27.9.10

KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN (KPKK)

PENGENALAN
Sejarah awal Kementerian Penerangan bermula pada awal abad ke 20 dengan wujudnya stesen-stesen radio yang merupakan saluran komunikasi terawal di negara ini. Radio telah digunakan untuk menyebarkan dakyah dan propaganda penjajah British dan Jepun bagi mempengaruhi minda dan meraih sokongan mereka. Malayan Film Unit (MFU) melalui penerbitan filem-filem digunakan bagi melancarkan perangsaraf dan geraksaraf terhadap pengaruh komunis yang mengancam Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1945, Jabatan Perhubungan Raya ditubuhkan dan menjadi sebahagian jentera Kerajaan serta ditukar namanya ke Jabatan Perkhidmatan Penerangan (Federal Government’s Information Services) pada tahun 1950. Pada Oktober 1959, Tuan Syed Jaafar Albar telah dilantik sebagai Menteri Muda yang bertanggungjawab terhadap bidang penerangan dan penyiaran pada ketika itu.

Pada 1 Julai 1961, Kementerian Penerangan dan Penyiaran telah ditubuhkan dan diletak di bawah tanggungjawab Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan dibantu oleh seorang Menteri Muda, Encik Ismail bin Yusof. Pelancaran perkhidmatan siaran televisyen dalam bentuk hitam putih pada tahun 1963 memperlihatkan perkembangan pesat bidang penyiaran. Studio pertamanya terletak di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pada tahun 1978 siaran televisyen warna telah dilancarkan.

Perkembangan pesat dalam bidang politik, ekonomi dan sosial memperlihatkan peranan Kementerian Penerangan bertambah daripada hanya mengendalikan perkhidmatan penerangan dan penyiaran kepada penyaluran berita dalam dan luar negara melalui penyertaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri telah menyertai kementerian ini pada tahun 1981 dengan objektif untuk membangun, menggalak dan memajukan industri perfileman tempatan. Walau bagaimanapun apabila Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ditubuhkan pada tahun 2004, FINAS telah diletakkan di bawah portfolio kementerian tersebut.

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pula ditubuhkan di bawah kementerian ini pada tahun 2000 dengan tujuan untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat pelbagai kaum khususnya orang Melayu bagi memahami dan menghayati semangat kesetiaan dan cintakan negara. Kementerian Penerangan kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) merupakan sebuah kementerian yang menggabungkan tiga portfolio kementerian sebelum ini iaitu ‘PENERANGAN’ daripada Kementerian Penerangan, ‘KOMUNIKASI’ daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan ‘KEBUDAYAAN’ daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Penggabungan ini adalah berikutan dengan penstrukturan semula Kabinet selari dengan pelantikan YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Keenam pada 3 April 2009. Penstrukturan semula semua Kabinet telah diumumkan pada 9 April 2009 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Kini, kementerian ini telah dibahagi kepada 3 sektor iaitu sektor penerangan, sektor komunikasi dan juga sektor kebudayaan.

Objektif KPKK ialah:
(i) Menyebarkan maklumat mengenai falsafah, dasar dan program nasional secara berkesan bagi melahirkan masyarakat berilmu, bermaklumat dan berbudaya luhur ke arah 1Malaysia.
(ii) Membangun, menyediakan dan mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan komunikasi serta industri kandungan.
(iii) Merakyatkan seni, budaya dan warisan melalui program dan aktiviti seni dan budaya ke arah 1Malaysia.
(iv) Meningkatkan pendapatan negara melalui sumbangan industri kreatif dan komunikasi.
(v) Melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif.
JABATAN/AGENSI

A) SEKTOR PENERANGAN
Jabatan Penerangan Malaysia
Jabatan Penerangan Malaysia bertanggungjawab menterjemah dan memasarkan dasar dan agenda negara supaya difahami, disokong, dihayati dan dibudayakan oleh seluruh rakyat melalui program penerangan. Tanggungjawab Jabatan Penerangan mengendalikan kempen-kempen penerangan bermula sejak penubuhannya pada 24 September 1945. Tanggungjawab terkini jabatan ini ialah menjayakan Gagasan 1Malaysia dan membina negara bangsa berteraskan Rukun Negara.

Jabatan Penerangan Malaysia, Tingkat 7, 10, 11, 12, 14 & 15, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, 50350, Kuala Lumpur. Tel: 03-2173 4400. Faks: 03-2173 4403. Laman web: http://www.penerangan.gov.my

Jabatan Penyiaran Malaysia
Jabatan Penyiaran Malaysia berfungsi dalam menyiarkan maklumat dan program hiburan dan televisyen yang berdaya saing dengan menggunakan teknologi terkini serta menepati cita rasa penonton ke arah mencapai wawasan negara.

Jabatan Penyiaran Malaysia, Angkasapuri, 50614, Kuala Lumpur. Tel: 03-2282 5333.
Faks: 03-2282 5103. Laman web: http://www.rtm.gov.my

Jabatan Filem Negara Malaysia (FNM)
Jabatan Filem Negara bertanggungjawab menerbitkan filem dokumentari dan treler, membuat liputan filem peristiwa (arkib) serta memberi pelbagai perkhidmatan perfileman. Di samping itu, jabatan ini turut menyimpan serta memulihara bahan audio dan visual. Jabatan Filem Negara Malaysia juga bertanggungjawab dalam pelbagai urusan penjualan, pengedaran serta peminjaman filem dan audio atau visual simpanan, terbitan jabatan.

Jabatan Filem Negara, Jalan Utara, 46547 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-7968 2137. Faks: 03-7956 7463. Laman web: http://www.filemnegara.gov.my

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
Jabatan ini berperanan dalam mengatur rancangan dan melaksanakan strategi, program, aktiviti bagi mendidik serta meyakinkan rakyat kepada pemimpin negara. Selain itu, jabatan ini turut dipertanggungjawabkan menangkis dakyah, fitnah, tohmahan dan pemikiran jumud serta ekstremis agama dalam kalangan rakyat selain menggerakkan pembaharuan pemikiran ummah bagi menghadapi gelombang globalisasi dan teknologi maklumat. Jabatan ini juga turut membuat analisa pola dan sikap pengundi sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya di samping menjalankan penyelidikan dan menyediakan isu-isu sosio politik dan agama. Tidak ketinggalan, jabatan ini akan mengenal pasti dan memantau setiap isu yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Jabatan Hal Ehwal Khas, Tingkat 3-6, Blok D, Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Dato’ Onn, 50610, Kuala Lumpur. Tel: 03-2698 7152/03-26987160/03-26987164/03-26987166. Laman web: www.jasa.gov.my

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)
BERNAMA ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 1967 berfungsi mencari dan melaporkan berita-berita terkini yang benar dan saksama. Ia berperanan sebagai sumber yang membekalkan berita-berita terkini dan boleh dipercayai untuk akhbar, stesen-stesen penyiaran, perkhidmatan wayar global dan internet. Selain itu, BERNAMA turut menyediakan pelbagai produk perkhidmatan berita dan maklumat kewangan tepat-masa menerusi pelbagai platform sejajar dengan perkembangan teknologi serta menyalurkan perkhidmatan berita dan maklumatnya secara terus kepada orang ramai seperti di laman web, radio, televisyen dan telefon bimbit.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Wisma BERNAMA, No 28, Jalan 1/65A Off Jalan Tun Razak, 50400, Kuala Lumpur. Tel: 03-26939933. Faks: 03-2698 1102/03-26913972. Laman web: http://www.bernama.com

Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR)
Peranan Institut ini ialah merancang dan menyediakan program latihan untuk warga kementerian, jabatan dan agensi di bawahnya serta melaksanakan program latihan yang berkualiti selaras dengan keperluan semasa pelanggan. Selain itu, IPPTAR turut menjalankan penilaian program latihan bagi mengukur dan meningkatkan mutu latihan dan bekerjasama dengan agensi-agensi di dalam dan luar negara dalam bidang latihan penyiaran, perfileman dan komunikasi korporat di samping menyediakan infrastruktur dan khidmat sokongan selaras dengan keperluan latihan.

Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Peti Surat 1199, Jalan Pantai Baharu, 59700, Kuala Lumpur. Tel: 03-2282 1752. Faks: 03-2282 4796. Laman web: http://ipptar.kpkk.gov.my

B) SEKTOR KOMUNIKASI

Sektor Komunikasi
Sektor Komunikasi di bawah KPKK bertanggungjawab ke atas perancangan dasar dan strategi bagi industri komunikasi, mengkoordinasi pelaksanaannya serta memantau perkembangan prestasi industri. Selain itu, sektor ini juga bertanggungjawab merancang, mengkoordinasi, melaksana dan memantau projek-projek yang berkaitan, juga peraturan serta undang-undang bagi memastikan akses yang sama rata dan lebih ekonomi bagi perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.

• Telekom Malaysia
Telekom Malaysia Berhad merupakan syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia. Syarikat GLC ini menawarkan perkhidmatan terasnya iaitu talian tetap dan talian mudah alih bagi telefon dan juga internet.

Telekom Malaysia Berhad, Menara TM, Jalan Pantai Baharu, 50672 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2240 9494. Faks: 03-2283 2415. Laman web: www.tm.com.my

• Pos Malaysia Berhad
Pos Malaysia Berhad pernah dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos. Peranan yang dimainkan oleh Pos Malaysia berkembang sejajar dengan arus perubahan zaman. Antara peranan Pos Malaysia ialah perkhidmatan penghantaran surat dan bungkusan, kiriman wang pos, pelaburan dana, pembayaran bil dan pembayaran pencen.

Pos Malaysia Berhad, Menara Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin, 50050 Kuala Lumpur. Tel: 03-2274 1122. Faks: 03-2274 5951. Laman web: www.pos.com.my

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
SKMM adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (AKM) yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia. Antara fungsi SKMM termasuk pengeluaran lesen, mengawal selia perkhidmatan yang disediakan oleh pemegang lesen, memantau taraf perkhidmatan dan standard kemudahan rangkaian, mempromosi persaingan, mendorong perluasan khidmat pos dan mengawal selia kadar pos, dan memantau dan penyelia aktiviti pihak berkuasa pemerakuan dalam bidang tandatangan digital.

Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM), 63000 Cyberjaya, Selangor.
Tel: 03-8688 8000. Faks: 03- 8688 1000. Laman web: www.skmm.gov.my

C) SEKTOR KEBUDAYAAN

Arkib Negara Malaysia
Arkib Negara Malaysia sebagai pusat arkib dan penyelidikan negara berperanan sebagai agensi utama pengurusan rekod kerajaan bagi memantapkan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan yang baik di sektor awam. Jabatan ini juga menjadi pusat setempat pengumpulan, penyimpanan serta penyebaran sumber maklumat yang mempunyai nilai kebangsaan dan sejarah warisan negara kepada orang awam bagi merapatkan jurang ilmu menerusi media terkini. Selain dari itu, Arkib Negara Malaysia juga berperanan melaksanakan program penyelidikan dan pendokumentasian bagi tujuan melengkapkan maklumat dan memantapkan koleksi sejarah tanah air demi memartabatkan kedaulatan negara.

Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, 50568 Kuala Lumpur. Tel: 03-6201 0688. Faks : 03-6201 5679. Laman web: http://www.arkib.gov.my

Jabatan Perpustakaan Negara
Jabatan Perpustakaan Negara bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pinjaman, perkhidmatan digital, perkhidmatan keahlian, perkhidmatan bilik karel, fotokopi dan gerakan literasi maklumat kepada orang awam. Sementara bagi penerbit, Jabatan ini berfungsi menyediakan perkhidmatan permohonan International Standard Book Number (ISBN), permohonan International Standard Serial Number (ISSN) serta pengkatalogan dalam penerbitan. Bagi perpustakaan pula, jabatan ini berperanan dalam menyediakan sistem pembekalan penerbitan, perkhidmatan pemuliharaan dan menyediakan khidmat nasihat dan perundingan.

Jabatan Perpustakaan Negara, Perpustakaan Negara Malaysia, 232, Jalan Tun Razak, 50572, Kuala Lumpur. Tel: 03-2687 1700. Faks: 03-2692 7502. Laman web: http://www.pnm.gov.my

Jabatan Muzium Malaysia
Jabatan Muzium Malaysia diberi tanggungjawab menyelidik, mengumpul, memelihara warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi negara serta mengurus muzium-muzium di bawah pentadbiran persekutuan dan memberi khidmat kepakaran di samping memberi khidmat nasihat kepada muzium-muzium negeri, jabatan kerajaan dan swasta. Selain itu, jabatan ini juga akan mendokumentasikan koleksi jabatan dan menerbitkan hasil penyelidikan serta memberikan khidmat pengembangan ilmu pengetahuan melalui pameran, ceramah, bengkel, seminar, forum, persidangan dan lawatan berpandu ke balai-balai pameran.

Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara 50566, Kuala Lumpur. Tel: 03-2267 1000/2282 6255. Faks: 03-2282 5044. Laman web: http://www.jmm.gov.my

Jabatan Warisan Negara
Jabatan Warisan Negara berperanan dalam memulihara, memelihara dan melindungi warisan semula jadi melalui penyelidikan, pendokumentasian, dan menggalakkan kesedaran terhadap warisan.

Jabatan Warisan Negara, Tingkat 1, 2 dan 10, Menara Chulan, Jalan Conlay, 50450, Kuala Lumpur. Tel: 03-2167 5100. Faks: 03-2171 6028. Laman web: http://www.warisan.gov.my


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti pemuliharaan, pengembangan dan promosi seni budaya untuk mengekalkan penghayatan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, jabatan ini akan memperbanyakkan lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian yang melibatkan pelbagai kaum selain menyediakan prasarana seni dan budaya yang kondusif kepada pengguna. Di samping itu, jabatan ini juga turut berperanan dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan produk-produk seni budaya yang baru.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tingkat 21-34, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur. Tel: 03-2052 3600. Faks: 03-2163 4031. Laman web: http://www.jkkn.gov.my


Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ditubuhkan pada tahun 1981 bertujuan untuk menggalak, memelihara dan memudahkan perusahaan perfileman di Malaysia. FINAS berperanan menyediakan perkhidmatan sokongan dan galakan industri seperti mengadakan latihan industri, pemasaran, penyelidikan, pembiayaan modal dan lain-lain aktiviti pembangunan filem. Dasar Perfileman Negara (DFN) yang telah diluluskan menjadi teras dan panduan FINAS dalam melahirkan penggiat filem yang berilmu dan berkemahiran di samping mewujudkan industri filem yang berdaya tahan dan produktif.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Kelang, 68000, Ampang, Selangor. Tel: 03-4104 1300. Faks: 03-4107 5216. Laman web: http://www.finas.gov.my

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
ASWARA berperanan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terulung dengan menyediakan ruang pembelajaran dan pengajaran, pusat penyelidikan dan penerbitan akademik dan khidmat nasihat profesional dalam bidang seni, budaya dan warisan.

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), 464, Jalan Tun Ismail, 50480, Kuala Lumpur. Tel: 03-2697 1777. Faks: 03-2697 5452. Laman web: www.aswara.edu.my

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia berperanan memaju, menggiat dan memulihkan kemahiran serta ketukangan tradisional melalui penggunaan cara-cara moden pengeluaran, pengurusan dan pemasaran bagi memperbaiki kualiti keluaran-keluaran kraftangan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Sekyen 63, Jalan Conlay, 50450, Kuala Lumpur. Tel: 03-2162 7459. Faks: 03- 2161 2622. Laman web: http://www.kraftangan.gov.my

Balai Seni Lukis Negara
Balai Seni Lukis Negara (BSLN) selaku peneraju pembangunan seni visual, bertekad untuk mewujudkan suasana di mana kreativiti, pembelajaran serta jalinan persefahaman dapat diakses melalui koleksi, pameran dan aktiviti penghayatan seni.

Balai Seni Lukis Negara, 2 Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, 53200, Kuala Lumpur. Tel: 03-4025 4990/4026 7000. Faks: 03-4025 4987. Laman web: http://www.artgallery.gov.my

Istana Budaya
Istana Budaya memainkan peranan utama menyediakan persembahan seni pentas yang berkualiti serta mampu untuk ditonton oleh semua golongan masyarakat Malaysia dan luar negara. Istana Budaya menyediakan khidmat nasihat dan meningkatkan kepakaran seni persembahan pentas.

Istana Budaya, Jalan Tun Razak, 50694 Kuala Lumpur. Tel: 03-4026 5555. Faks: 03-4025 5975. Laman web: http://www.istanabudaya.gov.my

Tiada ulasan: