20.7.10

Bunga Kebangsaan

Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Bunga-bunga tersebut ialah bunga raya, bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga tanjung. Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai bunga kebangsaan, satu kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai. Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur. Walau bagaimanapun akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk memilih bunga raya berdasarkan kriteria bunga raya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama yang sama di seluruh negara, mudah didapati di seluruh Malaysia, dan yang paling penting bukan menjadi bunga kebangsaan mana-mana negara lain di dunia ketika itu.

Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana lima kelopak yang ada padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan bunga ini juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.

AGAMA
Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 menyatakan bahawa “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan ; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Perkara 11 mengenai Kebebasan Ugama pula menyatakan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya”. Ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasminya, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kebebasan ini dapat membentuk perpaduan yang kukuh antara kaum dan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecap oleh rakyat Malaysia selama ini.

BAHASA RASMI
Perkara 152 dalam Perlembagaan Negara telah menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996). Namun dalam masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia bebas digunakan seperti bahasa Mandarin bagi orang Cina dan bahasa Tamil bagi orang India. Selain itu Bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara. Kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa antarabangsa yang lain khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa.

MATA WANG
Ringgit Malaysia ialah unit mata wang Malaysia dengan kod mata wang MYR. Ringgit mempunyai wang kertas bernilai RM100, RM50, RM10, RM5, RM2 dan RM1 serta syiling, 50 sen, 20 sen, 10 sen, dan 5 sen. Nama "Ringgit" berasal daripada sisi bergigi wang perak Sepanyol yang digunakan secara meluas pada zaman dahulu. Mulai bulan Ogos 1975, nama "Ringgit" diterima secara rasmi sebagai nama khas mata wang Malaysia. Sebelumnya, wang dikenali sebagai dollar dalam Bahasa Inggeris dan ringgit dalam Bahasa Melayu. Namun penggunaan simbol $ terus digunakan sehingga ditukar kepada RM pada 1990an.

DEMOGRAFI PENDUDUK
Penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Golongan terbesar rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Selain itu terdapat juga golongan bumiputera yang terdiri daripada kaum orang asli, dan pelbagai etnik yang terdapat di Sabah dan Sarawak. Antara etnik yang ramai bilangannya ialah Iban, Dayak, Kadazan, Bidayuh, Bajau, Murut dan Malanau. Unjuran penduduk Malaysia pada tahun 2009 ialah 28,306.7 juta orang dengan pecahan Melayu (14,409.9 juta), Bumiputera lain (3,128.4 juta), Cina (6,437.7 juta), India (1,939.2 juta) lain-lain (340.5 juta) dan bukan warganegara Malaysia (2,051.0 juta).

PERAYAAN DAN FESTIVAL
Masyarakat majmuk di Malaysia menjadikan kebudayaan negara ini lebih berwarna-warni. Penduduk yang berbilang kaum ini menyambut pelbagai jenis perayaan sepanjang tahun dalam keadaan yang meriah serta muhibah. Budaya saling kunjung mengunjungi telah menjadi tradisi dengan mengadakan ‘rumah terbuka’ pada setiap perayaan penting.

Perayaan Masyarakat Islam
Bagi umat Islam, dua perayaan utama diraikan iaitu Hari Raya Puasa (Aidilfitri) dan Hari Raya Haji (Aidiladha). Hari Raya Puasa diraikan bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan. Hari Raya Haji pula disambut pada hari ke-10 bulan Zulhijjah (bulan Islam) ketika umat Islam yang mengerjakan Haji di Mekah berada di peringkat akhir ibadah mereka. Bersempena dengan perayaan ini, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melakukan ibadah korban dan disebabkan itu juga perayaan ini turut dikenali sebagai Hari Raya Korban. Selain daripada dua perayaan utama itu, umat Islam turut menyambut Maal Hijrah (Awal Muharam) yang merupakan sambutan tahun baru Islam; Maulidur Rasul bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW; dan Nuzul Quran bagi memperingati hari turunnya al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Perayaan Masyarakat Cina
Masyarakat Malaysia yang berketurunan Cina merayakan Tahun Baru Cina pada hari pertama dalam kalendar Cina iaitu pada bulan Januari atau Februari setiap tahun. Perayaan bermula dengan seluruh ahli keluarga berkumpul untuk makan malam bersama-sama. Perayaan ini berlanjutan selama 15 hari hingga hari “Chap Goh Meh” yang dirayakan pada malam ke-15. Pemberian bungkusan ‘angpow’ merupakan tradisi yang memeriahkan suasana Tahun Baru Cina khususnya bagi golongan kanak-kanak. Bagi masyarakat Cina yang majoritinya beragama Buddha, bulan Mei menandakan tibanya Hari Wesak bagi memperingati tiga peristiwa penting dalam hidup Buddha iaitu hari keputeraan, hari mencapai kemantapan fikiran dan juga hari kemangkatannya. Dalam perayaan tersebut, upacara-upacara bersembahyang dan perarakan biasanya diadakan. Selain itu, terdapat juga sambutan perayaan lain seperti Kuih Bulan/Tanglung, Bulan Hantu, dan Qing Ming.

Perayaan Masyarakat India
Bagi penganut agama Hindu, Deepavali atau Perayaan Cahaya pada bulan Aippasi mengikut kalendar Tamil (Oktober-November) merupakan masa untuk bergembira. Perayaan ini menandakan kemenangan; kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Perayaan bermula dengan upacara bersembahyang dan diikuti dengan kunjungan sanak-saudara dan sahabat handai. Pada waktu malam, rumah akan dihiasi dengan pelita-pelita bagi memeriahkan suasana perayaan. Penganut agama Hindu juga merayakan Hari Thaipusam pada bulan Januari sebagai tanda penghormatan kepada Dewa Muruga. Dalam perayaan tersebut, Batu Caves yang terletak di Selangor akan menjadi tumpuan penganut Hindu untuk membawa persembahan di atas kavadi untuk dipersembahkan kepada dewa tersebut. Selain itu, mereka turut menyambut Perayaan Ponggal, Tahun Baru Hindu, Navarathiri dan Kharthigai.

Perayaan-perayaan Lain
Pada 25 Disember setiap tahun, orang-orang Kristian akan merayakan Hari Krismas yang menandakan kelahiran Jesus dengan bersembahyang di gereja-gereja dan menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan. Di Sabah dan Sarawak, terdapat pula perayaan-perayaan tradisi etnik-etnik yang terdapat di sana. Pada bulan Mei setiap tahun di Sabah, orang Kadazan menyambut Pesta Menuai (Tadau Kaamatan) yang merupakan satu acara penting untuk golongan petani mereka. Tamu Besar atau Pasar Tahunan merupakan satu pesta yang menganjurkan acara-acara sukan tradisional.

Tarikh 1 Jun merupakan Hari Gawai yang merupakan tradisi orang Dayak, Iban dan Bidayuh di Sarawak. Bagi orang Dayak, mereka mempunyai perayaan khusus yang terdiri daripada Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi buruk), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai), Gawai Antu (perayaan untuk roh-roh orang yang sudah mati) dan yang paling penting ialah Gawai Kenyalang.

Selain perayaan-perayaan kaum, rakyat Malaysia juga merayakan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, Hari Kebangsaan atau Hari kemerdekaan pada 31 Ogos, sambutan hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Sabtu minggu pertama bulan Jun, Hari Keputeraan Raja/Sultan di peringkat negeri dan ‘Good Friday’ bagi negeri-negeri yang berkenaan sahaja.


LOKASI
Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang terletak di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai dua kawasan utama yang terpisah oleh Laut China Selatan; iaitu Semenanjung Malaysia, bersempadankan Thailand di utara dan Singapura di selatan; dan Malaysia Timur, bahagian utara Pulau Borneo yang bersempadan dengan Indonesia di selatan dan Brunei di utara. Malaysia adalah salah satu negara perintis ASEAN. Malaysia terletak berhampiran dengan garisan Khatulistiwa iaitu garisan lintang 1o dan 7o utara dan garisan bujur 100o dan 119o timur. Keluasan Malaysia meliputi 329,960.22 km2.

IKLIM
Malaysia mengalami keadaan cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun. Purata suhu harian di seluruh Malaysia ialah antara 21 oC hingga 32 oC. Lazimnya, iklim Malaysia dipengaruhi oleh angin yang bertiup dari Lautan Hindi (Angin Monsun Barat Daya-Mei hingga September) dan Laut China Selatan (Angin Monsun Timur Laut – November hingga Mac). Hujan tahunannya adalah 80 peratus setahun iaitu antara 2000mm hingga 2500mm.


FLORA DAN FAUNA
Kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia terdiri daripada hutan hujan tropika. Struktur hutan tanah rendah di Semenanjung Malaysia adalah satu profil yang berlapis. Lapisan-lapisan itu terdiri daripada pokok-pokok renjong, silara utama, tumbuhan tingkat bawah dan tumbuhan permukaan tanah. Pokok-pokok di lapisan renjong dapat mencapai ketinggian 60m hingga 70m. Kebanyakan pokok-pokok ini adalah daripada famili Dipterocarpaceae dan Leguminosae. Diterocarpaceae sering dikaitkan dengan kumpulan pokok-pokok balak komersial di Malaysia seperti balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya.

Lapisan silara utama pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan berbagai famili seperti kedondong, kandis, penarahan dan kelat yang tingginya antara 20m hingga 40m. Di tingkat bawah pula, terdapat pokok-pokok kecil dan palma yang hidup subur di bawah silara tersebut. Di lantai hutan pula terdapat anak-anak pokok, palma-palma kecil, tumbuhan renek dan herba.

Hutan hujan tropika di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kelas iaitu hutan-campuran dan hutan dominan tunggal. Hutan campuran seperti hutan dipterokarpa tanah pamah terdiri daripada berbagai famili tumbuhan manakala hutan dominan tunggal dapat dilihat pada jenis hutan dominan tunggal spesies kapur (dryobalanops aromatica ) seperti yang terdapat di Kanching, Selangor. Ia adalah campuran spesies yang berbeza-beza dari segi komposisi flora dan ia berubah mengikut habitat.

Dengan berdasarkan kepada ketinggian kawasan di atas aras laut, hutan ini juga boleh dikelaskan kepada hutan dipterokarpa pamah, hutan dipterokarpa bukit, hutan dipterokarpa atas, hutan oak-gunung dan hutan ericaceous gunung. Dipterokarpa merupakan kumpulan pokok-pokok berdamar famili dipterokarpa yang terdapat di lapisan sudur hutan dan di bahagian silara utama hutan. Hutan dipterokarpa pamah meliputi semua hutan atau rimba di kawasan tanah dan di kaki-kaki bukit sehingga ketinggian 30m. Hutan dipterokarpa bukit pula adalah hutan di bukit-bukit antara ketinggian 30 hingga 762m manakala hutan antara ketinggian 762 hingga 1200m adalah hutan dipterokarpa atas. Hutan oak-gunung adalah hutan antara paras ketinggian 1200 hingga 1500m. Hutan yang melebihi 1500m adalah hutan ericaceous gunung.

Hutan hujan di Malaysia menjadi habitat kepada beribu-ribu spesies binatang yang kebanyakannya bukan sahaja unik bagi kawasan ini malahan juga di dunia. Terdapat lebih 185,000 spesies binatang (16 peratus daripada jumlah di dunia) terdapat di Malaysia. Sebanyak 286 spesies mamalia, 736 spesies burung, 406 spesies amfibia dan reptilia, 200 spesies binatang liar dan lebih daripada 100,000 spesies serangga telah dapat direkodkan.

Antara spesies mamalia yang tinggal di hutan Malaysia termasuk orang utan, harimau, gajah, badak sumbu, tapir, kerbau liar, musang, harimau bintang, beruang dan dua jenis rusa iaitu sambar dan kijang. Harimau belang Malaysia adalah spesies kucing yang terbesar di dunia dan hanya ditemui di Asia Tenggara terutama di Malaysia. Ia berasal dari Famili Felidae dalam order karnivor. Harimau Siberia merupakan sub-spesies yang terbesar dan boleh membesar sehingga 3.3 meter panjang dan seberat 300kg. Manakala Harimau Sumatra merupakan sub-spesies terkecil dengan secara puratanya bersaiz 2.4 meter panjang dan seberat 120 kg. Haiwan lain yang terdapat di Malaysia ialah pelbagai jenis ungka dan monyet seperti Monkey Bangkatan, penyu, buaya, tuntung, dan pelbagai jenis burung. Terdapat hampir 600 jenis burung yang dicatatkan di Semenanjung Malaysia.

Selain haiwan di darat terdapat juga haiwan di dalam air. Ikan air tawar merupakan antara ikan yang terkenal di Malaysia dan ia terdiri daripada ikan kelisa, ikan patin, ikan tilapia, sebarau, toman dan haruan. Eksplorasi biodiversiti ikan laut dalam di perairan Malaysia amat menarik dengan pelbagai jenis ikan seperti lionfish yang juga dikenali sebagai zebrafish dan clown fish. Terumbu batu karang yang telah wujud lebih 450 juta tahun menjadi ekosistem marin yang paling kaya. Ia menjadi habitat kepada lebih sejuta spesies hidupan laut. Kepadatan ikan di kawasan berkenaan adalah 100 kali ganda lebih tinggi dari di laut luas.

Tiada ulasan: