dan peraturan bagi kedudukan Baginda ini adalah terkena kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong lebih daripada 15 hari.









Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong



Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan upacara penuh beristiadat yang telah dipusakai turun-temurun dan diperkaya dengan keindahan sulaman bahasa. Istiadat yang gilang-gemilang dan berwarna-warni ini disaksikan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri, Kerabat Diraja, orang-orang kenamaan, pembesar-pembesar negara, pemimpin-pemimpin rakyat dan jemputan khas luar negara.



Istiadat ini akan bermula pada sebelah pagi. Balairung Seri akan bergema dengan tiupan nafiri menandakan keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang didahului oleh

Datuk Paduka Maharaja Lela dan Panglima-panglima yang membawa alat-alat kebesaran Diraja, diikuti oleh juruiring-juruiring. Serentak dengan itu kedengaran paluan nobat yang mendendangkan lagu Raja Berangkat.



Sebaik sahaja Baginda berdua bersemayam di atas Singgahsana, istiadat pertabalan dimulakan dengan Datuk Paduka Maharaja Lela bersama Datuk Penghulu Istiadat, Al-Fadzil Pegawai Agama Istana dan panglima-panglima menghadap membawa Al-Quranul Karim, Keris Kerajaan, Surat Perisytiharan dan Warkah Ikrar. Ketika ini nobat memainkan lagu Menjunjung Duli.



Apabila sampai di hadapan Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela menyambut kitab suci Al-Quranul Karim daripada Datuk Penghulu Istiadat dan membawanya naik ke atas Singgahsana dan menyembahkannya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kemudian Baginda mencium kitab tersebut dan meletakkannya di meja sisi antara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Alat kebesaran Diraja yang lain diletakkan di atas meja di hadapan Singgahsana.



Seterusnya Datuk Paduka Maharaja Lela mempersilakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk membaca Surat Perisytiharan Pertabalan. Selepas perisytiharan dibaca, Datuk Paduka Maharaja Lela menyembahkan Keris Kerajaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda menerima Keris Kerajaan dan menghunus serta mengucup keris berkenaan. Kemudian Baginda menerima Warkah Ikrar serta melafazkan :



“ Beta bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya Beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”



Selepas pembacaan Warkah Ikrar, nobat bergema dengan Raja Bertabal diikuti dengan laungan “Daulat Tuanku” tiga kali berturut-turut yang diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, dan diikuti oleh sekalian yang hadir. Tembakan meriam 21 das dimulakan dan serentak dengan itu lagu Negaraku dimainkan. Kemudian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia daripada kerajaan dan rakyat Malaysia. Selepas ucapan Perdana Menteri, Istiadat Pertabalan diteruskan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan disudahi dengan bacaan doa selamat oleh Al-Fadzil Pegawai Agama Istana Negara. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang lagi bersejarah itu menggambarkan kedaulatan yang menjadi kebanggaan dan keagungan bangsa dan negara Malaysia.



PAKAIAN ISTIADAT SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG



• Muskat

• Mess kit

• Tengkolok Diraja

• Pending Diraja



• Gandik Diraja

• Keris Pendek Diraja

• Kalung Diraja



ALAT-ALAT KEBESARAN DIRAJA



• Keris Panjang Diraja

• Cogan Agama

• Cogan Alam

• Cokmar

• Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja

• Payung Ubur-ubur Kuning

• Tombak Berambu



Nobat

Nobat merupakan orkestra Diraja bagi majlis adat istiadat istana seperti pertabalan, perkahwinan, menjunjung duli, berkhatan, kemangkatan dan sebagainya. Negeri-negeri seperti Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor mempunyai Nobat mereka yang tersendiri. Alat-alat muzik yang digunakan dalam Nobat Diraja Kedah terdiri daripada enam jenis iaitu Serunai, Nafi ri, Gendang Nahara, Gendang Ibu, Gendang Anak dan Gong. Satu lagi peralatan yang digunakan ialah Mahaguru atau dikenali juga sebagai Semambu iaitu sebatang rotan semambu yang dijadikan lambang mohor atau cokmar yang menjadi simbol kekuasaan Raja. Rotan sepanjang 1.77 meter ini dibalut dengan kain kuning dan akan dipegang oleh Penghulu Nobat mengadap kumpulannya ketika permainan Nobat dipersembahkan. Alat-alat muzik ini dimainkan oleh beberapa orang pemuzik yang dipilih khas dalam satu keturunan keluarga sahaja yang dikenali sebagai ‘Orang Kalur’ dan mereka memainkan lagu-lagu yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi.



Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berwarna kuning mempunyai Jata Malaysia di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh dua karangan padi. Warna kuning ialah warna Diraja. Karangan padi yang berwarna keemasan melambangkan kemewahan dan kemakmuran.



Istana Negara

Istana Negara merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana Negara yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur menjadi mercu tanda baru bagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia. Seni binanya mengambil kira aspek keselamatan selain ciri-ciri estetika yang menekankan unsur-unsur binaan Islam dan tradisional Melayu. Istana ini dibina di atas tanah berkeluasan 241.3 ekar.



Antara keunikan yang dapat dilihat pada Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya yang berjumlah 22 buah kesemuanya. Pada dua kubah terbesar, terdapat reka bentuk seperti sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahaya tersebut, boleh bertukar warna mengikut jenis acara rasmi yang sedang berlangsung dan dapat dilihat dengan jelas dari luar kawasan Istana.



• Singgahsana

• Bilik Mesyuarat Raja-Raja

• Dewan Seri Maharaja

• Dewan Seri Mahkota

• Seri Negara



DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT PERSEKUTUAN



DARJAH KERABAT DAN DARJAH KEBESARAN DIRAJA

❋ Darjah Yang Maha Utama Kerabat



DIRAJA MALAYSIA (D.K.M.)

❋ Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.)



DARJAH YANG MULIA PANGKUAN NEGARA

❋ Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.)

❋ Panglima Mangku Negara (P.M.N.)

❋ Johan Mangku Negara (J.M.N.)

❋ Kesatria Mangku Negara (K.M.N.)

❋ Ahli Mangku Negara (A.M.N.)

❋ Pingat Pangkuan Negara (P.P.N.)



DARJAH YANG MULIA SETIA MAHKOTA MALAYSIA

❋ Seri Setia Mahkota (S.S.M.)

❋ Panglima Setia Mahkota (P.S.M.)

❋ Johan Setia Mahkota (J.S.M.)



DARJAH YANG MULIA JASA NEGARA

❋ Panglima Jasa Negara (P.J.N.)



DARJAH YANG AMAT DIHORMATI SETIA DIRAJA

❋ Panglima Setia Diraja (P.S.D.)

❋ Johan Setia Diraja (J.S.D.)

❋ Kesatria Setia Diraja (K.S.D.)

❋ Bentara Setia Diraja (B.S.D.)



DARJAH BAKTI

❋ Darjah Bakti (D.B.)



DARJAH GAGAH PERKASA

❋ Seri Pahlawan Gagah Perkasa(S.P.)

❋ Panglima Gagah Berani (P.G.B.)

❋ Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P.)

❋ Kepujian Perutusan Keberanian (K.P.K.)



PINGAT PERKHIDMATAN LAMA DAN KELAKUAN TERPUJI

❋ Pingat Kebaktian (P.K.)

❋ Pingat Khidmat Berbakti (P.K.B.)

❋ Pingat Perkhidmatan Setia (P.P.S)

❋ Pingat Perkhidmatan Am (P.P.A.)

❋ Pingat Tentera Udara (P.T.U)













Rotan saga banyak di hulu

Diikat raga di bawah persada

Walau apa pun akan berlaku

Rakyat dan Raja berpisah tiada



D’SURY



Tiada ulasan: