23.8.10

PEMBANGUNAN & SUMBANGAN DI BAWAH PEMERINTAHAN ABDULLAH AHMAD BADAWI

PEMBANGUNAN & SUMBANGAN DI BAWAH PEMERINTAHAN ABDULLAH AHMAD BADAWI

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)
Pada Oktober 2006, kerajaan telah mengumumkan bahawa sebuah kawasan pembangunan khas di Selatan Johor akan dibangunkan. Kawasan ini merangkumi 2,217 km persegi dan dikenali sebagai South Johor Economic Region (SJER). Kawasan ini akan dibangunkan oleh Khazanah Holdings Bhd.

Kawasan ini melibatkan kawasan perindustrian, perdagangan dan penempatan. SJER akan dijadikan sebagai agensi ‘pusat satu perhentian’ (one stop centre). Pembangunan itu merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.
SJER akan terbahagi kepada lima kawasan Flagship iaitu:
• Flagship A – Pusat Bandaraya Johor Bahru
• Flagship B – Nusajaya
• Flagship C – Gerbang Pintu Barat
• Flagship D – Gerbang Pintu Timur
• Flagship E – Senai – Skudai

DYMM Tuanku Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor, telah merasmikan SJER yang dijenama semula sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dalam satu upacara khas diDanga Bay, Johor Bahru pada 4 November 2006. Tempoh pembangunan kawasan dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) itu adalah sehingga tahun 2025 dan memerlukan kos lebih RM47 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama. WPI juga akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini.
Jambatan Kedua Pulau Pinang

Projek jambatan kedua Pulau Pinang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Parlimen akhir Mac. Jambatan bernilai RM2.7 bilion itu sepanjang 24 kilometer menghubungkan Batu Kawan di Seberang Prai dengan Batu Maung di bahagian pulau. Cadangan asal jambatan itu yang diluluskan dan diumumkan pada 2003 bertujuan mengatasi kesesakan di Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan Prai dengan Gelugur yang dibina 21 tahun lepas. Bagi projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, konsesi untuk membina, mengurus, mengendali dan menyelenggara projek berkenaan akan diserahkan kepada UEM Group kerana syarikat itu adalah pemegang konsesi Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada.

Islam Hadhari
Islam Hadhari (Arab: الإسلام الحضاري) atau "Islam yang bertamadun" merupakan teori kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan Islam dari al-Quran. Ia bukanlah agama baru, bukan ajaran baru dan bukan mazhab baru. Ia adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas fundamental menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan Tamadun Islam.Terdapat 10 prinsip dalam Islam Hadhari iaitu :-
1. Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t.
2. Kerajaan Adil dan Beramanah.
3. Rakyat Berjiwa Merdeka.
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan.
5. Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif.
6. Kehidupan Berkualiti.
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita.
8. Keutuhan Budaya dan Moral.
9. Pemeliharaan Alam Semulajadi.
10. Kekuatan Pertahanan.

Pelan Integriti Nasional
Pada 23 April 2004, Kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang merupakan pelan tindakan untuk mempertingkatkan integriti nasional melalui pendekatan yang komprehensif dan bersepadu. Sasaran utama pelan ini ialah untuk membenteras rasuah, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta meningkatkan kecekapan di segenap lapisan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan sebanyak RM 6 juta. IIM akan melaksanakan siri program pendidikan dan kesedaran PIN melalui Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan yang ditubuhkan di semua agensi kerajaan.

Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9)
Misi Nasional yang dirangka merangkumi lima teras utama iaitu :-
Teras Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara. Melalui teras ini, Kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan nilai tambah sektor ekonomi sedia ada, serta mewujudkan aktiviti berasaskan pengetahuan dan peluang pekerjaan dalam bidang ICT, bioteknologi, nanoteknologi dan perkhidmatan. Di samping itu, Kerajaan akan turut mewujudkan persekitaran kondusif bagi sektor swasta menerajui pembangunan ekonomi negara.

Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’. Kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Sejajar dengan teras ini, Kerajaan akan melaksanakan usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat pra-sekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan vokasional. Persekitaran yang menggalakkan akan diwujudkan untuk menjana lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pada masa yang sama, penekanan akan diberi kepada usaha memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.

Teras Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Kerajaan mendokong matlamat untuk membasmi kemiskinan, menjana pembangunan lebih seimbang, serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat secara adil dan saksama.

Teras keempat: Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup. Kerajaan akan terus menyediakan keperluan asas seperti air, tenaga, perumahan, pengangkutan dan kemudahan lain, namun penekanan harus diberikan kepada usaha menangani isu-isu berhubung penyenggaraan, penaiktarafan dan keberkesanan penggunaan sumber.

Teras kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara. Kejayaan perancangan terletak pada keupayaan untuk melaksana. Untuk itu, Kerajaan komited menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam di semua peringkat. Di samping itu, Kerajaan juga akan menangani isu-isu berhubung rasuah dan integriti di dalam sektor awam dan swasta, mahupun di kalangan masyarakat umum.

Dasar Bioteknologi Nasional (DBN)
Dasar Bioteknologi Nasional (DBN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 28 April lalu menyediakan garis panduan untuk mendorong pembangunan industri berkenaan di negara ini, dengan tumpuan kepada tiga bidang, pertanian, penjagaan kesihatan dan bioteknologi perindustrian, selain sembilan dasar teras.

Kerajaan juga menubuhkan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (MBC) selaku agensi setempat bagi membangunkan industri biotek negara dan BioNexus Malaysia (BioNexus), satu rangkaian pusat kecemerlangan yang dibentuk berasaskan keupayaan institusi dan syarikat sedia ada yang membuat pengkhususan di bidang tertentu bioteknologi. Menjelang 2020, industri ini dijangka menjana sebanyak RM 270 bilion dalam bentuk hasil, mewujudkan lebih 280,000 pekerjaan dan membangunkan lebih 100 buah syarikat. Terdapat 3 fasa dalam pelaksanaan dasar ini iaitu :-

• Fasa Pertama (2005-2010) - Membina Kapasiti
• Fasa kedua (2011-2015) - Sains ke Perniagaan
• Fasa Ketiga ( 2016-2020) - kehadiran di Peringkat Antarabangsa

Dasar Biofuel Nasional (DBFN)
Dasar BuoFuel Nasional pula diumumkan Perdana Menteri pada 11 Ogos 2005 bagi menggalakkan penggunaan biofuel sebagai alternatif kepada minyak diesel berasaskan petroleum atau fosil, meningkatkan aktiviti hiliran serta memperluaskan kegunaan serta penggunaan minyak kelapa sawit. Minyak campuran Biofuel B5 yang dipatenkan merupakan minyak diesel campuran 5% tapisan minyak sawit dengan 95% minyak fosil. Teknologi biofuel ini dibangunkan oleh lembaga Minyak Sawit Malaysia dan dieksport ke Amerika Syarikat, jepun, Kesatuan Eropah dan Korea.

RazakSAT, Falcon 1
Pembinaan mikrosatelit buatan Malaysia kedua, RazakSAT dan roket pelancarnya Falcon 1 telah dilancarkan dengan menggunakan 50 jurutera tempatan dan dibina oleh Astronautic Technology Sdn. Bhd (ATSB) sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan dengan kerjasama Syarikat SaTreCi Co. Ltd. Dari Korea Selatan. RazakSAT membolehkan Malaysia memantau dengan lebih baik kedudukan muka bumi termasuk apabila menghadapi kebakaran hutan dan tumpuhan minyak di lautan. Satelit ini mempunyai kemampuan pencerapan ke bumi sejauh 600km dari angkasa dan berupaya memantau sebarang penerokaan hutan secara berleluasa menerusi pengahnataran imej yang lebih kerap berbanding TiungSAT 1.

Pusat Angkasa Malaysia
Pusat ini diasaskan mengikut model Pusat Angkasa Kennady Amerika Syarikat dan telah beroperasi di Sungai lang, Banting, Selangor. Pusat yang bernilai RM 100 juta dibangunkan di atas tanah seluas 161.8 hektar milik kerajaan persekutuan. Terdapat 3 peranan utama iaitu :-
• Memantau dan mengendalikan satelit RazakSAT
• Stesen menerima maklumat berhubung dengan angkasawan sulung Negara
• Melaksanakan projek usahasama membangunkan Sistem Penempatan Global (GPS) bersama Kesatuan Eropah (EU)

Dasar Automotif Nasional (DAN)
Dasar ini diluluskan oleh jemaah menteri pada 22 Mac 2006. DAN mengandungi 6 objektif ke arah membangunkan lagi sektor automotif Negara kea rah yang lebih mapan, berdaya tahan dan berdaya maju. Obejktif DAN ialah :-

• Menggalakkan Industri automotif tempatan yang kompetatif dan berdaya tahan terutamanya pengeluar kereta nasional
• Membangunkan Malaysia sebagai pusat hab automotif serantau dalam bidang-bidang khusus.
• Menggalakkan peningkatkan nilai ditambah secara mapan serta pembinaan keupayaan tempatan
• Menggalakkan peningkatan tahap eksport kenderaan dan komponen yang kompetitif di pasaran dunia
• Menggalakkan penyertaan Bumiputera dan menyeluruh di dalam sektor automotif tempatan
• Menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.


Dasar Modal Insan
Pembangunan modal insan yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) akan dilaksanakan secara holistik. Perancangan ini merangkumi perolehan pengetahuan atau modal intelek termasuk peningkatan keupayaan keusahawanan, pengetahuan sains dan teknologi, pemupukan nilai, sikap, dan etika yang positif dan progresif melalui pendidikan, latihan, dan pembelajaran sepanjang hayat. Bina upaya akan diperkukuhkan untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovasi bagi memacu ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Penekanan kepada pembangunan modal insan yang bersifat progresif dan mempunyai nilai etika yang bersifat universal akan diperkukuhkan sejajar dengan apa yang digariskan dalam Islam Hadhari.

Teras Dasar Modal Insan
• Melaksanakan penambahbaikan secara komprehensif ke atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan.
• Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan Negara.
• Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dengan di bandar.
• Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan.
• Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan, latihan, dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat.
• Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan Sains dan Teknologi (S&T) yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan.
• Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan, dan
• Memperluas dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.

2 ulasan:

Prem Arumugam berkata...

Terima Kasih

♥ Xett Hereen ♥ berkata...

assalamualaikum Kak Ba,

Membantu sungguh info Kak Ba ni untuk pembelajaran saya !
terima kasih !