26.8.10

“Saya Tidak Gemar Menonjolkan Kejayaan Sebagai Individu…” – YB. P. Kamalanathan



Perjuangan Politik
Sebelum Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, barangkali ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak mengenali siapa itu P. Kamalanathan. Namun, selepas dinobatkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada 15 April 2010, nama beliau mula menjadi sebutan. Namanya mula mengisi dada akhbar-akhbar tempatan. Daripada seorang yang hanya dikenali sebagai Pegawai Perhubungan Awam, beliau diangkat sebagai seorang ‘pejuang’ yang akan menentukan menang kalahnya perjuangan BN di Hulu Selangor.

Percaturan BN mencalonkan nama beliau, nampaknya merupakan satu percaturan yang tepat. Beliau telah menang dengan majoriti 1,725 apabila memperoleh 24,997 undi berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang mendapat undi sebanyak 23,272. Apabila ditanya tentang kemenangannya dalam pilihan raya kecil tersebut, beliau menyatakan bahawa kemenangannya di Hulu Selangor tidak ada kena mengena dengan P. Kamalanathan. Dia hanyalah ‘askar’ yang diberi tanggungjawab untuk membawa kejayaan kepada perjuangan BN. “Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin dengan seikhlas hati tanpa meletakkan apa-apa balasan. Itulah falsafah saya dalam bidang politik. Saya tidak gemar menonjolkan kejayaan sebagai individu tetapi kejayaan ini adalah kejayaan Parti BN di bawah pimpinan YAB. Dato’ Sri Mohd. Najib, Perdana Menteri Malaysia. Saya juga tidak suka menonjolkan kelemahan orang-orang di sekeliling saya tetapi saya lebih gemar menonjolkan kekuatan mereka. Selain itu saya juga tidak suka kepada orang yang ‘tikam belakang’. Kita tidak perlu ‘menikam daripada belakang’ untuk berjaya dalam politik agar takrifan politik tidak disalah erti sebagai sesuatu yang kotor”. Begitu lancar sekali Yang Berhormat Hulu Selangor ini mengutarakan pendirian politiknya.

Idola
Setelah diwartakan sebagai Ahli Parlimen pada 6 Jun 2010, beliau menyatakan bahawa beliau masih dalam proses pengubahsuaian daripada kehidupan lama kepada kehidupan sebagai seorang Yang Berhormat. Beliau masih belum berkesempatan menjalankan sepenuhnya tugas-tugas beliau sebagai wakil rakyat akibat kekangan waktu. Jadualnya kini padat dengan menghadiri Sidang Parlimen dan beliau hanya berkesempatan menjalankan beberapa lawatan selepas pilihanraya terutamanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Baginya kejayaan dalam pilihan raya tersebut adalah disebabkan Tuhan banyak mendengar rintihannya. Kejayaannya juga adalah berkat sokongan isterinya S. Shobana, ibu dan bapanya, adik-beradik dan juga rakan-rakannya. Idola beliau dalam berpolitik ialah Presiden MIC, Dato’ Seri Samy Vellu, Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri sekarang, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Nelson Mandela, Mahatma Gandhi dan juga Kamal Antartuk. Walaupun ramai tokoh yang menjadi idolanya, beliau berhasrat untuk mengutip segala perbuatan baik pemimpin-pemimpin ini agar beliau turut menjadi seorang pemimpin yang berkaliber lagi disegani.

Asal Usul
Beliau dilahirkan di Sentul Pasar tetapi dibesarkan di Rawang. Sebagai anak kepada seorang buruh kilang simen, beliau bukan dari golongan yang berharta. Seawal usia 18 tahun lagi, beliau telah bekerja sebagai kerani di tempat kerja bapanya. Pada usia itu, beliau mula berjinak-jinak dengan politik dan menjadi ahli MIC mengikut jejak ayahnya. Kesusahan hidup semasa berpindah dari Sentul ke Rawang banyak mengajarnya erti kehidupan. Bapanya hanya mampu menyewa sebuah bilik untuk mereka sekeluarga sebelum diberi rumah oleh kilang terbabit. Keperitan hidup ini menyebabkan beliau menjadi anak yang tabah sehingga sanggup mencari perbelanjaan sendiri untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah. Hal ini dilakukan bagi memberi peluang kepada dua lagi adiknya meneruskan pelajaran. Beliau akhirnya berjaya mendapat ijazah dalam bidang komunikasi dan berpeluang menjawat jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Syarikat Serba Wangi Sdn. Bhd.

Perhubungan Awam
Pengalamannya sebagai Pegawai Perhubungan Awam (PRO) banyak membantu beliau berdampingan dengan masyarakat seterusnya menyelami permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Ilmu itu juga turut menyumbang kepada kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor. Baginya ilmu perhubungan awam bukan sahaja membentuk dirinya menjadi individu yang mempunyai keyakinan dalam berkomunikasi tetapi sebagai ahli politik, beliau menyedari bahawa ilmu tersebut amat berguna kepada perjuangannya tidak semata-mata terbatas kepada kaum India tetapi turut melangkaui kaum-kaum lain di Hulu Selangor.

Berdasarkan pemerhatiannya, satu ketika dahulu hubungan antara kaum sangat erat sehingga dalam satu-satu majlis kenduri kahwin misalnya, semua kaum boleh dilihat bekerjasama menjayakan majlis tersebut. Namun, fenomena itu sudah jarang-jarang kelihatan dalam kehidupan masyarakat Malaysia pada hari ini. Justeru itu, beliau berpandangan bahawa 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib adalah tepat pada waktunya.

1Malaysia
Beliau mengakui bahawa 1Malaysia memang sudah lama diamalkan oleh pemimpin terdahulu khususnya pada zaman Tunku Abdul Rahman. Jika disoroti daripada segi sejarah kemerdekaan, kerjasama antara tiga kaum ini telah membuahkan kejayaan. Rombongan Tunku Abdul Rahman bersama V.T Sambanthan dan Tan Cheng Lok, telah berjaya menandatangani Perjanjian London pada 8 Februari 1956 dan mendapatkan janji Baginda Queen untuk memberi taraf kerajaan sendiri pada 31 Ogos 1957. Perjanjian London yang ini juga bermakna gabungan ketiga-tiga kaum ini telah berjaya dalam usaha memerdekakan tanah air dan membentuk Perlembagaan negara yang tersendiri. Pada pendapatnya, tidak ada mana-mana kaum di Malaysia harus mempertikaikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini disebabkan semuanya sudah dipersetujui dan dirundingkan oleh pemimpin terdahulu bagi menjaga keharmonian penduduk Tanah Melayu yang berbilang kaum.

1Malaysia baginya bukan memperjuangkan “equality” tetapi lebih kepada “Unity”. Malaysia dikatakan bertuah kerana mempunyai lagu Negaraku dan juga Rukun Negara. Jika diperhatikan secara teliti, kedua-dua komponen ini sangat unik kerana tidak ada satu perkataan pun yang merujuk kepada kaum Melayu, Cina, India mahupun kaum bumiputera yang lain. Oleh itu, kedua-dua elemen ini mampu untuk mewujudkan perpaduan yang utuh antara kaum-kaum yang terdapat di Malaysia.

Begitulah serba sedikit pandangan dan pendapat YB. P. Kamalanathan dalam pertemuan di lobi Parlimen baru-baru ini. Kepetahannya berbicara pelbagai isu menyerlahkan lagi daya kepimpinannya. Sikapnya yang merendah diri dan berpegang teguh kepada ajaran agama membuktikan mengapa calon ini mampu mencapai kemenangan berbanding calon yang lain. Selagi beliau menyedari bahawa apa yang berlaku adalah atas urusan tuhan, P. Kamalanathan akan terus menjadi pemimpin yang dihormati lagi disegani.

1 ulasan:

Novinthen berkata...

Good article! Thanks you!