14.2.11

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

PENGENALAN
Kementerian Luar Negeri atau dikenali sebagai Wisma Putra merupakan nadi kepada perhubungan antarabangsa dan dasar luar negara. Kementerian ini bertanggungjawab menjaga kepentingan nasional Malaysia di samping menyumbang kepada masyarakat antarabangsa dengan adil dan saksama melalui diplomasi yang proaktif. Kementerian ini turut bertanggungjawab menjamin keselamatan dan kepentingan Malaysia di luar negara, menyediakan perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada stakeholders kementerian di dalam dan di luar negara, bekerjasama secara kolektif dengan negara-negara lain bagi mewujudkan persekitaran yang baik demi pembangunan nasional, bergiat aktif sebagai ahli badan-badan dan pertubuhan antarabangsa dan memberi sumbangan dalam menggalakkan perbincangan dan persidangan berkenaan isu-isu antarabangsa. Malaysia hari ini mempunyai rangkaian sebanyak 105 perwakilan diplomatik di serata dunia. Ini mencerminkan kecemerlangan Wisma Putra dalam hubungan antarabangsa yang telah melangkah maju melangkau seluruh dunia.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Hubungan Dua Hala Politik dan Ekonomi
Objektif utama jabatan adalah untuk memupuk, memelihara dan meningkatkan hubungan dua hala yang erat dengan semua negara tanpa mengira sistem politik atau ekonomi. Hubungan dua hala yang melibatkan jabatan merangkumi aspek politik dan keselamatan; ekonomi dan perdagangan; sosial dan kebudayaan; dan sains dan teknologi.

Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hal
Objektif utama jabatan ini adalah untuk melindungi, meningkatkan, menegakkan dan memperjuangkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa. Jabatan ini ditugaskan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan politik pelbagai hala dengan negara lain dan juga dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa. Ia bertanggungjawab melindungi imej dan reputasi negara daripada gambaran yang kurang tepat oleh pihak lain dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa. Jabatan ini turut memainkan peranan utama untuk mempromosikan dan melobi bagi keahlian dan pencalonan Malaysia dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa. Ia juga bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain bagi memastikan penyelarasan yang cekap dan berkesan dalam menguruskan isu-isu antarabangsa dalam usaha menegakkan kepentingan Malaysia.

Jabatan Khidmat Pengurusan
Objektif jabatan ini adalah untuk meningkatkan dan mengukuhkan pengurusan yang berkaitan dengan pembangunan kakitangan dan organisasi. Jabatan ini mempunyai sembilan bahagian yang mempunyai fungsi yang pelbagai iaitu Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Konsular, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Bahagian Kewangan, Bahagian Pembangunan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Inspektorat, Bahagian Parlimen dan Hal ehwal Korporat, Audit Dalam dan Unit Komunikasi Korporat.

Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik
Jabatan ini membantu kementerian menyediakan penilaian analitis dalam ramalan tentang perkembangan dan keadaan dasar luar negara dan syor dasar luar negara berasaskan rancangan strategik yang bersepadu dan berkesan. Fungsi utama jabatan ini adalah mengambil pandangan strategik jangka masa panjang tentang arah aliran semasa di peringkat serantau dan global di samping mengemukakan syor yang menjadi panduan dalam membentuk kepentingan dasar luar negara ini. Langkah ini bertujuan memastikan dasar luar Malaysia sentiasa selaras dengan kepentingan negara dan perkembangan pesat yang berlaku di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia
Fungsi utama sekretariat ini secara khusus adalah untuk menyelaras pendirian Malaysia tentang isu berkaitan dengan kerjasama serantau di peringkat ASEAN, bertindak sebagai tuan rumah persidangan, mesyuarat dan seminar berkaitan secara bergilir, mewakili Malaysia dalam mesyuarat pada peringkat ketua-ketua kerajaan, Menteri dan pegawai dalam forum ASEAN dan rakan dialog ASEAN.

Jabatan Penyelidikan, Triti Dan Perundangan Antarabangsa
Jabatan ini bertanggungjawab membantu kementerian dan kedutaan di luar negara menyediakan nasihat dalam isu-isu perundangan antarabangsa. Selain itu, jabatan ini memastikan kepentingan Malaysia dilindungi dalam perbincangan dua hala mengenai tuntutan bertindih ke atas wilayah dan kawasan maritim dengan mengambil kira perjanjian dan triti perbatasan wilayah yang berkuat kuasa dengan pendirian Malaysia tentang isu berkenaan.

Jabatan Protokol
Fungsi utama jabatan ini adalah memastikan hubungan Malaysia dan negara lain dijalankan menurut protokol antarabangsa dengan mengambil kira budaya negara ini. Selain itu, jabatan ini turut berfungsi memastikan kedutaan asing, Pejabat Konsular dan Pertubuhan Antarabangsa di Malaysia diberikan keistimewaan dan imuniti yang tertakluk di bawah Konvensyen Vienna.

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)
IDFR menyediakan latihan asas untuk bakal diplomat Malaysia dan diplomat dari negara membangun yang menyertai Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Ia juga menjalankan latihan kemahiran professional susulan bagi pegawai yang telah pun berada dalam perkhidmatan diplomatik. Dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut ini juga menawarkan program Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Strategi dan Diplomasi. Selain itu, syarahan umum dan perbincangan meja bulat tentang pelbagai dasar luar dan isu global dianjurkan oleh IDFR, dengan menjemput tokoh kenamaan tempatan dan asing termasuk mantan ketua negara/kerajaan dan diplomat serta pakar antarabangsa sebagai penceramah.

Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT)
Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada November 2002 di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri berfungsi sebagai pusat mencegah keganasan serantau yang memberikan tumpuan utama kepada program latihan, pembinaan keupayaan dan kesedaran awam. Di antara aktiviti yang dijalankan SEARCCT termasuklah menganjurkan program pembinaan keupayaan dan kesedaran awam, menghasilkan ringkasan dan laporan situasi di samping menjalankan penyelidikan dan menggalakkan perkongsian maklumat dan penjalinan rangkaian.

Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (CWC)
CWC ialah sebuah konvensyen antarabangsa yang dianggotai oleh Malaysia. Malaysia menandatangani CWC pada 13 Januari 1993 dan meratifikasikannya pada 20 April 2000. Selaras dengan tanggungjawab Malaysia di bawah CWC, sebuah Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Konvensyen ditubuhkan dengan Kabinet melantik Kementerian Luar Negeri untuk mengetuai pihak berkuasa tersebut. Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 mula berkuat kuasa pada 1 September 2006 dan lanjutan daripada itu, Peraturan CWC 2007 diwartakan pada 1 November 2007. Fungsi dan kuasa Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi CWC antara lain adalah memastikan Akta tersebut dilaksanakan dengan berkesan, memudahkan dan menerima lawatan Pemeriksa Antarabangsa, mengumpul data yang perlu dilaporkan dalam pengisytiharan tahunan Pertubuhan bagi Pengharaman Senjata Kimia (OPCW) di The Hague, Belanda dan mengeluarkan surat kebenaran berkaitan dengan aktiviti melibatkan bahan kimia toksik yang disenaraikan di bawah Jadual 1 CWC.

Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam
Objektif utama Jabatan ini adalah meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang Malaysia, serta institusi dan dasarnya. Menyedari bahawa perubahan pesat dan situasi tidak menentu di pentas global boleh menjejaskan imej negara, maka jabatan ini diberi tanggungjawab untuk mengemas kini dan menyediakan maklumat yang betul tentang pendirian kerajaan berhubung dengan isu antarabangsa dan memberikan gambaran tepat tentang negara ini. Fungsi utama jabatan ini termasuklah dalam perhubungan media, promosi, respond media, diplomasi awam, penyelidikan dan dokumentasi serta laman web dan pangkalan data.

Bahagian Undang-undang
Bahagian ini diberi tanggungjawab untuk membantu kementerian dan perwakilan Malaysia di luar negara dengan memberikan nasihat undang-undang tentang sebarang perkara berkaitan dengan kementerian dalam interaksinya bukan sahaja dengan pelbagai negara asing, kerajaan, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan, bahkan juga antara agensi di negara ini.

Tiada ulasan: