13.8.10

Petikan Kata-Kata Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak

APRIL 2009

3 April 2009

Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

“Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan sesungguhnya bersumpah bahawa
saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang Perdana Menteri kecuali sebagai mana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagai mana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong.”

(Majlis Angkat Sumpah)

5 April 2009
“Saya Cuma berharap rakyat akan bersikap terbuka dan positif menilai kepimpinan saya dan beri saya peluang tunjukkan kepimpinan...mudah-mudahan rakyat boleh menerima kepimpinan saya”
(Program Wawancara Khas Perdana Menteri Ke-6 TV3)

6 April 2009
“Laporan yang bertanggungjawab adalah dengan melihat secara lebih skeptikal dan kritikal terhadap sesuatu dakwaan dari pelbagai sudut dan khabar angin yang membentuk perbincangan politik.”
(Majlis Makan Malam Wartawan Malaysia 2008 di Kuala Lumpur)

9 April 2009
“Kita harus memahami bahawa era kerajaan bertindak mengawal secara keterlaluan dan mengambil sikap ‘kerajaan lebih mengetahui’ (Goverment knows best) sudah berlalu. Kita akan hanya mampu mencapai cita-cita untuk Malaysia apabila kerajaan serta rakyat bersama-sama bersatu tenaga membina sebuah negara yang aman makmur”.
(Taklimat media selepas pengumuman barisan kabinet)

14 April 2009
“Saya Perdana Menteri semua komuniti “
(Majlis Sambutan Vaisakhi di Kuil Tatt Khalsa Diwan, Chow Kit Kuala Lumpur)

15 April 2009
“Ia berasaskan saling percaya dan hormat-menghormati. Saya tak mahu terlalu rigid sangat. Selama mana kita hormat sesama kita, kita bukan saja toleransi tetapi hormat dan saling percaya di kalangan masyarakat pelbagai kaum.”
(Sidang akhbar sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara, Kuala Lumpur)

20 April 2009.
“Sebab itu saya ingatkan supaya jangan banyak sangat upacara pada setiap majlis seperti mesti ada letak karpet merah, bunga manggar, kompang, zapin dan banyak lagi sedangkan ini semua satu pembaziran.”
(Perjumpaan dengan kakitangan perkhidmatan awam Johor di Hotel The Zone Regency Johor Bahru)

24 April 2009
“Bumiputera ada kemampuan dan tidak rasa bimbang mereka akan pupus dan kalah dalam persaingan.”
(Perbincangan dua hala dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka berkenaan liberalisasi kerajaan)

27 April 2009
“Melangkah ke hadapan, sektor kewangan dijangka menjadi pendorong dan pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih penting dalam peralihan Malaysia ke arah mencapai status ekonomi maju pada 2020.”
(Sidang akhbar pengumuman pakej liberalisasi bagi sektor kewangan, Putrajaya)

28 April 2009
“Kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong, apa yang mustahak kerja mesti jalan.”
(Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya)

MEI 2009

27 Mei 2009
“Felda No 1 Di Dunia dan Felda Really Team” Moto itu akan merangsang pemikiran warga Felda dan perubahan transformasi itu perlu dilaksanakan dalam erti kata sebenar ’’
(Majlis Pelancaran Moto Felda)

5 Mei 2009
“Rakyat yang berpuas hati dengan kerajaan itulah rakyat yang akan bersama-sama dengan kerajaan insya-allah”
(Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri)

6 Mei 2009
“Tidak Payah kita tunggu jemputan sebagai wakil rakyat. Tidak payah di undang, tidak payah ada bunga manggar, tidak payah dengan hamparan merah dana tidak payah tunggu televisyen”.
(Majlis Perhimpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Sabah)

15 Mei 2009
“Perkhidmatan Awam mempunyai fungsi yang cukup signifikan dalam mencorakkan pembangunan negara dan usaha ini akan membawa negara megah di persada dunia”
(Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam)

25 Mei 2009
“1Malaysia wujud untuk meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional, bukanya platform bagi melontar tuntutan yang bukan-bukan”
(Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan)

JUN 2009
1 Jun 2009
“Malaysia dan Vietnam bersetuju mengemukakan kepada konvensyen PBB mengenai undang-undang laut (UNCLOS) berhubung tuntutan di laut China Selatan.”
(Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Korea Selatan, Jeju Korea Selatan)

3 Jun 2009
“Jika dilihat kepada sejarah negara ni, ia tidak pernah menggunakan kekuatan tentera untuk mengancam atau menakluki negara lain sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha menjalinkan persahabatan dan perdagangan.”
(Majlis Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) dan Perasmian Persidangan Antarabangsa pengajian Melayu Beijing, China)

7 Jun 2009
“Saya bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.”
(Sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di PWTC, Kuala Lumpur)

11 Jun 2009
“Tidak mengubah dasar sewenang-wenangnya atau mempunyai kepincangan dalam dasar kita.”
(Mesyuarat Perundingan Bajet 2010, Putrajaya)

17 Jun 2009
“Kita perlu mempunyai perasaan yang kita rapat antara satu sama lain. Kita terdiri daripada satu negara, satu bangsa Malaysia dan mempunyai satu impian untuk masa depan yang lebih baik di bawah konsep 1Malaysia.”
(Perasmian Hotel Four Point By Sheraton dan Projek Pemanjangan Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Kuching Sarawak)

JULAI 2009

1 Julai 2009
“Ahli lembaga pengarah dan pengurusan Felda Global mempunyai tanggungjawab yang mencabar bagi menukar Felda menjadi MNC bertaraf dunia”.
(Pelancaran Felda Global, Kuala Lumpur)

6 Julai 2009
“Sebab itu kerajaan BN yang saya pimpin hari ini tidak akan bermain politik, tidak hanya cakap-cakap sahaja, kita ingin lebih dinilai dari segi tindakan kita”.
(Majlis Pelancaran Pesta Kebudayaan Tiong Hua Malaysia ke-26 di Dataran Sanyan Sibu)

7 Julai 2009
“saya tidak cadangkan hari ini untuk huraikan apa yang termaktub sebagai KRA dan KPI tapi ini akan menjadi satu kaedah pembaharuan dalam cara kita mentadbir negara.”
(Majlis Perhimpunan Bulanan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya)

3.8.10

DASAR TEKNOLOGI HIJAU NEGARA

Teknologi ialah satu ciptaan yang bertujuan untuk menambah baik kehidupan manusia. Namun implikasi daripada peningkatan teknologi dunia telah meningkatkan pencemaran dan juga bahan buangan yang tidak baik kepada bumi. Aplikasi teknologi hijau dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian yang digunakan di kebanyakan negara untuk menangani isu teknologi dan alam sekitar secara serentak. Teknologi Hijau ialah satu teknologi yang membolehkan kita bertambah maju tetapi pada masa yang sama meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar.

Malaysia tidak terkecuali daripada merancang strategi mengurangkan kesan negatif teknologi kepada alam sekitar dengan melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di Pejabat Tenaga Hijau (GEO), Pusat Tenaga Malaysia (PTM), Bangi pada 24 Julai 2009. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Dasar Teknologi Hijau yang dikendalikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mampu menyediakan panduan dan memacu peluang baru untuk perniagaan dan industri seterusnya membangunkan ekonomi negara.

Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumbangan semula jadi, dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut iaitu :-
• Meminimumkan degradasi kualiti persekitaran;
• Mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar;
• Selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua kehidupan;
• Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
• Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Dasar Teknologi Hijau Negara merangkumi unsur-unsur ekonomi, alam sekitar dan sosial seperti yang digariskan oleh lima objektif pembentukan dasar ini iaitu :-
• Untuk menyelaras pertumbuhan industri teknologi hijau dan meningkatkan sumbangan teknologi hijau terhadap ekonomi negara;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri teknologi hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan teknologi hijau dan meningkatkan daya saing dalam teknologi hijau di persada antarabangsa.
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan menggalakkan penggunaan meluas teknologi hijau.

Lima langkah bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara telah dikenal pasti iaitu :-
• PERTAMA : mengukuhkan rangka kerja institusi, khususnya yang membabitkan peringkat menteri;
• KEDUA : Menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembangunan teknologi hijau;
• KETIGA : Menggiatkan pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan dengan menyediakan pakej kewangan serta insentif kepada pelajar untuk mengambil subjek yang mempunyai kaitan dengan teknologi hijau;
• KEEMPAT : Menggalakkan penyelidikan dan inovasi teknologi hijau menerusi pengkomersialan; dan
• KELIMA : Meneruskan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran awam terhadap teknologi hijau.

Dasar Teknologi Hijau Negara ini dibentuk berasaskan kepada empat tonggak iaitu :-
• TENAGA : Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosi kecekapan tenaga.
• ALAM SEKITAR : memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar.
• EKONOMI : meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi.
• SOSIAL : meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Bagi menjayakan pelaksanaan dasar ini, sebuah badan yang berperanan memastikan dasar berjalan dengan lebih efektif telah ditubuhkan iaitu Majlis Teknologi Hijau (GTC). GTC akan menjadi penyelaras peringkat atasan iaitu peringkat menteri diikuti oleh agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan. Majlis tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Timbalan Pengerusi pula disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin. Bagi menyelaras pihak yang berkepentingan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chinn Fah Kui akan dipertanggungjawabkan.

Pejabat Tenaga Hijau (GEO) yang dirasmikan serentak dengan pelancaran dasar ini dibina dengan unsur-unsur kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (RE). Bangunan itu mempunyai keunikan tersendiri kerana dilengkapi dengan sistem Fotovoltaik Bersepadu Bangunan (BIPV) yang berfungsi sebagai sel menyimpan tenaga solar (suria) 93kwP (kilowatt peak).

Bangunan ini juga unik kerana susunan plat silikon (sistem fotovoltaik) kelihatan dari jauh seolah-olah menjadi simbol penggunaan tenaga solar yang maksimum sebagai identitinya. Selain itu, bangunan pejabat ini juga diiktiraf sebagai GEO atau bangunan hijau pertama di negara ini. Bangunan hijau merujuk kepada aplikasi-aplikasi Malaysia Green Index yang dibangunkan oleh Green Building Index Sdn. Bhd. di bawah seliaan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Persatuan Perunding Jurutera Malaysia (Acem)

BIDANG KEBERHASILAN UTAMA (NKRA) DAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) : REVOLUSI PENGURUSAN PERKHIDMATAN KERAJAAN

Pada 11 Julai 2009, genap 100 hari Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mentadbir negara. Beliau muncul dengan memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang akan dijadikan sebagai ‘petunjuk’ sepanjang beliau memimpin supaya dapat mencapai matlamat KPI. Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diperkenalkan bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang serius di kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam. NKRA dan KPI diperkenalkan kerana kerajaan tidak mahu rakyat sebagai pelanggan utama keliru dengan inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan. NKRA akan dikenal pasti menerusi KPI tersendiri dengan sasaran khusus supaya pencapaiannya dapat diukur.

KPI setiap enam NKRA masing-masing diterajui oleh enam menteri iaitu :-
1. Meluaskan Akses Kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd. Yassin
• Pendidikan prasekolah dijadikan sebahagian sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti.
2. Mengurangkan Kadar Jenayah : Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Huseein
• Mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir 2010. Jenayah jalanan termasuk ragut, samun tanpa senjata dan samun berkawan tanpa senjata api yang menjadi 17 peratus daripada keseluruhan jenayah indeks.
• Pasukan sukarela sedia ada terutama RELA dikemas kini dan diberi latihan dengan lebih teratur.
3. Memerangi Rasuah : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz

4. Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah : Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat, Dato; Seri Shahrizat Abdul Jalil
• Membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.
5. Memperkasa Prasarana Luar Bandar Dan Pedalaman : Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Shafie Apdal
• Perunutkan RM 10.9 bilion bagi membina jalan, bekalan air dan elektrik selain baik pulih 50,000 rumah menjelang 2012.
6. Menambah Baik Pengangkutan Awam Dalam Jangka Masa Sederhana : Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ong Tee Keat
• Menetapkan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam pada akhir 2012.

PERINCIAN BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA)

Mengurangkan Kadar Jenayah

• Mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir 2010. Jenayah jalanan termasuk ragut, samun tanpa senjata dan samun berkawan tanpa senjata api yang menjadi 17 peratus daripada keseluruhan jenayah indeks.

• Pasukan sukarela sedia ada, terutama Rela dikemas kini dan diberi latihan lebih teratur termasuk penyeragaman uniform supaya dapat dibabitkan bersama polis, khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan.

• Menaikkan prestasi penguatkuasaan, KDN akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes tertangguh seperti menubuhkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

Memerangi Rasuah

• Semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender terhad kecuali dalam kes tertentu.

• Daripada segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan menaikkan taraf Badan Pencegah Rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

Meluaskan Akses Kepada Pendidikan berkualiti dan berkemampuan

• Pendidikan prasekolah dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

• Menetapkan semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum akhir 2012.

• Kerajaan menawarkan Ba’iah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

• Sebanyak 100 sekolah akan diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi bagi menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam bagi memacu pencapaian pelajar dan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat 2012.

Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah

• Membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan. Mengikut rekod sistem e-kasih, ada hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara.

• Bermula Januari 2010 semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada setiap 1 hari bulan.

• Jumlah usahawan wanita ditambah kepada 4,000 menjelang 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.

Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman

• Peruntukan RM4 bilion bagi menambah jalan luar bandar dalam kategori jalan berturap, jalan kerikil dan jalan tanah di Sabah dan Sarawak kepada 1,500 kilometer (km) menjelang penamat 2012. Bakal memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir dua juta penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak.

• Liputan rangkaian jalan luar bandar di Semenanjung dipertingkatkan bagi memastikan semua rakyat tinggal paling jauh lima kilometer dari jalan berturap. Peruntukan RM1 bilion disediakan bagi pelaksanaan yang akan siap akhir 2012.

• Liputan bekalan air Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada 70 peratus pada akhir RMK-9. Tindakan segera untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90 peratus di Sabah dan Sarawak pada akhir 2012. Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan membawa kemudahan kepada 60,000 rumah.

• Meningkatkan liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak kepada 95 peratus pada akhir 2012. Sejumlah RM3.9 bilion diperuntukkan yang akan dinikmati 80,000 rumah.

• Bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada 2012.

• Membina dan membaik pulih 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan miskin dan miskin tegar sehingga penghujung 2012 di seluruh negara.

Menambah Baik Pengangkutan Awam Dalam Jangka Masa Sederhana

• Sasaran 25 peratus daripada penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam pada akhir 2012 daripada 16 peratus ketika ini.
• Sebanyak 35 set tren empat gerabak akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya menjelang akhir 2012.

MODENISASI, STRUKTURAL SEKTOR PERKHIDMATAN AWAM

Pada 28 April 2009, Perdana Menteri Malaysia dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke- 10 (MAPPA X) telah menggariskan empat anjakan paradigma modenisasi yang perlu dilaksanakan oleh sektor perkhidmatan awam bagi mencapai kejayaan pada alaf baru. Anjakan itu perlu dilakukan dengan menggabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan. Jentera pentadbiran sektor awam perlu memahami dan berupaya menyelami keluh kesah sebenar kehidupan rakyat. Langkah ini penting dalam memastikan negara dapat keluar daripada kemelut ekonomi sedia ada dengan kadar paling pantas. Anjakan paradigma tersebut ialah :-

• Perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan.
Anggota perkhidmatan awam seharusnya sedar bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mana kerajaan mempunyai saham yang dikutip dalam bentuk cukai korporat. Keanjalan ini penting dengan sektor awam bertindak sebagai pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam.

• Sektor awam juga perlu beralih daripada budaya out put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik.
Sebagai contohnya, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk soal kebajikan dan moral pelajar.

• Anjakan ketiga pula ialah perubahan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang menyenangkan rakyat.
Walaupun menyedari bahawa sistem birokrasi sedia ada mampu membawa Malaysia mencapai tahap hari ini namun kerajaan juga menyedari bahawa anjakan paradigma perlu bagi memberi perubahan dan menyenangkan rakyat. Perubahan ini juga perlu memandangkan banyak rungutan terhadap perkhidmatan terutamanya di kaunter-kaunter yang lewat memproses sesuatu seperti pasport yang dahulunya mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan tetapi hakikatnya dengan kecanggihan teknologi hari ini perkara tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

• Sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.
Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok manakala jika digabungkan produktiviti dengan inovasi dan kreativiti, ia akan memberi penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap). Gabungan ini juga mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia.
Perdana Menteri turut mengutarakan beberapa cadangan dalam usaha memantakan lagi sektor perkhidmatan awam. cadangan-cadangan tersebut ialah :-
• Jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.
• Satu dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.
• Mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat seperti yang diamalkan oleh Petronas, permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap sehingga mampu menjadikan mereka organisasi yang hebat.

LIBERALISASI SEKTOR KEWANGAN

Pada 27 April 2009, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengumumkan Liberalisasi Kewangan. Langkah meliberalisasi sektor kewangan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat kerana suntikan dana bank asing bakal menjana pelbagai peluang pekerjaan di dalam negara. Pengumuman langkah liberalisasi sektor kewangan yang melibatkan sistem konvensional dan Islam dijangka akan membawa kepentingan besar untuk industri perbankan Malaysia. Tindakan liberalisasi sektor kewangan ini sejajar dengan objektif yang ditetapkan di bawah pelan Induk Sektor Kewangan yang diterbitkan pada tahun 2001 untuk melahirkan sektor kewangan yang berdaya tahan, pelbagai dan cekap.

Sektor perkhidmatan kewangan merupakan komponen penting dalam ekonomi dan sumbangannya telah meningkat daripada 9.2% pada tahun 2000 kepada 11% pada tahun 2008. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, sektor kewangan dan insurans telah berkembang sebanyak 8.8% setahun, mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar sebanyak 6%. Terdapat lebih daripada 140,000 pekerja dalam sektor perbankan dan insurans di Malaysia.

Dalam menyediakan sektor kewangan untuk memenuhi kesemua matlamat ini, langkah-langkah liberalisasi yang diumumkan bertujuan untuk:

• Meningkatkan lagi hubungan Malaysia dengan ekonomi antarabangsa dan menggalakkan peningkatan integrasi ekonomi serantau;

• Menyediakan akses kepada lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia untuk para peniaga dan pengguna;

• Memperkukuh daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam untuk menjadi hab kewangan Islam antarabangsa; dan

• Mempromosikan Malaysia sebagai peneraju pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (shared services and outsourcing, SSO) global.

Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan melibat perkara-perkara yang berikut:-

• 2 lesen bank Islam dengan modal berbayar minimum AS$1 bilion, 2 lesen bank perdagangan dan 2 lesen takaful keluarga ditawarkan .

• 3 lagi lesen bank perdagangan ditawarkan pada 2011

• Pelabur asing dibenarkan memiliki sehingga 70 peratus ekuiti bank Islam, bank pelaburan dan syarikat insurans/takaful berkuat kuasa serta-merta.

• Bank perdagangan asing diperbadankan di Malaysia dibenarkan buka 10 cawangan pembiayaan mikro.

• Syarikat insurans dan takaful asing dibenarkan buka cawangan tanpa sekatan.

• Sekatan bagi syarikat insurans dan takaful tubuh bankasurans/banktakaful dihapuskan.

• Syarikat insurans dan takaful dibenarkan guna kepakaran asing.

• Institusi pelaburan luar pesisir boleh beroperasi di dalam negara 2010.

• Syarikat insurans luar pesisir boleh beroperasi di dalam negara mulai 2011.


Tindakan membuka pasaran tempatan yang membenarkan pegangan asing hingga 70 peratus diharap akan membawa kepada kemasukan kepakaran yang mendatangkan manfaat kepada pembangunan produk kewangan dan proses pengurusan risiko. Ia juga menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI).

LIBERALISASI SEKTOR PERKHIDMATAN

Sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi negara, menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008, di mana, sebanyak 47.6 peratus merupakan sumbangan daripada perkhidmatan bukan kerajaan. Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia. Kerajaan mensasar untuk meneroka potensi sepenuhnya sektor perkhidmtan dan meningkatkan sumbangan KDNK melebihi 60 peratus, seperti yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Menyedari potensi pertumbuhan di dalam sektor perkhidmatan, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor perkhidmatan secara serta-merta, tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan. Sub-sektor ini adalah di dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, perkhidmatan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan perniagaan dan perkhidmatan komputer dan yang berkaitan. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meliberalisasikan sub-sektor perkhidmatan yang lain secara progresif dari masa ke semasa.

Liberalisasi sektor perkhidmatan diambil dengan tujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi, serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Usaha-usaha ini dijangka dapat meningkatkan tahap daya saing sektor perkhidmatan di negara ini.

Initiatif liberalisasi tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan. Kerajaan akan terus menyokong industri melalui pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport. Satu dana pembangunan kapasiti sektor perkhidmatan yang berjumlah RM100 juta telah diwujudkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Pertama. Tabung ini diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), terutamanya, bagi memperkukuhkan industri tempatan dalam menghadapi persekitaran sektor perkhidmatan yang lebih terbuka.

Bagi mempermudah pelaburan dalam sektor perkhidmatan, satu Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah MIDA telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai pusat yang akan menerima dan memproses permohonan pelaburan bagi sektor perkhidmatan, kecuali perkhidmatan kewangan, pengangkutan udara, utiliti, Koridor Pembangunan Ekonomi, syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Bionexus, dan perdagangan pengedaran.

Dengan fokus diberikan kepada perkhidmatan pada masa ini, usaha-usaha promosi barangan pembuatan akan dilengkapi dengan lebih tumpuan diberikan kepada promosi eksport perkhidmatan. Sehubungan dengan ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditugaskan untuk menyelaras dan menerajui semua usaha-usaha promosi eksport.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa, profesion perundangan akan diliberalisasikan dengan membenarkan lima firma guaman antarabangsa dengan kepakaran dalam kewangan Islam antarabangsa untuk menawarkan perkhidmatan mereka di Malaysia. Firma tersebut hanya dibenarkan memberi perkhidmatan perundangan dalam bidang kewangan Islam antarabangsa. Firma perundangan yang berjaya akan ditentukan berdasarkan kelayakan dan pelan perniagaan bagi pejabat yang akan ditubuhkan di Malaysia.
Sektor perkhidmatan disasarkan sebagai sektor pertumbuhan baru ekonomi. Liberalisasi sektor ini akan mewujudkan rangsangan bagi meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi.
Pengumuman mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan yang dibuat pada 22 April 2009 oleh Perdana Menteri Malaysia melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang berikut :-

Komputer dan yang berkaitan
• Perundingan berkaitan pemasangan perkakasan komputer.
• Pelaksanaan perisian-perundingan sistem dan perisian, analisis sistem, reka bentuk sistem, sistem pengaturcaraan dan penyelenggaraan sistem.
• Pemprosesan data-penyediaan input, pemprosesan data dan penjadualan, time-sharing dan perkhidmatan pemprosesan lain.
• Pangkalan data
• Penyenggaraan dan pembaikan komputer MSC
• Penyediaan data, latihan, pemulihan data dan pembangunan kandungan kreatif.

Kesihatan dan sosial
• Semua perkhidmatan veterinar
• Kebajikan yang dijalankan melalui institusi kediaman kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
• Kebajikan yang dijalankan melalui institusi kediaman kepada kanak-kanak.
• Penjagaan harian kanak-kanak termasuk penjagaan harian bagi OKU.
• Pemulihan vokasional bagi OKU.

Pelancongan
• Taman tema
• Pusat konvensyen dan pameran kapasiti tempat duduk lebih 5000
• Agensi perjalanan dan pengendali pelancongan (bagi perkhidmatan di hotel empat dan lima bintang saja).
• Hidangan minuman untuk diminum di premis (bagi perkhidmatan di hotel empat dan lima bintang saja)

Pengangkutan
• Pengangkutan muatan kelas C (lesen pengangkutan persendirian untuk mengangkut barang sendiri).

Sukan dan rekreasi lain
• Sukan (mengandungi promosi dan penganjuran acara sukan bukan kerajaan).

Perniagaan
• Pusat pengedaran serantau
• Pusat perolehan antarabangsa
• Perkhidmatan ujian teknikal dan analisa-ujian dan analisa komposisi dan ketulenan, ujian dan analisa harta benda fizikal, ujian dan analisa sistem bersepadu mekanikal dan elektrikal dan penyeliaan teknikal.
• Pengurusan perunding-perkhidmatan am, kewangan (kecuali cukai perniagaan pemasaran, sumber manusia dan hubungan awam.

Sewaan/Pajakan tanpa operator
• Sewaan/pajakan kapal kecuali kabotaj dan perdagangan pesisiran.
• Sewaan kapal kargo tanpa anak kapal (bareboat charter) untuk pelayaran antarabangsa.

Pengangkutan sokongan dan bantuan
• Agensi maritim
• Kapal penyelamat dan re-floating.

1 MALAYSIA

Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam. Konsep ini bertepatan dengan impian sepanjangnya iaitu satu Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur, dengan peluang yang bukan sedikit untuk semua rakyat. Konsep ini akan direalisasikan dengan memberi keutamaan kepada pencapaian dan kehendak rakyat sesuai dengan slogan yang pegang oleh Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Matlamat konsep ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkan rakyat yang berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mengambil kira kehendak dan sensitiviti semua kumpulan etnik yang terdapat di dalam negara ini.

Tiga Prinsip Teras 1Malaysia
1Malaysia diwujudkan bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional. Ia bagi membina perpaduan yang lebih kental dan penghayatan yang lebih mendalam mengenai perpaduan nasional. 1Malaysia adalah pemangkin kepada mengujudkan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyatnya. 1Malaysia disandarkan kepada tiga teras dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu:
1. Prinsip Penerimaan
2. Prinsip Kenegaraan
3. Prinsip Keadilan Sosial

Prinsip Penerimaan
Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia.

Prinsip Kenegaraan
Kepentingan semangat patriotisme dan pengukuhan ikatan perpaduan antara kaum telah disedari oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman telah berjaya dalam misi mendapatkan kemerdekaan hasil kesepakatan dalam Parti Perikatan. Parti yang menggabungkan tiga kaum utama ini iaitu Melayu (UMNO), India (MIC) dan Cina (MCA) telah berjaya meyakinkan British akan kemampuan rakyat negara ini untuk berkerajaan sendiri.

Walaupun ikatan perpaduan di peringkat awal penubuhan Malaysia agak longgar, namun Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyedarkan rakyat negara ini bahawa perpaduan negara bukan satu isu yang boleh dipandang remeh. Ekoran itu, Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri ketika itu telah mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan membetulkan keadaan sosial masyarakat pada masa itu. Misi ini diteruskan dan disemarakkan lagi oleh pemimpin berikutnya iaitu Tun Hussien Onn sehingga diberi gelaran ‘Bapa Perpaduan’. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi meneruskan inspirasi negara berhubung dengan semangat patriotisme dan perpaduan dengan pelbagai konsep dan program yang dirangka dalam memastikan keharmonian dan keamanan akan terus dikecapi rakyat negara ini.

Prinsip Keadilan Sosial
Setiap kaum di Malaysia telah diberi keadilan. Hak dan kepentingan masing-masing telah dipelihara melalui Perlembagaan Negara yang telah dipersetujui bersama. Melalui Konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Namun begitu Konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan.

8 Nilai 1Malaysia
Terdapat lapan nilai yang telah digarapkan dalam Konsep 1Malaysia. Nilai-nilai ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat.

1. Budaya Kecemerlangan
Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi di mata dunia.

2. Ketabahan
Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

3. Rendah Hati
Sifat rendah hati amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dalam budaya masyarakat Melayu. Sifat rendah hati bukan bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Sifat ini perlu diamalkan secara berhemah agar orang tidak memandang rendah kepada kemampuan dan kredibiliti kita namun dalam masa yang sama kita tidak mahu orang melabelkan kita sebagai orang yang bongkak dan meninggi diri.

4. Penerimaan
Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima dan menghormati hak, cara hidup, kebudayaan dan pegangan agama kaum-kaum yang terdapat di negara ini. Sikap saling menerima ini akan mempengaruhi ikatan perpaduan antara kaum.

5. Kesetiaan
Rakyat Malaysia perlu mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan kepada negara ini penting untuk membangkitkan semangat patriotisme iaitu cintakan negara tanpa mengira asal keturunan kita.

6. Meritokrasi
Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7. Pendidikan
Pendidikan dan pengetahuan adalah asas dalam pembentukan modal insan yang cemerlang. Ilmu yang tinggi dan sejajar dengan perkembangan semasa akan memastikan misi Malaysia menjadi negara maju akan tercapai dan modal insan yang berpengetahuan akan mampu bersiang sehingga ke peringkat global.

8. Integriti
Nilai integriti penting untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga peringkat akar umbi tanpa mengira kedudukan. Kepentingan negara perlu diletakkan paling atas mengatasi segala kepentingan lain.

Logo 1Malaysia

Logo 1Malaysia telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 27 Jun 2009 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Logo ini melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Logo ini juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu misi untuk membina satu Negara Bangsa.