14.2.11

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

PENGENALAN
Pada 15 Februari 2001, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) telah ditukar nama dari Kementerian Hal Ehwal Wanita. Rombakan Kabinet pada 27 Mac 2004, sekali lagi kementerian ini bertukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) setelah fungsi Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat diserapkan ke dalam KPWK. Objektif KPWKM ialah untuk meningkatkan penyertaan dan peranan aktif wanita, keluarga dan masyarakat sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara; memelihara hak-hak dan kepentingan wanita, keluarga dan masyarakat dengan adil dan saksama tanpa ada unsur diskriminasi; memperluaskan peluang yang saksama kepada wanita dan masyarakat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik; memantapkan institusi keluarga; memastikan sistem penyampaian dan sokongan yang cekap dan berkesan.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditubuhkan pada tahun 1946. Dalam jangka masa 57 tahun, JKM telah mengalami perubahan bagi memenuhi peranannya dalam pembangunan negara. Bermula dengan penglibatan menangani pelbagai masalah yang timbul akibat Perang Dunia Kedua, peranan dan fungsi jabatan ini telah berkembang kepada perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat. Sebagai salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, ia telah di tempatkan di bawah beberapa kementerian sebelum diletak di bawah KPWKM.

Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tingkat 19-24, Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Jalan Raja Laut, 50562 Kuala Lumpur. Tel: 03-2616 5600. Faks: 03-2693 4270. Laman web: http://www.jkm.gov.my/

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)
Pada tahun 1975, kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) sebagai jentera bagi memastikan penglibatan wanita dalam pembangunan. Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita, Jabatan Perdana Menteri atau HAWA diwujudkan bagi mengambil alih tugas sebagai Urusetia NACIWID. Pada 26 Ogos 1985, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya HAWA diperkukuhkan dengan menaikkan tarafnya kepada bahagian. Pada 27 Oktober 1990, Bahagian Hal Ehwal Wanita telah dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Pada 29 Januari 1997, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Bahagian Hal Ehwal Wanita dinaikkan taraf kepada sebuah jabatan. Pada 1 Julai 1997, HAWA beroperasi sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Pada 18 Disember 1999, selepas Pilihanraya Umum 1999 dan rombakan Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Wanita telah diletakkan semula di Jabatan Perdana Menteri. Pada 1 Julai 2001, Jabatan Hal Ehwal Wanita distruktur semula dan dinamakan sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). JPW berfungsi sebagai jentera pelaksana Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan menjalankan program dan aktiviti pembangunan wanita selaras dengan visi dan misi KPWKM.

Jabatan Pembangunan Wanita, Aras 25 - 26, Menara Tun Ismail Mohamad Ali, Jalan Raja Laut, 50582 Kuala Lumpur. Tel: 03-2679 1080. Faks: 03-2693 4740. Laman web: http://www.jpw.gov.my/

Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berperanan dalam mengukuh dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usaha sama yang cekap dan berkesan ke arah melahirkan penduduk yang berkualiti. LPPKN membantu para penggubal dasar mengambil kira faktor-faktor kependudukan dan kekeluargaan dalam penggubalan dasar dan strategi pembangunan negara. LPPKN juga membantu para perancang dan pengurus-pengurus program mengintegrasikan faktor-faktor kependudukan dan kekeluargaan dalam perancangan program-program sektoral. Agensi-agensi pelaksana program kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan keibubapaan berasaskan modul-modul yang seragam dan sistematik berdasarkan bantuan daripada pihak LPPKN. Selain itu LPPKN turut berperanan untuk mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan dan amalan nilai-nilai murni kekeluargaan di kalangan pemimpin masyarakat, ibu bapa, bakal ibu bapa dan remaja selain mempertingkatkan taraf kesihatan reproduktif wanita dan lelaki.

Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Bangunan LPPKN, No.12B, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Tel: 03-2693 7555. Faks: 03 2693 7250. Laman web: http://www.lppkn.gov.my/

Institut Sosial Malaysia (ISM)
ISM ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan latihan ikhtisas dan separa ikhtisas dalam bidang latihan dan penyelidikan serta pendidikan sosial kepada semua pekerja sosial daripada berbagai peringkat dan kumpulan dari dalam dan luar negara termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). ISM akan menggunakan konsep pendidikan sepanjang hayat yang membuka peluang kepada pengamal sosial yang berminat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme dalam bidang perkhidmatan dan pembangunan sosial. ISM yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini adalah Institut Latihan Kebajikan Kuala Kubu Bharu, Selangor yang beroperasi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Institut Sosial Malaysia, Lot PT 13856, KM 6, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Tel: 03-7987 3044. Faks: 03-7987 3042. Laman web: http://www.ism.gov.my/

Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW)
Institut ini ditubuhkan pada 17 Mei 2006 susulan cadangan Kerajaan Malaysia dalam Mesyuarat Pertama Peringkat Menteri-menteri NAM mengenai kemajuan wanita yang diadakan di Putrajaya pada 7 hingga 10 Mei 2005. NIEW adalah sebuah institusi antarabangsa yang didedikasikan dalam usaha memperkasa dan membangunkan wanita. Visinya ialah menjadi sebuah pusat latihan dan penyelidikan untuk negara-negara anggota NAM bagi mencapai kesaksamaan gender dan hak kaum wanita. Menerusi kursus-kursus dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan institut ini berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan mengenai gender, menyokong usaha-usaha kerajaan dalam mengukuhkan lagi kesaksamaan hak wanita dan membina kesedaran global bagi merubah persepsi masyarakat terhadap peranan dan hubungan gender.

Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Aras 16, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Tel: 03-2614 3000. Faks: 03-2691 0344/03 2691 0340. Laman web: www.niew.gov.my

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Slm...saya ita dr ipoh perak,saya dh 4 tahun mnjadi ahli KPWM tapi tak ada apa2 pun respon.terkilan jga rasanya.ingatkan byk kmudahan yg diberikan.kawan ada jga join sbagai ahli KPWM tapi mcm2 tawaran yg dia dpt.dgn ulasan saya ini dptlah brsimpati dgn saya.