3.8.10

LIBERALISASI SEKTOR PERKHIDMATAN

Sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi negara, menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008, di mana, sebanyak 47.6 peratus merupakan sumbangan daripada perkhidmatan bukan kerajaan. Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia. Kerajaan mensasar untuk meneroka potensi sepenuhnya sektor perkhidmtan dan meningkatkan sumbangan KDNK melebihi 60 peratus, seperti yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Menyedari potensi pertumbuhan di dalam sektor perkhidmatan, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor perkhidmatan secara serta-merta, tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan. Sub-sektor ini adalah di dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, perkhidmatan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan perniagaan dan perkhidmatan komputer dan yang berkaitan. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meliberalisasikan sub-sektor perkhidmatan yang lain secara progresif dari masa ke semasa.

Liberalisasi sektor perkhidmatan diambil dengan tujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi, serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Usaha-usaha ini dijangka dapat meningkatkan tahap daya saing sektor perkhidmatan di negara ini.

Initiatif liberalisasi tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan. Kerajaan akan terus menyokong industri melalui pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport. Satu dana pembangunan kapasiti sektor perkhidmatan yang berjumlah RM100 juta telah diwujudkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Pertama. Tabung ini diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), terutamanya, bagi memperkukuhkan industri tempatan dalam menghadapi persekitaran sektor perkhidmatan yang lebih terbuka.

Bagi mempermudah pelaburan dalam sektor perkhidmatan, satu Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah MIDA telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai pusat yang akan menerima dan memproses permohonan pelaburan bagi sektor perkhidmatan, kecuali perkhidmatan kewangan, pengangkutan udara, utiliti, Koridor Pembangunan Ekonomi, syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Bionexus, dan perdagangan pengedaran.

Dengan fokus diberikan kepada perkhidmatan pada masa ini, usaha-usaha promosi barangan pembuatan akan dilengkapi dengan lebih tumpuan diberikan kepada promosi eksport perkhidmatan. Sehubungan dengan ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditugaskan untuk menyelaras dan menerajui semua usaha-usaha promosi eksport.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa, profesion perundangan akan diliberalisasikan dengan membenarkan lima firma guaman antarabangsa dengan kepakaran dalam kewangan Islam antarabangsa untuk menawarkan perkhidmatan mereka di Malaysia. Firma tersebut hanya dibenarkan memberi perkhidmatan perundangan dalam bidang kewangan Islam antarabangsa. Firma perundangan yang berjaya akan ditentukan berdasarkan kelayakan dan pelan perniagaan bagi pejabat yang akan ditubuhkan di Malaysia.
Sektor perkhidmatan disasarkan sebagai sektor pertumbuhan baru ekonomi. Liberalisasi sektor ini akan mewujudkan rangsangan bagi meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi.
Pengumuman mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan yang dibuat pada 22 April 2009 oleh Perdana Menteri Malaysia melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang berikut :-

Komputer dan yang berkaitan
• Perundingan berkaitan pemasangan perkakasan komputer.
• Pelaksanaan perisian-perundingan sistem dan perisian, analisis sistem, reka bentuk sistem, sistem pengaturcaraan dan penyelenggaraan sistem.
• Pemprosesan data-penyediaan input, pemprosesan data dan penjadualan, time-sharing dan perkhidmatan pemprosesan lain.
• Pangkalan data
• Penyenggaraan dan pembaikan komputer MSC
• Penyediaan data, latihan, pemulihan data dan pembangunan kandungan kreatif.

Kesihatan dan sosial
• Semua perkhidmatan veterinar
• Kebajikan yang dijalankan melalui institusi kediaman kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
• Kebajikan yang dijalankan melalui institusi kediaman kepada kanak-kanak.
• Penjagaan harian kanak-kanak termasuk penjagaan harian bagi OKU.
• Pemulihan vokasional bagi OKU.

Pelancongan
• Taman tema
• Pusat konvensyen dan pameran kapasiti tempat duduk lebih 5000
• Agensi perjalanan dan pengendali pelancongan (bagi perkhidmatan di hotel empat dan lima bintang saja).
• Hidangan minuman untuk diminum di premis (bagi perkhidmatan di hotel empat dan lima bintang saja)

Pengangkutan
• Pengangkutan muatan kelas C (lesen pengangkutan persendirian untuk mengangkut barang sendiri).

Sukan dan rekreasi lain
• Sukan (mengandungi promosi dan penganjuran acara sukan bukan kerajaan).

Perniagaan
• Pusat pengedaran serantau
• Pusat perolehan antarabangsa
• Perkhidmatan ujian teknikal dan analisa-ujian dan analisa komposisi dan ketulenan, ujian dan analisa harta benda fizikal, ujian dan analisa sistem bersepadu mekanikal dan elektrikal dan penyeliaan teknikal.
• Pengurusan perunding-perkhidmatan am, kewangan (kecuali cukai perniagaan pemasaran, sumber manusia dan hubungan awam.

Sewaan/Pajakan tanpa operator
• Sewaan/pajakan kapal kecuali kabotaj dan perdagangan pesisiran.
• Sewaan kapal kargo tanpa anak kapal (bareboat charter) untuk pelayaran antarabangsa.

Pengangkutan sokongan dan bantuan
• Agensi maritim
• Kapal penyelamat dan re-floating.

Tiada ulasan: