1.9.10

Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Menurut Alvin Toffer, revolusi TMK/ICT boleh dikaitkan dengan “gelombang ketiga” dalam perkembangan tamadun manusia. Gelombang baru ini telah meninggalkan “gelombang pertama” - revolusi pertanian dan - “gelombang kedua” – revolusi perindustrian. Maka dakwaan yang menyatakan bahawa zaman ini merupakan zaman pasca-perindustrian adalah benar.

Definisi Teknologi

“Teknologi” berasal daripada perkataan dasar Latin “texere” yang bermaksud membentuk atau menubuhkan. Oleh itu definisi teknologi tidak semestinya terhad kepada penggunaan mesin sahaja kerana teknologi ialah corak untuk satu-satu tindakan yang bertujuan untuk mengurangkan ketidakpastian dalam perhubungan sebab dan akibat dalam usaha mencapai matlamat yang diingini. Sesuatu teknologi biasanya mempunyai aspek perkakasan yang mempunyai bahan atau objek fizikal dan aspek perisian yang mengandungi asas informasi untuk perkakasan itu. (Rodgers, 1993)

Sebuah artikel yang berjudul “Gender And Information And Communication Technology : Toward An Analytical Framework” telah mengemukakan tiga lapisan dalam usaha mendefinisikan teknologi.

1. Merujuk kepada apa yang diketahui manusia, termasuk cara menggunakan teknologi, membaiki, mereka bentuk dan melaksanakannya.
2. Merujuk kepada aktiviti pelaksanaan manusia terhadap teknologi seperti pembuatan besi dan memprogramkan komputer.
3. Merujuk kepada perkakasan atau satu set benda yang boleh dilihat secara fizikal seperti komputer dan kereta. (http://www.gn.apc.org/)

Definisi Maklumat

Maklumat telah membezakan komunikasi daripada aktiviti lain seperti berenang dan melontar batu. Semua fungsi komunikasi telah dinyatakan yang bertujuan untuk menghantar, berkongsi, atau memproses maklumat. Apa maklumat yang sebenarnya? Maklumat bukan sekadar fakta atau kebenaran, berita atau arahan, tetapi ia merupakan satu idea yang mampu mempengaruhi pemikiran manusia.

Maklumat atau informasi boleh didefinisikan sebagai corak tenaga utama yang mempengaruhi kemungkinan-kemungkinan yang ada untuk membolehkan individu membuat keputusan mereka sendiri, ia boleh dinyatakan dalam bentuk bahan (seperti dakwat pada kertas) atau dalam satu bentuk tenaga (seperti nadi elektrik). Maklumat juga boleh digantikan dengan sumber-sumber lain seperti wang atau tenaga. Oleh itu, maklumat merupakan satu yang abstrak, sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Maklumat yang dicari oleh individu daripada kebanyakan aktiviti komunikasi ialah apa-apa sahaja kandungan yang dapat membantu mereka membentuk atau mengatur sebahagian daripada aspek-aspek persekitaran yang bersesuaian. Mereka akan mencari maklumat sebanyak mungkin dengan tujuan untuk memudahkan mereka membuat sebarang keputusan dalam hidup.

Definisi Komunikasi

Komunikasi boleh didefinisikan sebagai alat yang ‘menggerakkan’ manusia. Oleh itu, komunikasi berkait rapat dengan komuniti. Tanpa komunikasi, mungkin tidak wujud komuniti seperti mana tanpa komuniti, tidak akan wujud komunikasi. Ahli sosiologi, Charles Cooley menyebut komunikasi sebagai ‘mekanisme yang melaluinya perhubungan manusia wujud dan berkembang –semua simbol minda, berserta cara penyampaiannya menerusi ruang dan lambat laun mengekalkannya. (Schramm & Porter, 1992)

Komunikasi dilakukan dengan tujuan-tujuan tertentu. Harold Lasswell, ahli sains politik dan perintis dalam pengajian komunikasi, telah menggariskan tiga fungsi utama komunikasi dijalankan iaitu :-

1. Mengawasi alam sekitar.
2. Menghubungkan bahagian-bahagian masyarakat yang berbeza agar bertindak balas terhadap persekitaran; dan
3. Memancarkan warisan masyarakat terhadap satu generasi dengan generasi yang lain.

Satu lagi makna komunikasi ialah komunikasi merujuk kepada sistem sosial yang berkongsi simbol dan makna dan ia mengikat manusia bersama dalam satu kumpulan, masyarakat, dan budaya. Walau apa pun fungsi komunikasi, yang penting komunikasi telah menjadikan maklumat sebagai inti pati kepada komunikasi tersebut. (http://www.gn.apc.orgl/)

Sebagai kesimpulan, Komunikasi boleh dikatakan sebagai merangkumi keseluruhan perkara berikut (McBride, 1980 :47)

1. Simbol/tanda atau perkataan – bahasa tidak verbal
2. Bahasa – bahasa verbal
3. Pembacaan & penulisan - Kod komunikasi manusia
4. Pos & Telefon – komunikasi interpersonal
5. Kumpulan dan media tempatan
6. media massa
7. satelit
8. komputer

Setelah ketiga-tiga komponen utama TMK/ICT didefinisikan secara berasingan di atas, kita akan melihat pula definisi tersebut setelah pembentukan perkataan yang dinamakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Definisi TMK/ICT

ICT is a convergence of technologies. ICT does not include only the internet but gamut of other tools which could be used individually or in convergence with each other to check the process of change in a manner which reduces the skew in knowledge distribution between rich and poor, educated and uneducated, rural and urban, and men and women. The convergence technologies includes community radios, internet radio, local area network, tele-centre, information kiosks, mobile phone, WAP application etc. They often enhance the reach and penetration of the ICT.

Berdasarkan petikan di atas, teknologi maklumat dan komunikasi-TMK (ICT_Information and Communication Technology) boleh didefinisikan sebagai satu set ilmu teknologi yang merangkumi alat dan sumber untuk membina, menyebar, menyimpan, membawa nilai tertentu, dan menguruskan maklumat. Teknologi ini mampu merapatkan jurang penyebaran ilmu antara yang kaya dengan yang miskin, yang berpendidikan dengan yang tidak berpendidikan, antara yang di bandar dan di luar bandar, dan di antara golongan wanita dan lelaki.

TMK/ICT merupakan satu rangkuman atau cantuman teknologi-teknologi tertentu. Cantuman-cantuman tersebut adalah seperti berikut :-

Sistem 4K
Komputer
Konduit (saluran untuk menyampaikan maklumat digital)
Kandungan
Komsumer/Pengguna (konsumer merupakan sebahagian daripada ICT kerana dalam banyak keadaan dan cara, konsumer atau pengguna bertanggungjawab membentuk sistem yang dikeluarkan. Oleh itu, konsumer juga dianggap sebagai sebahagian daripada proses reka bentuk yang penting)

Infrastruktur Telekomunikasi
Infrastruktur telekomunikasi melibatkan komponen :-
dawai
gentian (fiber optics)
tanpa wayar (wireless)
satelit

Kandungan Multimedia
Kandungan multimedia melibatkan perkara-perkara berikut seperti :-
Teks, grafik, suara, video dan lain-lain
Penerbitan, penyiaran
Periklanan dan pendidikan

Aplikasi
Antara aplikasi TMK/ICT ialah dalam :-
perniagaan
kerajaan
konteks sosial

Internet
Internet merupakan lebuh raya maklumat global prototaip dan kita boleh memahaminya dengan lebih dekat melalui idea-idea berikut:-
Interconnected network of networks (set jaringan yang kait-mengakit antara satu sama lain)
Evolusi internet
Globalisasi
Komunikasi penggunaan berdasarkan kandungan
Kumpulan berada dan kurang berada
(Tengku Azzman Sharifadeem. 1998 : 151-152)

Secara umumnya, TMK/ICT merupakan rangkuman dua bidang teknologi yang melibatkan teknologi maklumat dan teknologi komunikasi. TMK/ICT telah mencetuskan impak yang tinggi di pasaran kerana kedua-dua bidang teknologi tersebut wujud dalam sebahagian besar teknologi yang dihasilkan di pasaran. Dengan lain perkataan, kedua-dua teknologi tersebut diperlukan dalam pembangunan sebahagian besar teknologi yang ada di pasaran.

TMK/ICT telah membuka ruang dan peluang untuk menjalinkan hubungan secara lebih menyeluruh dalam pelbagai bidang dengan hampir tiada sekatan atau batasan serta menjadikan komunikasi benar-benar bersifat global. Jalinan ini membolehkan transaksi urusan dijalankan dengan lebih bijak dan efisien di samping membolehkan pertukaran maklumat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan. Perkembangan dalam dunia TMK/ICT daripada yang bersifat analog kepada yang bersifat digital membolehkan maklumat diurus, dipindah, disimpan, dan diakses dengan lebih banyak dan pantas dalam satu-satu masa.

Satu istilah yang sangat sinonim dengan dunia TMK/ICT ialah Information Superhigway (Lebuh raya maklumat) yang membawa maksud sistem perhubungan yang membenarkan perkongsian maklumat secara spontan antara komputer dengan komputer yang terletak beribu-ribu batunya antara satu sama lain. Dalam konteks ini, internet merupakan information superhighway yang paling popular (Mohamed Bin daud, 1998).

Internet yang muncul sebagai produk ICT yang paling canggih dan utama mampu mengubah ciri-ciri budaya komunikasi secara langsung. Teknologi ini yang muncul sebagai lebuh raya maklumat menjadikan dunia hari ini semakin sempit dan fenomena ini juga menyumbang kepada kewujudan “perkampungan global” (global village), atau globalisasi. Istilah ini merujuk kepada satu konsep yang memperlihatkan semua negara berada dalam satu persekitaran yang sama dari segi pertukaran dan penyebaran maklumat, pengetahuan, dan idea yang tidak mempunyai sempadan.

McLuhan seorang sarjana pengajian media dari Kanada dalam kajiannya mengenai “masyarakat elektronik” berpendapat bahawa perkembangan yang berlaku dalam dunia komunikasi akhirnya akan menghasilkan sesuatu yang dikenali sebagai “Global Village” dan “The medium as the message” dan ideanya mengenai elektronik media ialah “outered intelligence or nervous system”. (Lorimer, 1994)

Istilah “Globalisasi“ amat berkait rapat dengan dua istilah iaitu “Internationalisasi” dan Transnasionalisasi”. Globalisasi terjadi apabila wujud tiga keadaan iaitu :-
1. Aktiviti yang dijalankan melibatkan jangkauan sehingga ke peringkat global atau menghampirinya.
2. Aktiviti yang dirancang dan diatur mengambil kira skala global.
3. Aktiviti yang melibatkan pertukaran dan “penjajahan dalaman” seperti aktiviti tempatan yang boleh membentuk dan mempengaruhi kawasan yang jauh.

Walau bagaimanapun, istilah globalisasi bukan suatu yang baru. Unsur ini telah muncul pada abad ke-17, 18, dan 19 terutamanya dalam perdagangan antarabangsa. (Thomas, 1995)

Kini, masyarakat moden menampakkan sindrom kebergantungan kepada teknologi yang berasaskan maklumat untuk pelbagai urusan seperti kewangan, industri, sosial, perubatan, telekomunikasi, media, urusan perkhidmatan, pendidikan, dan sebagainya.

Sistem telekomunikasi global, rangkaian media dan perkembangan teknologi rangkaian komputer telah memberi kesan yang dramatik terhadap budaya masyarakat sekarang.

Tiada ulasan: