3.8.10

DASAR TEKNOLOGI HIJAU NEGARA

Teknologi ialah satu ciptaan yang bertujuan untuk menambah baik kehidupan manusia. Namun implikasi daripada peningkatan teknologi dunia telah meningkatkan pencemaran dan juga bahan buangan yang tidak baik kepada bumi. Aplikasi teknologi hijau dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian yang digunakan di kebanyakan negara untuk menangani isu teknologi dan alam sekitar secara serentak. Teknologi Hijau ialah satu teknologi yang membolehkan kita bertambah maju tetapi pada masa yang sama meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar.

Malaysia tidak terkecuali daripada merancang strategi mengurangkan kesan negatif teknologi kepada alam sekitar dengan melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di Pejabat Tenaga Hijau (GEO), Pusat Tenaga Malaysia (PTM), Bangi pada 24 Julai 2009. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Dasar Teknologi Hijau yang dikendalikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mampu menyediakan panduan dan memacu peluang baru untuk perniagaan dan industri seterusnya membangunkan ekonomi negara.

Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumbangan semula jadi, dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut iaitu :-
• Meminimumkan degradasi kualiti persekitaran;
• Mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar;
• Selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua kehidupan;
• Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
• Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Dasar Teknologi Hijau Negara merangkumi unsur-unsur ekonomi, alam sekitar dan sosial seperti yang digariskan oleh lima objektif pembentukan dasar ini iaitu :-
• Untuk menyelaras pertumbuhan industri teknologi hijau dan meningkatkan sumbangan teknologi hijau terhadap ekonomi negara;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri teknologi hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan teknologi hijau dan meningkatkan daya saing dalam teknologi hijau di persada antarabangsa.
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan menggalakkan penggunaan meluas teknologi hijau.

Lima langkah bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara telah dikenal pasti iaitu :-
• PERTAMA : mengukuhkan rangka kerja institusi, khususnya yang membabitkan peringkat menteri;
• KEDUA : Menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembangunan teknologi hijau;
• KETIGA : Menggiatkan pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan dengan menyediakan pakej kewangan serta insentif kepada pelajar untuk mengambil subjek yang mempunyai kaitan dengan teknologi hijau;
• KEEMPAT : Menggalakkan penyelidikan dan inovasi teknologi hijau menerusi pengkomersialan; dan
• KELIMA : Meneruskan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran awam terhadap teknologi hijau.

Dasar Teknologi Hijau Negara ini dibentuk berasaskan kepada empat tonggak iaitu :-
• TENAGA : Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosi kecekapan tenaga.
• ALAM SEKITAR : memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar.
• EKONOMI : meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi.
• SOSIAL : meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Bagi menjayakan pelaksanaan dasar ini, sebuah badan yang berperanan memastikan dasar berjalan dengan lebih efektif telah ditubuhkan iaitu Majlis Teknologi Hijau (GTC). GTC akan menjadi penyelaras peringkat atasan iaitu peringkat menteri diikuti oleh agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan. Majlis tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Timbalan Pengerusi pula disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin. Bagi menyelaras pihak yang berkepentingan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chinn Fah Kui akan dipertanggungjawabkan.

Pejabat Tenaga Hijau (GEO) yang dirasmikan serentak dengan pelancaran dasar ini dibina dengan unsur-unsur kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (RE). Bangunan itu mempunyai keunikan tersendiri kerana dilengkapi dengan sistem Fotovoltaik Bersepadu Bangunan (BIPV) yang berfungsi sebagai sel menyimpan tenaga solar (suria) 93kwP (kilowatt peak).

Bangunan ini juga unik kerana susunan plat silikon (sistem fotovoltaik) kelihatan dari jauh seolah-olah menjadi simbol penggunaan tenaga solar yang maksimum sebagai identitinya. Selain itu, bangunan pejabat ini juga diiktiraf sebagai GEO atau bangunan hijau pertama di negara ini. Bangunan hijau merujuk kepada aplikasi-aplikasi Malaysia Green Index yang dibangunkan oleh Green Building Index Sdn. Bhd. di bawah seliaan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Persatuan Perunding Jurutera Malaysia (Acem)

Tiada ulasan: