14.2.11

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR

PENGENALAN
Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 dan 1 Februari 2001. Labuan pula yang dahulunya sebahagian daripada negeri Sabah, diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pembentukan Kabinet baru pada 27 Mac 2004 oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi telah membawa kepada penubuhan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang bertujuan memberi tumpuan khusus terhadap kemajuan Wilayah Persekutuan. Tugas-tugas kementerian adalah sebagai mana yang dinyatakan di Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
JABATAN/AGENSI

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Daripada sebuah pekan kecil Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Kota Negara dan sebuah bandar yang terbesar di Malaysia. Bandar Raya Kuala Lumpur kini menjadi nadi penting pelbagai bidang termasuk perniagaan, kewangan, pentadbiran, pendidikan, agama, kebudayaan dan sukan. Hal ehwal perbandaran Kuala Lumpur ditadbirkan oleh satu perbadanan tunggal (corporation sole), sejak 1 April 1961 iaitu Pesuruhjaya Ibu Kota yang kemudian diubah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur dianugerahkan taraf Bandar Raya pada 1 Februari 1972.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Tel: 03 2617 9000. Laman web: http://www.dbkl.gov.my/

Perbadanan Putrajaya
Perbadanan Putrajaya ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan 1995 (Akta 536) pada 1 Mac 1996. Tugas dan tanggungjawab Perbadanan adalah untuk membangun, mentadbir dan menguruskan Kawasan Perbadanan Putrajaya dengan diketuai oleh Presiden yang juga bertindak sebagai Pengerusi Perbadanan. Sepertimana yang termaktub di dalam Seksyen 4 Akta Perbadanan 1995, fungsi Perbadanan Putrajaya merangkumi perkara-perkara berikut:
• Melaksanakan segala fungsi kerajaan tempatan di dalam kawasan Perbadanan;
• Memaju, menggalak, memudah dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial di dalam kawasan Perbadanan; dan
• Mengawal dan menyelaras perlaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan ekonomi dan sosial di dalam kawasan Perbadanan

Kompleks Perbadanan Putrajaya 24, Persiaran Perdana, Presint 3, 62675 Putrajaya, Tel: 03-8887 7000. Faks: 03-8887 5000. Laman web: www.ppj.gov.my

Perbadanan Labuan
Perbadanan Labuan mula ditubuhkan pada 1 Julai 2001 hasil penggabungan dua agensi utama yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Lembaga Pembangunan Labuan dan Majlis Perbandaran Labuan, selain menjalankan fungsi Bahagian Kemajuan Wilayah Cawangan Labuan. Penubuhan Perbadanan Labuan adalah mengikut Akta 609 - Akta Perbadanan Labuan 2001 yang menggariskan fungsi-fungsi agensi ini seperti berikut :
• Memajukan dan merangsang Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi pelancongan, kawasan bebas duti dan pusat perdagangan;
• Memajukan, merangsang dan mengusahakan perkembangan kesenian, kebudayaan, sukan dan aktiviti-aktiviti rekreasi dalam Wilayah Persekutuan Labuan;
• Memajukan, merangsang dan mengusahakan perkembangan kesenian, kebudayaan, sukan dan aktiviti-aktiviti rekreasi dalam Wilayah Persekutuan Labuan;
• Memajukan, merangsang, memudahkan dan mengusahakan pembangunan pelancongan dan infrastruktur serta juga pembangunan tempat tinggal, pertanian, perindustrian dan komersial dalam Wilayah Persekutuan Labuan;
• Melaksanakan segala fungsi pihak berkuasa perancangan tempatan dalam Wilayah Persekutuan Labuan;
• Mengawal dan menyelaras pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang disebut dalam Wilayah Persekutuan Labuan.
• Menyelaras pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan dalam Wilayah Persekutuan Labuan.

Wisma Perbadanan Labuan, Jalan Merdeka, Peti Surat 81245, 87022 Wilayah Persekutuan Labuan Tel: 087-408600 / 408601. Faks: 087-428997. Laman web: www.pl.gov.my

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP)
Majlis Sukan Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1979 di bawah Akta Majlis Sukan Negara 1971, Perintah Majlis Sukan Negara Malaysia, Jadual Kedua (Pindaan) 1988. Majlis Sukan Kuala Lumpur yang pada masa itu berada di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk melaksanakan program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti program pembangunan sukan atlet remaja, atlet berbakat dan berprestasi tinggi (elit) dalam arena sukan tempatan baik di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Aras G-4, Blok 2, Menara PjH, Presint 2, 62100 Putrajaya. Tel: 03-8889 7888. Faks: 03-88880375.

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

PENGENALAN
Kementerian Luar Negeri atau dikenali sebagai Wisma Putra merupakan nadi kepada perhubungan antarabangsa dan dasar luar negara. Kementerian ini bertanggungjawab menjaga kepentingan nasional Malaysia di samping menyumbang kepada masyarakat antarabangsa dengan adil dan saksama melalui diplomasi yang proaktif. Kementerian ini turut bertanggungjawab menjamin keselamatan dan kepentingan Malaysia di luar negara, menyediakan perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada stakeholders kementerian di dalam dan di luar negara, bekerjasama secara kolektif dengan negara-negara lain bagi mewujudkan persekitaran yang baik demi pembangunan nasional, bergiat aktif sebagai ahli badan-badan dan pertubuhan antarabangsa dan memberi sumbangan dalam menggalakkan perbincangan dan persidangan berkenaan isu-isu antarabangsa. Malaysia hari ini mempunyai rangkaian sebanyak 105 perwakilan diplomatik di serata dunia. Ini mencerminkan kecemerlangan Wisma Putra dalam hubungan antarabangsa yang telah melangkah maju melangkau seluruh dunia.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Hubungan Dua Hala Politik dan Ekonomi
Objektif utama jabatan adalah untuk memupuk, memelihara dan meningkatkan hubungan dua hala yang erat dengan semua negara tanpa mengira sistem politik atau ekonomi. Hubungan dua hala yang melibatkan jabatan merangkumi aspek politik dan keselamatan; ekonomi dan perdagangan; sosial dan kebudayaan; dan sains dan teknologi.

Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hal
Objektif utama jabatan ini adalah untuk melindungi, meningkatkan, menegakkan dan memperjuangkan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa. Jabatan ini ditugaskan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan politik pelbagai hala dengan negara lain dan juga dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa. Ia bertanggungjawab melindungi imej dan reputasi negara daripada gambaran yang kurang tepat oleh pihak lain dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa. Jabatan ini turut memainkan peranan utama untuk mempromosikan dan melobi bagi keahlian dan pencalonan Malaysia dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa. Ia juga bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain bagi memastikan penyelarasan yang cekap dan berkesan dalam menguruskan isu-isu antarabangsa dalam usaha menegakkan kepentingan Malaysia.

Jabatan Khidmat Pengurusan
Objektif jabatan ini adalah untuk meningkatkan dan mengukuhkan pengurusan yang berkaitan dengan pembangunan kakitangan dan organisasi. Jabatan ini mempunyai sembilan bahagian yang mempunyai fungsi yang pelbagai iaitu Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Konsular, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Bahagian Kewangan, Bahagian Pembangunan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Inspektorat, Bahagian Parlimen dan Hal ehwal Korporat, Audit Dalam dan Unit Komunikasi Korporat.

Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik
Jabatan ini membantu kementerian menyediakan penilaian analitis dalam ramalan tentang perkembangan dan keadaan dasar luar negara dan syor dasar luar negara berasaskan rancangan strategik yang bersepadu dan berkesan. Fungsi utama jabatan ini adalah mengambil pandangan strategik jangka masa panjang tentang arah aliran semasa di peringkat serantau dan global di samping mengemukakan syor yang menjadi panduan dalam membentuk kepentingan dasar luar negara ini. Langkah ini bertujuan memastikan dasar luar Malaysia sentiasa selaras dengan kepentingan negara dan perkembangan pesat yang berlaku di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia
Fungsi utama sekretariat ini secara khusus adalah untuk menyelaras pendirian Malaysia tentang isu berkaitan dengan kerjasama serantau di peringkat ASEAN, bertindak sebagai tuan rumah persidangan, mesyuarat dan seminar berkaitan secara bergilir, mewakili Malaysia dalam mesyuarat pada peringkat ketua-ketua kerajaan, Menteri dan pegawai dalam forum ASEAN dan rakan dialog ASEAN.

Jabatan Penyelidikan, Triti Dan Perundangan Antarabangsa
Jabatan ini bertanggungjawab membantu kementerian dan kedutaan di luar negara menyediakan nasihat dalam isu-isu perundangan antarabangsa. Selain itu, jabatan ini memastikan kepentingan Malaysia dilindungi dalam perbincangan dua hala mengenai tuntutan bertindih ke atas wilayah dan kawasan maritim dengan mengambil kira perjanjian dan triti perbatasan wilayah yang berkuat kuasa dengan pendirian Malaysia tentang isu berkenaan.

Jabatan Protokol
Fungsi utama jabatan ini adalah memastikan hubungan Malaysia dan negara lain dijalankan menurut protokol antarabangsa dengan mengambil kira budaya negara ini. Selain itu, jabatan ini turut berfungsi memastikan kedutaan asing, Pejabat Konsular dan Pertubuhan Antarabangsa di Malaysia diberikan keistimewaan dan imuniti yang tertakluk di bawah Konvensyen Vienna.

Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)
IDFR menyediakan latihan asas untuk bakal diplomat Malaysia dan diplomat dari negara membangun yang menyertai Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Ia juga menjalankan latihan kemahiran professional susulan bagi pegawai yang telah pun berada dalam perkhidmatan diplomatik. Dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut ini juga menawarkan program Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Strategi dan Diplomasi. Selain itu, syarahan umum dan perbincangan meja bulat tentang pelbagai dasar luar dan isu global dianjurkan oleh IDFR, dengan menjemput tokoh kenamaan tempatan dan asing termasuk mantan ketua negara/kerajaan dan diplomat serta pakar antarabangsa sebagai penceramah.

Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT)
Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada November 2002 di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri berfungsi sebagai pusat mencegah keganasan serantau yang memberikan tumpuan utama kepada program latihan, pembinaan keupayaan dan kesedaran awam. Di antara aktiviti yang dijalankan SEARCCT termasuklah menganjurkan program pembinaan keupayaan dan kesedaran awam, menghasilkan ringkasan dan laporan situasi di samping menjalankan penyelidikan dan menggalakkan perkongsian maklumat dan penjalinan rangkaian.

Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (CWC)
CWC ialah sebuah konvensyen antarabangsa yang dianggotai oleh Malaysia. Malaysia menandatangani CWC pada 13 Januari 1993 dan meratifikasikannya pada 20 April 2000. Selaras dengan tanggungjawab Malaysia di bawah CWC, sebuah Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Konvensyen ditubuhkan dengan Kabinet melantik Kementerian Luar Negeri untuk mengetuai pihak berkuasa tersebut. Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 mula berkuat kuasa pada 1 September 2006 dan lanjutan daripada itu, Peraturan CWC 2007 diwartakan pada 1 November 2007. Fungsi dan kuasa Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi CWC antara lain adalah memastikan Akta tersebut dilaksanakan dengan berkesan, memudahkan dan menerima lawatan Pemeriksa Antarabangsa, mengumpul data yang perlu dilaporkan dalam pengisytiharan tahunan Pertubuhan bagi Pengharaman Senjata Kimia (OPCW) di The Hague, Belanda dan mengeluarkan surat kebenaran berkaitan dengan aktiviti melibatkan bahan kimia toksik yang disenaraikan di bawah Jadual 1 CWC.

Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam
Objektif utama Jabatan ini adalah meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang Malaysia, serta institusi dan dasarnya. Menyedari bahawa perubahan pesat dan situasi tidak menentu di pentas global boleh menjejaskan imej negara, maka jabatan ini diberi tanggungjawab untuk mengemas kini dan menyediakan maklumat yang betul tentang pendirian kerajaan berhubung dengan isu antarabangsa dan memberikan gambaran tepat tentang negara ini. Fungsi utama jabatan ini termasuklah dalam perhubungan media, promosi, respond media, diplomasi awam, penyelidikan dan dokumentasi serta laman web dan pangkalan data.

Bahagian Undang-undang
Bahagian ini diberi tanggungjawab untuk membantu kementerian dan perwakilan Malaysia di luar negara dengan memberikan nasihat undang-undang tentang sebarang perkara berkaitan dengan kementerian dalam interaksinya bukan sahaja dengan pelbagai negara asing, kerajaan, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan, bahkan juga antara agensi di negara ini.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

PENGENALAN
Pada 15 Februari 2001, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) telah ditukar nama dari Kementerian Hal Ehwal Wanita. Rombakan Kabinet pada 27 Mac 2004, sekali lagi kementerian ini bertukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) setelah fungsi Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat diserapkan ke dalam KPWK. Objektif KPWKM ialah untuk meningkatkan penyertaan dan peranan aktif wanita, keluarga dan masyarakat sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara; memelihara hak-hak dan kepentingan wanita, keluarga dan masyarakat dengan adil dan saksama tanpa ada unsur diskriminasi; memperluaskan peluang yang saksama kepada wanita dan masyarakat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik; memantapkan institusi keluarga; memastikan sistem penyampaian dan sokongan yang cekap dan berkesan.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditubuhkan pada tahun 1946. Dalam jangka masa 57 tahun, JKM telah mengalami perubahan bagi memenuhi peranannya dalam pembangunan negara. Bermula dengan penglibatan menangani pelbagai masalah yang timbul akibat Perang Dunia Kedua, peranan dan fungsi jabatan ini telah berkembang kepada perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat. Sebagai salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, ia telah di tempatkan di bawah beberapa kementerian sebelum diletak di bawah KPWKM.

Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tingkat 19-24, Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Jalan Raja Laut, 50562 Kuala Lumpur. Tel: 03-2616 5600. Faks: 03-2693 4270. Laman web: http://www.jkm.gov.my/

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)
Pada tahun 1975, kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) sebagai jentera bagi memastikan penglibatan wanita dalam pembangunan. Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita, Jabatan Perdana Menteri atau HAWA diwujudkan bagi mengambil alih tugas sebagai Urusetia NACIWID. Pada 26 Ogos 1985, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya HAWA diperkukuhkan dengan menaikkan tarafnya kepada bahagian. Pada 27 Oktober 1990, Bahagian Hal Ehwal Wanita telah dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Pada 29 Januari 1997, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Bahagian Hal Ehwal Wanita dinaikkan taraf kepada sebuah jabatan. Pada 1 Julai 1997, HAWA beroperasi sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Pada 18 Disember 1999, selepas Pilihanraya Umum 1999 dan rombakan Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Wanita telah diletakkan semula di Jabatan Perdana Menteri. Pada 1 Julai 2001, Jabatan Hal Ehwal Wanita distruktur semula dan dinamakan sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). JPW berfungsi sebagai jentera pelaksana Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan menjalankan program dan aktiviti pembangunan wanita selaras dengan visi dan misi KPWKM.

Jabatan Pembangunan Wanita, Aras 25 - 26, Menara Tun Ismail Mohamad Ali, Jalan Raja Laut, 50582 Kuala Lumpur. Tel: 03-2679 1080. Faks: 03-2693 4740. Laman web: http://www.jpw.gov.my/

Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berperanan dalam mengukuh dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usaha sama yang cekap dan berkesan ke arah melahirkan penduduk yang berkualiti. LPPKN membantu para penggubal dasar mengambil kira faktor-faktor kependudukan dan kekeluargaan dalam penggubalan dasar dan strategi pembangunan negara. LPPKN juga membantu para perancang dan pengurus-pengurus program mengintegrasikan faktor-faktor kependudukan dan kekeluargaan dalam perancangan program-program sektoral. Agensi-agensi pelaksana program kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan keibubapaan berasaskan modul-modul yang seragam dan sistematik berdasarkan bantuan daripada pihak LPPKN. Selain itu LPPKN turut berperanan untuk mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan dan amalan nilai-nilai murni kekeluargaan di kalangan pemimpin masyarakat, ibu bapa, bakal ibu bapa dan remaja selain mempertingkatkan taraf kesihatan reproduktif wanita dan lelaki.

Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Bangunan LPPKN, No.12B, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Tel: 03-2693 7555. Faks: 03 2693 7250. Laman web: http://www.lppkn.gov.my/

Institut Sosial Malaysia (ISM)
ISM ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan latihan ikhtisas dan separa ikhtisas dalam bidang latihan dan penyelidikan serta pendidikan sosial kepada semua pekerja sosial daripada berbagai peringkat dan kumpulan dari dalam dan luar negara termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). ISM akan menggunakan konsep pendidikan sepanjang hayat yang membuka peluang kepada pengamal sosial yang berminat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme dalam bidang perkhidmatan dan pembangunan sosial. ISM yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini adalah Institut Latihan Kebajikan Kuala Kubu Bharu, Selangor yang beroperasi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Institut Sosial Malaysia, Lot PT 13856, KM 6, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Tel: 03-7987 3044. Faks: 03-7987 3042. Laman web: http://www.ism.gov.my/

Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW)
Institut ini ditubuhkan pada 17 Mei 2006 susulan cadangan Kerajaan Malaysia dalam Mesyuarat Pertama Peringkat Menteri-menteri NAM mengenai kemajuan wanita yang diadakan di Putrajaya pada 7 hingga 10 Mei 2005. NIEW adalah sebuah institusi antarabangsa yang didedikasikan dalam usaha memperkasa dan membangunkan wanita. Visinya ialah menjadi sebuah pusat latihan dan penyelidikan untuk negara-negara anggota NAM bagi mencapai kesaksamaan gender dan hak kaum wanita. Menerusi kursus-kursus dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan institut ini berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan mengenai gender, menyokong usaha-usaha kerajaan dalam mengukuhkan lagi kesaksamaan hak wanita dan membina kesedaran global bagi merubah persepsi masyarakat terhadap peranan dan hubungan gender.

Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Aras 16, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Tel: 03-2614 3000. Faks: 03-2691 0344/03 2691 0340. Laman web: www.niew.gov.my

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

PENGENALAN
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ditubuhkan pada 24 Mei 1964 dengan nama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Pada 18 Julai 1978, berikutan dengan penyusunan semula Kabinet, organisasi kementerian telah diubah dan disusun semula dengan nama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Penubuhan ini adalah hasil cantuman di antara Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan dengan Bahagian Kerajaan Tempatan yang sebelumnya terletak di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan. Antara fungsi utama kementerian ini ialah menyelaras penyediaan perumahan yang mencukupi kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah; mewujudkan pihak berkuasa tempatan yang kukuh dan mampu menyumbang ke arah mewujudkan masyarakat yang maju dan persekitaran yang selesa dan indah; memberi perkhidmatan pencegahan dan pengawalan kebakaran yang cekap dan berkesan bagi keselamatan nyawa dan harta benda dan memperkukuhkan dan melaksanakan sistem perancangan fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar bandar dan desa berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa,
1976.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia
Pejabat Perancangan Bandar yang pertama telah dibuka di Bangunan Sekretariat Kuala Lumpur (Bangunan Sultan Abdul Samad) pada 18 Januari 1921. Antara aktiviti awal termasuklah perancangan dan penyusunan semula lot tanah perancangan bangunan dan perumahan awam, pelebaran jalan dan pelurusan Sungai Klang. Fungsi jabatan ini ialah untuk mengukuhkan sistem pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi di kawasan bandar dan desa bagi meningkatkan taraf kehidupan selaras dengan matlamat negara; mengatur, mengawal dan menyelaras pemajuan, penggunaan dan pemuliharaan tanah melalui pelaksanaan berkesan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) dan akta-akta berkaitan; menggubal dan melaksana kaedah, dasar, pelan dan garis panduan perancangan serta memastikan pemakaian yang berkesan oleh semua agensi di peringkat perancangan; dan memastikan perkhidmatan perancangan.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Tingkat 1, Blok Tanjung, Jalan Cenderasari, 50646 Kuala Lumpur. Tel: 03-2699 2110. Faks: 03-2692 9994. Laman web: www.townplan.gov.my

Jabatan Kerajaan Tempatan
Jabatan Kerajaan Tempatan dipertanggungjawabkan untuk membantu membimbing dan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang, mengawal dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi dan perkhidmatan perbandaran ke arah pembentukan masyarakat makmur, sejahtera dan berdaya maju selaras dengan matlamat pembangunan negara. Selain itu jabatan ini juga berperanan menentukan PBT wujud sebagai unit-unit kerajaan tempatan yang cekap dan berupaya dari segi pentadbiran dan kewangan agar mereka dapat menyedia dan memberi perkhidmatan-perkhidmatan yang moden dan bermutu untuk faedah dan kesejahteraan masyarakat tempatan yang ditadbirkan.

Jabatan Kerajaan Tempatan, Aras 4, Blok K, Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2099 3033.Faks: 03-2095 5180. Laman web: http://jkt.kpkt.gov.my

Jabatan Perumahan Negara
Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah ditubuhkan pada tahun 1976 berasaskan kepada keputusan Jemaah Menteri bagi menggantikan Amanah Perumahan Malaysia. Ianya telah diwujudkan sejak tahun 1950 dan dibubarkan melalui Akta 339 (Pembubaran) Amanah Perumahan 1976. Antara fungsi utama jabatan ini ialah merangka dasar, perundangan dan peraturan berkaitan sektor perumahan di peringkat nasional; merancang dan melaksana Program Perumahan Rakyat (PPR); melaksanakan penyelidikan dan pembangunan perumahan serta menyediakan maklumat–maklumat berkaitan sektor perumahan; dan memproses serta mengeluarkan lesen dan permit iklan dan jualan kepada pemaju–pemaju perumahan swasta.

Jabatan Perumahan Negara, Aras 6, Blok F (Utara), Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2087 4500. Faks: 03-2093 6982. Laman web: http://ehome.kpkt.gov.my

Jabatan Landskap Negara (JLN)
Jabatan Landskap Negara (JLN) secara rasminya ditubuhkan pada 1 Januari 1996 hasil keputusan kerajaan untuk mewujudkan sebuah jabatan yang bertanggungjawab khusus ke atas usaha melandskap seluruh negara. Penubuhan jabatan diasaskan kepada peningkatan taraf Bahagian Penyelarasan dan Pengawasan Taman-taman Awam dan Landskap, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Antara fungsi utama jabatan ini ialah merancang, menyelaras, melaksana dan mengawal selia pembangunan landskap, keperluan kawasan lapang, kawasan hijau dan kemudahan rekreasi negara; penguatkuasaan perundangan, pelaksanaan dasar dan garis panduan di pelbagai peringkat dalam perancangan; dan perlaksanaan dan pengurusan pembangunan landskap.

Jabatan Landskap Negara, Tingkat 7, Plaza Permata-IGB, Jalan Kampar Off Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur. Tel: 03-4045 2841. Faks: 03-4045 2415.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Perkhidmatan Bomba di Malaysia bermula pada tahun 1883 dengan penubuhan Bomba Sukarela Negeri Selangor yang diketuai oleh H.F Bellamy bersama 15 anggota. Pasukan ini diletakkan di bawah Lembaga Kebersihan yang kemudiannya menjadi Pasukan Bomba dan Penyelamat Tetap pada tahun 1895. Perkhidmatan Bomba terus berkembang di setiap negeri dan diletakkan di bawah Majlis Perbandaran atau Lembaga Luar Bandar. Jabatan ini berperanan untuk memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran; melindungi nyawa dan harta sekiranya berlaku kebakaran; menentukan adanya jalan keluar kebakaran, penyelenggaraan dan pengawalseliaan yang sempurna; menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran; dan melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya apa-apa bencana.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lebuh Wawasan, Presint 7, 62250 Putrajaya. Tel: 03-8888 0036. Faks: 03-8888 0023. Laman web: www.bomba.gov.my

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR)
Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) iaitu satu badan bebas telah ditubuhkan berkuatkuasa pada 1 Disember 2002 ekoran daripada pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16B, Bahagian VI Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2002 (Akta 1142). Bidang kuasa TTPR hanya meliputi Semenanjung Malaysia sahaja (tidak termasuk Sabah dan Sarawak). Tribunal ini menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada pembeli rumah untuk menuntut ganti rugi dan pampasan daripada pemaju perumahan dengan cara mudah, murah dan cepat.

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Aras 4, Blok B (Selatan), Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2099 8343. Faks: 03-2093 4776.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN)
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang diluluskan Parlimen pada 17 Julai 2007 dan diwartakan pada 30 Ogos 2007, bagi mengintegrasikan sistem pengurusan sisa pepejal di peringkat nasional. Akta ini memberi kuasa eksekutif kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan tanggungjawab mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. JPSPN memainkan peranan dalam penyediaan dasar, strategi dan perancangan pengurusan sisa pepejal (PSP) bersepadu diperingkat makro, selain bertanggungjawab menggubal peraturan-peraturan sebagaimana terkandung dalam (Akta 672) serta menetapkan standard, spesifikasi dan tata amalan. Jabatan ini juga bertanggungjawab melaksanakan penswastaan penuh PSP, meluluskan dan memberi lesen perkhidmatan dan kemudahan PSP serta pembersihan awam.
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Aras 2, Blok B (Utara), Pusat Bandar Damansara, 50644 Kuala Lumpur. Tel: 03-2099 8470. Faks: 03-2093 5406.

Institut Latihan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
Institut ini ditubuhkan dengan peranan untuk melaksanakan latihan mengenai penempatan manusia, persekitaran dan kualiti hidup, perancangan dan pengurusan bandar serta perkhidmatan perbandaran melalui kajian ke atas demografi, migrasi, sosiobudaya, ekonomi, pembangunan teknologi, pengurusan, perubahan teknologi dan perkembangan semasa pentadbiran negara. Selain itu, institut ini juga menyediakan kertas-kertas makluman untuk dibentangkan di peringkat kebangsaan dan persidangan antarabangsa dalam menangani isu-isu berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan.

Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Aras 6, Blok C (Selatan), Pusat Bandar Damansara, Peti Surat 12579, 50782 Kuala Lumpur. Tel: 03-2093 4801. Faks: 03-2095 8780.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam
Perbadanan ini ditubuhkan untuk mengesyorkan dasar, perancangan dan strategi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada JPSPN. Antara fungsi utama perbadanan ini ialah melaksanakan, menggalakkan penyertaan dan mempertingkatkan kesedaran orang awam mengenai program kesedaran dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam; menerapkan amalan kitar semula dan pengasingan sisa di sumber secara sistematik di samping menekankan ciri-ciri pembangunan yang mapan meliputi aspek ekonomi, politik dan sosial; dan memproses permohonan baru, pembaharuan dan pembatalan/penggantungan lesen pembekal perkhidmatan pengurusan sisa pepejal sehingga pengesyoran kepada JPSPN.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Bangunan Wisma UOA, Tingkat Mezzanine 2, 3 dan 4, No. 11, Jalan Pantai Jaya (Jalan 4/83 A), 59200 Kuala Lumpur. Tel: 03-2245 9393. Faks: 03-2245 9394.

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN

PENGENALAN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Kementerian ini ditubuhkan pada 27 Oktober 1990. Matlamat penubuhan kementerian adalah untuk menggalak pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika dan melindungi kepentingan pengguna. Antara peranan yang dimainkan oleh KPDNKK ialah menggubal dan mengkaji dasar dan strategi berkaitan dengan pembangunan perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan; menentukan dan memantau harga barang-barang perlu; dan melesenkan penjualan dan pengedaran barang-barang perlu. KPDNKK mempunyai misi untuk mewujudkan suasana pasaran yang kondusif bagi memenuhi permintaan komuniti perdagangan dalam negeri yang pelbagai dan berbeza serta memacu negara ke arah mewujudkan masyarakat pengguna yang sedar akan hak mereka sebagai pengguna serta masyarakat pengguna yang perkasa.
BAHAGIAN/AGENSI

Unit Komunikasi Korporat
Unit ini telah ditubuhkan secara rasminya pada 16 Mac 2009 bagi menggantikan Bahagian Hal Ehwal Korporat yang telah wujud sebelum ini. Peranan utama unit ini adalah sebagai ‘focal point’ kementerian dalam penyampaian dan penyaluran maklumat, peningkatan imej korporat kementerian, perhubungan awam dan media serta pengurusan aduan dan khidmat pelanggan.

Unit Komunikasi Korporat, Aras 11 (menara), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5562. Faks: 03-8882 5569.

Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (BPDN)
Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (BPDN) merupakan bahagian yang berperanan untuk mengawal selia penyertaan asing dalam sektor perdagangan pengedaran. Selain itu, antara fungsi lain yang dimainkan oleh bahagian ini ialah; menggalakkan perkembangan dan pembangunan industri petroleum di peringkat hiliran; menggalakkan pembangunan dan kemajuan industri cakera optik; meningkatkan tahap keselamatan industri petroleum; meningkatkan pematuhan aktiviti timbang dan sukat; menggalakkan penggunaan kaedah E-dagang dalam sektor perdagangan dan pengedaran; mengurus pengeluaran lesen jualan langsung selaras dengan peruntukan di bawah Akta Jualan Langsung 1993; mengawal selia harga barang-barang perlu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga 1946; dan mengawal selia bekalan barang-barang kawalan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Aras 4, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5981/5858.

Bahagian Pengurusan Maklumat
Bahagian ini berperanan untuk merancang, membangun dan menyenggara sistem aplikasi, multimedia dan portal KPDNKK berlandaskan Pelan Strategik Pengurusan Maklumat; menyediakan kemudahan infrastruktur yang boleh dipercayai dan selamat; melaksanakan program latihan dan pembudayaan ICT; dan menyediakan khidmat nasihat dalam bidang ICT.

Bahagian Pengurusan Maklumat, Aras 7 (menara), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5669.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) bertanggungjawab dari segi perancangan dan pembangunan sumber manusia, pembangunan organisasi serta pengurusan perkhidmatan anggota kementerian. Pembangunan modal insan menjadi keutamaan bahagian ini dalam melahirkan warga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas serta memiliki etika kerja yang positif. Ianya akan dapat dicapai melalui latihan dan pembelajaran berterusan.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Aras 6 (podium 1&2) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5764.

Bahagian Audit Dalaman (BAD)
Bahagian Audit Dalaman bertanggungjawab bagi menjalankan pengauditan pengurusan kewangan dan pengauditan prestasi. Audit Pengurusan Kewangan adalah untuk menentukan sama ada pengurusan kewangan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan. Pengauditan Prestasi pula adalah untuk menentukan sama ada sesuatu aktiviti dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Bahagian Audit Dalaman, Aras 5 (podium 1) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5828.

Bahagian Dasar Dan Perancangan (BD&P)
Memastikan pembangunan perdagangan dalam negeri dan program perlindungan pengguna adalah selaras dengan keperluan semasa dan dilaksanakan selari dengan dasar yang telah dirancang dan digubal.

Bahagian Dasar dan Perancangan, Aras 9 (Menara) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5615.

Bahagian Penguatkuasa (BPGK)
Bahagian Penguatkuasa ditubuhkan untuk menjalankan fungsinya sebagai penguatkuasa undang-undang perdagangan dalam negeri dan melindungi pengguna. Bahagian ini juga memberi perlindungan ke atas Hak Harta Intelek. Selain itu fungsi lain bahagian ini ialah menguatkuasakan dan membanteras penyelewengan barang-barang bersubsidi dan menguatkuasakan dan mengawal selia bekalan dan harga barang kawalan.

Bahagian Penguatkuasa, Aras 2&3, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya.
Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 6171.


Bahagian Khidmat Pengurusan Dan Kewangan (BKPK)
Bahagian ini menentukan pengurusan pentadbiran pejabat berjalan dengan cekap, teratur dan berintegriti dalam aspek pentadbiran, kewangan, perolehan, penyelenggaraan, keurusetiaan dan keselamatan selaras dengan objektif kementerian.

Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Aras 6 (menara) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5762/5763.

Bahagian Pembangunan Perniagaan (BPP)
Bahagian Pembangunan Perniagaan berfungsi untuk membantu mempromosikan barangan PKS sama ada di peringkat domestik ataupun antarabangsa dan mewujudkan amalan perniagaan yang beretika. Selain daripada itu, bahagian ini juga memberikan anugerah dan pengiktirafan kepada para peniaga yang terlibat di dalam sektor perdagangan pengedaran.

Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aras 5 (menara), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 6203. Faks: 03-8882 5826.

Bahagian Kepenggunaan (BK)
Bahagian Kepenggunaan (BK) adalah bahagian teras di kementerian yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat dan melaksanakan aktiviti kesedaran kepenggunaan kepada setiap lapisan masyarakat.

Bahagian Kepenggunaan, Aras 4, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya.
Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5983.

Bahagian Undang-Undang (BUU)
Bahagian Undang-undang berperanan dalam memberi nasihat perundangan secara bertulis atau lisan kepada KPDNKK sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain di bawah bidang kuasa KPDNKK. Bahagian ini juga menggubal dan menyemak Rang Undang-Undang atau peraturan subsidiari di bawah bidang kuasa KPDNKK. Selain itu, fungsi tambahan BUU adalah mengendalikan kes-kes pendakwaan bagi harta intelek selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menubuhkan Mahkamah Harta Intelek di Malaysia.

Bahagian Undang-undang, Aras 5 (Menara) No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5500. Faks: 03-8882 5824.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut ganti rugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Aras 5 (podium 2), No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Tel: 03-8882 5822. Faks: 03-8882 5831. Laman web: http://ttpm.kpdnhep.gov.my

Sekretariat Majlis Harga Barang Negara (MHBN)

Sekretariat ini ditubuhkan pada 9 Januari 2008 berikutan isu kenaikan harga dan masalah bekalan barangan perlu yang menjejaskan kehidupan rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Sekretariat ini berperanan melindungi kepentingan rakyat daripada kenaikan harga barangan yang tidak munasabah dan memastikan bekalan barangan yang mencukupi.

Sekretariat Majlis Harga Barang Negara, Aras 4 (Menara), No. 13, Persiaran Perdana, Presint 2, 62623 Putrajaya. Tel: 03-8882 5852. Faks: 03-8882 6274.

Bahagian Pembangunan Koperasi (BPK)
Bahagian ini merupakan bahagian yang dibawa masuk bagi pembangunan koperasi. Antara fungsi utama bahagian ini ialah; menyelaras dan memantau pelaksanaan arahan-arahan kabinet dan Kementerian serta pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan undang-undang pembangunan koperasi; menyelaras dan mengawal selia pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan koperasi; dan memantau dan menyelaras program dan aktiviti-aktiviti koperasi di peringkat Agensi [Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan Bank Rakyat] di bawah Kementerian.

Bahagian Pembangunan Koperasi, Aras 5, No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2, 62623 Putrajaya. Tel: 03-8882 6249. Faks: 03-8882 6227.

Bahagian Pembangunan Francais (BPF)
Bahagian ini berperanan untuk merangka dasar, merancang, melaksana, menyelaras dan memantau program pembangunan francais; mendaftarkan perniagaan francais mengikut Akta Francais 1998; dan menguatkuasakan Akta Francais 1998.

Bahagian Pembangunan Francais, Aras 4 (Blok menara), No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2, 62652 Putrajaya. Tel: 03-8880 5000. Faks: 03-8880 5617.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah badan berkanun yang mengawal selia syarikat dan perniagaan. SSM yang mula beroperasi pada 16 April 2002. SSM terbentuk hasil daripada penggabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB) di Malaysia. SSM memainkan peranan utama sebagai agensi pemerbadanan syarikat dan pendaftaran perniagaan di samping membekalkan maklumat syarikat dan perniagaan kepada awam. Sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tahap tadbir urus korporat, SSM melaksanakan fungsinya mengawal selia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan untuk negara.

Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tingkat 2 & 10-19, Putra Place, 100 Jalan Putra, 50622 Kuala Lumpur. Tel: 03-4047 6000. Faks: 03-4047 6317. Laman web: www.ssm.com.my

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ditubuhkan pada 3 Mac 2003 di bawah Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002. Perbadanan ini berperanan untuk memantau pelaksanaan undang-undang berkaitan harta intelek ditadbir dan dikuatkuasakan dengan berkesan; menggalak dan mempertingkatkan latihan serta penyebaran maklumat berkaitan harta intelek; menjalin hubungan kerjasama dalam dan luar negara; menjaga kepentingan negara dalam apa-apa perjanjian atau konvensyen antarabangsa yang Malaysia menjadi ahli; memberi khidmat nasihat kepada kerajaan tentang isu semasa harta intelek serta perkara berkaitan di peringkat antarabangsa; dan menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan harta intelek.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Ibu Pejabat, Tingkat 27, 29-32, Menara Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin, 50362 Kuala Lumpur. Tel: 03-2263 2100. Faks: 03-2274 1332. Laman web: www.myipo.gov.my

Perbadanan Nasional Berhad (PNS)
Perbadanan Nasional Berhad (PNS), dulunya dikenali sebagai PERNAS telah diperbadankan pada 29 November, 1969. Pada bulan September 1996, PERNAS telah diswastakan melalui Management Buyout. Aset-aset terpilihnya telah diambil oleh PERNAS International Holdings Berhad. Peranan utama yang dimainkan oleh PNS melibatkan pembangunan sektor francais Malaysia. Pelaksanaan yang dijalankan oleh PNS melibatkan pelaburan francais, aktiviti promosi, kewangan, latihan, pembangunan francais, rangkaian dan penyelidikan.

Perbadanan Nasional Berhad, Aras 2, Menara Dato’ Onn, PWTC, 45 Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur. Tel: 03-2698 7800. Faks: 03-2698 7080. Laman Web: www.pns.com.my

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
Pada 1 Januari 2008, Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPKM) telah ditransformasikan menjadi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). SKM mula beroperasi pada 1 Januari 2008 hasil transformasi daripada JPKM bagi memperluaskan peranannya dalam memperkukuhkan sektor koperasi sebagai jentera pembangunan sosioekonomi negara. Koperasi diperkenalkan di negara ini bermula pada tahun 1922 bertujuan untuk membasmi kemiskinan, mengatasi masalah penindasan orang tengah dan juga menangani masalah keberhutangan di kalangan petani dan juga penjawat awam.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tingkat 5-7, Blok J, Pusat Bandar Damansara, 50608, Kuala Lumpur. Tel: 03-2081 2400. Faks: 03-2093 5026. Laman web: www.skm.gov.my

Maktab Kerjasama Malaysia (MKM)
Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) adalah satu-satunya institusi pendidikan koperasi di negara ini. MKM ditubuhkan dalam tahun 1956 dan diperbadankan sebagai sebuah badan berkanun melalui penguatkuasaan Akta Parlimen pada tahun 1968. Melalui akta tersebut MKM telah diberi tanggungjawab sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan dan pendidikan koperasi untuk gerakan koperasi di negara ini.

Maktab Kerjasama Malaysia, Cawangan Petaling Jaya, 103 Jalan Templer, 46700, Petaling Jaya, Selangor. Tel: 03-7964 9000/03-7957 0434. Laman web: www.mkm.edu.my

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat)
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) adalah sebuah bank koperasi yang unggul di Malaysia dengan memberi komitmen dan sokongan kepada para usahawan PKS untuk berkembang. Bank Rakyat menjadi daya pemacu untuk memperbaiki dan meningkatkan prospek perniagaan dan merubah gaya hidup anggota-anggotanya di bandar dan luar bandar. Bank Rakyat berperanan untuk meninggikan taraf ekonomi anggotanya dengan cara memberi pinjaman atau pembiayaan bagi kegunaan pertanian, pengeluaran, pemasaran, perusahaan, perniagaan dan usaha-usaha lain yang bersesuaian bagi anggotanya dan menggalakkan simpanan.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bangunan Bank Rakyat, Jalan Tangsi, Peti Surat 11024, 50732 Kuala Lumpur. Tel: 03-2612 9600. Faks: 03-2612 9636. Laman web: www.bankrakyat.com.my

10.2.11

Perceraian meningkat angkara Facebook?

Layari laman-laman sosial di Internet dengan niat dan tujuan yang ikhlas. MEMANG belum ada satu kajian spesifik di negara ini yang boleh mengesahkannya,. Namun, jika dilihat secara rambang, jaringan sosial dalam Internet seperti Facebook, Twitter dan Myspace ternyata boleh mendatangkan mudarat kepada keharmonian rumah tangga jika penggunaannya disertai dengan niat yang salah. Gambaran terhadap kes ini dapat dilihat daripada jumlah kes perceraian yang meningkat tahun demi tahun.

Timbalan Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustafa berkata, sebanyak 27,110 kes perceraian telah direkodkan daripada 135,136 perkahwinan yang telah didaftarkan pada tahun 2009. Punca utamanya ialah pasangan gagal menjalankan tanggung jawab masing-masing. Walaupun tidak diperincikan bentuk kegagalan tersebut, sedikit sebanyak jelas pengabaian tanggung jawab itu memang ada hubung kait dengan ‘ketagihan’ sama ada suami atau isteri dengan laman web sosial masing-masing.

Ini hasil daripada temu bual ringkas yang penulis sendiri jalankan dengan beberapa rakan yang juga dikenali menerusi laman web Facebook. Itu tidak termasuk kes-kes nyaris bercerai kerana salah faham dan cemburu dari hasil hubungan sama ada suami atau isteri di laman Facebook masing-masing. Di Amerika Syarikat, satu kaji selidik dari Akademi Pengacara Perkahwinan Amerika (AAML) harus diberi perhatian. Hasil kajian mereka menemukan bukti jumlah perceraian meningkat gara-gara aktiviti suami atau isteri di Facebook, Myspace dan Twitter. Presidennya, Marlene Eskind Moses, dipetik sebagi berkata, sebarang komen yang diletakkan oleh bekas pasangan akan gunakannya sebagai bukti di mahkamah.

Kajian tersebut juga mendapati pasangan yang sedang dalam proses perceraian atau perebutan hak penjagaan anak akan turut mengadu hal tersebut pada rakan di jaringan sosial. “Dalam satu kes yang pernah berlaku, seorang wanita yang bercerai ingin menuntut hak penjagaan anaknya telah kehilangan hak tersebut kerana dia memberitahu mahkamah dia sudah bertunang dengan pasangan baru. “Padahal di Facebook dia mengatakan dia sudah berpisah dengan teman lelaki yang suka menderanya dan kini sedang mencari lelaki kaya sebagai ganti.

“Saya memang terkejut bagaimana seorang itu tidak berfikir dahulu sebelum menaip di Facebook masing-masing terutama mereka yang dalam proses perbicaraan mahkamah,” kata Naib Presiden AAML, Kenneth Altshuler. Mengikut perincian yang diperolehi daripada data kajian AAML, 66 peratus kes perceraian adalah dari Facebook, Myspace 15 peratus dan Twitter (lima peratus). Maka tidak hairanlah, beberapa ulama Mesir mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, kerana kesan negatifnya kepada pasangan suami isteri.
Sumber : Utusan

Penyalahgunaan Facebook memusnahkan umat Islam

Umat Islam sepatutnya menghargai masa jika mereka ingin membangun dan berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudahan teknologi komunikasi jika disalah gunakan akan mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif dalam kehidupan umat Islam. Peristiwa perceraian melalui pesanan ringkas telefon bimbit sudah menjadi lumrah suami melafazkan talak kepada isteri. Perkahwinan merupakan satu institusi yang mulia di mana melalui perkahwinan, manusia dapat menyalurkan hubungan kasih sayang secara bermaruah. Adat dan cara umat Islam menyambut hari perkahwinan dengan begitu meriah menunjukkan bahawa hubungan suami isteri merupakan simbol kebahagiaan.

Bagi membina kebahagiaan rumah tangga, tanggung jawab dan peranan suami isteri perlu difahami secara jelas. Jika seorang lelaki mempunyai kewibawaan dan bertanggungjawab, beliau tidak akan melafazkan talak melalui SMS kepada isterinya. Perceraian merupakan satu perkara diharuskan walaupun dibenci oleh Allah. Apabila wanita dilamar dengan pelbagai adat dan istiadat, maka perceraian juga perlu mengikut adat dan istiadat. Sejauh manakah lelaki Islam dapat menghayati konsep hidup berumah tangga merupakan persoalan yang sering terukir dalam minda wanita masa kini.

Konteks kehidupan masa kini memerlukan satu reformasi minda di kalangan lelaki dan wanita supaya perubahan zaman dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Apabila isteri keluar rumah mencari nafkah dan menunaikan tanggungjawab masyarakat dan negara, maka suami sepatutnya merenung dan berfikir betapa penat dan letihnya isteri membantu beliau mencari nafkah kehidupan. Ketika ini, terdetik dalam hati nurani suami bahawa pengorbanan isteri perlu dihargai dengan cara membantu isteri melaksanakan tugas rumah tangga, bukan asyik melayan internet mencari rakan melalui Facebook dan seumpamanya.

Penat dan lelah kerana bekerja tidak memungkinkan wanita menunaikan kehendak naluri suami secara sempurna. Lelaki Islam masa kini sepatutnya melihat perubahan zaman dan konteks kehidupan masyarakat Islam secara rasional, bukannya memaksa isteri akur kepada budaya yang memenatkan dan meletihkan. Dalam konteks kehidupan masyarakat Islam di Malaysia kini, wanita yang bekerja di luar rumah membantu suami mencari nafkah, hidup mereka lebih terbeban berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah tangga sepenuhnya.

Mencari nafkah dan menentukan kesempurnaan hidup berumah tangga merupakan tanggungjawab khusus suami mengikut perspektif Islam. Oleh itu, hak talak diberi kepada lelaki secara mudah berdasarkan kepada beban tanggung jawab mereka terhadap ahli keluarga. Tetapi hari ini, tugas menentukan nafkah kehidupan keluarga turut dikongsi oleh isteri. Struktur sosial masyarakat Islam dalam negara kini memberi peluang kepada suami berhibur dan menghabiskan masa lapang dengan pelbagai kegiatan menyeronokkan.

Kecanggihan teknologi komunikasi memberi banyak peluang kepada suami yang tidak bertanggung jawab menghabiskan masa mencari rakan dan teman untuk berceloteh melalui Facebook dan melayari laman web yang menyeronokkan, sedangkan para isteri dengan tenaga yang lemah memaksa diri melayani anak-anak dan menyediakan makanan untuk ahli keluarga. Facebook juga boleh dianggap sebagai racun jiwa atau kerohanian jika seseorang itu tidak prihatin terhadap masa. Teknologi komunikasi sepatutnya digunakan untuk mendapat maklumat yang boleh membina pemikiran dan ilmu pengetahuan. Malangnya, ramai di kalangan umat Islam masa kini menggunakan teknologi tersebut untuk menghabiskan masa lapang dengan berceloteh dalam Facebook sehingga terlupa tanggungjawab dan tugas sebagai suami atau isteri.

Seorang lelaki bergelar suami sepatutnya menggunakan masa sebaik mungkin untuk menambah nafkah hidup keluarga dengan melakukan kegiatan yang boleh memberi sumber rezeki. Sikap gemar berceloteh melalui Facebook dan SMS boleh menyebabkan seseorang itu menjadi malas dan terbantut akal fikiran. Apabila fikiran tidak didedahkan kepada suasana yang boleh memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah maka ia boleh mendorong lelaki menjadi penggemar hiburan melalui teknologi komunikasi. Sikap begini bukan sahaja boleh menyebabkan lelaki menjadi cuai terhadap rumah tangga, malah ia juga menggoncang kebahagiaan rumah tangga.

Jika seorang wanita gemar berceloteh di dalam Facebook dan SMS, beliau juga akan cuai terhadap tugasnya sebagai seorang isteri. Sikap gemar meluahkan perasaan kecewa dan kesunyian di dalam Facebook bukan sahaja boleh menyebabkan rahsia rumah tangga terbongkar tetapi juga mengundang orang yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan untuk menghancurkan rumah tangga. Hal ehwal rumah tangga sepatutnya dibincang bersama ahli keluarga kedua belah pihak seperti mana dianjurkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Konsep perkahwinan di dalam Islam adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan amanah, bukan hanya sekadar untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu. Perkahwinan yang tidak berasaskan kepada amanah dan kasih sayang sejati sering kecundang apabila tuntutan hawa nafsu tidak dapat dinikmati sepenuhnya.

Keresahan jiwa jika tidak dipandu mengikut fitrah ciptaan roh/kerohanian boleh menyebabkan suami atau isteri mencari jalan hidup berunsurkan hedonisme (keseronokan) yang boleh menyebabkan mereka lalai terhadap tugas dan tanggungjawab. Hasilnya, rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta yang diwarnai dengan impian indah hancur berkecai dan kasih sayang bertukar menjadi kebencian.

Fitrah ciptaan manusia ialah berkomunikasi dengan masyarakat dan bekerjasama untuk menjayakan kehidupan di dunia dan di akhirat. Realiti kebanyakan umat Islam masa kini dalam negara ini lebih cenderung ke arah yang boleh menyeronokkan diri sehingga terlupa asas dan fitrah kehidupan mereka. Kemudahan komunikasi sepatutnya digunakan untuk menyelami pelbagai ilmu dan pelajaran supaya corak pemikiran umat Islam menjadi lebih terbuka dan matang dalam memahami konteks kehidupan dalam era globalisasi. Hakikatnya, kecanggihan teknologi komunikasi disalah gunakan untuk tujuan keseronokan dan keghairahan.

Facebook juga boleh memberi peluang yang besar kepada penjenayah untuk mengesan mangsanya secara mudah. Setiap maklumat berkaitan dengan mangsa dapat diperoleh dengan mudah. Wanita Islam yang menjadi mangsa kepada pengedar dadah antarabangsa dan penipuan adalah hasil daripada berkenalan dengan orang asing melalui Facebook.

Facebook sepatutnya digunakan untuk memperkembangkan karier seseorang melalui pertukaran fikiran dalam bidang masing-masing. Di negara barat, masyarakatnya menggunakan Facebook untuk memajukan kehidupan mereka seperti berurusan dalam perniagaan dan seumpamanya. Banyak pergerakan dan organisasi bukan kerajaan menggunakan Facebook untuk menambah ahli persatuan dan menghubungkan persatuan mereka dengan persatuan antarabangsa.

Nampaknya, kemudahan dan teknologi komunikasi yang berkembang di negara ini tidak difahami masyarakat Islam. Mereka lebih cenderung menggunakannya sebagai sumber hiburan sehingga berlaku perpecahan rumah tangga. Ini terjadi akibat daripada kejutan teknologi komunikasi. Oleh itu, kesedaran terhadap faedah dan keburukan teknologi komunikasi perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya mereka memahami akibat salah guna teknologi komunikasi.

Sumber : Dr. Saodah Abd Rahman (rencana utusan)

Laman sembang punca tertinggi cerai

Perkongsian maklumat yang berlebihan melalui laman sembang sosial telah menyebabkan banyak berlakunya kes penceraian di Amerika Syarikat. Akademi Peguam Perkahwinan Amerika berkata, 81 peratus daripada ahlinya telah menggunakan atau berhadapan dengan bukti-bukti yang dipetik daripada Facebook, MySpace, Twitter dan rangkaian laman sosial yang lain termasuk YouTube dan LinkedIn dalam tempoh lima tahun lalu.

"Kami turut mengendalikan beberapa kes yang agak melucukan," ''Ia merupakan perkara biasa pernah saya kendalikan,'' kata Presidennya, Linda Lea Viken. Menurut Viken, Facebook adalah punca utama menukarkan realiti virtual menjadi kes drama penceraian sebenar, katanya. Beliau berkata, 66 peratus tinjauan yang dijalankan oleh peguam mendapati facebook menjadi sumber bukti dalam talian, diikuti dengan MySpace sebanyak 15 peratus dan Twitter, lima peratus.

Menurut laporan tahun 2008 oleh syarikat penyelidik, Pew Internet and American Life Project, kira-kira satu daripada lima orang dewasa menggunakan Facebook untuk menggoda. ''Ia bukan sekadar gambar ciuman dengan perempuan simpanan atau lelaki simpanan dijadikan sebagai bukti. ''Bukti seperti ini sebelum ini dianggap hampir tiada sebelum ini, tetapi kini ia telah meningkat dalam kes-kes yang saya kendalikan,'' kata Viken, sambil menambah kata, ''Ia seperti suatu gurauan dan sukar dipercayai.''

''Suami memasuki dalam talian Match.com dan mengaku bujang, serta mengisytiharkan tidak mempunyai anak dalam tuntutan hak penjagaan anak secara kekal,'' katanya. Laman web penceraian DIY di United Kingdom, Divorce-Online melaporkan, satu daripada lima kes penceraian adalah disebabkan oleh Facebook. Laman sembang sosial turut menjadi medan untuk pasangan yang bercerai memburukkan sesama sendiri. "Ia semua adalah bukti yang cukup bagus. "Anda tidak boleh menafikannya. Hakim juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenarkan ia digunakan," kata Viken. - AP
Sumber : Utusan

Curang, SMS, jahil agama!

Entah di mana silapnya, perceraian kini telah menjadi trend atau lumrah dalam perkahwinan di negara ini khususnya di kalangan pasangan Islam. Bayangkan pada 2009 sahaja, secara purata setiap hari terdapat 75 pasangan Islam bercerai manakala keseluruhannya, 27,116 pasangan bercerai pada tahun berkenaan. Siasatan Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini mengenal pasti beberapa punca perceraian dengan sebahagiannya bercerai pada usia awal perkahwinan termasuk kurang daripada setahun. Antaranya adalah:

  • Kecurangan salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya menerusi Internet atau alam siber. Menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk mengembalikan semula hubungan dengan kekasih lama atau bermain kayu tiga dengan ‘kekasih gelap’.

  • Masalah rumah tangga diluahkan secara terbuka menerusi Internet atau laman-laman sosial menyebabkan ia menjadi lebih parah. Masing- masing mencari rakan-rakan dalam talian untuk memberi nasihat, bukannya kepada saluran yang betul.

  • Telefon bimbit juga punca perceraian. Ia berlaku apabila salah seorang mendapat tahu pasangannya berhubung dengan lelaki atau perempuan lain sama ada melalui panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

  • Pasangan cuai dalam hubungan dengan Allah atau jahil tentang agama. Ada suami atau isteri yang malas untuk menunaikan solat lima waktu hingga merunsingkan pasangan, akhirnya berlaku perceraian.

  • Keperluan duniawi seperti wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing. Sedangkan kos hidup semakin meningkat.

  • Campur tangan pihak ketiga sebagai penghasut, khususnya bekas kekasih atau ahli keluarga terdekat, mendorong suami isteri berpisah.

  • Terdapat juga penceraian yang berlaku kerana isteri memohon cerai disebabkan tidak mahu dimadukan.

Dalam pada itu, terdapat dakwaan bahawa fenomena jodoh singkat ini berkait rapat dengan kursus kahwin yang sudah tidak lagi relevan. Sebaliknya, wartawan turut menyertai kursus kahwin selama dua hari itu mendapati, modul kursus memang meliputi semua aspek persediaan dalaman dan luaran serta penyelesaian konflik selepas berkahwin. Namun, apa yang membimbangkan adalah sikap peserta kursus yang bakal menjadi suami isteri, menganggap mudah kursus tersebut dan hadir semata-mata untuk mendapatkan sijil.

Sumber : Utusan Malaysia

Ubah kaedah didik anak-anak, elak lari dari rumah


JUMLAH kanak-kanak dan remaja yang hilang dari rumah dan gagal ditemui sejak dua tahun lalu sebanyak 1,383 orang seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam adalah satu jumlah yang agak besar.

Ini bermakna purata empat orang hilang setiap hari dan seperti yang dilaporkan, antara faktor kehilangan itu adalah disebabkan kecuaian ibu bapa, selain mengikut teman dan kemiskinan.
Dalam hal ini, kita tidaklah mahu menyalahkan ibu bapa seratus peratus kerana dilaporkan 85 peratus mereka yang hilang itu sudah mampu berfikir walaupun tidak cukup matang tentang perkara baik dan perkara buruk.

Majoriti mereka berusia antara 14 hingga 17 tahun dan usia itu sememangnya satu peringkat usia remaja yang sukar dikawal oleh ibu bapa. Namun, dengan bimbingan dan perhatian yang betul daripada ibu bapa, kita percaya remaja terbabit tidak akan mengambil jalan mudah untuk keluar dari rumah.

Mungkin sudah tiba masanya, ibu bapa dan penjaga menukar kaedah atau pendekatan yang digunakan untuk mendidik anak-anak. Membesarkan anak-anak sekarang tidak sama seperti 10 atau 20 tahun lalu. Anak-anak sekarang begitu terdedah dengan budaya seronok melayan laman sosial seperti Facebook atau Twitter.

Jika di rumah tidak ada kemudahan Internet, mereka boleh singgah di mana-mana kafe siber untuk tujuan tersebut. Lebih daripada itu, telefon bimbit pintar yang ada 'segalanya' turut menjerumuskan anak remaja ke satu alam lain yang memerlukan mereka keluar dari rumah.
Justeru, ibu bapa bukan sahaja perlu rajin memantau pergerakan atau aktiviti harian anak-anak, malah apa yang mudah dicapai oleh hujung jari anak-anak juga wajar diberi perhatian yang sama. Tidak ada salahnya, sesekali ibu bapa 'menceroboh' laman sosial anak-anak. Dari situ, banyak maklumat tentang diri anak-anak yang mungkin selama ini dirahsiakan daripada ibu bapa boleh diterokai dan difahami.

Ada ibu bapa langsung tidak membenarkan anak-anak membuka akaun laman sosial berkenaan, dan ada juga yang menggunakan pendekatan memeriksa setiap hari aktiviti laman sosial anak-anak. Apa saja cara yang dirasakan perlu dilakukan demi kebaikan anak-anak, maka ibu bapa perlu bertindak sedemikian.

Bagi anak-anak yang lari kerana masalah keluarga dan kemiskinan, maka di sini pihak yang perlu memainkan peranan utama adalah kementerian dan jabatan berkaitan. Kerjasama para pegawai dari agensi-agensi terbabit amat diperlukan untuk menyelamatkan anak-anak yang runsing berada di rumah.

Kita juga tahu bahawa ada anak remaja dari keluarga miskin terdorong melarikan diri kerana mahu mengejar sesuatu yang dijanjikan mewah buat hidup mereka. Ini juga satu penyakit yang memerlukan tindakan bersepadu pelbagai pihak. Sudahlah ibu bapa miskin, anak pula lari dari rumah. Tidakkah ini akan menambah beban ibu bapa yang terlibat?

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tentang apa-apa perkara yang dilihat mencurigakan berlaku dalam sesebuah keluarga. Tidak ada salahnya, sesekali bersikap 'menjaga tepi kain orang'. Ambil tahu hal sekeliling dan hulurkan bantuan apa yang termampu untuk menolong mereka yang memerlukan.
sumber : rencana Utusan