23.9.10

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA



PENGENALAN
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berperanan membangun potensi individu melalui pendidikan berkualiti. Matlamat penubuhan kementerian ini ialah untuk melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara dan memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
JABATAN/AGENSI

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia (LPKPM)
Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab untuk mengendalikan peperiksaan dengan cekap, licin dan selamat. Selain itu LPKPM turut bertanggungjawab dalam perkara-perkara berikut; penggubalan dasar pengujian dan pengukuran pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan matlamat kurikulum; penggubalan spesifikasi semua bentuk pengujian dan pengukuran pendidikan, kaedah pentadbirannya, bentuk pelaporannya dan pengawalan mutu alat-alat pengukuran; dan penggubalan alat pengujian dan pengukuran dan kaedah pemarkahan bagi menilai pelajar berdasarkan kurikulum.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia, Aras 1,2,5-13, Blok E11, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya. Tel: 03-8884 3787, Faks: 03-8884 3783. Laman Web: http//www.moe.gov.my/ipm

Institut Aminuddin Baki (IAB)
Matlamat penubuhan IAB ialah untuk membina dan membangunkan profesionalisme dalam kepimpinan dan pengurusan pendidikan yang akan membantu membangunkan sistem pendidikan kebangsaan keseluruhannya. Selaku sayap latihan bagi Kementerian Pelajaran Malaysia, IAB menerajui kecemerlangan dalam memberikan latihan yang bercorak pengurusan dan kepimpinan khususnya kepada para pengurus dan pemimpin pendidikan di seluruh negara. Justeru, selaras dengan perubahan-perubahan terkini dunia pendidikan dan dasar-dasar terkini negara, IAB juga berusaha menggabungkan amalan terbaik kepimpinan bagi memperkaya tubuh ilmunya. Perubahan persekitaran seperti ini menuntut agar semua pemimpin pendidikan menguasai ilmu dan kemahiran secara interaktif dan komprehensif.

Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia, Sri Layang, 69000 Genting Highlands, Pahang Darul Makmur. Tel: 03-6105 6100, Faks:03-6105 6299. Laman web: http//www.iab.edu.my

Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK)
Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK) adalah sebuah badan ikhtisas yang telah ditubuhkan dalam bulan Oktober 1956 atas perakuan Penyata Razak 1956. JNJK diamanahkan untuk memerhati, mengawasi, dan menasihati guru supaya mutu pengajian dan pembelajaran serta pengelolaan pentadbiran di sekolah terpelihara dan seterusnya dapat diperbaiki. Tanggungjawabnya sebagai institusi pengawal mutu pendidikan negara, selari dengan perkembangan peranan, fungsi dan tanggungjawab yang ditentukan oleh Akta Pelajaran.

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Aras 3-6, Blok E15, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Putrajaya, 62604 Putrajaya. Tel: 03- 8884 4282, Faks: 03-8888 6867, Laman web: http://www.moe.gov.my/jns

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM)
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) adalah sebuah badan profesional dan penasihat buku peringkat kebangsaan yang disokong oleh kerajaan dan pihak swasta yang terlibat dengan usaha memajukan industri buku di negara ini untuk kepentingan sosial. Majlis ini berperanan untuk mengurus serta menyelaras segala program kerjasama yang berkaitan dengan pembangunan industri buku dan pengembangan budaya membaca, sama ada dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta di negara ini. Selain daripada itu, MBKM juga berusaha mempromosikan buku-buku Malaysia bersama-sama penerbit dan pengusaha industri buku tempatan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan Malaysia dalam pesta-pesta buku di luar negara.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Aras 14, Blok E12, Kompleks Kerajaan Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya. Tel: 03-8884 7019, Faks: 03-8888 6296, Laman web: http://www.moe.gov.my/mbkm

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) adalah sebuah syarikat berhad yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 14 September 1993 dengan tujuan untuk mengangkat industri terjemahan dalam negara, menangani urusan berkaitan terjemahan dan kejurubahasaan. Dengan modal asas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, dan pentadbirannya yang diuruskan Kementerian Pelajaran, ITNM bergerak selari dengan falsafah korporatnya untuk membina sebuah masyarakat progresif berteraskan sains dan teknologi, serta berusaha memperkayakan ilmu dan menggalakkan daya saing negara dalam ekonomi serantau. ITNM adalah pusat yang memberikan khidmat terjemahan buku, dokumen, maklumat, perisian dan bahan bacaan lain daripada pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu dan juga bahasa lain. ITNM juga memberikan perkhidmatan kejurubahasaan untuk pelanggan di dalam dan di luar negara.

Institut Terjemahan Negara Malaysia, Wisma ITNM, No 2, Jalan 2/27E, Seksyen 10, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur. Tel: 03-4149 7210. Faks: 03-4149 1535. Laman web: http://www.itnm.com.my

Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956 dengan nama asalnya ‘Balai Pustaka’. Pada tahun 1959, melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP bertukar taraf menjadi sebuah badan berkanun. DBP berperanan membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; mengembang bakat sastera, khususnya dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain; membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya dapat digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang berkuat kuasa; dan DBP mendukung perluasan fungsi utama iaitu Bahasa, Sastera dan Penerbitan.

Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Tel: 03-2148 1011. Faks: 03-21447428, Laman web: http://www.dbp.gov.my

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ialah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980 di bawah Akta 225, Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980. Fungsi utama MPM ialah untuk mengendalikan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula dengan peperiksaan tahun 1982 dan Malaysian University English Test (MUET) mulai tahun 1999. Justeru itu, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh MPM adalah menyediakan peraturan dan skema peperiksaan; mengkaji, mengemaskinikan dan menggubal sukatan pelajaran peperiksaan; menggubal dan menyediakan kertas soalan dan bahan peperiksaan; menyelaras pendaftaran calon peperiksaan; menyelaras pengendalian peperiksaan dan pemarkahan skrip jawapan calon; memproses dan menyemak keputusan peperiksaan; menetapkan standard kertas dan mata pelajaran serta menganugerahkan keputusan peperiksaan; mentafahus rayuan tentang keputusan peperiksaan; melatih kakitangan urus setia dan penjawat MPM; serta mengkaji dan menyelidik perilaku calon dan hal-hal lain yang berkaitan dengan peperiksaan.

Majlis Peperiksaan Malaysia, Bangunan MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-6136 9663. Faks: 03-61375581. Laman web: http://www.mpm.edu.my

Jabatan Pelajaran Negeri
Terdapat 16 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. JPN berfungsi dan bertindak dalam melaksanakan dasar-dasar dan usaha yang telah diputuskan di peringkat kementerian untuk dilaksanakan di setiap negeri.

Tiada ulasan: