16.12.10

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

PENGENALAN
Kementerian Sumber Manusia ditubuhkan untuk membangunkan sumber tenaga kerja yang kompetitif dan keadilan sosial dalam kalangan pekerja di Malaysia. Kementerian ini memastikan dasar-dasar sumber tenaga manusia yang digubal berkualiti dan praktikal untuk dilaksanakan selain memastikan hubungan dan kerjasama antara jabatan dan agensi di bawah kementerian, majikan dan pihak pekerja sentiasa kukuh dan harmoni. Di samping itu, kementerian ini juga bertanggungjawab memastikan perkhidmatan sokongan seperti keperluan perjawatan, kewangan dan kelengkapan peralatan pengurusan dan pentadbiran mencukupi, dalam keadaan boleh guna dan tersedia pada setiap masa.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Tenaga Manusia (JTM)
JTM yang dahulunya lebih dikenali sebagai Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) ditubuhkan secara rasmi pada 8 Mei 1969. Pada tahun 2002, bidang tugas JTM telah dirombak dan dikhususkan kepada satu aktiviti utama iaitu membantu negara ke arah penggunaan tenaga manusia yang optimum. Pelaksanaan aktiviti tersebut adalah melalui program latihan perindustrian untuk mengeluarkan dan meningkatkan bilangan tenaga mahir serta berdaya saing agar memenuhi keperluan sektor perindustrian di Malaysia.

Jabatan Tenaga Manusia, Aras 6, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8886 2346. Faks: 03-8889 4295. Laman web: www.jtm.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM)
JTKSM telah ditubuhkan pada tahun 1912 dengan nama Jabatan Buruh. JTKSM bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan ekonomi dan sosial warga pekerja melalui pelaksanaan standard perburuhan dan langkah-langkah perlindungan yang ditetapkan di bawah dasar dan undang-undang buruh negara; membantu meningkatkan daya pengeluaran negara melalui pelaksanaan sistem pentadbiran perburuhan negara secara berkesan untuk mewujudkan satu angkatan tenaga kerja yang terjaga, berdisiplin dan produktif; pemberian khidmat nasihat undang-undang buruh bagi membantu meningkatkan kecekapan proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ia juga membantu menggalakkan keseimbangan kaum dalam struktur guna tenaga di sektor swasta; membantu dalam pelaksanaan dasar guna tenaga dengan memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada warganegara melalui
pencegahan dan pengawalan penggajian pekerja-pekerja bukan warganegara; membantu meningkatkan kualiti kehidupan para pekerja di sektor perladangan; membantu menghidupkan konsep masyarakat penyayang melalui pelaksanaan kepentingan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan perlindungan khas.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Aras 5, Blok D3, Kompleks D, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8886 5000. Faks: 03 8889 2368. Laman web: www.jtksm.mohr.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja Sabah
Jabatan Tenaga Kerja Sabah mula wujud semasa pentadbiran British North Borneo Company dalam tahun 1880-an. Antara tanggungjawab yang dimainkan oleh jabatan ini ialah melatih pegawai dan kakitangan, menjalankan penyelidikan dan perancangan, melakukan pemeriksaan statutori ke tempat-tempat pekerjaan untuk menentukan peruntukan Undang-undang Buruh dipatuhi oleh para majikan dan pekerja, menyiasat dan menyelesaikan aduan-aduan buruh dan tuntutan pampasan pekerja, mengawal pengambilan dan penggajian pekerja-pekerja bukan pemastautin melalui pengeluaran Lesen Untuk Menggaji Pekerja Bukan Pemastautin.

Jabatan Tenaga Kerja Sabah (Ibupejabat), Tingkat 1, Blok C & D, Bangunan KWSP, P.O Box 14557, 88852 Kota Kinabalu, Sabah. Tel: 088 238 755/233 820/237 258. Faks: 088 242 445. Laman web: http://jtksbh.mohr.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JBSWK)
Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah ditubuhkan pada 27 Julai 1960 dan dikenali sebagai Jabatan Buruh Sarawak (JBSWK). Antara fungsi Jabatan ini ialah menasihati Menteri Sumber Manusia menerusi Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, pihak kerajaan Negeri Sarawak, orang awam dan warga industri mengenai perundangan perburuhan dan hal ehwal perburuhan di Sarawak; menyiasat dan memutuskan penyelesaian terhadap pertikaian warga industri berkaitan pembayaran, terma dan syarat penggajian, perkara di bawah bidang kuasa Akta Pampasan Pekerja 1952 dan menjalankan pendakwaan berhubung perlanggaran peruntukan undang-undang perburuhan di dalam Mahkamah; bekerjasama dengan pihak Polis berkenaan hal keselamatan, terutama Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Negeri (Pendaftaran Buruh), 1960.

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Tingkat 13, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93532 Kuching, Sarawak. Tel: 082-242261. Faks: 082-244909/237 051. Laman web: www. jtkswk.mohr.gov.my

Mahkamah Perusahaan
Mahkamah Perusahaan telah ditubuhkan pada tahun 1940 di bawah ‘Industrial Court and Court of Inquiry Rules’ tetapi tidak dapat berfungsi akibat penaklukan Jepun. Mahkamah Perusahaan berfungsi untuk membicarakan dan menurun keputusan atau award pertikaian perusahaan sama ada yang dirujuk Menteri atau rujukan terus oleh pihak yang bertikai; mendaftar dan memberi pengiktirafan perjanjian kolektif yang diamanahkan oleh majikan/kesatuan.

Mahkamah Perusahaan Malaysia, Jalan Mahkamah Persekutuan, 50544 Kuala Lumpur. Tel: 03-9236 5000. Faks: 03-2691 4228. Laman web: www.mp.gov.my

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM)
Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) ditubuhkan pada 21 Disember 1972. JPPM ditubuhkan bertujuan untuk memupuk serta memelihara perhubungan yang positif dan harmoni di antara majikan dan pekerja serta kesatuan-kesatuan sekerja bagi mewujudkan suasana perhubungan perusahaan yang aman dan tenteram dalam negara. Matlamat utama JPPM adalah untuk membantu iklim pelaburan yang bersesuaian untuk menarik pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara bagi merangsang ekonomi negara di samping membantu meningkatkan daya pengeluaran negara.

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Aras 9, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8886 5000. Faks: 03-8889 2355. Laman web: http://jpp.mohr.gov.my

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja
Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dahulunya dikenali sebagai Pejabat Pendaftar Kesatuan Sekerja telah ditubuhkan pada Julai 1946 untuk menguatkuasakan Enakmen Kesatuan Sekerja 1940. Antara fungsi Jabatan ini ialah untuk menguatkuasakan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 1959 seperti menyelia, mengarah dan mengawal secara am mengenai semua perkara yang berkaitan dengan kesatuan sekerja di negara ini dan menimbangkan permohonan-permohonan untuk pendaftaran kesatuan sekerja yang ditubuhkan oleh para pekerja dan majikan.

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Aras 8, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Persekutuan, 62500 Putrajaya. Tel: 03-8886 5000. Faks: 03-8888 0534. Laman web: http://jheks.mohr.gov.my

Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja; dan melindungi orang-orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor iaitu pengilangan, perlombongan dan kuari, pembinaan, hotel dan restoran, pertanian, perhutanan dan perikanan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun, kemudahan gas, elektrik, air dan perkhidmatan kebersihan, kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Aras 2,3 & 4, Blok D3, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8886 5000. Faks: 03-8889 5343. Laman web: www.dosh.edu.my

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) ditubuhkan pada 2 Mei 1989 melalui penyusunan Lembaga Latihan Perindustrian dan Persijilan Ketukangan Kebangsaan (LLPPKK). Tujuan utama penubuhan JPK adalah bagi merumus, menggalak dan menyelaras strategi dan program latihan kemahiran sejajar dengan keperluan serta perkembangan teknologi dan ekonomi negara. Nama MLVK telah ditukarkan kepada JPK setelah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 [Akta 652] telah dikuatkuasakan mulai 1 September 2006. Fungsinya adalah meluluskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan dan menasihati Menteri Sumber Manusia tentang pembangunan kemahiran.

Jabatan Pembangunan Kemahiran, Aras 7 & 8, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8886 5000. Faks: 03-8889 2423. Laman web: www.nvtc.gov.my

Institut Sumber Manusia Kebangsaan (ISMK)
Kerajaan menyedari bahawa dalam persaingan global masa kini, usaha menarik pelaburan dan sumber hanya akan dapat ditangani melalui pengurusan sumber manusia yang berkesan. Justeru, penubuhan ISMK adalah antara teras strategik Pelan Induk Ketiga Perindustrian Negara 2005-2010. ISMK kini memainkan peranan menyokong usaha mencapai wawasan KSM untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan dan pengurusan sumber manusia bertaraf dunia. Ke arah merealisasikan objektif tersebut, ISMK menekankan kepada usaha membantu KSM dalam hasrat memperkasa pengurusan perburuhan dan perancangan sumber manusia bagi menyokong pencapaian dasar kerajaan terhadap pembangunan modal insan negara yang berkualiti.

Kementerian Sumber Manusia, Aras 7, Blok D3, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8871 1334. Faks: 03-8888 3270. Laman web: www.mohr.gov.my/ismk

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ditubuhkan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja-pekerja dan tanggungan mereka apabila berlaku kontingensi bencana kerja termasuk penyakit dan keilatan atau kematian akibat sebarang sebab kepada pekerja itu melalui dua skim insurans iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Objektif utamanya adalah memastikan dan menjamin pembayaran faedah yang secukupnya dalam masa yang tepat dengan keadilan sosial serta mempertingkatkan taraf keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial, Menara PERKESO, 281, Jalan Ampang, 50538 Kuala
Lumpur. Tel: 03-4264 5000. Faks: 03-4256 4987. Pusat panggilan: 03 4257 5755.
Laman web: www.perkeso.gov.my

Pembangunan Sumber Manusia Berhad
Pewujudan Skim Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) adalah sangat penting dari segi pembangunan negara dan selaras dengan usaha-usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Fungsi PSMB seperti diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 adalah untuk menilai dan menentukan jenis-jenis, takat latihan dan latihan semula pekerja selaras dengan keperluan-keperluan sumber manusia bagi industri-industri; untuk menggalakkan dan meningkatkan latihan tenaga manusia; menentukan terma-terma dan syarat-syarat yang di bawahnya apa-apa bantuan kewangan atau pemberian yang hendak diberikan.

Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Wisma PSMB, Jalan Beringin, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur. Tel: 03-2096 4800. Faks: 03-2096 4999. Laman web: www.hrdnet.com.my

Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) ditubuhkan sebagai syarikat dengan jaminan pada 24 Jun 1992. Fungsi NIOSH adalah untuk memberi latihan, khidmat runding dan nasihat, menyebar maklumat serta menjalankan penyelidikan, dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Seperti yang termaktub di dalam Memorandum dan Tataurusan Syarikat, matlamat NIOSH adalah untuk menyumbang ke arah usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui pembangunan kurikulum dan program latihan untuk pekerja, majikan dan mereka yang bertanggungjawab, secara langsung atau sebaliknya, terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Lot 1, Jalan 15/1, Seksyen
15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Tel: 03 8769 2100. Faks: 03 8926 2900.
Laman web: www.niosh.com.my

Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditubuhkan melalui Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) dan berkuat kuasa pada 1 Jun 2006. PTPK menguruskan satu dana pusingan, iaitu Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) yang bertujuan memberi pinjaman kepada pelatih jurusan teknikal dan vokasional di penyedia-penyedia latihan kemahiran awam atau swasta. Matlamat PTPK adalah untuk memberi peluang yang lebih luas kepada orang ramai untuk mendapatkan latihan kemahiran dengan pemberian pinjaman. Pinjaman ini dibuka kepada pelatih yang menjalani program latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dan diluluskan oleh PTPK.

Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Blok I Selatan, Blok 3, 4 & 5, Pusat Bandar Damansara, Bukit Damansara, 50990 Kuala Lumpur. Tel: 03-2084 0500. Faks: 03-2084 0509. Laman web: www.ptpk.gov.my

Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan
Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan adalah forum ‘tripartite’ yang berperanan membincangkan hal-hal berkaitan buruh dan isu-isu tenaga kerja termasuk polisi perburuhan dan perundangan. Penubuhan Majlis ini bertujuan untuk memberikan pandangan kepada Menteri Sumber Manusia berhubung suasana keharmonian perusahaan bagi meningkatkan produktiviti pekerja. Kata sepakat yang dicapai melalui perbincangan dan perundingan dapat menyelesaikan konflik dan mewujudkan keharmonian industri. Majlis ini dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia dan dianggotai oleh 14 orang wakil dari pihak kerajaan, 14 orang wakil dari pihak majikan dan 14 wakil dari pihak pekerja.

Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) adalah sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan dasar negara berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Menteri Sumber Manusia pada tahun 1995 mengikut kehendak Seksyen 8, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Penubuhan MNKKP bertujuan sebagai usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan semua tempat kerja di Malaysia selamat di samping meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan seterusnya menjadikan amalan kerja selamat dan sihat sebagai sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia, yang mana pelaksanaannya adalah berlandaskan kepada proses ‘tripatisme’.

Majlis Penetapan Gaji
Majlis Penetapan Gaji telah ditubuhkan di bawah Seksyen 3, Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Tujuan penubuhan Majlis ini adalah untuk mencadangkan kadar gaji minimum serta terma dan syarat pekerjaan untuk kategori pekerjaan yang dilindungi di bawah Majlis ini. Pada masa ini, Perintah Peraturan Gaji yang telah dilaksanakan meliputi empat sektor pekerjaan iaitu Perintah Peraturan Gaji Penghidangan dan Hotel 1947, Perintah Peraturan Gaji Pekerja Pelabuhan Pulau Pinang 1967, Perintah Peraturan Gaji Pembantu Kedai 1970 dan Perintah Peraturan Gaji Pekerja Wayang Gambar 1975. Sementara itu, Majlis Penetapan Gaji yang masih berjalan kajiannya adalah bagi Pengawal Keselamatan Swasta (Semenanjung, Sabah dan Sarawak), Pembantu Klinik Swasta (Semenanjung dan Sabah) dan Pekerja Am di Kebun Kecil (Sabah dan Sarawak). Selain daripada itu, KSM juga sentiasa dari semasa ke semasa membuat kajian kepada sektor yang difikirkan memerlukan Majlis Penetapan Gaji ini ditubuhkan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nice blog check out my arcade site!

[url=http://blackpenguin.net]free games[/url]

Tanpa Nama berkata...

saya ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai NLAC (MAJLIS PENASIHAT BURUH KEBANGSAAN). boleh bgtw apa achievements and objectives majlis ni?