23.8.10

Sayangi Diri, Hiasi Peribadi

Senantiasa melihat orang lain lebih baik daripada diri sendiri boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan rendah diri yang meruncing. Melihat orang lain lebih bijak, lebih cantik, lebih bahagia, lebih berjaya dan lebih serba serbi akan menjerumuskan seseorang itu kurang menghargai dirinya sendiri lantaran merasakan dirinya yang serba kekurangan.

Justeru itu, seseorang individu itu tidak sepatutnya membiarkan diri mereka terus dibelenggu perasaan sedemikian kerana ia banyak mengundang perkara yang negatif berbanding positif. Apabila kita kurang yakin akan diri sendiri, kita akan cenderung untuk melakukan sesuatu yang orang lain anggap ‘bodoh’ seperti mengambil dadah untuk tujuan berseronok dan melupakan masalah, meminum minuman keras dan yang paling teruk bagi orang yang tidak menghargai diri sendiri ialah membunuh diri!

Sepatutnya dalam diri seseorang individu itu, apabila dia merasa kurang keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri, dia menjadikan orang lain yang dibandingkannya itu sebagai sumber inspirasi. Jika dia melihat orang lain itu lebih berjaya misalnya, dia harus mengorek rahsia kejayaannya dan mencari jalan agar dia juga boleh berjaya seperti orang itu. Sifat sebeginilah yang seharusnya kita pupuk dan bukannya melayan perasaan yang sentiasa membandingkan diri dengan orang lain tanpa mengambil apa-apa tindakan untuk memperbaiki diri sendiri.

Jadi, mulai hari ini tanyalah diri kita apa kekurangan dan kelemahan yang ada dalam diri kita. Tetapi dalam masa yang sama kita terokai apa pula kekuatan dan kelebihan yang kita miliki. Letakkan sasaran yang munasabah untuk kita capai dalam hidup supaya kita tidak kecundang dalam usaha mencapainya.

Tiada ulasan: