23.8.10

Merdeka 1Malaysia

1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Transformasi Berkesan Kemerdekaan Berkekalan

PERJUANGAN UNTUK KEBEBASAN
Perjuangan menentang penjajah dan keinginan membebaskan diri daripada cengkaman kolonial telah berlaku seawal pendudukan Inggeris di Tanah Melayu. Penentangan-penentangan ini dilakukan oleh pejuang-pejuang yang bergerak secara bersendirian mengikut negeri dan kepentingan masing-masing sehingga menyebabkan setiap kemaraan mereka berjaya dipatahkan oleh pihak Inggeris. Namun perubahan masa telah menyaksikan bahawa perjuangan menentang penjajah mula berkembang secara menyeluruh ekoran wujudnya medium seperti akhbar dan majalah. Perjuangan yang bersifat setempat telah bergerak secara berkumpulan seterusnya membentuk parti politik.

Era Kebangkitan
Perjuangan yang berlaku dalam abad ke 19 dan awal abad ke-20 (1831-1915), kebanyakannya bermotif tidak puas hati terhadap campur tangan Inggeris dalam semua urusan negeri terutamanya melalui Sistem Residen. Sistem ini menyebabkan pembesar tempatan dan juga Sultan hilang kuasa tradisi mereka. Antara tokoh-tokoh pejuang yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said di Naning, Dato’ Shah Bandar dan Yamtuan Tuanku Antah di Negeri Sembilan, Raja Mahadi di Selangor, Dato’ Sagor, Pandak Induk/Lam, dan Seputum di Perak, Dato Bahaman, Tok Gajah, dan Mat Kilau di Pahang, dan Tok Janggut di Kelantan.

Di Terengganu pula Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh Al-Aidrus telah bangun menentang Inggeris manakala di Sarawak pula ramai pejuang berasaskan kaum seperti Rentap (Iban), Sharif Masahor, Datu Patinggi Abdul Gapur, Banting (Iban), dan Penghulu Asun (Dayak). Pejuang-pejuang ini memberontak untuk menjaga kepentingan dan memelihara kehidupan tradisi kaum masing-masing. Situasi yang sama berlaku di Sabah apabila muncul Mat Salleh (Bajau) dan Antanum (Murut) yang telah memberontak pada Februari 1915.

Era Pra Kemerdekaan
Perjuangan era pra kemerdekaan boleh dibahagi mengikut tahap-tahap tertentu seperti tahap keagamaan, tahap sosioekonomi dan tahap politik. Dalam era ini, perjuangan mula dipelopori oleh golongan yang berpendidikan keagamaan, Inggeris dan juga Melayu (Maktab Perguruan Sultan Idris). Perjuangan golongan ini mula menunjukkan bibit-bibit perjuangan menuntut kemerdekaan.

Antara tokoh yang hebat berjuang ialah Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Al-Hadi yang berjuang melalui Kaum Muda. Mereka menggunakan majalah dan akhbar seperti Al-Imam, Al-Ikhwan, Saudara dan Neracha untuk menyebarkan ideologi dan juga menyalurkan kritikan mereka kepada kerajaan Inggeris. Pejuang-pejuang ini memperjuangkan konsep Pan-Islam iaitu membebaskan Islam daripada fahaman kuno. Bagi golongan yang lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris dan golongan elit Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris pula, mereka berjuang untuk memulihkan sosioekonomi orang Melayu. Antara tokoh yang terlibat ialah Mohammad Eunos Abdullah, Syed Alwi, dan S.M. Zainal Abidin. Ibrahim Hj. Yaakob dan Ishak Hj. Mohammad pula memperjuangkan konsep ‘Tanah Melayu Untuk Orang Melayu’. Antara persatuan Melayu yang kuat berjuang ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) 1938. Akhbar Warta Malaya dan Majlis merupakan wadah mereka menyebarkan idea perjuangan.

Era Nasionalisme
Selepas Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajahan Jepun, Inggeris yang datang semua ke Tanah Melayu telah memperkenalkan Malayan Union yang merupakan titik tolak kepada penentangan besar-besaran penduduk Tanah Melayu. Perjuangan dalam era ini benar-benar bermatlamatkan kemerdekaan kerana telah mula wujud penyatuan antara semua jenis perjuangan sebelum ini. Salah seorang pejuang kemerdekaan yang banyak berjasa dalam proses mendapatkan kemerdekaan ialah Dato’ Onn bin Jaafar. Di bawah pimpinannya, UMNO telah berjaya membubarkan hasrat British untuk memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu dan telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Tunku Abdul Rahman pula telah berjaya menyatukan tiga parti utama iaitu UMNO, MCA dan MIC menjadi Parti Perikatan. Parti ini akhirnya telah berjaya dalam perundingan di London pada tahun 1956 dan mendapat janji Baginda Queen untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu menjelang 31 Ogos 1957.

31 Ogos 1957 : Lahirnya Sebuah Negara Yang Merdeka dan Berdaulat
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1956. Bertempat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, pengisytiharan kemerdekaan ini dibaca di hadapan Raja-Raja Melayu dengan disaksikan oleh 20,000 rakyat tempatan, 26 perwakilan asing serta 21 tetamu khas. Selepas membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tunku mengangkat tangan dan melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat. Majlis diteruskan dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh Angkatan Tentera Laut diiringi lagu kebangsaan “Negaraku’ dan bedilan meriam sebanyak 101 das. Acara penuh emosi ini diberkati dengan laungan azan sebagai tanda kesyukuran berakhirnya sebuah penderitaan yang panjang. Peristiwa ini juga menandakan lahirnya sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

1Malaysia, Satu Kesinambungan
1Malaysia berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip ini sebenarnya merupakan resipi utama yang digunakan oleh semua pemimpin Malaysia dalam usaha pembangunan dan keselamatan negara. Dalam setiap dasar yang diperkenalkan, elemen perpaduan tetap diselitkan bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman damai. Sejarah telah membuktikan bahawa penggabungan ketiga-tiga prinsip telah memberi kejayaan yang besar. Antara yang jelas ialah dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan, pemberian taraf kewarganegaraan dan kesepakatan dalam Parti Perikatan.

Resipi tiga prinsip ini juga sudah terbukti berjaya membawa Tanah Melayu mengecap kemerdekaan setelah berada di bawah penjajah selama 446 tahun. Ia juga membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia memberi satu penyelesaian yang baik bagi sebarang pertikaian yang melibatkan perpaduan kaum. Kini, 1Malaysia diangkat menjadi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan negara dan rakyat pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan.

Pemimpin Silih Berganti, MERDEKA Kekal Abadi

Tunku Abdul Rahman
Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman merupakan individu yang bertanggungjawab merealisasikan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan negara Malaysia. Tunku juga telah merancang pembangunan negara dengan memperkenalkan Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961-1965). Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Rancangan Malaya telah dikenali sebagai Rancangan Malaysia. Di bawah kepimpinan Tunku, telah dijalankan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Tunku juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang berjuang dalam pembangunan Islam di Malaysia. Tunku seorang idealis yang memperjuangkan kebebasan dan demokrasi, kemanusiaan, dan Tunku juga berminat dalam pembangunan sukan dan rekreasi serta seni dan budaya.

Tun Abdul Razak
Tun Abdul Razak merupakan satu nama besar dalam sejarah pembangunan negara sehingga diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan. Dengan kebijaksanaannya, beliau telah berjaya memulihkan keamanan Malaysia dengan usaha pembangunan yang menyeluruh dan mengambil kira struktur masyarakat yang berbilang kaum. Beliau telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (1971), Program Buku Hijau (1974), penubuhan PETRONAS (1974) dan semasa kepimpinannya, Malaysia berada dalam rancangan Malaysia Kedua (1970-1975). Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Rukun Negara sebagai usaha menyatupadukan penduduk Malaysia di bawah satu prinsip yang dipegang bersama. Sumbangan lain yang tidak kurang pentingnya ialah merombak sistem pendidikan dan menjana pembangunan ekonomi terutamanya kepada penduduk luar bandar melalui FELDA dan FELCRA.

Tun Hussein Onn
Tun Hussein Onn merupakan pemimpin yang amat menekankan isu-isu perpaduan dalam mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum. Bapa Perpaduan ini telah menggunakan elemen Bahasa Melayu sebagai aset perpaduan tanpa mengira kaum dan agama. Beliau telah meneruskan perjuangan dari sudut pembangunan dengan memperkukuhkan beberapa agensi seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Institut Pentadbiran Awam Negara (INTAN), Amanah Saham Nasional (ASN) dan rancangan pembangunan Malaysia ketika di bawah pimpinannya ialah Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980).

Tun Dr. Mahathir Mohamad
Anak kelahiran Alor Setar Kedah ini merupakan Perdana Menteri paling lama mentadbir negara. Jadi tidak hairanlah kalau banyak pembangunan yang diusahakannya dan layaklah beliau digelar sebagai Bapa Pemodenan. Tun Dr. Mahathir bertanggungjawab membangunkan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985) sehingga Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005). Beliau juga telah memperkenalkan pelbagai dasar seperti Dasar Pandang Ke Timur (1982), Dasar 70 Juta Penduduk (1982), dan Dasar Penswastaan (1983). Di bawah pimpinan beliau, Malaysia gah di mata dunia dengan pelancaran kereta nasional pertama (1985), pelancaran sistem satelit MEASAT (1996), pembinaan Menara Kuala Lumpur (1996), Menara Berkembar Petronas (1999), KLIA (1998), dan pelancaran mikrosatelit TIUNGSAT 1 (2000). Pusat pentadbiran kerajaan di Kuala Lumpur juga telah dipindahkan ke Putrajaya pada 1999. Terlalu banyak jasa beliau yang boleh digalurkan namun buah tangan yang masih menjadi matlamat negara sehingga ke hari ini ialah Wawasan 2020 yang menjadi matlamat seluruh rakyat Malaysia untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju dalam acuannya sendiri menjelang tahun 2020.

Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
Tun Abdullah merupakan seorang pemimpin yang terkenal dengan sikap mesra dan lemah lembut. Di bawah pimpinannya, Malaysia berada di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (2005-2009). Beliau telah memperkenalkan rancangan pembangunan mengikut wilayah iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Pembangunan Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Timur (ECER), Wilayah Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE). Tun Abdullah juga telah memperkenalkan Islam Hadhari, Pelan Integriti Nasional (PIN), Modal Insan Kelas Pertama, memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan di bawah pimpinannya, rakyat Malaysia pertama telah berada di angkasa lepas iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszapfar Shukor yang dinobatkan sebagai angkasawan pertama Malaysia (2007).

Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak
Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak mengikut jejak langkah ayahnya menjadi seorang pemimpin yang disegani ramai. Sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009, Beliau telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Dato’ Sri Mohd. Najib begitu komited untuk membawa transformasi dalam pentadbiran kerajaan Malaysia. Beliau telah memperkenalkan Liberalisasi Sektor Perkhidmatan, Liberalisasi Sektor Kewangan, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), dan Program Transformasi Kerajaan (PTK).

Tiada ulasan: