3.8.10

LIBERALISASI SEKTOR KEWANGAN

Pada 27 April 2009, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengumumkan Liberalisasi Kewangan. Langkah meliberalisasi sektor kewangan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat kerana suntikan dana bank asing bakal menjana pelbagai peluang pekerjaan di dalam negara. Pengumuman langkah liberalisasi sektor kewangan yang melibatkan sistem konvensional dan Islam dijangka akan membawa kepentingan besar untuk industri perbankan Malaysia. Tindakan liberalisasi sektor kewangan ini sejajar dengan objektif yang ditetapkan di bawah pelan Induk Sektor Kewangan yang diterbitkan pada tahun 2001 untuk melahirkan sektor kewangan yang berdaya tahan, pelbagai dan cekap.

Sektor perkhidmatan kewangan merupakan komponen penting dalam ekonomi dan sumbangannya telah meningkat daripada 9.2% pada tahun 2000 kepada 11% pada tahun 2008. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, sektor kewangan dan insurans telah berkembang sebanyak 8.8% setahun, mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar sebanyak 6%. Terdapat lebih daripada 140,000 pekerja dalam sektor perbankan dan insurans di Malaysia.

Dalam menyediakan sektor kewangan untuk memenuhi kesemua matlamat ini, langkah-langkah liberalisasi yang diumumkan bertujuan untuk:

• Meningkatkan lagi hubungan Malaysia dengan ekonomi antarabangsa dan menggalakkan peningkatan integrasi ekonomi serantau;

• Menyediakan akses kepada lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia untuk para peniaga dan pengguna;

• Memperkukuh daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam untuk menjadi hab kewangan Islam antarabangsa; dan

• Mempromosikan Malaysia sebagai peneraju pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (shared services and outsourcing, SSO) global.

Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan melibat perkara-perkara yang berikut:-

• 2 lesen bank Islam dengan modal berbayar minimum AS$1 bilion, 2 lesen bank perdagangan dan 2 lesen takaful keluarga ditawarkan .

• 3 lagi lesen bank perdagangan ditawarkan pada 2011

• Pelabur asing dibenarkan memiliki sehingga 70 peratus ekuiti bank Islam, bank pelaburan dan syarikat insurans/takaful berkuat kuasa serta-merta.

• Bank perdagangan asing diperbadankan di Malaysia dibenarkan buka 10 cawangan pembiayaan mikro.

• Syarikat insurans dan takaful asing dibenarkan buka cawangan tanpa sekatan.

• Sekatan bagi syarikat insurans dan takaful tubuh bankasurans/banktakaful dihapuskan.

• Syarikat insurans dan takaful dibenarkan guna kepakaran asing.

• Institusi pelaburan luar pesisir boleh beroperasi di dalam negara 2010.

• Syarikat insurans luar pesisir boleh beroperasi di dalam negara mulai 2011.


Tindakan membuka pasaran tempatan yang membenarkan pegangan asing hingga 70 peratus diharap akan membawa kepada kemasukan kepakaran yang mendatangkan manfaat kepada pembangunan produk kewangan dan proses pengurusan risiko. Ia juga menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Tiada ulasan: