26.8.10

Kerajaan Sendiri Untuk Persekutuan Tanah Melayu

Jabatan Penerangan Malaysia pernah menerbitkan buku ini pada 15 Februari 1956 dengan tajuk Kerajaan Sendiri Untuk Persekutuan Tanah Melayu. Kandungan buku ini merupakan laporan berkenaan Persidangan Perlembagaan di London pada 18 Januari hingga 8 Februari 1956 dan telah diterbitkan dalam versi tulisan jawi. Walau bagaimanapun bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menghayati isi kandungan laporan yang merupakan khazanah penting sejarah negara, penerbitan kali ini telah dibuat dalam versi tulisan rumi dengan tidak mengubah gaya bahasa asalnya. Kandungan buku ini berkait rapat dengan pembentukan negara yang berdaulat dan merdeka. Ia membuktikan bahawa kemerdekaan yang berjaya dikecap pada 31 Ogos 1957 merupakan hasil titik peluh pejuang-pejuang lampau yang sanggup mengetepikan soal warna kulit dan asal keturunan demi membebaskan negara daripada penjajahan. Prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial yang diperjuangkan dalam 1Malaysia, nampaknya sudah terserlah sejak awal usaha pembentukan negara lagi.

Buku ini juga membuktikan bahawa usaha pembentukan negara bukan satu kerja yang mudah. Tunku Abdul Rahman telah berjaya membuktikan bahawa perpaduan dan kesepakatan antara pemimpin-pemimpin kaum telah berjaya membawa wakil Malaysia ke meja rundingan seterusnya membuka ruang dan peluang kepada Persekutuan Tanah Melayu membentuk kerajaan sendiri. Perikatan sebagai sebuah parti politik yang mewakili semua kaum di Tanah Melayu pada masa itu telah berjaya mendapatkan janji Baginda Queen untuk memberi taraf kerajaan sendiri dalam Persidangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di London pada 8 Februari 1956. Sebagai sebuah negara yang baharu, banyak perkara patut diberi pertimbangan. Antara yang tercatat di dalam buku ini ialah mengenai pertahanan dan keselamatan dalam negeri, Penubuhan pasukan polis, hal ehwal kewangan, perkhidmatan awam, dan pembentukan Perlembagaan. Buku ini amat sesuai dijadikan panduan dan rujukan kepada semua golongan masyarakat dan generasi akan datang.

Tiada ulasan: