3.8.10

1 MALAYSIA

Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam. Konsep ini bertepatan dengan impian sepanjangnya iaitu satu Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur, dengan peluang yang bukan sedikit untuk semua rakyat. Konsep ini akan direalisasikan dengan memberi keutamaan kepada pencapaian dan kehendak rakyat sesuai dengan slogan yang pegang oleh Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Matlamat konsep ini diperkenalkan ialah bagi mewujudkan rakyat yang berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mengambil kira kehendak dan sensitiviti semua kumpulan etnik yang terdapat di dalam negara ini.

Tiga Prinsip Teras 1Malaysia
1Malaysia diwujudkan bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional. Ia bagi membina perpaduan yang lebih kental dan penghayatan yang lebih mendalam mengenai perpaduan nasional. 1Malaysia adalah pemangkin kepada mengujudkan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyatnya. 1Malaysia disandarkan kepada tiga teras dalam memperkukuhkan perpaduan nasional iaitu:
1. Prinsip Penerimaan
2. Prinsip Kenegaraan
3. Prinsip Keadilan Sosial

Prinsip Penerimaan
Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia.

Prinsip Kenegaraan
Kepentingan semangat patriotisme dan pengukuhan ikatan perpaduan antara kaum telah disedari oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman telah berjaya dalam misi mendapatkan kemerdekaan hasil kesepakatan dalam Parti Perikatan. Parti yang menggabungkan tiga kaum utama ini iaitu Melayu (UMNO), India (MIC) dan Cina (MCA) telah berjaya meyakinkan British akan kemampuan rakyat negara ini untuk berkerajaan sendiri.

Walaupun ikatan perpaduan di peringkat awal penubuhan Malaysia agak longgar, namun Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyedarkan rakyat negara ini bahawa perpaduan negara bukan satu isu yang boleh dipandang remeh. Ekoran itu, Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri ketika itu telah mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan membetulkan keadaan sosial masyarakat pada masa itu. Misi ini diteruskan dan disemarakkan lagi oleh pemimpin berikutnya iaitu Tun Hussien Onn sehingga diberi gelaran ‘Bapa Perpaduan’. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi meneruskan inspirasi negara berhubung dengan semangat patriotisme dan perpaduan dengan pelbagai konsep dan program yang dirangka dalam memastikan keharmonian dan keamanan akan terus dikecapi rakyat negara ini.

Prinsip Keadilan Sosial
Setiap kaum di Malaysia telah diberi keadilan. Hak dan kepentingan masing-masing telah dipelihara melalui Perlembagaan Negara yang telah dipersetujui bersama. Melalui Konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Namun begitu Konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan.

8 Nilai 1Malaysia
Terdapat lapan nilai yang telah digarapkan dalam Konsep 1Malaysia. Nilai-nilai ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat.

1. Budaya Kecemerlangan
Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi di mata dunia.

2. Ketabahan
Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

3. Rendah Hati
Sifat rendah hati amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dalam budaya masyarakat Melayu. Sifat rendah hati bukan bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Sifat ini perlu diamalkan secara berhemah agar orang tidak memandang rendah kepada kemampuan dan kredibiliti kita namun dalam masa yang sama kita tidak mahu orang melabelkan kita sebagai orang yang bongkak dan meninggi diri.

4. Penerimaan
Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima dan menghormati hak, cara hidup, kebudayaan dan pegangan agama kaum-kaum yang terdapat di negara ini. Sikap saling menerima ini akan mempengaruhi ikatan perpaduan antara kaum.

5. Kesetiaan
Rakyat Malaysia perlu mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan kepada negara ini penting untuk membangkitkan semangat patriotisme iaitu cintakan negara tanpa mengira asal keturunan kita.

6. Meritokrasi
Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7. Pendidikan
Pendidikan dan pengetahuan adalah asas dalam pembentukan modal insan yang cemerlang. Ilmu yang tinggi dan sejajar dengan perkembangan semasa akan memastikan misi Malaysia menjadi negara maju akan tercapai dan modal insan yang berpengetahuan akan mampu bersiang sehingga ke peringkat global.

8. Integriti
Nilai integriti penting untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga peringkat akar umbi tanpa mengira kedudukan. Kepentingan negara perlu diletakkan paling atas mengatasi segala kepentingan lain.

Logo 1Malaysia

Logo 1Malaysia telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 27 Jun 2009 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Logo ini melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Logo ini juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu misi untuk membina satu Negara Bangsa.

Tiada ulasan: