3.8.10

MODENISASI, STRUKTURAL SEKTOR PERKHIDMATAN AWAM

Pada 28 April 2009, Perdana Menteri Malaysia dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke- 10 (MAPPA X) telah menggariskan empat anjakan paradigma modenisasi yang perlu dilaksanakan oleh sektor perkhidmatan awam bagi mencapai kejayaan pada alaf baru. Anjakan itu perlu dilakukan dengan menggabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan. Jentera pentadbiran sektor awam perlu memahami dan berupaya menyelami keluh kesah sebenar kehidupan rakyat. Langkah ini penting dalam memastikan negara dapat keluar daripada kemelut ekonomi sedia ada dengan kadar paling pantas. Anjakan paradigma tersebut ialah :-

• Perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan daripada ketegaran kepada keanjalan.
Anggota perkhidmatan awam seharusnya sedar bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mana kerajaan mempunyai saham yang dikutip dalam bentuk cukai korporat. Keanjalan ini penting dengan sektor awam bertindak sebagai pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam.

• Sektor awam juga perlu beralih daripada budaya out put dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik.
Sebagai contohnya, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk soal kebajikan dan moral pelajar.

• Anjakan ketiga pula ialah perubahan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang menyenangkan rakyat.
Walaupun menyedari bahawa sistem birokrasi sedia ada mampu membawa Malaysia mencapai tahap hari ini namun kerajaan juga menyedari bahawa anjakan paradigma perlu bagi memberi perubahan dan menyenangkan rakyat. Perubahan ini juga perlu memandangkan banyak rungutan terhadap perkhidmatan terutamanya di kaunter-kaunter yang lewat memproses sesuatu seperti pasport yang dahulunya mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan tetapi hakikatnya dengan kecanggihan teknologi hari ini perkara tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

• Sektor awam perlu beralih daripada hanya menekankan soal produktiviti kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.
Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok manakala jika digabungkan produktiviti dengan inovasi dan kreativiti, ia akan memberi penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap). Gabungan ini juga mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia.
Perdana Menteri turut mengutarakan beberapa cadangan dalam usaha memantakan lagi sektor perkhidmatan awam. cadangan-cadangan tersebut ialah :-
• Jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.
• Satu dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.
• Mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat seperti yang diamalkan oleh Petronas, permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap sehingga mampu menjadikan mereka organisasi yang hebat.

Tiada ulasan: