21.9.12

Jom Kibar Jalur Gemilang



JOM KIBAR JALUR GEMILANG


Bendera

Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan sesebuah negara. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Sejarah Bendera Malaysia

Sejarah Bendera Malaysia bermula pada 29 November 1949 apabila Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah (arkitek kerajaan Johor) dipilih sebagai pemenang. Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950.

Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, namun Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya. Setelah berkibar megah sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah mengukir satu lagi sejarah apabila beliau mengumumkan nama baru bagi Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang.

Bendera Malaysia

·         mempunyai 14 jalur merah dan putih yang sama lebar bermula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah.
·         Jalur-jalur ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan.
·         Bahagian berwarna biru di sebelah atas kiri hingga ke jalur merah kelima membawa makna perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
·         Anak bulan dan bintang yang berwarna kuning yang terletak di dalam bahagian berwarna biru menandakan agama Islam sebagai Agama Rasmi Malaysia.
·         Bintang pecah 14 membawa lambang perpaduan dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.
·         Warna kuning pada bulan dan bintang merupakan warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Panduan Warna Bendera dan Banner
Biru : C100 M 100
Merah : M100 Y100
Kuning : Y100

Ukuran Jalur Gemilang
Jalur Gemilang mempunyai pelbagai saiz untuk digunakan dalam pelbagai acara. Antara saiz-saiz yang biasa digunakan adalah seperti berikut :-

Jadual 1 : Pelbagai Saiz Bendera

Bil
Ukuran Bendera
Lebar (sm)
Panjang (sm)
1
Bendera biasa
91.5 (3’)
183 (6’)
2
Bendera rumah
61 (2’)
122 (4’)
3
Bendera sedang
122 (4’)
244 (8’)
4
Bendera besar
183 (6’)
366 (12’)
5
Bendera meja
15.25 (0.5’)
30.50 (1’)
6
Bendera kereta
15.25 (0.5’)
30.50 (1’)


Jadual 2 : Senarai Ketinggian Dan Garis Pusat Tiang Bendera

Bil
Ukuran Bendera
Tinggi (sm)
Garis Pusat(sm)
1
Bendera biasa (luar/dalam bangunan)
610 (20’)
7.6 (3’)
2
Bendera rumah
-      luar bangunan kekal
-      dalam bangunan tidak kekal

610 (20’)
305 (10’)

7.6 (3’)
3.8 (1.5’)
3
Bendera sedang
915 (30’)
7.6 (3’)
4
Bendera besar
1,220 (40’)
15.2(6’)
5
Bendera meja
40 (15.75’)
1 (3’/8’)
6
Bendera kereta
40 (15.75’)
1 (3’/8’)


Banner Jalur Gemilang
Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 1990 telah mengeluarkan panduan mengenai reka bentuk dan penggunaan Banner Jalur Gemilang.
 ·        Banner hendaklah membujur dari atas ke bawah dan mempunyai dua bahagian iaitu :
Bahagian Atas
Mengandungi bulan dan bintang berwarna kuning yang menghala ke atas berlatarbelakangkan warna biru.
Bahagian bawah
Mengandungi 14 jalur merah putih membujur dari atas ke bawah.
 ·   warna yang digunakan hendaklah warna-warna yang sama dengan Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning.
·        Ukuran biasa bagi Banner Jalur Gemilang ialah 12 kaki panjang dan 3 kaki lebar pada nisbah

Susunan dan kedudukan pada dinding/tembok bangunan/objek statik
Apabila Jalur Gemilang dipamerkan atau dilukis pada dinding/tembok bangunan atau objek statik, bahagian bulan dan bintang atau kepala bendera hendaklah terletak di sebelah kiri bila dipandang dari hadapan.

Hak Mengibarkan Bendera

Setiap rakyat Malaysia berhak untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan syarat bendera itu dikibarkan mengikut arahan/panduan yang ditetapkan. Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah mengenai tempat, masa, kedudukan, saiz serta susunan sekiranya lebih daripada satu bendera yang dikibarkan.

Mengikut arahan Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Pekeliling Am Bil.3 Tahun 1994, Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, Badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. Selain itu, orang ramai juga digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman-kediaman, pejabat-pejabat pertubuhan atau persatuan, premis-premis perniagaan, kedai-kedai malah di gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang.

Walaupun Surat Pekeliling Am Bil.3 Tahun 1994 menetapkan Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan pada hari-hari pejabat biasa dan hari-hari kebesaran persekutuan dan negeri, Jalur Gemilang sebenarnya digalakkan untuk dikibarkan pada bila-bila masa dan di mana-mana selagi kesucian dan kehormatan Jalur Gemilang itu terpelihara.

Cara-Cara Menghormati Bendera

·         Ketika Menaikkan dan Menurunkan Bendera
Bendera tidak seharusnya meleret di atas tanah. Bendera hendaklah ditatang atau diselempangkan di bahu dan harus dikendalikan dengan perlahan-lahan. Bendera juga mesti dipastikan berada dalam keadaan baik, tidak koyak atau sudah lusuh warnanya. Orang yang bertanggungjawab menaikkan dan menurunkan bendera juga haruslah berpakaian kemas.

·         Sebagai Lambang Kebesaran dan Kedaulatan Negara
Jika anda merupakan orang awam, maka anda hendaklah berdiri tegak dengan kedua-dua belah tangan diluruskan ke bawah. Bagi yang memakai topi, anda mestilah membuka topi tersebut dan diletakkan di dada sebelah dada kiri.

·         Sebagai Tanda Berkabung
Pengibaran bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung atas peristiwa-peristiwa  tertentu seperti kemangkatan Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong; kemangkatan DYMM Raja-Raja dan DYMM Raja Permaisuri; TYT Yang di-Pertuan Negeri dan isteri-isteri; dan kematian pembesar-pembesar negara asing bagi menunjukkan rasa hormat dan simpati Malaysia kepada negara berkenaan.

·         Sebagai Tanda Menghormati Jenazah
Bendera digunakan untuk menutup keranda semasa Istiadat Pemakaman atau Pengebumian Negara sebagai tanda penghormatan terakhir terhadap individu yang banyak berjasa kepada negara.

Cara Pelupusan Bendera
Bendera yang koyak, lusuh dan berubah warna dianggap sebagai bendera yang uzur. Bendera yang uzur tidak boleh dikibarkan kerana perbuatan itu menunjukkan rasa tidak hormat kita kepada bendera. Bendera yang uzur harus dimusnahkan dengan cara paling sopan iaitu dengan membakarnya di tempat yang tertutup.
 
“Ayuhlah kita suburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia. Marilah kita realisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia. Marilah kita pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua.”


Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak
30/08/2009
Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-52



Tiada ulasan: