27.9.10

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR

PENGENALAN
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) ditubuhkan pada 9 April 2009 berikutan daripada rombakan Kabinet dan penstrukturan semula kementerian yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak. Sebelum ini, KeTTHA dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) yang ditubuhkan pada 27 Mac 2004 melalui penstrukturan semula Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Berikutan rombakan Kabinet 2009 tersebut, satu fungsi baru telah dimasukkan ke dalam KeTTHA iaitu Teknologi Hijau.

Serentak dengan itu, fungsi ‘komunikasi’ dipindahkan keluar ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Kemasukan fungsi dan tanggungjawab baru KeTTHA bagi merancang, merangka dasar dan program-program teknologi hijau menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani isu-isu global semasa seperti pencemaran alam sekitar, penipisan lapisan ozon, pemanasan global dan isu-isu yang berkaitan dengannya.
JABATAN/AGENSI

Jabatan Bekalan Air (JBA)
Jabatan ini berperanan sebagai jentera pelaksana utama projek-projek pembangunan bekalan air di seluruh negara. Fungsi JBA adalah untuk mewujudkan sistem perbekalan air yang mencukupi dan sempurna di seluruh negara yang diurus dengan cekap, selamat dan teratur dalam memenuhi keperluan negara serta kepuasan rakyat.

Jabatan Bekalan Air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Aras 1&4, Blok E4/5, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62668 Putrajaya. Tel: 03-8883 6000. Faks: 03-8889 3071. Laman web: http://www.jba.gov.my

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP)
JPP berfungsi untuk menggalakkan kelancaran perlaksanaan sistem pembetungan yang bersesuaian dan moden di seluruh negara mengikut piawaian yang ditetapkan. JPP juga berfungsi untuk melindungi kepentingan pengguna dengan memastikan perkhidmatan yang terbaik pada kos yang berpatutan serta membantu pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan sektor pembetungan yang moden dengan melindungi sumber air dan alam sekitar.

Ibu Pejabat, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Tingkat 5-7, Blok B (Atas), Pusat
Bandar Damansara, 50490 Kuala Lumpur. Tel: 03-2080 9400. Faks: 03-2096 2609.
Laman web: http://www.jpp.gov.my

Suruhanjaya Tenaga
Suruhanjaya Tenaga merupakan badan kawal selia industri pembekalan tenaga, bertanggungjawab memastikan pembekalan elektrik dan pembekalan gas melalui talian paip adalah mencukupi, selamat dan berdaya harap pada harga yang berpatutan di samping menggalakkan kecekapan tenaga. Suruhanjaya Tenaga berperanan melaksanakan akta berkaitan industri tenaga berdasarkan kepada kuasa yang diberikan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (2001) serta akta-akta dan peraturan industri seperti berikut:
• Akta Bekalan Elektrik 1990
• Akta Bekalan Gas 1993
• Peraturan Bekalan Elektrik (Kompaun Kesalahan) 2001
• Perintah Bekalan Gas (Kesalahan Yang Boleh Dikompaun) 2006
• Peraturan Bekalan Elektrik 1997
• Peraturan Elektrik 1994
• Peraturan Pemegang Lesen 1990
• Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap 2008

Suruhanjaya Tenaga, Tingkat 13, Menara TH Perdana, 1001, Jalan Sultan Ismail, 50250, Kuala Lumpur. Tel: 03-2612 5400. Faks: 03-2693 7791. Laman web: www.st.gov.my

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
SPAN yang ditubuhkan dibawah (Akta 654) berfungsi sebagai sebuah badan kawal selia industri perkhidmatan air berasaskan kepada prinsip bebas, berkecuali, telus dan profesional. Secara ringkasnya, fungsi utama SPAN mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) antara lain adalah untuk melaksana dan menguatkuasakan undang-undang bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan. Selain itu, SPAN juga berperanan memastikan industri perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan lebih mapan dan berdaya saing serta memantau pengendali untuk mematuhi standard perkhidmatan obligasi kontrak dan undang-undang yang ditetapkan, dan garis panduan yang berkaitan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tingkat Bawah dan Tingkat 1, Prime Avenue 7, Blok 3510, Jalan Teknorat 6, 63000 Cyberjaya. Tel: 03-8317 9333/334/335. Faks: 03-8317 9336/83179339. Laman web: http://www.span.gov.my

Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan syarikat utiliti elektrik terbesar di Malaysia dengan aset hampir RM71.4 bilion. Disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, TNB mempunyai kira-kira 29,149 warga kerja (Kumpulan) dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 7.6 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan. Fungsi TNB adalah penjanaan, penghantaran dan pembahagian tenaga elektrik. TNB merupakan penyumbang utama kepada kapasiti industri total di Semenanjung Malaysia menerusi enam stesen haba dan tiga janakuasa hidro utama. TNB juga mengurus dan mengendalikan rangkaian penghantaran yang komprehensif, iaitu Grid Nasional. Merentasi Semenanjung, rangkaian grid ini menghubungkan stesen-stesen jana elektrik TNB dan Penjana Bebas (IPP) dengan rangkaian sistem pembahagian. Grid ini juga disambungkan dengan sistem penghantaran Thailand di utara dan sistem penghantaran Singapura di selatan. Rangkaian pembahagian TNB pula diuruskan menerusi satu sistem yang komprehensif serta pusat-pusat perkhidmatan pelanggan dan pusat-pusat pengurusan panggilan.

Tenaga Nasional Berhad, No 129, Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur. Tel: 03-2296 5566. Faks: 03-2283 3686. Laman web: http://www.tnb.com.my

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)
SYABAS merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan khusus untuk menguruskan sistem pembekalan air bagi kawasan-kawasan di seluruh Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selaras dengan penswastaan industri bekalan air, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor telah melantik SYABAS untuk mengurus, menyelenggarakan dan mengagih bekalan air bersih di sekitar kawasan konsesinya selama 30 tahun mulai 1 Januari 2005. SYABAS juga merupakan anak syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad, selaku pemegang saham terbesar iaitu sebanyak 70%. Manakala baki 30% dipegang oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Sementara itu, Kerajaan Persekutuan memiliki 1 syer emas dalam syarikat ini. SYABAS kini membekalkan air bersih kepada seramai 7.5 juta pengguna industri dan komersial di sekitar negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang meliputi 10 daerah, iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Klang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang dan Sabak Bernam.

SYABAS, Jalan Pantai Baharu, 59990 Kuala Lumpur. Tel: 03-2088 5400. Faks: 03-2282 7976. Laman web: http://www.syabas.com.my

Indah Water Konsortium Sdn Bhd
Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada 18 juta pengguna di Malaysia. Perkhidmatan yang disediakan termasuk pengendalian dan penyelenggaraan lebih daripada 5,750 buah loji olahan kumbahan awam serta lebih daripada 13,000 km rangkaian paip pembetungan awam. Kerja-kerja pengendalian dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam amat penting demi mengekalkan serta meningkatkan lagi kualiti hidup pengguna dan memelihara kebersihan alam sekitar. IWK memastikan efluen (air terawat) yang dilepaskan daripada semua loji olahan kumbahan awam sentiasa mematuhi piawai Jabatan Alam Sekitar demi melindungi perairan daripada pencemaran. Indah Water juga bertanggungjawab sebagai agensi perakuan yang telah dilantik dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menjalankan pemeriksaan dan memperakukan permohonan pembinaan dan pembangunan sistem pembetungan. Selain daripada itu, Indah Water juga menawarkan kepakaran khidmat rundingan untuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), khidmat nasihat teknikal untuk memaksimumkan tahap upaya loji olahan kumbahan awam serta khidmat pengurusan projek pembinaan sistem dan infrastruktur pembetungan.

Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Aras 1-4 Block J, Pusat Bandar Damansara, 50490 Kuala Lumpur. Tel: 03-2780 1100. Faks: 03-2780 101. Laman web: www.iwk.com.my

Pusat Tenaga Malaysia (PTM)
PTM adalah sebuah organisasi bebas dan tidak berasaskan keuntungan. PTM ditubuhkan pada Mei 1998 sebagai memenuhi keperluan sebuah pusat penyelidikan dan kajian tenaga di Malaysia. Aktiviti-aktiviti utamanya termasuklah membuat perancangan dan penyelidikan tenaga, kecekapan tenaga serta membuat kajian berkaitan teknologi, pembangunan mahupun demonstrasi. Ia juga bertanggungjawab mengumpul segala data berkaitan. PTM juga berfungsi sebagai sebuah agensi tenaga sehenti bagi menghubungkan universiti-universiti, institusi-institusi penyelidikan, pelbagai industri juga organisasi-organisasi tenaga tempatan mahupun antarabangsa.

Pusat Tenaga Malaysia, No 2 Jalan 9/10, Persiaran Usahawan, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Tel : 03-8921 0800. Faks: 03-8921 0801/0802. Laman Web: http://www.ptm.org.my

Tiada ulasan: