23.9.10

Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) Dalam Kepimpinan Tun Abdullah

Dalam pentadbiran Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, rakyat adalah aset negara paling berharga dan dianggap sebagai rakan kongsi pembangunan negara. Justeru, rakyat diajak memberi komitmen dengan bekerja keras, meningkatkan jati diri dan sentiasa memperkaya diri dengan ilmu pengetahuan. Setelah menerajui negara sebagai Perdana Menteri, beliau berazam untuk menghapuskan gejala rasuah sehingga ke akar umbi. Sebagai langkah pertama, beliau meminta jabatan dan agensi kerajaan agar mengurangkan kerenah birokrasi yang kelihatannya menyumbang kepada peningkatan kadar rasuah dalam perkhidmatan awam.

Atas keazaman yang kuat beliau mula mengatur strategi yang bersifat serampang dua mata iaitu melibatkan penerapan nilai-nilai murni dan juga menekankan usaha memantapkan lagi proses kerja. Usaha beliau menampakkan hasil pertama apabila Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dilancarkan pada 23 April 2004. Pelan ini bersifat komprehensif dan menyeluruh serta menuntut penglibatan yang bersepadu daripada semua sektor. Dalam ucapannya semasa melancarkan PIN, beliau menyifatkan PIN sebagai pelan jangka panjang yang lahir daripada cabaran keempat dalam Wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

Menyedari bahawa usaha memerangi rasuah memerlukan satu usaha yang berterusan, Tun Abdullah telah mengambil satu lagi inisiatif dengan menubuhkan sebuah institusi yang bersifat bebas sebagai agensi penyelaras dan akan melakukan pemantauan berterus terhadap pelaksanaan PIN. Institut itu diberi nama Institut Integriti Malaysia (IIM). Beliau berpendapat bahawa pemantauan yang berterusan amat penting bagi mengukur tahap sebenar pencapaian pelaksanaan pelan yang telah dirangka. Beliau juga telah mengisytiharkan tarikh 5 November setiap tahun sebagai Hari Integriti Kebangsaan.

Tiada ulasan: