14.2.11

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN

PENGENALAN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Kementerian ini ditubuhkan pada 27 Oktober 1990. Matlamat penubuhan kementerian adalah untuk menggalak pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika dan melindungi kepentingan pengguna. Antara peranan yang dimainkan oleh KPDNKK ialah menggubal dan mengkaji dasar dan strategi berkaitan dengan pembangunan perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan; menentukan dan memantau harga barang-barang perlu; dan melesenkan penjualan dan pengedaran barang-barang perlu. KPDNKK mempunyai misi untuk mewujudkan suasana pasaran yang kondusif bagi memenuhi permintaan komuniti perdagangan dalam negeri yang pelbagai dan berbeza serta memacu negara ke arah mewujudkan masyarakat pengguna yang sedar akan hak mereka sebagai pengguna serta masyarakat pengguna yang perkasa.
BAHAGIAN/AGENSI

Unit Komunikasi Korporat
Unit ini telah ditubuhkan secara rasminya pada 16 Mac 2009 bagi menggantikan Bahagian Hal Ehwal Korporat yang telah wujud sebelum ini. Peranan utama unit ini adalah sebagai ‘focal point’ kementerian dalam penyampaian dan penyaluran maklumat, peningkatan imej korporat kementerian, perhubungan awam dan media serta pengurusan aduan dan khidmat pelanggan.

Unit Komunikasi Korporat, Aras 11 (menara), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5562. Faks: 03-8882 5569.

Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (BPDN)
Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (BPDN) merupakan bahagian yang berperanan untuk mengawal selia penyertaan asing dalam sektor perdagangan pengedaran. Selain itu, antara fungsi lain yang dimainkan oleh bahagian ini ialah; menggalakkan perkembangan dan pembangunan industri petroleum di peringkat hiliran; menggalakkan pembangunan dan kemajuan industri cakera optik; meningkatkan tahap keselamatan industri petroleum; meningkatkan pematuhan aktiviti timbang dan sukat; menggalakkan penggunaan kaedah E-dagang dalam sektor perdagangan dan pengedaran; mengurus pengeluaran lesen jualan langsung selaras dengan peruntukan di bawah Akta Jualan Langsung 1993; mengawal selia harga barang-barang perlu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga 1946; dan mengawal selia bekalan barang-barang kawalan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Aras 4, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5981/5858.

Bahagian Pengurusan Maklumat
Bahagian ini berperanan untuk merancang, membangun dan menyenggara sistem aplikasi, multimedia dan portal KPDNKK berlandaskan Pelan Strategik Pengurusan Maklumat; menyediakan kemudahan infrastruktur yang boleh dipercayai dan selamat; melaksanakan program latihan dan pembudayaan ICT; dan menyediakan khidmat nasihat dalam bidang ICT.

Bahagian Pengurusan Maklumat, Aras 7 (menara), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5669.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) bertanggungjawab dari segi perancangan dan pembangunan sumber manusia, pembangunan organisasi serta pengurusan perkhidmatan anggota kementerian. Pembangunan modal insan menjadi keutamaan bahagian ini dalam melahirkan warga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas serta memiliki etika kerja yang positif. Ianya akan dapat dicapai melalui latihan dan pembelajaran berterusan.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Aras 6 (podium 1&2) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5764.

Bahagian Audit Dalaman (BAD)
Bahagian Audit Dalaman bertanggungjawab bagi menjalankan pengauditan pengurusan kewangan dan pengauditan prestasi. Audit Pengurusan Kewangan adalah untuk menentukan sama ada pengurusan kewangan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan. Pengauditan Prestasi pula adalah untuk menentukan sama ada sesuatu aktiviti dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Bahagian Audit Dalaman, Aras 5 (podium 1) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5828.

Bahagian Dasar Dan Perancangan (BD&P)
Memastikan pembangunan perdagangan dalam negeri dan program perlindungan pengguna adalah selaras dengan keperluan semasa dan dilaksanakan selari dengan dasar yang telah dirancang dan digubal.

Bahagian Dasar dan Perancangan, Aras 9 (Menara) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5615.

Bahagian Penguatkuasa (BPGK)
Bahagian Penguatkuasa ditubuhkan untuk menjalankan fungsinya sebagai penguatkuasa undang-undang perdagangan dalam negeri dan melindungi pengguna. Bahagian ini juga memberi perlindungan ke atas Hak Harta Intelek. Selain itu fungsi lain bahagian ini ialah menguatkuasakan dan membanteras penyelewengan barang-barang bersubsidi dan menguatkuasakan dan mengawal selia bekalan dan harga barang kawalan.

Bahagian Penguatkuasa, Aras 2&3, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya.
Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 6171.


Bahagian Khidmat Pengurusan Dan Kewangan (BKPK)
Bahagian ini menentukan pengurusan pentadbiran pejabat berjalan dengan cekap, teratur dan berintegriti dalam aspek pentadbiran, kewangan, perolehan, penyelenggaraan, keurusetiaan dan keselamatan selaras dengan objektif kementerian.

Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Aras 6 (menara) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5762/5763.

Bahagian Pembangunan Perniagaan (BPP)
Bahagian Pembangunan Perniagaan berfungsi untuk membantu mempromosikan barangan PKS sama ada di peringkat domestik ataupun antarabangsa dan mewujudkan amalan perniagaan yang beretika. Selain daripada itu, bahagian ini juga memberikan anugerah dan pengiktirafan kepada para peniaga yang terlibat di dalam sektor perdagangan pengedaran.

Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aras 5 (menara), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 6203. Faks: 03-8882 5826.

Bahagian Kepenggunaan (BK)
Bahagian Kepenggunaan (BK) adalah bahagian teras di kementerian yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat dan melaksanakan aktiviti kesedaran kepenggunaan kepada setiap lapisan masyarakat.

Bahagian Kepenggunaan, Aras 4, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya.
Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5983.

Bahagian Undang-Undang (BUU)
Bahagian Undang-undang berperanan dalam memberi nasihat perundangan secara bertulis atau lisan kepada KPDNKK sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain di bawah bidang kuasa KPDNKK. Bahagian ini juga menggubal dan menyemak Rang Undang-Undang atau peraturan subsidiari di bawah bidang kuasa KPDNKK. Selain itu, fungsi tambahan BUU adalah mengendalikan kes-kes pendakwaan bagi harta intelek selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menubuhkan Mahkamah Harta Intelek di Malaysia.

Bahagian Undang-undang, Aras 5 (Menara) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5824.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut ganti rugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Aras 5 (podium 2), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5822. Faks: 03-8882 5831. Laman web: http://ttpm.kpdnhep.gov.my

Sekretariat Majlis Harga Barang Negara (MHBN)

Sekretariat ini ditubuhkan pada 9 Januari 2008 berikutan isu kenaikan harga dan masalah bekalan barangan perlu yang menjejaskan kehidupan rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Sekretariat ini berperanan melindungi kepentingan rakyat daripada kenaikan harga barangan yang tidak munasabah dan memastikan bekalan barangan yang mencukupi.

Sekretariat Majlis Harga Barang Negara, Aras 4 (Menara), No. 13, Persiaran Perdana, Presint 2, 62623 Putrajaya. Tel: 03-8882 5852. Faks: 03-8882 6274.

Bahagian Pembangunan Koperasi (BPK)
Bahagian ini merupakan bahagian yang dibawa masuk bagi pembangunan koperasi. Antara fungsi utama bahagian ini ialah; menyelaras dan memantau pelaksanaan arahan-arahan kabinet dan Kementerian serta pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan undang-undang pembangunan koperasi; menyelaras dan mengawal selia pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan koperasi; dan memantau dan menyelaras program dan aktiviti-aktiviti koperasi di peringkat Agensi [Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan Bank Rakyat] di bawah Kementerian.

Bahagian Pembangunan Koperasi, Aras 5, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, 62623 Putrajaya. Tel: 03-8882 6249. Faks: 03-8882 6227.

Bahagian Pembangunan Francais (BPF)
Bahagian ini berperanan untuk merangka dasar, merancang, melaksana, menyelaras dan memantau program pembangunan francais; mendaftarkan perniagaan francais mengikut Akta Francais 1998; dan menguatkuasakan Akta Francais 1998.

Bahagian Pembangunan Francais, Aras 4 (Blok menara), No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2, 62652 Putrajaya. Tel: 03-8880 5000. Faks: 03-8880 5617.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah badan berkanun yang mengawal selia syarikat dan perniagaan. SSM yang mula beroperasi pada 16 April 2002. SSM terbentuk hasil daripada penggabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB) di Malaysia. SSM memainkan peranan utama sebagai agensi pemerbadanan syarikat dan pendaftaran perniagaan di samping membekalkan maklumat syarikat dan perniagaan kepada awam. Sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tahap tadbir urus korporat, SSM melaksanakan fungsinya mengawal selia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan untuk negara.

Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tingkat 2 & 10-19, Putra Place, 100 Jalan Putra, 50622 Kuala Lumpur. Tel: 03-4047 6000. Faks: 03-4047 6317. Laman web: www.ssm.com.my

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ditubuhkan pada 3 Mac 2003 di bawah Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002. Perbadanan ini berperanan untuk memantau pelaksanaan undang-undang berkaitan harta intelek ditadbir dan dikuatkuasakan dengan berkesan; menggalak dan mempertingkatkan latihan serta penyebaran maklumat berkaitan harta intelek; menjalin hubungan kerjasama dalam dan luar negara; menjaga kepentingan negara dalam apa-apa perjanjian atau konvensyen antarabangsa yang Malaysia menjadi ahli; memberi khidmat nasihat kepada kerajaan tentang isu semasa harta intelek serta perkara berkaitan di peringkat antarabangsa; dan menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan harta intelek.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Ibu Pejabat, Tingkat 27, 29-32, Menara Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin, 50362 Kuala Lumpur. Tel: 03-2263 2100. Faks: 03-2274 1332. Laman web: www.myipo.gov.my

Perbadanan Nasional Berhad (PNS)
Perbadanan Nasional Berhad (PNS), dulunya dikenali sebagai PERNAS telah diperbadankan pada 29 November, 1969. Pada bulan September 1996, PERNAS telah diswastakan melalui Management Buyout. Aset-aset terpilihnya telah diambil oleh PERNAS International Holdings Berhad. Peranan utama yang dimainkan oleh PNS melibatkan pembangunan sektor francais Malaysia. Pelaksanaan yang dijalankan oleh PNS melibatkan pelaburan francais, aktiviti promosi, kewangan, latihan, pembangunan francais, rangkaian dan penyelidikan.

Perbadanan Nasional Berhad, Aras 2, Menara Dato’ Onn, PWTC, 45 Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur. Tel: 03-2698 7800. Faks: 03-2698 7080. Laman Web: www.pns.com.my

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
Pada 1 Januari 2008, Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPKM) telah ditransformasikan menjadi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). SKM mula beroperasi pada 1 Januari 2008 hasil transformasi daripada JPKM bagi memperluaskan peranannya dalam memperkukuhkan sektor koperasi sebagai jentera pembangunan sosioekonomi negara. Koperasi diperkenalkan di negara ini bermula pada tahun 1922 bertujuan untuk membasmi kemiskinan, mengatasi masalah penindasan orang tengah dan juga menangani masalah keberhutangan di kalangan petani dan juga penjawat awam.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tingkat 5-7, Blok J, Pusat Bandar Damansara, 50608, Kuala Lumpur. Tel: 03-2081 2400. Faks: 03-2093 5026. Laman web: www.skm.gov.my

Maktab Kerjasama Malaysia (MKM)
Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) adalah satu-satunya institusi pendidikan koperasi di negara ini. MKM ditubuhkan dalam tahun 1956 dan diperbadankan sebagai sebuah badan berkanun melalui penguatkuasaan Akta Parlimen pada tahun 1968. Melalui akta tersebut MKM telah diberi tanggungjawab sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan dan pendidikan koperasi untuk gerakan koperasi di negara ini.

Maktab Kerjasama Malaysia, Cawangan Petaling Jaya, 103 Jalan Templer, 46700, Petaling Jaya, Selangor. Tel: 03-7964 9000/03-7957 0434. Laman web: www.mkm.edu.my

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat)
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) adalah sebuah bank koperasi yang unggul di Malaysia dengan memberi komitmen dan sokongan kepada para usahawan PKS untuk berkembang. Bank Rakyat menjadi daya pemacu untuk memperbaiki dan meningkatkan prospek perniagaan dan merubah gaya hidup anggota-anggotanya di bandar dan luar bandar. Bank Rakyat berperanan untuk meninggikan taraf ekonomi anggotanya dengan cara memberi pinjaman atau pembiayaan bagi kegunaan pertanian, pengeluaran, pemasaran, perusahaan, perniagaan dan usaha-usaha lain yang bersesuaian bagi anggotanya dan menggalakkan simpanan.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bangunan Bank Rakyat, Jalan Tangsi, Peti Surat 11024, 50732 Kuala Lumpur. Tel: 03-2612 9600. Faks: 03-2612 9636. Laman web: www.bankrakyat.com.my

Tiada ulasan: