14.2.11

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

PENGENALAN
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ditubuhkan pada 24 Mei 1964 dengan nama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Pada 18 Julai 1978, berikutan dengan penyusunan semula Kabinet, organisasi kementerian telah diubah dan disusun semula dengan nama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Penubuhan ini adalah hasil cantuman di antara Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan dengan Bahagian Kerajaan Tempatan yang sebelumnya terletak di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan. Antara fungsi utama kementerian ini ialah menyelaras penyediaan perumahan yang mencukupi kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah; mewujudkan pihak berkuasa tempatan yang kukuh dan mampu menyumbang ke arah mewujudkan masyarakat yang maju dan persekitaran yang selesa dan indah; memberi perkhidmatan pencegahan dan pengawalan kebakaran yang cekap dan berkesan bagi keselamatan nyawa dan harta benda dan memperkukuhkan dan melaksanakan sistem perancangan fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar bandar dan desa berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa,
1976.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia
Pejabat Perancangan Bandar yang pertama telah dibuka di Bangunan Sekretariat Kuala Lumpur (Bangunan Sultan Abdul Samad) pada 18 Januari 1921. Antara aktiviti awal termasuklah perancangan dan penyusunan semula lot tanah perancangan bangunan dan perumahan awam, pelebaran jalan dan pelurusan Sungai Klang. Fungsi jabatan ini ialah untuk mengukuhkan sistem pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi di kawasan bandar dan desa bagi meningkatkan taraf kehidupan selaras dengan matlamat negara; mengatur, mengawal dan menyelaras pemajuan, penggunaan dan pemuliharaan tanah melalui pelaksanaan berkesan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) dan akta-akta berkaitan; menggubal dan melaksana kaedah, dasar, pelan dan garis panduan perancangan serta memastikan pemakaian yang berkesan oleh semua agensi di peringkat perancangan; dan memastikan perkhidmatan perancangan.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Tingkat 1, Blok Tanjung, Jalan Cenderasari, 50646 Kuala Lumpur. Tel: 03-2699 2110. Faks: 03-2692 9994. Laman web: www.townplan.gov.my

Jabatan Kerajaan Tempatan
Jabatan Kerajaan Tempatan dipertanggungjawabkan untuk membantu membimbing dan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang, mengawal dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi dan perkhidmatan perbandaran ke arah pembentukan masyarakat makmur, sejahtera dan berdaya maju selaras dengan matlamat pembangunan negara. Selain itu jabatan ini juga berperanan menentukan PBT wujud sebagai unit-unit kerajaan tempatan yang cekap dan berupaya dari segi pentadbiran dan kewangan agar mereka dapat menyedia dan memberi perkhidmatan-perkhidmatan yang moden dan bermutu untuk faedah dan kesejahteraan masyarakat tempatan yang ditadbirkan.

Jabatan Kerajaan Tempatan, Aras 4, Blok K, Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2099 3033.Faks: 03-2095 5180. Laman web: http://jkt.kpkt.gov.my

Jabatan Perumahan Negara
Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah ditubuhkan pada tahun 1976 berasaskan kepada keputusan Jemaah Menteri bagi menggantikan Amanah Perumahan Malaysia. Ianya telah diwujudkan sejak tahun 1950 dan dibubarkan melalui Akta 339 (Pembubaran) Amanah Perumahan 1976. Antara fungsi utama jabatan ini ialah merangka dasar, perundangan dan peraturan berkaitan sektor perumahan di peringkat nasional; merancang dan melaksana Program Perumahan Rakyat (PPR); melaksanakan penyelidikan dan pembangunan perumahan serta menyediakan maklumat–maklumat berkaitan sektor perumahan; dan memproses serta mengeluarkan lesen dan permit iklan dan jualan kepada pemaju–pemaju perumahan swasta.

Jabatan Perumahan Negara, Aras 6, Blok F (Utara), Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2087 4500. Faks: 03-2093 6982. Laman web: http://ehome.kpkt.gov.my

Jabatan Landskap Negara (JLN)
Jabatan Landskap Negara (JLN) secara rasminya ditubuhkan pada 1 Januari 1996 hasil keputusan kerajaan untuk mewujudkan sebuah jabatan yang bertanggungjawab khusus ke atas usaha melandskap seluruh negara. Penubuhan jabatan diasaskan kepada peningkatan taraf Bahagian Penyelarasan dan Pengawasan Taman-taman Awam dan Landskap, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Antara fungsi utama jabatan ini ialah merancang, menyelaras, melaksana dan mengawal selia pembangunan landskap, keperluan kawasan lapang, kawasan hijau dan kemudahan rekreasi negara; penguatkuasaan perundangan, pelaksanaan dasar dan garis panduan di pelbagai peringkat dalam perancangan; dan perlaksanaan dan pengurusan pembangunan landskap.

Jabatan Landskap Negara, Tingkat 7, Plaza Permata-IGB, Jalan Kampar Off Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur. Tel: 03-4045 2841. Faks: 03-4045 2415.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Perkhidmatan Bomba di Malaysia bermula pada tahun 1883 dengan penubuhan Bomba Sukarela Negeri Selangor yang diketuai oleh H.F Bellamy bersama 15 anggota. Pasukan ini diletakkan di bawah Lembaga Kebersihan yang kemudiannya menjadi Pasukan Bomba dan Penyelamat Tetap pada tahun 1895. Perkhidmatan Bomba terus berkembang di setiap negeri dan diletakkan di bawah Majlis Perbandaran atau Lembaga Luar Bandar. Jabatan ini berperanan untuk memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran; melindungi nyawa dan harta sekiranya berlaku kebakaran; menentukan adanya jalan keluar kebakaran, penyelenggaraan dan pengawalseliaan yang sempurna; menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran; dan melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya apa-apa bencana.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lebuh Wawasan, Presint 7, 62250 Putrajaya. Tel: 03-8888 0036. Faks: 03-8888 0023. Laman web: www.bomba.gov.my

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR)
Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) iaitu satu badan bebas telah ditubuhkan berkuatkuasa pada 1 Disember 2002 ekoran daripada pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16B, Bahagian VI Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2002 (Akta 1142). Bidang kuasa TTPR hanya meliputi Semenanjung Malaysia sahaja (tidak termasuk Sabah dan Sarawak). Tribunal ini menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada pembeli rumah untuk menuntut ganti rugi dan pampasan daripada pemaju perumahan dengan cara mudah, murah dan cepat.

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Aras 4, Blok B (Selatan), Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2099 8343. Faks: 03-2093 4776.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN)
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang diluluskan Parlimen pada 17 Julai 2007 dan diwartakan pada 30 Ogos 2007, bagi mengintegrasikan sistem pengurusan sisa pepejal di peringkat nasional. Akta ini memberi kuasa eksekutif kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan tanggungjawab mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. JPSPN memainkan peranan dalam penyediaan dasar, strategi dan perancangan pengurusan sisa pepejal (PSP) bersepadu diperingkat makro, selain bertanggungjawab menggubal peraturan-peraturan sebagaimana terkandung dalam (Akta 672) serta menetapkan standard, spesifikasi dan tata amalan. Jabatan ini juga bertanggungjawab melaksanakan penswastaan penuh PSP, meluluskan dan memberi lesen perkhidmatan dan kemudahan PSP serta pembersihan awam.
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Aras 2, Blok B (Utara), Pusat Bandar Damansara, 50644 Kuala Lumpur. Tel: 03-2099 8470. Faks: 03-2093 5406.

Institut Latihan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
Institut ini ditubuhkan dengan peranan untuk melaksanakan latihan mengenai penempatan manusia, persekitaran dan kualiti hidup, perancangan dan pengurusan bandar serta perkhidmatan perbandaran melalui kajian ke atas demografi, migrasi, sosiobudaya, ekonomi, pembangunan teknologi, pengurusan, perubahan teknologi dan perkembangan semasa pentadbiran negara. Selain itu, institut ini juga menyediakan kertas-kertas makluman untuk dibentangkan di peringkat kebangsaan dan persidangan antarabangsa dalam menangani isu-isu berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan.

Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Aras 6, Blok C (Selatan), Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2093 4801. Faks: 03-2095 8780.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam
Perbadanan ini ditubuhkan untuk mengesyorkan dasar, perancangan dan strategi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada JPSPN. Antara fungsi utama perbadanan ini ialah melaksanakan, menggalakkan penyertaan dan mempertingkatkan kesedaran orang awam mengenai program kesedaran dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam; menerapkan amalan kitar semula dan pengasingan sisa di sumber secara sistematik di samping menekankan ciri-ciri pembangunan yang mapan meliputi aspek ekonomi, politik dan sosial; dan memproses permohonan baru, pembaharuan dan pembatalan/penggantungan lesen pembekal perkhidmatan pengurusan sisa pepejal sehingga pengesyoran kepada JPSPN.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Bangunan Wisma UOA, Tingkat Mezzanine 2, 3 dan 4, No. 11, Jalan Pantai Jaya (Jalan 4/83 A), 59200 Kuala Lumpur. Tel: 03-2245 9393. Faks: 03-2245 9394.

Tiada ulasan: