25.8.10

Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan (PTK)

“Saya percaya PTK satu pendekatan baru yang cukup inovatif dengan memberi tumpuan kepada enam bidang utama dan ia pasti menarik perhatian rakyat untuk lebih tahu”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad

Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan (PTK telah dilancarkan pada 28 Januari di Kuala Lumpur. Perdana Menteri mengemukakan dua sebab kenapa PTK diperkenalkan dalam ucapannya. Pertama, disebabkan oleh tuntutan memenuhi kehendak rakyat daripada kerajaan dan kedua, bagi mewujudkan kesinambungan dalam pemerintahan kerajaan yang berjuang untuk memenuhi tuntutan rakyat. Matlamat akhir yang mahu dicapai ialah Wawasan 2020 dan status negara berpendapatan tinggi.

PTK diketuai oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinet, didukung oleh Ketua Setiausaha Negara dan pegawai perkhidmatan awam yang lain. Pelan hala tuju ini telah dirangka oleh Menteri Perpaduan dan Pengurusan Prestasi serta Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Cabaran Merealisasikan Wawasan 2020
Dalam tempoh 1991-2008, ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 6.2 peratus dan menunjukkan tanda-tanda ‘perangkap pendapatan sederhana’. Oleh itu, negara perlu meningkatkan kadar pertumbuhan kepada lapan peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi mencapai status negara maju. Malaysia berpeluang untuk memperbaiki prestasi dalam aspek sosial tetapi dalam situasi fiskal yang mencabar, kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan dalam masa yang sama meningkatkan prestasi. Bagi tujuan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi, satu Model Baru Ekonomi (MBE) diperkenalkan dan bergerak seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015).

Memangkin Wawasan 2020 Melalui 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
1Malaysia adalah berdasarkan kepada konsep keadilan kepada semua. Ini bermakna tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan dan bantuan serta peluang diberikan berdasarkan keperluan dan merit. Prinsip rakyat didahulukan bermakna tumpuan diberikan kepada bidang yang sangat diperlukan dan dikehendaki rakyat dan pengagihan sumber yang terhad juga akan dilebihkan kepada bidang berkenaan. Pencapaian diutamakan merupakan tahap baru yang ditetapkan bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan. PTK telah dibahagikan kepada tiga fasa iaitu:-

Fasa 1 (2010-2012)
Objektif segera kerajaan adalah untuk menentukan satu enjin baru bagi melaksanakan perubahan dan menyampaikan keberhasilan yang besar dengan cepat kepada rakyat. Ini termasuk sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) untuk menangani perkara yang diutamakan oleh rakyat.

Fasa 2 (2012-2015)
Transformasi kerajaan akan lebih melebar dan mendalam termasuk kepada aspek kehidupan harian yang lebih baik. Struktur ekonomi negara dapat berkembang sejajar dengan Model Ekonomi Baru ke sektor yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Bagi kerajaan, produktiviti seharusnya semakin maju dan negara yang berpendapatan tinggi sudah mulai terbentuk.

Fasa 3 (2015-2020)
Dalam fasa ini, apa yang diharapkan ialah perubahan asas bagi masyarakat Malaysia seperti apa yang dibayangkan oleh Wawasan 2020. Rakyat akan mencapai tahap kemakmuran yang lebih tinggi dan kualiti perkhidmatan awam yang lebih baik. Kerajaan akan menjadi lebih kecil tetapi tangkas dan sektor swasta akan bekerja rapat dengan kerajaan bagi menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap. Pada waktu ini model yang inovatif dan berteraskan kepada pelanggan dalam penyampaian perkhidmatan awam telah terlaksana berteraskan pilihan dan persaingan.

Manfaat 1Malaysia
Manfaat 1Malaysia akan menjadi lebih signifikan bagi semua pihak yang berkepentingan. Isi rumah akan menikmati pendapatan yang lebih tinggi termasuk yang tinggal di luar bandar. Bumiputera akan menikmati manfaat kepada akses yang dipertingkatkan dan berdasarkan keperluan dan merit. Komuniti perniagaan akan mendapat laluan mudah dan telus dalam berurusan dengan kerajaan. Infrastruktur perniagaan lebih baik untuk peniaga. Di samping itu juga, pegawai kerajaan akan mendapat ganjaran dan pengiktirafan bagi prestasi cemerlang serta peluang untuk belajar dan mengaplikasikan kaedah penyampaian yang baru dan inovatif.

Malaysia telah memilih satu jalan yang unik iaitu perpaduan dalam kepelbagaian. Oleh itu kerajaan sering menyeru agar rakyatnya membina perasaan saling hormat menghormati, mementingkan sikap penerimaan, dan saling percaya mempercayai dan sikap itu telah diterapkan dalam 1Malaysia. 1Malaysia yang dibina berasaskan perlembagaan Malaysia bermatlamat menjadikan Malaysia lebih berdaya maju, lebih produktif dan berdaya saing untuk menjadi negara maju selaras dengan Wawasan 2020. Membangunkan 1Malaysia bukan satu kerja yang mudah kerana terlalu banyak faktor yang harus diambil kira. Pelaksanaannya juga tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana pertimbangan sensitiviti sesebuah kaum juga harus diambil kira. Berikut disenaraikan inisiatif di bawah 1Malaysia:-

(1) Ekonomi Dan Perpaduan Negara Di Bawah 1Malaysia
(2) Pendidikan dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia
(3) Menggalakkan interaksi sosial 1Malaysia
(4) Menguruskan polariti agama dan budaya
(5) Ke arah kerajaan 1Malaysia yang sebenarnya
(6) Menggalakkan dan mengamalkan politik 1Malaysia yang inklusif
(7) Menggalakkan media 1Malaysia yang inklusif


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

NKRA mewakili sebuah gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak rakyat dan isu jangka masa panjang yang memberi kesan kepada rakyat. Kewujudan NKRA bukan bererti bidang lain tidak akan mendapat perhatian. Bidang-bidang yang lain ini akan diliputi di peringkat Menteri dan disebut sebagai MKRA. Setiap menteri yang berkaitan akan dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan keberhasilan masing-masing. Bagi memastikan kerajaan mempunyai ukuran yang tepat dalam menentukan bidang apa yang perlu diutamakan untuk rakyat, berbilang sumber input telah dipertimbangkan termasuk undian pendapat rakyat, kaji selidik persepsi, analisis media (alternatif dan aliran perdana), dialog dengan ahli akademik dan pemimpin dari sektor awam dan sektor swasta.

Mengurangkan Jenayah
Kadar indeks jenayah pada keseluruhannya meningkat daripada 746 jenayah yang dilaporkan setiap 100,000 penduduk pada tahun 2006 kepada 767 pada tahun 2007 dan tahun 2008 – peningkatan hampir 3%. Peningkatan ini memberi gambaran betapa pentingnya isu ini kepada rakyat dan kerajaan bercadang untuk mengurangkan kadar jenayah melalui beberapa tindakan yang tertumpu kepada penyampaian tiga keberhasilan iaitu:-
· Pengurangan indeks jenayah yang dilaporkan secara menyeluruh, dengan tumpuan kepada jenayah jalanan;
· Mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan, khususnya menerusi kesukarelawanan;
· Mempertingkatkan prestasi ke seluruh sistem keadilan jenayah bagi membina keyakinan awam dan memperkukuhkan kebanggaan profesional di seluruh sistem.

Membanteras Rasuah
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di bawah Transparency International (TI) telah menurun daripada tempat 23 pada tahun 1995 kepada 56 pada tahun 2009. Kos kepada negara akibat rasuah adalah signifikan. Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) menganggarkan bahawa rasuah boleh menyebabkan kos sebanyak RM10 bilion setahun, atau 1-2% daripada KDNK. sehubungan dengan itu, kerajaan berusaha membanteras rasuah, dengan permulaan diberi fokus kepada tiga bidang yang amat terdedah kepada rasuah – badan pengawal seliaan dan penguatkuasaan, perolehan kerajaan dan rasuah besar (termasuk rasuah politik). Sasaran yang ingin dicapai adalah untuk meningkatkan skor CPI daripada 4.5 kepada 4.9 menjelang 2010 dan meningkatkan peratusan responden yang menjawab ‘berkesan’ kepada Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah daripada 28% kepada 37%. Matlamat yang ingin dicapai dalam usaha membanteras rasuah ialah :-
Meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawal seliaan dan penguatkuasaan;
Mengurangkan ketirisan dana dalam perolehan kerajaan; dan
Menangani rasuah besar.


Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar
Malaysia telah mencapai kejayaan cemerlang dalam sistem pendidikannya dalam tempoh 50 tahun yang lalu termasuk pencapaian kadar literasi dewasa sebanyak 92%, kadar penyertaan peringkat rendah yang universal, serta kadar pertumbuhan penyertaan peringkat menengah antara yang tertinggi berbanding dengan negara-negara membangun yang lain. Namun, keberhasilan pendidikan Malaysia kini telah ketinggalan berbanding negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Korea. Memperbaiki keberhasilan pendidikan adalah penting untuk membina satu tenaga kerja yang berdaya saing dan di peringkat awalan, kerajaan akan memberi tumpuan
kepada bidang-bidang berikut:
Meningkatkan kadar pendaftaran prasekolah untuk kanak-kanak 4+ dan 5+ tahun, dan mempertingkatkan kualiti sistem;
Memastikan semua kanak-kanak berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun pendidikan;
Membangunkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan mempertingkatkan prestasi semua sekolah dalam sistem; dan
Mempertingkatkan dengan ketara prestasi guru besar dan pengetua melalui pengurusan prestasi

Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isirumah Berpendapatan Rendah
Walaupun Malaysia telah mencapai kejayaan dalam jangka masa panjang dalam usaha mengurangkan kemiskinan, masih lagi terdapat lebih 200,000 isirumah yang dikategorikan sebagai miskin dan lebih daripada 40,000 isirumah dikategorikan sebagai miskin tegar. Kerajaan telah menetapkan tumpuan untuk membasmi miskin tegar pada hujung 2010 dan mengurangkan insiden kemiskinan kepada 2.8% pada
tahun 2010 (daripada 3.6% hari ini). Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan beberapa langkah untuk mempertingkatkan produktiviti isirumah berpendapatan rendah (LIH) yang tidak termasuk dalam kategori miskin atau miskin tegar. Bagi mencapai tujuan tersebut, kerajaan akan:-
Menyeragamkan takrifan kumpulan berpendapatan rendah;
Melaksanakan beberapa inisiatif berimpak tinggi dengan segera dan membuat persediaan bagi tindakan jangka panjang; dan
Meletakkan penggerak bagi memastikan penyampaian inisiatif.

Mempertingkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar
Walaupun Malaysia sudah mencapai kejayaan besar dalam penyediaan infrastruktur asas luar bandar (RBI), masih banyak lagi perlu dilakukan untuk membantu penduduk luar bandar yang mewakili 35% penduduk Malaysia. Di Sabah dan Sarawak, terdapat banyak kampung yang masih belum dihubungkan dengan jalan raya dan lebih dari satu per empat isirumah tidak ada akses kepada elektrik. Lebih 40% isirumah di Sabah dan Sarawak dan 12% isirumah di Semenanjung Malaysia masih kekurangan akses kepada air bersih dan air yang dirawat. Oleh yang demikian, kerajaan telah memulakan satu program pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan matlamatnya ialah untuk :-
• Membina lebih daripada 7,000 km jalan baru dan dinaik taraf menjelang 2012, 1,900 km daripadanya adalah di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia, ini akan menjadikan 91.4% daripada penduduk tinggal dalam lingkungan lima km dari jalan yang diturap pada 2010, meningkat kepada hampir 100% pada 2012 (sekarang ini 91%).
• Menyediakan 50,000 rumah baru dan dibaik pulih untuk penduduk miskin dan miskin tegar luar bandar menjelang 2012, dua per tiga daripadanya di Sabah dan Sarawak. Daripada 50,000 itu, lebih 16,000 rumah akan disediakan pada tahun 2010.
• Memastikan akses kepada air bersih atau air yang dirawat kepada lebih 360,000 isirumah tambahan. Untuk Sabah dan Sarawak, program ini akan meningkatkan peratusan rumah luar bandar yang mendapat akses kepada air bersih atau air yang dirawat masing-masing kepada 59% dan 62% pada 2010, meningkat kepada 90% untuk kedua-dua negeri pada 2012 (sekarang 57% untuk kedua-dua negeri).
• Menyediakan akses kepada bekalan elektrik 24 jam untuk lebih 140,000 isirumah tambahan pada 2012. Ini akan meningkatkan peratusan isirumah yang mendapat akses kepada tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak masing-masing kepada 99.6%, 81% dan 73% pada 2010 (sekarang masing-masing 99%, 77% dan 67% ).

Bagi mencapai matlamat yang tersebut, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan matlamat tersebut tercapai. Antaranya ialah :-
Menggunakan kaedah penyampaian yang inovatif, cepat dan kos terendah.
Memperbaiki proses administrasi sedia ada bagi mengurangkan masa yang diperlukan, misalnya, proses tender terbuka untuk jalan raya.
Mempermudah dan bekerja rapat dengan pembekal untuk memastikan bekalan dan kesediaan jentera yang mencukupi (misalnya, jentera pengorek, jentera pemadat), bahan (misalnya, pendawaian elektrik, pra campuran) serta sumber manusia (misalnya, kontraktor, pakar runding) apabila diperlukan.
Memastikan pengurusan program yang efektif dengan memantau projek dengan rapi.

Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar
Pengangkutan awam menjadi salah satu daripada masalah utama rakyat di bandar terutamanya di Lembah Klang. Pada masa ini, terdapat kesesakan semasa waktu puncak, perkhidmatan tidak boleh dipercayai dengan kelewatan dan pembatalan, hubungan yang kurang baik di sesetengah kawasan (misalnya, antara monorel dan stesen LRT di KL Sentral), dan kurangnya akses bagi perkhidmatan pengangkutan awam (misalnya, hanya 61% dari penduduk Lembah Klang tinggal dalam lingkungan 400 meter dari laluan bas). Permasalahan ini digabungkan pula dengan pertumbuhan berterusan dalam bilangan kenderaan persendirian, telah menyebabkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang kian menurun daripada 34% pada 1985 kepada 20% pada 1997; hari ini, peratusan ini lebih hampir kepada 10 – 12%. sehubungan dengan itu kerajaan bermatlamat untuk:
• Meningkatkan peratusan yang menggunakan pengangkutan awam kepada 13% menjelang 2010 dan kepada 25% menjelang 2012 semasa waktu puncak dari 7 pagi hingga 9 pagi di Lembah Klang. Matlamat ini kemudiannya akan dipanjangkan ke Pulau Pinang dan Johor Bahru.
• Memperbaiki masa perjalanan dan kebolehpercayaan.
• Mempertingkat keselesaan dan kemudahan.
• Mempertingkat kebolehcapaian dan kesalinghubungan supaya peratusan penduduk yang tinggal dalam lingkungan 400 meter dari laluan pengangkutan awam meningkat daripada 63% kepada 75% pada 2010.

Untuk mencapai KPI tersebut, kerajaan akan mengambil empat langkah antara 2009
dan 2012 dan tambahan satu langkah lagi selepas 2012 bagi mendapatkan dan melanjutkan penambahbaikan yang dijangkakan:
• Menyelaraskan kapasiti sistem yang sudah mencapai hadnya;
• Merangsang permintaan bagi menarik rakyat menggunakan pengangkutan awam Menghalang kenderaan berat dari memasuki Kawasan Perniagaan Pusat (CBD);
• Penyusunan semula Agensi Kawalselia; dan
• Menguruskan permintaan.

Mempertingkatkan Kebertanggungjawaban Semua Menteri
Bidang yang tidak diliputi oleh NKRA masih lagi penting dan akan terus mendapat perhatian daripada kerajaan di peringkat menteri. Bidang-bidang ini yang disebut sebagai MKRA akan menjadi KPI Menteri (MKPI) dan telah bermula dan akan terus diperhalusi dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Perdana Menteri telah membuat komitmen untuk menilai kemajuan semua menteri pada setiap enam bulan bagi memastikan prestasi mereka masih ke arah yang dihasratkan. Penilaian pertama dibuat antara bulan November 2009 dan Januari 2010. Pada 2010, adalah dijangka bahawa MKPI ini akan disebarkan ke seluruh perkhidmatan awam. Ini akan melanjutkan usaha sebelumnya untuk mewujudkan KPI bagi kakitangan awam paling kanan – daripada KSN kepada semua KSU dan Ketua Pengarah.

Tiada ulasan: