11.10.10

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

PENGENALAN
Kementerian Perdagangan dan Industri telah ditubuhkan pada April 1956 dan beribu pejabat di Pejabat Kerajaan, Jalan Raja, Kuala Lumpur. Pada Februari 1972, kementerian ini ditukar nama kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Kemudian, pada 27 Oktober 1990, kementerian ini dipecahkan pula kepada dua Kementerian yang berasingan iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
AGENSI/JABATAN

Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA)
MIDA ditubuhkan pada tahun 1967 di bawah Akta Lembaga Kemajuan Perindustrian Persekutuan 1965, sebagai sebuah badan berkanun di bawah penyeliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MIDA adalah pusat rujukan utama kerajaan bagi penggalakan dan penyelarasan pembangunan sektor perkilangan dan perkhidmatan (kecuali perkhidmatan utiliti dan kewangan). MIDA berfungsi sebagai penasihat kerajaan mengenai pemberian lesen pengilangan, insentif, jawatan asing dan kemudahan lain yang berkaitan dengan penggalakan, pembangunan dan penyelarasan industri. Beribu pejabat di ibu negara Kuala Lumpur, MIDA telah menubuhkan rangkaian global pejabat-pejabat seberang laut yang meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia-Pasifik bagi membantu para pelabur yang berminat menempatkan pangkalan perkilangan mereka di Malaysia. Bagi meningkatkan lagi peranan MIDA dalam memberi bantuan kepada para pelabur, wakil-wakil kanan daripada agensi-agensi utama ditempatkan di ibu pejabat MIDA di
Kuala Lumpur untuk memberi nasihat kepada para pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan.

Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), Ibu Pejabat, Blok 4, Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur Sentral, 50470 Kuala Lumpur. Tel: 03-2267 3633. Faks: 03-2274 7970. Laman web: http://www.mida.gov.my

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) adalah sebuah badan berkanun yang berperanan mempromosi produk perkilangan dan separa perkilangan serta perkhidmatan Malaysia ke luar negara. MATRADE yang ditubuhkan pada Mac 1993 bertanggungjawab membantu syarikat-syarikat Malaysia berjaya dalam pasaran antarabangsa. Selain mengadakan aktiviti promosi produk dan perkhidmatan Malaysia di luar negara, MATRADE turut menjalankan penyelidikan pasaran dan mewujudkan pangkalan data maklumat yang komprehensif ke arah memajukan perdagangan/eksport produk Malaysia. MATRADE juga bertanggungjawab menganjurkan program-program latihan untuk meningkatkan kemahiran pengeksport berkaitan pemasaran antarabangsa, mempromosi dan membantu dalam perkhidmatan berkaitan perdagangan serta melindungi kepentingan perdagangan antarabangsa Malaysia di luar negara.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ibu Pejabat, Menara MATRADE, Jalan Khidmat Usaha, Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur. Tel: 03-6207 7077. Faks: 03-6203 7037/7033. Laman web: http://www.matrade.gov.my

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ditubuhkan pada tahun 1962 dan merupakan badan berkanun persekutuan yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Daya Pengeluaran Negara. Selaras dengan perkembangan peranannya, Majlis ini ditukar namanya menjadi Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) berkuat kuasa pada 1 Disember 1991 selepas pindaan kepada Akta Majlis Daya Pengeluaran Negara (Memperbadankan) Akta A801. Seterusnya, Akta Perbadanan Produktiviti Negara (Memperbadankan) 2008 yang dipinda, dikuatkuasakan pada 21 Februari 2008 menukar nama NPC kepada MPC bertujuan untuk memperkukuhkan peranan dan fungsi perbadanan ini selaras dengan keperluan semasa. MPC berperanan menyediakan maklumat mengenai produktiviti, kualiti, daya saing dan amalan-amalan terbaik melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan pangkalan data. Ia turut membangunkan modal insan dan kecemerlangan organisasi bagi membentuk masyarakat yang berasaskan pengetahuan melalui latihan, pembangunan sistem dan amalan-amalan terbaik serta memupuk daya kreatif dan inovatif melalui program-program promosi Produktiviti dan Kualiti (P&Q) dan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Ibu Pejabat, P.O.Box 64, Jalan Sultan, 46904 Petaling Jaya, Selangor. Tel: 03-7955 7266. Faks: 03 - 7957 8068. Laman web: http://www.mpc.gov.my

Perbadanan SME Malaysia (SME Corp.)
Perbadanan SME Malaysia (SME Corp.) adalah penjenamaan semula Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) secara rasmi pada 2 Oktober 2009. Perubahan nama ini bertujuan memantapkan lagi fungsi perbadanan ini dalam membangunkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar mampu bersaing dan terus kukuh dalam menghadapi krisis ekonomi. Penubuhan SMIDEC pada 2 Mei 1996 adalah sebagai sebuah agensi kerajaan yang khusus untuk menggalakkan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan menawarkan khidmat nasihat, bantuan kewangan dan fiskal, infrastruktur, pasaran serta lain-lain program pembangunan. SME Corp. adalah ‘pusat rujukan sehenti’ untuk PKS mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan program-program pembangunan IKS yang
ditawarkan oleh 60 agensi kerajaan di bawah 14 kementerian yang berkaitan.

Perbadanan SME Malaysia (SME Corp.), Ibu Pejabat, Aras 20, West Wing, Menara MATRADE, Jalan Khidmat Usaha, Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur. Tel : 03-6207 6000. Faks: 03-6201 6564. Info Line : 1-300-88-1801. Laman web: http://www.matrade.gov.my



Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF)
Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) telah ditubuhkan pada 30 Mac 1960 dengan objektif untuk menggalakkan pertumbuhan industri di Malaysia dengan menawarkan kemudahan pembiayaan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terlibat dalam sektor pembuatan dan perkilangan. MIDF kini merupakan sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan. Berikutan penggabungan MIDF dan Amanah Capital Partners Berhad pada tahun 2003, pembelian Utama Merchant Bank Berhad (UMBB) pada 2004 dan pembentukan MIDF Amanah Investment Bank Berhad menjadikan Kumpulan MIDF kini muncul sebagai sebuah organisasi kewangan yang lebih teguh dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset. MIDF merupakan anak syarikat Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Aras 19, Menara MIDF, 82 Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur. Tel: 03-2173 8888. Faks: 03-2173 8877.
Laman web: http://www.midf.com.my

Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank)
Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) mula beroperasi pada 3 Oktober 2005 sebagai sebuah institusi kewangan khusus bagi membimbing dan memenuhi permintaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sebagai sebuah pusat sehenti yang bergiat memenuhi permintaan bantuan kewangan dan pembiayaaan perniagaan PKS di Malaysia, bank ini melengkapkan lagi produk dan perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan oleh bank-bank komersil melalui gabungan khidmat perniagaan yang sistematik dan komprehensif. Peranan utama bank ini adalah untuk menyumbang ke arah komuniti usahawan yang lebih berdaya saing di Malaysia. SME Bank beroperasi melalui ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan 19 cawangannya di seluruh negeri.

Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad, Ibu Pejabat, Menara SME Bank, Jalan Sultan Ismail, Peti Surat 12352, 50774 Kuala Lumpur. Tel: 03-2615 2020/03-2615 2828. Faks: 03-2698 1748. Laman web: http://www.smebank.com.my

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC)
Ke arah merealisasikan Malaysia sebagai Halal Hub dunia, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) ditubuhkan pada 18 September 2006. Ia merupakan sebuah badan khas untuk menyelaras secara keseluruhan pembangunan industri Halal di Malaysia. Fokus utamanya adalah dalam pembangunan piawaian Halal, audit dan pensijilan termasuk pembangunan kapasiti untuk produk dan perkhidmatan Halal. HDC turut berperanan menggalak peningkatan penglibatan penggiat industri dalam pasaran Halal global.

Halal Industry Development Corporation (HDC), 5.02, Aras 5, KPMG Tower, First Avenue, Persiaran Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Selangor. Tel: 03-7965 5555. Faks: 03-7965 5500. Laman web: http://www.hdcglobal.com

Tiada ulasan: