1.9.10

PELAN INTEGRITI NASIONAL

Usaha Memantapkan Nilai Etika Dan Integriti

Hasrat untuk melahirkan modal insan yang mempunyai “Minda Kelas Pertama” sememangnya menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Sehubungan itu, usaha ini telah dipertingkatkan oleh Tun Abdullah melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) di mana agenda integriti telah di gerakkan dengan melibatkan perancangan menyeluruh oleh semua sektor secara bersepadu. Penggubalan Pelan Integriti Nasional yang merupakan satu pelan induk telah mengambil kira strategi dan hala tuju semua sektor masyarakat supaya mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti.

Tun Abdullah telah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004 di Putrajaya. PIN merupakan pelan jangka panjang yang menyeluruh, lahir daripada aspirasi rakyat dan pemimpin berdasarkan Cabaran Keempat Wawasan 2020 iaitu untuk “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”. Serentak dengan pelancaran PIN, Kerajaan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai agensi penyelaras dan pemantauan pelaksanaan PIN. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM merupakan pendorong utama ke arah usaha dan pencapaian agenda integriti negara.

“Gerakan pemantapan integriti yang dipacu oleh Pelan Integriti Nasional (PIN dan dikoordinasi oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Ia sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Pelancaran PIN dan penubuhan Institut ini akan menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini akan membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG”.

Pada tahun 2008, pelaksanaan PIN telah diperhebat dengan lahirnya misi TEKAD 2008. Lima sasaran keutamaan TEKAD 2008 bagi pelaksanaan PIN ialah:
• mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan,
• meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi,
• meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan,
• memantapkan institusi keluarga dan komuniti, dan
• meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Akademi Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga telah ditubuhkan iaitu yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik bagi membuktikan kesungguhan Malaysia membanteras rasuah. Kewujudan akademi ini membawa makna besar kepada usaha berterusan negara menangani masalah rasuah secara serius. Dengan adanya akademi ini, ia turut melengkapkan matlamat penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tiada ulasan: