26.8.10

DATO’ SITI RAHMAH BINTI HAJI KASSIM




Bersua muka dengan Ybhg. Dato’ Siti Rahmah Binti Kassim merupakan satu pengalaman yang menarik. Ternyata, dalam usia yang mencecah 84 tahun, beliau masih dapat mengingati dengan baik kisah perjuangannya dalam UMNO dan pengalaman-pengalaman menarik sepanjang hidupnya. Dari kisah hidupnya di bawah pemerintahan Inggeris, sehinggalah zaman selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, semuanya masih segar dalam ingatannya. Dari cara pertuturannya tergambar semangat seorang wanita yang utuh dan teguh. Di sepanjang sesi temubual dengannya, perkataan yang sering diulang-ulang ialah “aku akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Selagi kesihatan mengizinkan”. Jadi tidak hairanlah kalau wanita kelahiran Kg. Batu Hampar, Rembau Negeri Sembilan ini masih sihat dan masih aktif dalam kerja-kerja sosial.

Satu lagi ungkapan yang sering diulang-ulang oleh tokoh ini ialah “Berjuang demi agama, bangsa, dan negara”. Semangat juangnya sangat hebat dan dipupuk sejak dalam pengajiannya di Madrasah Al- Huda, Pulau Pinang. Ketika itu, beliau terpengaruh dengan perjuangan pembebasan Indonesia kerana guru yang mengajarnya datang dari Indonesia. Beliau yang dilahirkan pada 30 November 1926 telah mendapat pendidikan sehingga menengah 4 Thanawi. Dalam persekitaran yang tidak memberangsangkan pergerakan penyebaran ilmu khususnya kepada golongan wanita, beliau bangkit sebagai seorang ustazah yang mengajar ilmu agama di Sekolah Perempuan Terentang, Rembau, Negeri Sembilan.

Kisah perjuangannya bermula ketika zaman penjajahan Jepun. Beliau telah menceritakan ‘kisah di pohon rumbia’. Kisah ini timbul kerana pada zaman Jepun, beliau terpaksa ‘berkampung’ di pohon rumbia berkenaan untuk menjaga keselamatannya. Ayahnya seorang pegawai kastam telah membekalkan beliau dengan buku-buku bacaan untuk menghilangkan kebosanan. Di pohon rumbia itulah, Ybhg. Dato’ telah memikirkan persoalan “kenapa aku mesti berada di pohon rumbia sedangkan aku ada rumah? Aku menjadi pelarian di negara sendiri”. Jawapan bagi persoalan yang timbul itu hanya satu. Tiada kerajaan yang adil, tiada kerajaan yang tidak bertanggungjawab. Dari jawapan itulah timbulnya semangat yang berkobar-kobar agar Tanah Melayu ditadbir oleh anak tempatan supaya mereka mampu menjadi kerajaan yang baik dan bertanggungjawab.

Dari ‘kisah di rumpun rumbia’ beliau beralih ke kisah pada zaman komunis. Beliau menjadi saksi kepada kekejaman yang dilakukan oleh komunis di kampungnya. Dalam satu peristiwa, seorang lelaki telah bersuara dengan lantang dengan menyatakan bahawa jika Melayu bersatu, bukan sahaja komunis berjaya di kalahkan malah semua penjajah mampu dihalau dari Tanah Melayu. Tidak sampai dua jam, tali barut komunis telah mengadu kepada komunis dan menyebabkan lelaki berkenaan telah ditangkap dan diikat di batang pokok manggis berhampiran rumah beliau. “Ditelanjangkannya orang itu dan kemudian dikelar-kelar. Darah memancut keluar. Lelaki itu yang tidak tahan sakit menjerit, tembak! tembak! tak tahan ni….. masa tu, satu kampung menangis tapi tak siapa berani membantu”, ceritanya dengan penuh emosi. Melihat peristiwa kejam itu di depan mata telah membuatkan hati dan perasaan beliau semakin berkobar-kobar untuk berjuang demi bangsa, agama dan negara.

Menerusi Persatuan Melayu Negeri Sembilan, beliau merupakan satu-satunya ahli wanita telah bergerak untuk memberi kesedaran perlunya perjuangan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam banyak keadaan, golongan wanita baginya adalah golongan yang paling menderita. Selagi negara tidak aman dan makmur, selama itulah wanita menjadi mangsa. Oleh itu, dia bertekad untuk berjuang bersama-sama dengan kaum lelaki membebaskan Tanah Melayu dari penjajah bersama-sama pimpinan Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj.

Satu lagi kisah yang sempat diceritakan dalam perjuangannya membebaskan Tanah Melayu ialah kisah sewaktu Tunku ingin mengadakan rundingan ke London. Dalam satu mesyuarat yang dihadirinya, Tunku telah berkata, “Nak pi (pergi) macam mana. Duit pun tak dak (tiada)”. Dengan semangat yang berkobar-kobar, beliau yang duduk di barisan hadapan telah bangun dan berkata, “Minta maaf Tunku, patik wakil golongan kaum ibu ingin menyumbangkan gelang kesayangan patik untuk Tunku pergi ke London dan patik juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada seluruh kaum ibu di dewan ini untuk menyumbangkan apa sahaja yang ada untuk pembiayaan Tunku ke London”.

Seruannya itu telah mendapat pujian daripada Tunku dan semua kaum ibu di dewan itu telah menyahut seruan tersebut dengan menyumbang pelbagai barang yang berharga milik mereka sehingga kain gendongan yang dibawanya mengelilingi dewan penuh. Malah yang lebih menyentuh perasaan ialah seorang rakannya yang bernama Habsah Binti Mohd Yatim sanggup menyumbang kerongsang yang dipakai di baju kebayanya. Beliau yang melihat kawannya itu memegang bajunya dengan tangan untuk mengelakkan kebayanya dari terbuka telah bertanya kenapa dan dijawab bahawa kerongsang yang digunakan telah dihadiahkan kepada Tunku untuk perjuangan. Begitu menyentuh perasaan, malah beliau sendiri mengalirkan air mata mengenangkan kisah itu.

Perjuangan ibu kepada enam orang anak ini sebenarnya mendapat sokongan padu daripada suaminya Allahyarham Ustaz Mohd Majzub Bin Hj Yunus. Baginya perjuangan sentiasa berhadapan dengan cabaran. Antara cabaran yang dihadapinya ialah beliau pernah digelar ‘betina’ dan dengan selambanya beliau menjawab “Dewan Bahasa dan Pustaka telah lama ditubuhkan. Tidakkah tuan tahu bahasa. Saya bukan betina. Tuan boleh gelar saya kaum ibu, suri rumah, isteri, wanita atau perempuan”. Beliau juga pernah diugut akan dipenjarakan oleh Inggeris. Namun, yang terfikir di benak fikirannya ialah “jika dek sebab perjuangan ini nyawaku melayang, aku rela”. Begitulah kuatnya semangat juang Ybhg. Dato.

Menyentuh mengenai perpaduan. Beliau mengibaratkan perpaduan pada waktu itu seumpama “Pipih boleh dilayang, Bulat boleh digolekkan”. Kaum Cina dan India pada satu ketika terpanggil untuk menyertai Parti Perikatan dan turut berjuang bersama-sama bangsa Melayu demi memerdekakan negara setelah begitu lama berada di bawah kuasa penjajah. Di bawah penjajah, penduduk tempatan tidak mempunyai sebarang hak dan inilah yang membakar semangat mereka untuk terus berjuang memerdekakan tanah air.

Bagi Ybhg. Dato’, di zaman penjajah, masyarakat Melayu hanya memegang jawatan kecil di pejabat-pejabat kerajaan, menjadi guru-guru di sekolah-sekolah dan tahap pengajian yang paling tinggi hanyalah sampai darjah tujuh. Pemerintah Inggeris melayan orang Melayu sebagai bayi di buaian. Didodoi dan di dendang agar terus lena dibuai mimpi. Oleh itu dia merasa bertanggungjawab untuk menyedarkan mereka khususnya dalam pilihan raya 1955 bagi memastikan Parti Perikatan menang besar dan seterusnya mendapat kepercayaan Inggeris bahawa Tanah Melayu telah bersedia untuk berkerajaan sendiri dan merdeka daripada jajahan Inggeris.

Hari ini menerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan, beliau yang memegang jawatan Pengerusi Tetap, meneruskan baktinya kepada masyarakat. Selain itu, beliau turut terlibat dengan pertubuhan NGO’s lain seperti Koperasi Kaum Ibu Rembau Utara Berhad, Rumah Orang Tua Seri Kenangan, Seremban, Persatuan Ibu Tunggal Malaysia dan banyak lagi. Jadi tidak hairanlah kalau beliau pernah mendapat anugerah sebagai Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau, dan Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

[url=http://www.invisalignsydney.com]Invisalign Sydney[/url]
[url=http://www.lookwhosblogging.com]Gourmet Food[/url]
[url=http://www.sydneycitydental.com.au]Cosmetic Dentist Sydney[/url]

Tanpa Nama berkata...

Good Day people, great message board I have found It truly useful and it's helped me out a lot
I hope to be able to give something back & help other users like this website has helped me

_________________
[url=http://iphoneusers.com]unlock iphone[/url]

Tanpa Nama berkata...

thanks for this tips