27.9.10

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

PENGENALAN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditubuhkan pada 18 Mac 2008 berikutan rombakan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-12. Ia merupakan gabungan dua buah kementerian sebelumnya iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN). Perkhidmatan KDN merangkumi pelaksanaan fungsi operasi dan perkhidmatan sokongan.

Fungsi KDN dirumuskan kepada 10 bidang utama, iaitu Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Hal Ehwal Pendaftaran, Hal Ehwal Imigresen dan Pekerja Asing, Pengurusan Pertubuhan, Pertahanan Awam, Anti Dadah, Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kawalan Filem, Pengurusan Sukarelawan serta Pemulihan dan Pelaksanaan Hukuman.

Dalam menjalankan tadbir urus tentang keselamatan negara dan ketenteraman awam, KDN pada asasnya memberi penekanan kepada tiga aspek penting, iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan. Pelanggan dan kumpulan sasar KDN bukan sahaja warga negara tetapi juga bukan warga negara, sama ada yang mendapat taraf pemastautin tetap, pas atau permit untuk bekerja atau pelancong. Malah, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) juga merupakan kumpulan sasaran KDN. Matlamat utama KDN ialah untuk memelihara dan menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertanggungjawab mendaftar peristiwa-peristiwa
penting setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian. JPN juga bertanggungjawab menentukan taraf kewarganegaraan dan seterusnya mengeluarkan dokumen identiti individu iaitu kad pengenalan berteknologi tinggi atau ‘Smart Card’ untuk memenuhi keperluan keselamatan dan pembangunan negara.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya, No 20, Persiaran Perdana, Presint 2, 62551 Putrajaya. Tel: 03-8880 7000. Faks: 03-8880 7059. Laman Web: http://www.jpn.gov.my

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bertanggungjawab dalam segala urusan pendaftaran dan pengawasan bagi semua pertubuhan berdaftar di seluruh negara. Fungsi utama Jabatan ini adalah untuk mentadbir dan menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 dan dasar-dasar mengenai pertubuhan; mengawal dan mengawasi pertubuhan supaya tidak bertentangan dengan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak negara Malaysia serta mengurus dan menyimpan rekod-rekod pendaftaran berkaitan dengan pertubuhan dan cawangan pertubuhan berdaftar.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), No. 2, Aras 2&3, Blok B, Bangunan Chancery Place, Jalan Diplomatik 2, Presint Diplomatik, 62542 Putrajaya. Tel: 03-8890 5776/8/9 Faks: 03-8889 3706/3667. Laman web: http://www.ros.gov.my

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada Warganegara Malaysia, Penduduk Tetap dan Warga Asing yang berkunjung ke Malaysia. JIM berfungsi mengeluarkan Pasport atau dokumen perjalanan kepada Warganegara dan Penduduk Tetap, mengeluarkan Visa, Pas dan Permit kepada Warganegara Asing yang memasuki Malaysia, mengawal selia keluar masuk Warganegara dan Warganegara Asing serta menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1996.

Jabatan Imigresen Malaysia, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, (Kementerian Dalam Negeri), Tingkat 1-7, (Podium) No 15, Persiaran Perdana, Presint 2, 62550 Putrajaya. Tel: 03-8880 1000. Faks: 03-8880 1200. Laman web: http://www.imi.gov.my

Polis Diraja Malaysia (PDRM)
PDRM ialah sebuah pasukan keselamatan utama negara yang beribu pejabat di Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. PDRM bertanggungjawab dari tugas am kepolisan kepada perisikan, sehinggalah ke Pasukan Gerakan Am yang menjalankan tugas-tugas ‘non-regulatory’ seperti pencegahan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin. Dasar utama PDRM adalah:
• Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman
• Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia
• Mencegah dan Mengesan Penjenayah
• Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah; dan
• Mengumpul Risikan Keselamatan.

PDRM turut dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri daripada Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, 50560 Kuala Lumpur. Tel: 03-2262 6222. Faks: 03-2273 9602. Laman web: http://www.rmp.gov.my

Jabatan Penjara Malaysia
Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab sebagai institusi penahanan dan pemulihan bagi kumpulan manusia yang bergelar “banduan/tahanan/juvana”. Penjara adalah tempat pesalah disabitkan hukuman oleh pihak mahkamah. Tugas Jabatan Penjara ialah mengawal selia dengan penuh perasaan perikemanusiaan dan membantu tahanan menjalani kehidupan yang berfaedah serta mematuhi undang-undang semasa dalam tahanan dan selepas dibebaskan.

Jabatan Penjara Malaysia, Kompleks Penjara Malaysia, 43000 Kajang, Selangor. Tel: 03-8732 8000. Faks: 03-8739 9205. Laman web: http://www.prison.gov.my

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merupakan agensi utama yang bertanggungjawab merancang dan menggerakkan jentera penyelarasan pelaksanaan membanteras gejala dadah di seluruh negara. Melalui Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004, AADK bertanggungjawab menentukan usaha-usaha memerangi ancaman dadah secara terancang, bersepadu dan terarah. AADK juga berusaha keras untuk mencegah seseorang dari terlibat dengan dadah, merawat dan memulih penagih dadah, mencegah penagihan semula, membanteras bekalan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Aras 3-7, Bangunan Two IOI Square, IOI Resort, 62502 Putrajaya. Tel: 03-8949 8400. Faks: 03-8944 1931. Laman web: http://www.adk.gov.my

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)
JPAM ialah agensi pertahanan awam yang dahulunya dikenali sebagai JPA3 atau Rescue 991. JPAM berperanan menggubal dasar-dasar yang sesuai mengenai Pertahanan Awam. JPAM juga mengelola dan menyelenggarakan Angkatan Pertahanan Awam melalui perkhidmatan sokongan dan logistik yang memadai. Di samping itu, JPAM melatih dan mendidik orang ramai mengenai Pertahanan Awam. JPAM turut mengubah dan menyusun jenis-jenis latihan yang bersesuaian mengikut keadaan semasa. Khidmat Bantuan Kecemasan dan Talian 999 di seluruh negara disediakan bagi melakukan tugasan menyelamat dan menyelia mangsa bencana dan kemalangan di seluruh negara.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kementerian Dalam Negeri, Jalan Padang Tembak, 50556 Kuala Lumpur. Tel: 03-26871300. Faks: 03-26923626. Laman web: http://www.civildefence.gov.my

Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB)
Percetakan Nasional Malaysia Berhad bertanggungjawab dalam membekalkan hasil kerja percetakan yang setara dengan permintaan dan perkembangan semasa. PNMB juga dijadikan pusat sehenti bagi memenuhi berbagai kehendak dan keperluan percetakan kerajaan selain menawarkan khidmat konsultasi, reka bentuk, pisah-warna, atur huruf, proses filem, kerja percetakan, penjilidan, kerja-kerja penyudahan, laminasi, pembungkusan dan juga penghantaran ke semua destinasi pelanggan.

Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Jalan Chan Sow Lin, 50554 Kuala Lumpur. Tel: 03-9236 6888. Faks: 03-9236 6999. Laman web: http://www.printnasional.com.my

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA)
Penubuhan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) merupakan sebuah pasukan sukarela yang membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan dan keamanan negara.
RELA berperanan untuk melaksanakan operasi menangkap PATI; memelihara keselamatan dan keamanan setempat (tugas rondaan mencegah jenayah); menjalankan aktiviti-aktiviti ‘Geraksaraf dan Perangsaraf’ ; bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan; dan menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sosio-ekonomi setempat.

Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Aras 2 & 3, Blok 3C4, 26, Boulevard, Presint 3, 62675 Putrajaya. Tel: 03-8890 5536/5537/5539. Faks: 03-8890 5540. Laman web: irela.moha.gov.my

Tiada ulasan: