26.8.10

Banci Penduduk dan Perumahan 2010: Penggerak Wawasan Negara

Setiap sepuluh tahun sekali, penduduk di negara ini akan dikunjungi oleh pegawai bertauliah bagi melaksanakan proses banci. Bermula 6 Julai hingga 22 Ogos 2010, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia diadakan dengan tujuan mendapatkan maklumat dan data mengenai kependudukan. Hasil banci akan digunakan dalam merancang projek-projek pembangunan sosioekonomi rakyat negara ini. Selain itu, ianya turut dijadikan sebagai medium dalam menilai perkembangan, perubahan penduduk sesebuah negeri atau kawasan terutama yang berkaitan dengan taburan penduduk, struktur umur/jantina, migrasi, pendidikan, pekerjaan dan perbandaran.

Menyentuh kepada pelaksanaan pembancian, bancian meliputi semua kawasan di seluruh Malaysia dan ini bermakna, kesemua penduduk sama ada warganegara atau bukan warganegara yang telah atau akan tinggal di Malaysia dalam tempoh enam bulan atau lebih pada tahun 2010 akan dibanci. Justeru itu, kunjungan pembanci bertauliah perlu dilayan sebaik mungkin kerana segala maklumat yang disampaikan adalah sulit serta dirahsiakan. Arahan agar semua penduduk Malaysia memberi kerjasama dalam kerja-kerja pembancian ini terkandung dalam Akta Banci 1960 yang disemak semula pada tahun 1969 yang mewajibkan orang awam menjawab semua soalan yang diajukan oleh pembanci.

Bersesuaian dengan persekitaran yang memerlukan kaedah yang telus dan licin, buat pertama kalinya, tiga kaedah pengumpulan maklumat diperkenalkan iaitu; pertama, kaedah temu ramah secara bersemuka iaitu pembanci akan berkunjung ke setiap kediaman; kedua, kaedah pengisian sendiri atau Drop-off and pick-up (DOPU) di mana pembanci akan meninggalkan (drop-off) Kit Banci untuk responden mengisi sendiri dokumen dengan selengkapnya dan pembanci akan mengambil semula (pick-up) mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak; dan ketiga, kaedah online atau e-Census yang boleh dilayari menerusi laman web Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu http://www.statistics.gov.my/. Butir-butir pengenalan (ID) akan dibekalkan dalam Kit Banci bagi membolehkan responden mengakses ke sistem e-Census.

Sementara itu, tiga kategori utama disentuh dalam pembancian iaitu penduduk di mana persoalan yang berkaitan dengan geografi, demografi dan sosial, kesuburan dan kematian, migrasi, pendidikan dan ekonomi akan dikemukakan. Kedua, isi rumah yang berkisar kepada bilangan isi rumah, ketua isi rumah, pendapatan isi rumah dan punca pendapatan isi rumah dan lain-lain ciri isi rumah. Bagi kategori terakhir iaitu tempat kediaman pula, ia merangkumi persoalan yang berkaitan dengan jenis tempat kediaman, bilangan tingkat, jumlah keseluruhan tingkat bangunan, bahan binaan dinding luar, taraf didiami, bilangan bilik, kemudahan bekalan air minuman, kemudahan bekalan elektrik, kemudahan tandas serta kemudahan kutipan sampah. Walau bagaimanapun terdapat tempat kediaman tertentu yang memerlukan pendekatan pembancian khas seperti menggunakan surat kebenaran untuk memasuki premis serta memohon bantuan pihak keselamatan seperti polis bagi tujuan tersebut.

Dalam apa jua situasi, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 merupakan satu kesinambungan antara maklumat kependudukan dan perancangan negara ke arah pencapaian dinamik yang dimanfaatkan bersama demi gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

INFO:
1. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia dijalankan 10 tahun sekali bermula 1970, 1980, 1991, 2000 dan 2010. Tahun 1990 tidak diadakan banci kerana berlakunya Pilihan Raya Umum ke-8.
2. Pelaksanaan Banci 2010 telah diluluskan oleh Kabinet dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 April 2009 dengan peruntukan sebanyak RM200.2 juta.
3. Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan jabatan yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan Banci 2010. Agensi lain yang terlibat adalah Jabatan Penerangan, Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan penjawat awam yang lain.
4. Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa Daerah bertanggungjawab untuk melantik Penyelia dan Pembanci tertakluk di bawah peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan.
5. Terdapat dua pendekatan yang digunakan dalam pelaksanaan banci iaitu pendekatan de jure dan de facto. Bagi pendekatan de jure, maklumat setiap penduduk dipungut mengikut tempat tinggal biasa mereka pada hari banci. Manakala, pendekatan de facto maklumat seseorang dihitung mengikut tempat di mana mereka berada pada hari banci.
6. Objektif utama pelaksanaan banci adalah:


i. Mengumpul maklumat perangkaan yang menyeluruh berkaitan penduduk dan perumahan negara; menyediakan maklumat yang meluas tentang (bilangan isi rumah serta ciri-ciri demografi, sosial, dan ekonomi serta bilangan tempat kediaman mengikut ciri, jenis dan kemudahan asas yang sedia ada);
ii. Menyediakan data asas penduduk dan perumahan di pelbagai peringkat geografi sehingga ke kawasan yang kecil;
iii. Mendapatkan maklumat terperinci berkaitan migrasi dalaman dan antarabangsa untuk melihat pola migrasi; asas kepada penyediaan geran daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri;
iv. Input kepada anggaran dan unjuran penduduk semasa.

Tiada ulasan: