11.10.10

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR (NRE)

PENGENALAN
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) ditubuhkan berikutan pengumuman pembentukan Kabinet baru pada 27 Mac 2004. Bidang tanggungjawab NRE adalah hasil penggabungan jabatan-jabatan daripada empat kementerian iaitu Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Kementerian Perusahaan Utama dan Kementerian Pertanian.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG)
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) ditubuhkan bertujuan untuk mempertingkatkan sistem pengurusan dan perundangan tanah supaya lebih cekap dan bermutu selaras dengan Dasar Pembangunan Negara yang merangkumi pengurusan tanah persekutuan, penyelesaian pembahagian pusaka, pengambilan tanah dan penguatkuasaan. Selaras dengan hasrat berkenaan, JKPTG mempertingkatkan peranannya dalam mengkaji segala undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkaitan supaya wujud keseragaman dan penyelarasan dalam melaksanakan dan mentadbirkan undang-undang, dasar dan garis panduan berkenaan di seluruh Semenanjung Malaysia. Penyeragaman dan penyelarasan ini adalah penting memandangkan hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan). Aras 3, Podium 1, No. 25
Persiaran Perdana Presint 4, 62574 Putrajaya. Tel: 03-8171 2600. Faks: 03-8881 0796. Laman web: http://www.kptg.gov.my

Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)
JUPEM bertanggungjawab menjalankan aktiviti ukur kawalan mendatar dan menegak untuk kegunaan pihak awam dan juga swasta bagi tujuan pembangunan, keselamatan dan pertahanan negara. Jabatan ini bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja ukuran geodetik dan pemetaan topografi bagi seluruh Malaysia dan ukuran kadaster untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Wisma JUPEM, Jalan Semarak, 50578 Kuala Lumpur. Tel: 03-2617 0800. Faks: 03-2693 3618. Laman web: http://www.jupem.gov.my.

Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG)
JMG merupakan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam eksplorasi mineral, perlombongan kuari, serta penyiasatan pelbagai bidang geosains secara bersistem di samping menyediakan perkhidmatan analisis geokimia dan ujian fizikal bahan batuan dan mineral. Jabatan ini juga turut bertindak sebagai bank data nasional bagi semua maklumat yang berkaitan dengan geosains dan sumber mineral.

Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia, Tingkat 19-22 Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, 50658 Kuala Lumpur. Tel: 03-2161 1033. Faks: 03-2161 1036. Laman web: http://www.jmg.gov.my

Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS)
Jabatan ini ditubuhkan pada tahun 1932 dengan nama Jabatan Parit dan Taliair. Peranan utama adalah untuk memajukan tanah pertanian yang baru dan ia dengan sekali gus memikul tanggungjawab pengairan dan saliran. Jabatan ini yang sebelumnya bernaung di bawah Kementerian Pertanian, menerima tanggungjawab baru yang lebih luas. Tugas-tugas tersebut adalah pengairan, kejuruteraan sungai, tebatan banjir, kejuruteraan pantai dan hidrologi. Pada tahun 1989, jabatan ini dengan rasminya telah ditukarkan nama kepada Jabatan Pengairan dan Saliran seiring dengan tanggungjawab yang kian meluas. Pada 27 Mac 2004, berikutan rombakan kabinet, Jabatan Pengairan dan Saliran diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Fungsi pengairan telah diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani manakala fungsi-fungsi lain termasuk saliran bandar diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. JPS bertanggungjawab dalam bidang pengurusan sumber air, pengurusan sungai dan pantai, tebatan banjir serta saliran bandar.

Jabatan Pengairan Dan Saliran, Jalan Sultan Salahuddin, 50626 Kuala Lumpur. Tel: 03-2697 2828. Faks: 03-2698 7973. Laman web: http://www.water.gov.my

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN)
Jabatan PERHILITAN dahulunya dikenali dengan nama Jabatan Mergastua. Pada tahun 1896 undang-undang pertama mengenai hidupan liar telah diwujudkan. Dalam tahun 1902, rezab hidupan liar yang pertama iaitu Rezab Hidupan Liar Chior telah diwartakan. Usaha-usaha untuk menubuhkan satu agensi pusat untuk menyelaraskan aktiviti pemuliharaan habitat dan spesies hidupan liar telah bermula pada tahun 1930, dengan pelantikan En. T.R.Hubback, bekas Pelindung Mergastua (Game Warden) Negeri Pahang, sebagai ketua kepada Suruhanjaya Hidupan Liar Malaya. Antara tahun 1972 dan 1976, Kerajaan Persekutuan selepas berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri telah mengambil alih pentadbiran semua Jabatan Mergastua Negeri di Semenanjung Malaysia berikutan penguatkuasaan Akta Perlindungan Hidupan Liar Tahun 1972, Akta 76. Jabatan Mergastua kemudiannya dinamakan sebagai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara atau ringkasnya Jabatan PERHILITAN. Jabatan ini diberi mandat untuk menguatkuasakan Akta Perlindungan Hidupan Liar serta berfungsi menjaga, mengurus dan memelihara hidupan liar dan taman negara termasuk rezab, santuari hidupan liar disamping menjalankan penyelidikan terhadap spesies hidupan liar dan habitat, program penyelidikan dan pendidikan di zoo dan pemeliharaan pusat pembiakan haiwan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), KM 10. Jalan Cheras, 56100 Kuala Lumpur. Tel: 03-9086 6800. Faks: 03-9075 2873. Laman web: http://www.wildlife.gov.my

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM)
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bertanggungjawab terhadap pengurusan, perancangan, perlindungan dan pembangunan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) selaras dengan Dasar Perhutanan Negara dan Akta Perhutanan Negara. Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab untuk menggubal dasar-dasar perhutanan, memberi nasihat dan khidmat teknikal kepada Jabatan Perhutanan Negeri dalam aspek perancangan, pengurusan dan pembangunan hutan, industri hutan dan industri berasas kayu, kajian operasi hutan serta latihan dan pembangunan sumber manusia.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jalan Sultan Salahuddin, 50660 Kuala Lumpur. Tel: 03-26164488. Faks: 03-2692 5657. Laman web: http://www.forestry.gov.my

Institut Tanah Negara (INSTUN)
INSTUN telah ditubuhkan pada 1 Mei 1998 dan merupakan institut latihan yang bertanggungjawab untuk mengadakan latihan dalam bidang perundangan tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan. Disamping itu, INSTUN menjalankan kajian penyelidikan pengurusan latihan dalam bidang tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan serta membekalkan bahan-bahan rujukan dan maklumat dalam bidang tersebut melalui perpustakaan INSTUN.

Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Behrang Stesen, Perak. Tel: 05-454 2825. Faks: 05-454 2837. Laman web: http://www.instun.gov.my.

Jabatan Alam Sekitar (JAS)
Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada mulanya dikenali sebagai Bahagian Alam Sekitar telah ditubuhkan pada 1975. Fungsi utama JAS ialah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekitar melalui penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Aras 1-4, podium 2&3, Lot 4G3 Presint 4, No.25, Persiaran Perdana Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62574 Putrajaya. Tel: 03-8871 2000. Faks: 03-8889 1973. Laman web: www.doe.gov.my

Jabatan Taman Laut Malaysia
Jabatan ini berperanan untuk memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi komuniti marin dan habitatnya yang telah terjejas serta membiakkan spesies marin yang terancam. Selain itu, jabatan ini juga berperanan untuk menggalakkan kajian saintifik dan memantau flora dan fauna marin yang terdapat di kawasan perlindungan. Jabatan ini turut terlibat dalam usaha untuk meningkatkan pendidikan, pengetahuan dan kesedaran dan sokongan orang ramai mengenai kepentingan serta keperluan pemuliharaan hidupan biodiversiti marin dan habitatnya.

Jabatan Taman Laut Malaysia, Aras 11, Wisma Sumber Asli, No 25 Persiaran Perdana, 62574 Putrajaya. Tel: 03-8886 1111. Faks: 03-8888 0489. Laman web: www.dmpm.nre.gov.my.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) adalah sebuah badan berkanun yang ditadbir oleh Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB), di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Pada tahun 1985, Institut ini dijadikan badan berkanun dan dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang ditadbir oleh Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) di bawah Kementerian Perusahaan Utama Malaysia. Mulai 2004, FRIM berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (NRE) dan merupakan institut penyelidikan yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan, perundingan, pemindahan teknologi dan perkhidmatan ujian dan tumbuhan ubatan.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-6279 7000. Faks: 03-6273 1314. Laman web: http://www.frim.gov.my

Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM)
Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) ditubuhkan pada September 1995 dan diletakkan di bawah Kementerian Pertanian. Mulai April 2004, NAHRIM telah diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. NAHRIM bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta perundingan dalam bidang perkhidmatan hidraulik sumber air merangkumi kejuruteraan sumber air atau sungai dan pantai. NAHRIM telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi pusat kecemerlangan kebangsaan yang menyelaras aktiviti penyelidikan dalam bidang hidraulik sumber air bagi memenuhi keperluan sektor awam dan swasta.

Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Lot 5377, Jalan Putra Permai, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-8948 3033. Faks: 03-8948 3044. Laman web: http://www.nahrim.gov.my

Tiada ulasan: